SEMUANYA UNTUKMU

SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI MAHARATU RAFIDAH MOHAMAD. SEMOGA GEMBIRA HENDAKNYA DAN SEMUANYA UNTUKMU.

Sunday 10 August 2014

PUISI BLOG : AKU HANYA SEORANG SANG PENULIS DI BAWAH PAYUNG SASTERA, SANG IBUKU oleh MAHARATU RAFIDAH MOHAMAD


AKU HANYA SEORANG SANG PENULIS DI BAWAH PAYUNG SASTERA, SANG IBUKU.



Kukira lidah pena itu letah dan kubilang mata kertas itu rabun. Aku silap pada nyatanya. Namun hakikatnya, aku yang khilaf.

Aku, lalui hari-hari dalam usapan rahim ibuku. Aku tidak takut untuk melakukan kesilapan dan aku juga tidak bimbang untuk berbuat kekhilafan, kerana ibuku sentiasa membelai kata.
“Aku akan jadi anak yang mulia. Aku akan jadi anak yang berjasa. Aku akan jadi anak yang dengar kata.”

Hanya, pada ketika aku dilahirkan, tubuhku laksana bintang dibalut dengan sayang. Nyamuk atau agas, lalat atau langau, takkan berani menyentuh kulitku. Jika ia berani, nescaya hilang nyawanya kerana ibuku sentiasa mencium rasa.
“Kau akan jadi anak yang mulia. Kau akan jadi anak yang berjasa. Kau akan jadi anak yang dengar kata.”

Seorang, senyum dan tawa atau suka dan duka sering melewati destinasiku yang senadi hanyut nafas bersatu. Sukar atau senang dan sedih atau riang selalu sahaja menziarahi alamatku yang sedenyut maujud jantung berdua. Sesungguhnya ibuku masih sahaja bersuara, saban menjinakkanku dan memanjakanku.

Sang Penulis, itu aku dan sini cintaku. Jerih payahku di kanan ibuku. Di kiri ibuku jerit susahku. Tetapi, ada siapa tahu? Tetapi, ada siapa yang mahu tahu? Tetapi, ada siapa yang lebih-lebih tidak mahu tahu? Akan kesukaranku. Akan kepahitanku. Akan kepenatanku. Namun, ibuku tahu. Namun, ibuku mahu tahu. Dan ibuku lebih-lebih lagi mahu tahu. Tiada tidak, tiada tak. Ibuku selalu mendampingiku.

Di bawah, aku berdiri dengan kakiku. Ibuku, memandangku dari jauh. Senyum ibuku, memberikanku sejuta pengharapan yang hanya aku tahu dan Dia Maha Lebih Tahu. Sungguh tiada siapapun mengerti apa yang kulalui, bertahun-tahun bersama ibuku. Hanya mata serong hadiah buatku selalu puah menghunus bicara.
“Dia hanya mahukan nama…”
“Dia hanya mahukan kuasa…”
“Dan dia hanya mahukan harta…”
Aku dan ibuku hanya duduk termangu, sesekali turut terbatuk dungu.

Payung, ibuku memberikannya kepadaku sewaktu ulangtahunku ke-30 dengan kata manisnya mengingatkanku.
“Berteduhlah anakku, pabila hujan mahupun panas, siang ataupun malam, agar perjalananmu berlangsung lancar…”
Tetapi, ibu… - nyataku sedih, kataku pedih. Payung itu koyak. Payung itu robek. Payung itu cabik. Koyak kerana pengkor hati. Robek kerana pengkar diri. Cabik kerana tumpur budi, kerana siapa yang lebih-lebih tidak mahu tahu menghulurkannya kepadaku, tanpaku perlu.

Sastera, dialah Ibuku. Dialah nyawaku, Dialah guruku. Dialah yang telah menjadikan aku. Tetapi mindaku tegar dengan tutur.
“Dia hanya mahukan nama…”
“Dia hanya mahukan kuasa…”
“Dan dia hanya mahukan harta…”
Yang dikatakan oleh siapa yang lebih-lebih tidak mahu tahu. Ibuku berpesan dengan nadanya sama seperti hatiku yang sayu.
“Berjuanglah apa yang ingin kaujuangkan anakku… Tabahlah apa yang kauharus tabahkan wahai anakku… Jangan menangis… Jangan bersedih… Inilah adat pabila berkawan, aduhai sang penulis, anak kesayanganku…”.

Aku mengerti maknamu itu. Benar apa yang kualami selama memelukmu ibu. Sehingga jiwa ini tungkul serta luluh dan mengapa juga aku yang harus dipertaruhkan dalam medan membetuli keadaan. Sedangkan, Aku Hanya Seorang Sang Penulis Di Bawah Payung Sastera, Sang Ibuku yang ingin kujuangkan impian hati ibuku ini.


………………………………………………………………………………………………


letah                - lemah sungguh, lesu
khilaf               - keliru, silap
maujud            - sungguh ada, benar-benar ada
puah                - kata untuk mengatakan tidak puas (menghina)
cabik               - carik
pengkor           - tempang, pincang
pengkar           - bengkok
tumpur             - habis, rosak sama sekali, binasa

tungkul            - mengaku kalah, tunduk

Tuesday 5 August 2014

CABARAN BLOG : CABARAN GARAM DAN AIS

Biasanya, Maharatu tidak akan terikut-ikut dengan sesuatu yang dilihat, ditonton ataupun apa yang berlaku di hadapan mata. Tetapi entah mengapa, kali ini Maharatu mencuba sebuah cabaran yang ditonton melalui video di Youtube iaitu Ice And Salt Challenge. Boleh tengok video melalui link di bawah.

SALT & ICE CHALLENGE WASSABI PRODUCTION

Video itu jelas memaparkan dua sahabat baik iaitu #RoiWassabi dan #AlexWassabi dari +WassabiProductions. Mereka menjalankan cabaran menggunakan ais dan garam. Tingkah mereka, seperti tidak jujur. Dan Maharatu berkata, setakat ais dan garam, sakit sangatkah? Maka, pada malam raya iaitu 27 Julai 2014, Maharatu mencuba cabaran ini. Sekadar ingin membuktikan adakah ia benar-benar sakit ataupun tidak. Oleh itu, Maharatu kongsikan pengalaman Maharatu selama 10 hari. Dan kesannya sangat-sangat-sangat…. ;(


Kiub Ais & Garam.

Cabaran yang digunakan adalah menggunakan ais dan garam. Letak garam di atas tangan, kemudian tekan dengan ais kiub. Sakitnya, hanya Allah sahaja yang tahu. Memang sakit dan Maharatu pantas sahaja mengakui tindakan dua sahabat baik itu tidak bohong dan ia memang sangat-sangat-sangat MENYAKITKAN.

Inilah Kesan Selepas Percubaan. Hanya ada tanda bulat berwarna merah.

Selepas percubaan, di atas tangan Maharatu cuma nampak kesan bulat merah. Dan Maharatu menyangka, ia hanya sebagai tanda sejuk kerana kesan ais tetapi akibatnya amat mengejutkan Maharatu pada esok harinya, ketika hari raya pertama. Uhhhh… memang menakutkan.

Inilah yang terjadi pada keesokannya harinya. Hari Raya Pertama Tahun ini dengan kesan luka di tangan. Ia terasa pedas dan juga sakit bila disentuh.

Apabila melihat kesan pada paginya, Maharatu fikir, mungkin lebih baik bawa ke hospital dan mengakui sahaja tindakan nekad yang agak tidak bijak ini kepada doktor. Dan dengar apa kata doktor? Tapi Maharatu tak pergi juga kerana Maharatu anggap, ini pasti kesan melecet sahaja.

VICKS VAPORUB

Pada hari ketiga, kesannya sama seperti hari semalam. Dan Maharatu tetap tidak pergi ke hospital. Maklum, masih dalam mood beraya. So, Maharatu guna sahaja Vicks Vaporub untuk menghilangkannya kerana kebiasaan pun Maharatu akan guna benda ini kalau ada kesan-kesan calar dan ia memang menyembuhkan.

Hari Ke-4, kesan masih nampak sama dan ia nampak luka.

Atas tangan, memang jelas tangan macam luka. Kulit itu seperti melecur. Dan ia sudah mula terasa sakit dan pedas apabila tersentuh. Dan sesekali juga terasa pedas apabila terkena air. Namun, masih juga tidak pergi ke hospital. Kira, hebatlah ini juga kan...

Hari Ke-6, ia masih sama dan ada sedikit kurang.

Maharatu terfikir, kalau kesan ini semakin teruk, Maharatu harus pergi ke hospital juga. Bimbang pula, kulit itu akan luka teruk dan menampakkan tulang. Uhh... menakutkan...

Hari Ke-7 dan luka itu semakin besar.

Luka bagai melecur itu makin besar tetapi rasa sakit dan pedas sudah tiada. Yang ada cuma rasa gatal. Maharatu tidak menggarunya sebaliknya hanya berpusing-pusing di sekeliling untuk menghilangkan rasa gatal itu dan letak Vicks Vaporub, rasa gatal akan hilang.

Hari Ke-8. Ia masih sama namun dah makin besar dan isi mula timbul.

Waktu ini, waktu panggil gatal di atas tangan. Terpaksa guna sapu tangan untuk menggosoknya secara perlahan. Dan timbul pula isi pada luka tersebut. Tetapi, niat untuk ke hospital tetap juga tidak diteruskan. Masih juga menggunakan Vicks Vaporub dan membersihkannya dengan air selalu.

Hari Ke-10. Gatal sudah kurang dan kulit seperti melecur mula kering.

Hari kesepuluh, rasa gatal di bahagian atas tangan sudah mula kurang dan kulit seperti melecur juga mula kering. Harap luka ini akan sembuh, jika tidak pasti berbekaslah benda ini di atas tapak tangan. Uhh, salah sendiri juga kan...

Ini adalah pandangan gambar yang ditangkap melalui App X-Ray Shoot. Dan lihat kesannya.

Melalui gambar App X-Ray Shoot yang diambil oleh seorang rakan kenalan yang baharu nak jadi doktor, memang menakutkan untuk Maharatu. Cuba lihat, kulit itu sebenarnya luka tanpa mata kasar kita melihatnya. Uhh... menakutkan sungguh kan. Rasa menyesal pun ada tapi apa boleh buat, dah pun terlanjur melakukan cabaran ini.

Rasanya, kali ini pengajaran buat Maharatu. Dah biasa, tak jadi pak turut, entah mengapa pula kali ini nak menurut juga. So, kenalah tanggung akibatnya. Pada rakan-rakan di luar sana, tolong jangan ikut perangai Maharatu ini ya, tak membawa faedah langsung.

Cuma terfikir, kenapa ais dan garam boleh melukakan kulit? hmmmm....

Sunday 3 August 2014

CERPEN BLOG : POKOK BELUNU oleh MAHARATU RAFIDAH MOHAMAD



POKOK BELUNU


DITERBITKAN DALAM ANTOLOGI PUISI DAN CERPEN 2008 LAMBAIAN TELUK OLEH DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA SABAH.



Matahari hampir mencecah anjung barat. Cahayanya dilindungi oleh sepohon pokok yang banyak menyimpan 1001 macam rahsia penduduk Kampung Tekuyung. Sebuah kampung yang tidak begitu dikenali oleh orang ramai. Kampung yang terperosok dari dunia kecanggihan dan kemodenan masa. Walau bagaimanapun, kampung itu wujud seiringan dengan pokok yang menahan cahaya matahari menerjah ke tanah. Seorang lelaki tua yang seusia dengan pokok itu khusyuk memandang ketinggian pokok itu, tidak endah dengan gigitan nyamuk yang menghinggapi ke kulit tuanya yang telah dimakan usia.
            Tangah Husin tidak rimas duduk di belukar semak itu, sambil memandang kejauhan pokok di hadapannya. Pokok itu banyak memberi jasa kepadanya. Kepada isteri dan anak-anaknya malah penduduk kampung itu juga. Dia tidak pernah merungut dengan pokok itu. Pokok yang ditanamnya sejak kecil lagi. Sejak ayahnya Tua Hasan meneroka kampung ini. Ayahnya bersama-sama beberapa orang tua lain datang ke tanah Labuan yang dulu dikenali sebagai Victoria menempa nasib dan tuah. Kini yang tinggal hanya dia dan pokok yang membesar bersama-samanya. Pokok itu adalah sebahagian nyawanya.
            “Sin, mari dulu kau sakajap. Ada bapak mahu kau buat ni.” Hasan memanggil anak bongsu lelakinya yang sedang leka bermain tanah bersama-sama abang dan kakaknya.
            “Apa Pak?” Husin terjengah-jengah memandang bapanya yang sedang duduk mencangkung.
         “Mari kau dulu!” Suara Hasan tinggi memanggilnya. “Hai, kau ani Sin, cuba bila dipanggil atu tarus mengaga.” Husin memang liat bila dipanggil olehnya. Tidak sama dengan anak-anaknya yang lain. Mungkin kerana Husin anak bongsu daripada lima orang adik-beradik membuat Husin lebih manja daripada dua abang dan dua kakaknya itu.
            “Ada apa Pak?” Husin merapatkan tubuh mungilnya ke sisi bapanya.
            “Ndak, bapak mahu kau tanam benih pokok ani!”
            “Pokok apa, Pak?”
         “Pokok belunu!” Abang dan kakaknya menghampiri mereka berdua. “Pokok belunu ani, buahnya sadap dimakan. Jadi, bapak mahu kau tanam. Abang sama kakakmu sudah menanam pokok-pokok lain di sana!” Mulut Hasan menjuih menunjuk arah tempat anak-anaknya yang lain yang telah menanam beberapa jenis pokok semalam.
            “Pokok ani capat basarkah, pak?”
            “Bila kau basar, basartah pokok ani jua!”
            “Oh!” Husin menanam benih pokok belunu itu dengan diajar oleh bapanya
            “Oi, Tangah Husin! Bahapakan tuh?” Lamunannya terhenti apabila dirinya disapa. Dia memandang ke arah suara yang menyapa itu. Bibah, isteri Awang Kail. “Bahapakan tuh? Ndak ada nyamuk tuh, Tangah?” Bibah tersenyum kambing.
            “Oh… kau Bibah. Saja tah duduk-duduk di sini, ah! Kau pula kan ke mana?”
            “Kan ke kadai Si Yakop atu. Kan mambali lauk!” Suara Bibah melaung.
            “Si Awang ndak turun memukat hari ani?”
            Bibah berjalan menghampiri Husin. “Air ndak baik, katanya. Di rumah atu seorang pun ndak mahu kan ke kadai. Terpaksa tah aku ke sana mambali apa yang patut!” Bibah sedikit mengeluh. Husin mengangguk faham. “Kita bahapa? Belunu atu bebuah tahun ani, Tangah?” Bibah berbasa-basi dengan perkataan ‘kita’ dengan Husin sebagai tanda hormat.
            “Antah. Tapi kalau ikut kiraan, bebuah kali jua belunu ani.” Husin memandang berahsia.
            “Kalau bagus bebuah tuh jua. Dapat jua merasa sebiji dua belunu atu karang.” Bibah ketawa kecil menampakkan baris-baris gigi yang kekuningan. Husin hanya memerhati. “Hei, lambat sudah luan ani. Karang tutup kadai Si Yakop atu. Jalan dulu aku ani, Tangah!”
            “Bah. Hati-hati saja jalan atu!”
            “Bah. Assalammualaikum.”
           “Waalaikumsalam.” Mata Husin menyoroti langkah Bibah. Dia hairan melihat sikap Bibah kepadanya. Kadang-kadang Bibah baik dengannya, kadang-kadang tidak. Husin hanya tersenyum memikirkan perangai dan sikap Bibah terhadapnya selama ini.
            “Orang tua atu sudah nyanyuk. Pokok belunu atu ndak ada kan bebuah lagi. Baik ditabang. Kampung ani selalu berangin, ribut, tumbang pokok atu, habis menyusahkan orang karang kan lalu. Luan jalan atu jua tampat lalu kan ke bandar. Budak-budak ke sekolah, jalan atu. Orang keraja, jalan atu jua. Mahunya tiba-tiba pokok atu tumbang masa orang lalu, macam mana?” Lantang suara Bibah bercakap mengenai pokok belunu milik Husin itu.
            “Masalahnya Bongsu Bibah, orang tua atu ndak mahu, pokok belunu atu ditabang. Bakaras kepala. Kata ndak mahu, ndak mahulah! Sampai terbengkalai projek kan mambasarkan jalan raya di simpang utara atu.” Tokok Mail selaku pembantu Ketua Kampung Tekuyung. Bair hanya diam mendengar kata-kata mereka.
            “Betul tuh kata kau, Mail, Bongsu Bibah. Tangah Husin atu melambatkan proses kemajuan kampung ani. Dahlah, kampung kita ani mundur. Baik sudah atu, YB kita atu sudi membantu kita memajukan kampung ani tapi Tangah Husin menentang habis-habis.” Brahim menambah pendapat bantahan.
            “Aku faham perasaan korang ani.” Bair malas menggunakan bahasa formal dengan anak buahnya. “Aku ndak boleh bekaras hati sama Si Tangah Husin atu. Ia orang lama di kampung ani. Walaupun aku Ketua Kampung tapi aku kena jua hormati ia atu.” Jelas Bair.
            “Ah, atu pun Tangah Husin.” Husin muncul tiba-tiba di laman rumah Bair. Dia mendengar semua yang dibicarakan oleh mereka sebentar tadi.
            “Aku tatap dengan pendirian aku, ndak akan manabang pokok belunu aku atu. Ia nyawa aku selama ani. Pokok atu banyak berjasa arahku. Aku ndak mahu sapa-sapa manabang pokok atu sampai bila-bila. Anak dan cucu-cucuku masih ada. Mereka suka makan buah belunu atu. Ndak kan aku mahu dia orang atu kampunan sabab ndak dapat makan belunu. Langkah mayatku dulu kalau ada sapa-sapa berani.” Amarah Husin tidak dapat dibendung lagi dengan sikap mereka yang sering menyalahkan pokok belununya itu.
            “Tapi Tangah, pokok atu…”
         “Aku ndak mahu dangar apa-apa!” Husin memintas kata Bibah. “Yang aku tau, aku ndak mahu pokok belunu aku ditabang!” Husin menyergah dan membuatkan mereka terkejut dengan tindakannya. Husin tersedar kembali dari lamunannya. Dia masih berada di hadapan pokok belununya dan bukan di laman rumah Bair. Dia berfikir sejenak. “Apabila pokok ani mengeluarkan buahnya, orang pertama yang akan memanis muka dengannya ialah Bibah, Mail dan Brahim,” hati tua Husin berbisik dan dia tersenyum dengan keadaan itu. Dia tidak pernah mengambil hati dengan sikap mereka terhadapnya. Pokok belunu ini masih mampu mengeratkan kemesraan mereka, walaupun sebab pokok belunu itu mereka benci dengan kedegilannya. Dia memandang langit. Lembayung matanya mencecah di anjung langit. Daun-daun pokok belunu seakan melambai mesra kepadanya. “Kau banyak menabur jasa kepadaku. Hasilmu telah membesarkan anak-anakku sehingga berjaya.” Husin tersenyum berbaur keluhan di dalam hatinya ketika ini. Serba-salah. Kusut.
            “Tangah Husin, aku sebenarnya malas sudah melayan karenah dia orang atu. Malar menyuruh aku manabang pokok belunu atu. Aku tau pokok belunu atu banyak membawa kenangan dan banyak jua membantu kau mencari rezeki. Mambasarkan anak-anakmu. Si Milah, Si Rizal, Si Amat, Si Roz, Si Hari dan Si Pian atu masuk universiti dulu semua hasil daripada pokok belunu atu. Kalau ndak Tangah menjual buahnya, aku rasa ndak habis kali dia orang atu balajar. Jadi, aku ani sarba salah jua. Ditalan mati bapak, diluah mati emak. Ke kanan salah, ke kiri pun salah. Macam dipaksa jua aku ani, Tangah.” Bair berbasa-basi dengan Husin. Husin faham dan hanya bereaksi seperti biasa.
            “Aku faham jua atu, Bair.” Husin terasa lebih mesra dan dekat dengan memanggil nama dari ‘tok’ kepada Bair. “Tapi, aku ani sayang banarkan manabang pokok atu. Pokok belunu atu macam nyawa aku sudah.”
            “Tapi ndakkan kau membiarkan saja. Setahu aku, pokok atu jua membawa bencana sama arwah Si Timah.” Bair cuba memprovokasi Husin. Mata Husin terbeliak besar melihat Bair setelah mendengar hujahnya.
            “Si Timah mati bukan sebab pokok atu. Sudah ajalnya.” Suara Husin meninggi. Terlintas di matanya, isterinya Timah terjatuh setelah kepalanya dihempap dahan pokok belunu yang rapuh. Husin menarik nafas geram di dalam dirinya.
            “Kalau ndak dahannya patah dan terhempap di kepalanya, Tangah rasa Si Timah atu hidup jua lagi?”
            “Ajalnya sudah di sana. Aku ndak pernah salahkan sapa-sapa. Si Timah atu ndak panjang umur. Bukan salah pokok atu!” Nada Husin keras. “Jadi, arwah binimu atu dulu, meninggal sabab kemalangan, salah keretalah tuh?” Bair menggeleng. “Tapi, sekarang kau kahwin lagi. Apa kau kisah!” Husin memandang jauh. “Qada dan qadar Bair. Ndakkan pasal aku marah nyamuk, kelambu kubakar!” Bair terdiam dengan jawapan Husin. Dia memang tersilap langkah kalau memutuskan untuk bersengketa dengan Husin. Dia memang akur dengan Husin. Husin lebih mengerti daripada dia. “Kau kena faham, aku Bair. Bukan aku mahu menyusahkan kau.” Husin memandang Bair. Kelat pandangannya.
            “Sudahku cakap, aku memang sarba salah sama Tangah. Pandailah Tangah menjawab arah dia orang karang. Aku mulih dulu, Tangah. Assalammualaikum.” Bair mengalah dan malas untuk bertekak dan bertikam lidah dengan Husin lebih lama lagi hanya mengenai pokok kesayangannya itu.
            Husin masih mendongak melihat pokok belunu. Hanya itu saja yang tinggal. Pokok-pokok lain yang ditanam oleh arwah abang dan kakaknya telah habis ditebang oleh orang kampung. Dia mengakui pokok belunu itu telah meragut nyawa isterinya. Mulanya dia marah dan berdendam dengan pokok belunu itu, tapi hakikatnya dia sedar itu semua adalah ketentuan-Nya. Dia tidak dapat menolak. Dia harus menerima walaupun perit untuk ditelan. Pernah juga anak sulungnya, Milah menyuruh dia menebang pokok belunu itu, tapi akhirnya Milah berhenti daripada mengomel apabila Husin lebih keras hati daripada kulit pokok belunu itu.
            “Tangah Husin! Tangah Husin!” Husin meluru pantas ke muka pintu setelah namanya dijerit deras di laman. Husin melihat Brahim dengan muka merah menahan marah.
            “Kanapa Brahim?” Husin merebahkan punggungnya di anjung tangga.
            “Kanapa kata Tangah?” Brahim cuba menekan nada suaranya. “Pokok belunu Tangah atu bawa sial!” Brahim mundar-mandir seperti monyet terkena belacan di laman rumahnya.
            “Kalau pun jua, duduk dulu!” Husin cuba meredakan perasaan Brahim. “Cakap perlahan-lahan.”
            “Anakku Si Jali patah kaki! Sekarang ani di hospital!”
            “Tapi apa kena mengena pula dengan pokok belunu atu, Brahim?”
            “Kalau ndak ada pokok atu, ndak Si Jali patah kaki. Ndak ia memanjat pokok atu.”
            “Kalau macam atu, atu bukan salah pokok belunu, salah Si Jali sendiri. Si Jali memanjat atu, kanapa?”
            “Diakan mengambil buahnya atu!”
            “Diakan mahu buahnya? Kanapa Si Jali ndak minta arahku? Kanapa jua dia memanjat?”
            “Susah jua bercakap sama Tangah ani! Pokok belunu atu mesti ditabang, Tangah. Mesti ditabang! Kalau Tangah ndak mahu tabang, aku sendiri pergi tabang!”
            “Brahim, pergilah kau tabang pokok atu, kalau kau mahu puas hati! Tapi kau tau jua kan, kalau pokok yang sudah lama, sudah tua, ada isinya.” Husin mengalah dengan Brahim.
            “Ndak aku hairan!” Brahim bergegas meninggalkan Husin. Husin sudah malas melayan sikap mereka. Mungkin usia pokok belunu itu sudah sampai waktunya.
            Husin masih terduduk mendongak pokok belunu. Dia masih ingat Brahim tidak dapat menebang pokok belununya. Entah kenapa, sekali kapak menikam batangnya, Brahim tiba-tiba rebah. Orang kampung ketika itu yang menyaksikan terus mendapatkan Brahim. Brahim pengsan. Selepas kejadian itu, orang kampung mula melabelkan dirinya menyimpan jin. Menyimpan penunggu, menyekutukan Tuhan dan macam-macam lagi. Tapi Husin berdiam diri. Dia tidak mahu bertikam lidah dengan mereka semua. Orang kampung bercakap dia sudah nyanyuk, dia pekakkan telinga. Orang kampung bercakap, kononnya dia mengisim pokok belunu, dia butakan mata. Dia akur dengan semua budi bicara orang kampung di hadapannya. Orang kampung bercakap, menghina, mengutuk dan mencaci, dia tetap menghantar seplastik buah belunu kepada mereka semua. Bukan merasuah tapi dia mahu semuanya menikmati kelazatan buah belunu itu. Dia berasa puas, kalau tangannya sendiri menghulurkan buah belunu itu, dan mereka menyambutnya. Dia gembira sepenuh jiwanya. Tapi mereka tetap tidak faham perasaannya, hatinya yang telah sebati dengan akar pokok belunu itu. Mereka tidak faham dan tidak akan faham. Bukan sayang tetapi dia mahu orang kampung dan generasi akan datang masih tahu akan buah belunu itu. Masih tahu kelazatan buah belunu. Hanya itu saja yang dia mahu.
            Matahari hampir ditelan langit. Husin masih duduk menanti di hadapan pokok belunu. Tiga puntung rokok sudah habis dihisapnya. Si Roz selalu melarang dia menghisap rokok, katanya membahayakan kesihatan tapi dia tetap juga merokok. Dia tersenyum mengenang semua itu. Anak-anaknya memang baik terhadapnya. Setiap kali mereka balik menjenguknya, mesti ada cadangan yang sama mengajak dia tinggal bersama-sama mereka. Dia tidak mahu berpisah dengan pokok belunu itu. Dia tidak mahu, pokok belununya ditebang oleh orang-orang kampung sewaktu dia tak ada di kampung. Lagipun dia mahu mati di kampung ini juga, kerana di kampung ini dia telah dibesarkan dan mengenal erti dunia. Semuanya bermula di kampung ini.  Segala-galanya.
            Si Amat, anak ketiganya yang bekerja di Jabatan Pertanian pernah mencadangkan kepadanya untuk menanam pokok belunu baru di tempat lain. Tapi dia menolak. Alasannya kelazatan buah belunu iti tidak akan sama lagi. Banyak kimia telah terlarut di akarnya, kalau ditanam pada masa sekarang. Si Amat berkeras tapi tetap mengalah pada penghujungnya. Anak-anaknya memang kenal akan kedegilannya kalau menyentuh bab pokok belununya itu. Daripada bertekak dengannya, lebih baik mereka tutup buku dan membiarkan sahaja bapa mereka dengan pokok belunu itu. Mereka tahu pokok belunu itu banyak membantu mereka adik-beradik. Husin terkejut dengan bunyi hon kereta di belakangnya. Dia menoleh. Rizal, anaknya.
            “Assalammualaikum, pak.” Rizal keluar dari kereta diikuti oleh anak-anaknya. Mereka bersalam dan memeluk Husin. “Bahapa di sini?”
            “Hai, Bang Ngah, takkan ndak tau.” Roz menyindir tapi Husin cepat-cepat melepaskan puntung rokok yang ada di tangannya.
            “Kanapa ani? Semua datang. Ndak ada keraja?” Husin membersihkan seluar hitamnya.
            “Ndak. Kami ambil cuti. Ada hal kan dicakap arah kita.” Amat menerangkan maksud tersurat kedatangan mereka adik-beradik. “Marilah pak, mulih!”
            “Muatkah?”
            “Muat tu, pak. Kereta kan dua tuh! Kita kan ikut sapa? Si Rizal atau Si Milah? Bah, marilah!” Husin memilih untuk naik kereta Rizal.
            Husin hanya mendiamkan diri sedari tadi. Dia tidak bercakap apa-apa setiba mereka di rumah. Milah dan Roz sibuk di dapur. Rizal, Amat, Pian dan Hari membersihkan serba sedikit rumahnya. Husin tahu dengan sikap anak-anaknya. Bila pulang saja menjenguknya, rumahnya pasti terang-benderang oleh mereka. Husin tak membantah dengan tindakan anaknya walaupun dia lebih suka keadaan samar-samar di rumahnya. Mata tuanya sudah tidak boleh menerima cahaya yang terang. Matanya pasti bergenang. Kerana itulah juga orang-orang kampung suka mengatakan yang bukan-bukan terhadapnya.
            “Pak, apa kita buat tadi di sana?” Rizal memesrakan kata dengan memanggil ‘kita’ dengan bapanya. “Ada hajat kita mahu manabang pokok belunu atu?” Rizal memperlinya. Husin hanya tersenyum.
            “Kami ada hadiah untuk kita.” Amat mulakan bicara.
            “Hadiah? Bapa belum hari jadi lagi!” Husin ketawa kecil. Setiap kali ulang tahun kelahirannya, pasti anak-anaknya memberikan hadiah kepadanya walaupun dia rasa janggal dibuat begitu. Tapi untuk tidak menghampakan anak-anaknya, dia tepat menerima juga dan meletakkan di dalam almari sebagai hiasan. Bila rindu, hadiah-hadiah itu akan ditatap mengubati rindunya.
            “Tahulah, hari jadi kita belum sampai lagi. Tapi ani hadiah istimewa untuk kita.” Milah mengangkat dulang berisi cawan, dan Roz membawa pinggan berisi kuih. Kuih yang sengaja dibeli sewaktu dalam perjalanan tadi.
            “Ada-ada tah saja kamu ani. Apa tah tuh?” Husin menjamah kuih yang dihidangkan. Anak-anaknya tahu itu memang kuih kegemarannya. Tiba-tiba guruh berdentum kuat. Mereka sedikit terkejut.
            “Agaknya malam ani mungkin ribut.” Pian bangun menjengah tingkap melihat langit. Langit sudah ditutupi awan hitam. “Memang hujan labat malam ani, pak.”
            “Biar tah hujan. Lama sudah kampung ani ndak hujan.” Ringkas Husin menjawab kata Pian, anak bongsunya. “Kamu mahu sembahyang karang di masjid atau di rumah?”
            “Di rumah. Kita berjemaah sama-sama. Kita jadi imam?”
            “Bah. Mana saja. Jadi malam ani, kita makan sadap-sadap. Bolehkah?”
            “Mana saja. Ditanggung beres!” Mereka tergelak kecil. Hati Husin turut terhibur dengan kehadiran anak-anaknya itu.
            Hujan turun dengan lebat selepas Maghrib dan di selang-seli dengan kilat dan guruh. Angin turut bergelora. Hati tua Husin galau melihat keadaan di luar rumahnya. Entah kenapa, dia sendiri tak dapat mengagak. Seolah-olah ada sesuatu yang bakal berlaku terhadapnya.
            Matanya kaku melihat rintik hujan yang menggila. Ribut bergelora, kian mengganas dan guruh bergendangan. Tiada tanda untuk berhenti. “Pak, marilah makan. Siap sudah dihidangkan.” Husin menoleh dan menutup birai tingkap. Langkahnya berat menuju ke dapur. Milah menarik kerusi mempersilakan Husin duduk. Husin menuruti. Husin terasa ghairah melihat masakan yang terhidang di depannya. Milah mencedok nasi untuknya. Dia hanya bereaksi tingkah dan membiarkan saja anaknya menghidangkan makanan untuknya. Husin memandang anak-anaknya yang sedang khusyuk makan. Dia bersyukur ke hadrat Ilahi kerana memberikan amanah yang begitu sabar dan telah menjaga amanah itu dengan sempurna sepenuhnya. Dia benar-benar bersyukur.
            Cuaca masih tak berubah. Masih seperti tadi. Husin duduk dikelilingi oleh anak-anaknya. Guruh berdentum kuat menggegarkan rumahnya. Milah dan Roz terkejut. “Sebenarnya, kami ada hajat untuk beritahu dengan kita.” Rizal memulakan bicara. Tiba-tiba pintu diketuk deras menghentikan bualan mereka. “Siapa tuh?”
            “Aku Si Awang. Ada Tangah Husin?” Rizal membuka pintu. Awang kelihatan kesejukan kerana kebasahan. “Ada Tangah, bapamu?”
            “Ada. Kanapa?”
       “Panggil sakajap bapamu!” Nafas Awang turun naik di dadanya. Husin bangun dan merapatkan badannya ke sisi Rizal.
            “Kanapa Wang ni? Cemasnya?”
            “Pokok belunu kita, Tangah. Pokok belunu!”
            “Kanapa?” Husin diserang cemas.
            “Pokok belunu tumbang!”
            “Ah… bila?” Husin melangkah turun memegang bahu Awang.
            “Baru tadi. Ngam aku lalu di sana. Ndak sampai 100 meter, tiba-tiba ada bunyi kuat di belakangku. Kali aku liat, pokok belunu atu rabah menyembah bumi.”
            Husin terduduk. Seakan-akan nyawanya turut tercabut. Anak-anaknya merangkul badannya. “Sampai dulu jua ajalmu.”
            “Sabar pak. Sabar!” Awang memerhati saja. Dia tahu perasaan Husin terhadap pokok belunu kesayangannya itu. Hujan terus turun. “Sabar pak. Kami adik-beradik sudah membeli sebidang tanah dan sekarang sudah ditanam dengan benih pokok belunu. Itu hadiah kami arah kita!” Jelas Milah di tangga rumah dan dibasahi oleh hujan malam.
            Pokok belunu yang tinggi menjulang yang didongak oleh Husin petang tadi telah rebah mencium bumi. Husin tak lagi mendongak seperti tadi tapi, dia tunduk melihat pokok belunu yang terbaring. Sejarah tetap tidak berakhir. Pokok belunu itu banyak kenangannya sejak dia kecil. Sejarah hidupnya tetap terukir di kulit buah belunu. Husin mengalah juga dengan riwayat ciptaan-Nya. Matanya tetap kaku melihat pokok belunu itu diratah oleh orang kampung yang selama ini mengingini kejadian sebegitu. Husin pasrah semahu-mahunya. Pokok belunulah hidupnya. Pokok belunulah riwayatnya.




GLOSARI.

ani                               -           ini/begini
antah                           -           entah
arah                             -           sama/dengan
atu                               -           itu/situ/begitu
bah                              -           kata penegas (bahasa Sabah)
bahapakan/bahapa       -           buat apa
balajar                          -           belajar
banar                           -           benar
basar                            -           besar
bebuah                         -           berbuah
bakaras                        -           berkeras
bongsu                         -           mak cik/Mak Su
dangar                         -           dengar
inda                             -           tiada/tidak
kadai                           -           kedai
kampunan                    -           kempunan
kan                              -           akan
kanapa                         -           kenapa
karang                         -           nanti
keraja                           -           kerja
labat                            -           lebat
liat                               -           lihat
luan                             -           jalan/perjalanan
malar                           -           selalu/kerap
mambali                       -           membeli
mambasar                    -           membesar
manabang                    -           menebang
mengaga                      -           datang
mulih                           -           balik
rabah                           -           rebah
sabab                           -           sebab
sadap                           -           sedap
sakajap                        -           sekejap
sarba                            -           serba
tabang                         -           tebang
tah                               -           sama fungsi dengan partikel -lah
talan                            -           telan
tampat                         -           tempat
tangah                         -           pak cik/Pak Ngah
tarus                            -           terus
tatap                            -           tetap
tuh                               -           tu


ANTOLOGI PUISI DAN CERPEN
LAMBAIAN TELUK 2008 TERBITAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA SABAH

Friday 1 August 2014

SYAWAL BLOG : SETANGGI CITRA LEBARAN LABUAN FM



Dua coretan asal yang dihasilkan oleh +Maharatu Rafidah Mohamad (+Maharatu Rafidah Mohamad ) dan telah diolah dengan lebih menarik lagi di dalam Rancangan Khas Syawal Setanggi Citra Lebaran Labuan FM 2014. Di sini, diberikan coretan asal untuk tatapan semua. :) Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin.


PAKAIAN BAHARU



            Tahun ini, aku benar-benar ingin mendapatkan baju kurung moden sutera yang sungguh cantik yang aku lihat di internet. Malah, baju kurung itu juga dijahit oleh pereka fesyen terkenal. Harganya bernilai RM 550 yang turut termasuk kasut percuma. Maka aku pun memutuskan untuk menjual kuih bahulu dengan tempahan awal tahun bersama tawaran yang istimewa. Dan, aku berhasil memperoleh wang bernilai RM 550 malah lebih lagi. Aku pun menempahkan baju impian aku itu. Ketika Ramadhan, aku sibuk membuat kuih bahulu sehinggakan aku tidak cukup tangan. Aku terpaksa membuat keputusan, memberitahu beberapa pelanggan, akan menerima kuih bahulu, lewat sehari selepas raya dengan alasan, pembakar rosak. Namun, hakikatnya, aku sudah tidak larat lagi.

            Empat hari sebelum raya, apa yang ditempah sudah diterima. Aku sangat gembira dan tentang tempahan kuih bahulu aku lupakan. Sehari sebelum menjelang Aidilfitri, entah mengapa, aku didatangi oleh seorang wanita yang tidak aku kenali. Aku menjemputnya masuk dia keberatan untuk menerima pelawaan. Namanya makcik itu, Mak cik Rohaya. Dia tinggal di kampung sebelah. Dia mempunyai dua orang cucu, tidak mempunyai ayah dan ibu. Dia menyinggah ke rumahku kerana dia ingin menjual kuih bahulu yang dibuatnya sendiri dengan harga RM 5 untuk dua ratus biji. Aku terkejut mendengar penjelasannya itu. Sedangkan aku menjual RM 10 untuk seratus biji, inikan pula RM 5 untuk dua ratus biji.

            Dia turut menjelaskan, apabila menjual harga murah dengan jumlah yang banyak, pelanggan membeli akan kuih bahulunya. Dengan wang yang ada, dia akan membeli pakaian baharu kerana cucu-cucunya sudah hampir lima tahun tidak mempunyai pakaian baharu. Dia juga berkata, cucu-cucunya ada menerima wang peninggalan orang tua mereka, tetapi tarikh penerimaan wang itu adalah dipertengahan bulan. Maka, tahun ini, dia ingin memastikan cucu-cucunya mempunyai pakaian baharu. Aku bertanya, kenapa tidak meminta agar wang itu diserahkan lebih awal. Dia berkata, dia bimbang, jika umurnya tidak sampai sehingga waktu itu, maka dia tidak mampu menjalankan tugasnya untuk menjaga cucu-cucunya itu nanti.

            Mak cik Rohaya memberitahu sebuah cerita. Ia pernah diceritakan oleh arwah bapanya ketika dia masih kecil. Kisah ini terjadi kepada Khalifah Umar Bin Abdul Aziz. Anaknya bertanya kepada isterinya iaitu Fatimah Binti Abdul Malik, yang mana anaknya inginkan pakaian baharu untuk Hari Raya nanti. Apabila Khalifah Umar kembali ke rumah, isterinya memberitahu permintaan anaknya itu, namun Khalifah Umar berkata dengan jujur, wang yang ada hanya boleh diterima pada bulan hadapan. Isterinya, Fatimah mengerti. Isterinya berkata, dia akan mencuba membeli pakaian yang murah agar anaknya akan gembira mendapat pakaian baharu. Akhirnya, Khalifah Umar bersedih dan bersetuju menulis surat kepada Bendahari meminta supaya gajinya didahulukan sebulan awal supaya dia boleh membelikan sesuatu untuk anaknya sebelum Hari Raya Aidilfitri. Dan Bendahari membalas permintaan Khalifah Umar dan Khalifah Umar menangis ketika membaca surat itu.

            “Amir ul-Mukminin, saya menghormati anda dan saya percaya anda akan patuh sepenuhnya. Walau bagaimanapun, jika anda boleh menjamin kepada saya bahawa anda akan hidup untuk melalui perkhidmatan anda di bulan depan, maka anda layak untuk menerima gaji anda dan saya akan menyerahkannya kepada anda. Jika anda tidak boleh memberi jaminan dalam hidup anda, maka bagaimana perbendaharaan dapat membayar dan kenapa anda mengambil hak golongan miskin, anak yatim dan janda-janda ke bahu anda?”

            Khalifah Umar menyedari kesilapannya. Dan isterinya, Fatimah membasuh pakaian lama. Dan ketika hari raya, Khalifah Umar memberitahu bahawa pakaian lama mereka sangat bersih kerana Tuhan tidak pernah memandang pada pakaian tetapi pada keimanan. Jika kita ingin memiliki pakaian baharu semata-mata untuk keseronokkan, maka kita terlepas akan keseronokan yang kekal dan keselesaan Syurga.

            Disebabkan inilah, dia tidak mahu meminta awal kerana dia bimbang tidak mampu menjalankan amanah untuk menjaga cucu-cucunya nanti. Aku tersedar bahawa aku tidak amanah dengan para pelanggan yang sudah menempah kuih bahulu denganku sebelum ini. Bayangkan, jika Tuhan akan mencabut nyawaku, maka aku sudah tidak mampu melunaskan amanah yang ada di bahuku. Aku sedar yang aku berdosa. Maka aku pun membeli ke semua kuih bahulu Mak cik Rohaya dan mengatakan kepada pelangganku, bahawa kuih bahulu itu telah dibeli daripada Mak cik Rohaya dan memohon maaf kepada mereka. Syukur, mereka menerima kemaafanku.

            Di pagi hari raya, aku pergi ke rumah Mak cik Rohaya dan aku pun menghadiahkan pakaian baharu kepada cucu-cucunya dan juga kepada Mak cik Rohaya. Aku bersyukur, kerana kehadiran Mak cik Rohaya telah menyedarkan kesilapanku.



MAK ASMAH



            Dua tahun lalu, ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri, aku telah mengikuti rombongan Lawatan Ziarah Aidilfitri ke sebuah rumah kenangan yang menempatkan orang-orang tua di salah sebuah negeri di Malaysia. Kedatangan kami disambut mesra oleh pemilik rumah kenangan itu dengan dendangan lagu raya oleh Hail Amir dan Uji Rahsid.

            Di tengah riuh kegembiraan itu, aku melihat seorang ibu yang senyumannya seperti dibuat-buat. Mungkin dia mengharapkan sesuatu yang benar-benar dinantikan. Aku menghampirinya membawa sebiji pinggan berisi lemang, ketupat dan rendang. Aku menyapanya mesra. Dia menyambut sapaanku dengan senyuman.

            Aku memperkenalkan diriku dan dia memberitahu namanya, Mak Asmah. Aku menyerahkan pinggan itu kepadanya dan mengucapkan terima kasih. Aku mula bertanya, kepadanya tentang kesihatan. Aku benar-benar mengatur pertanyaan, kerana aku bimbang, kata-kataku mungkin akan membuatkan dia menangis nanti. Dia memberitahu yang dia sihat dan gembira menerima kehadiran kami di situ hari ini. Aku turut mengatakan bahawa aku juga gembira sekali.

            Aku pun bertanya, berapa lamakah sudah dia tinggal di rumah kenangan ini? Dia menjawab sambil membetulkan ketupat yang ada di dalam pinggan. Resah nadanya. Katanya, dia sudah pun tinggal di sini hampir tujuh tahun. Aku tidak bertanya lagi sebaliknya dia menceritakannya tanpa kuminta. Dia memberitahu, dia ada empat orang anak. Tiga orang lelaki dan seorang perempuan. Ke semuanya sudah berkahwin dan punya keluarga masing-masing. Aku senyap mendengar dan rentak suaranya sudah mula kedengaran sedih.

            Sebelum suaminya meninggal dunia lapan tahun lalu, dia hidup bersama suaminya di kampung. Anak-anak akan datang apabila hari raya. Tetapi selepas suaminya meninggal dunia, dia tinggal dengan anak sulungnya. Tetapi anak sulungnya selalu sahaja pergi ke luar negara kerana urusan kerja. Maka, dia pun tinggal di rumah anak kedua. Namun, dia tidak mahu isteri anaknya itu bising kerananya, maka dia minta untuk tinggal di rumah anak ketiga. Di rumah anak ketiga, dia hidup dalam keadaan baik. Anak perempuannya menjaganya. Tetapi apabila suaminya diberhentikan kerja, maka dia tidak mampu untuk menampung seorang lagi. Maka dia pun tinggal di rumah anak bongsu. Tetapi orang kata, menjaga anak ramai lebih senang berbanding menjaga seorang ibu. Oleh itu, anak-anaknya menghantarnya ke rumah kenangan ini.

            Aku mengerti dengan kesedihan Mak Asmah. Dia merindui anak-anaknya. Dan aku memberanikan diri bertanya, adakah anak-anaknya datang menjenguknya di sini. Kalau dahulu, sebulan sekali tetapi sejak empat tahun yang lalu, datang menjenguk cuma setahun sekali. Itupun sekejap, jawabnya. Mak Asmah sudah mengengsat air matanya. Aku memegang bahunya cuba menenangkannya. Dia akan bersyukur, kalau pun dia akan mati esok, jika anaknya datang beraya dengannya, dia akan mati dalam tenang dan mengampunkan dosa anak-anaknya itu. Teringat dia ketika anak-anaknya masih kecil, mereka semuanya melekat dengan dirinya dan tidak mahu berpisah. Tetapi, sekarang, Tuhan sahaja yang tahu kesedihan dan rindunya itu. Tambah Mak Asmah lagi dengan tangisnya. Aku hanya mampu memeluknya dan cuba mengikhtiarkan sesuatu. InsyaAllah.
           
            Setahun aku berusaha menjejak anak-anak Mak Asmah. Syukur Alhamdulillah, aku berjaya juga menemui mereka dan memberitahu kata terakhir ibu mereka itu. Bahawa ibunya akan mati dalam tenang, jika anaknya merayakan Aidilfitri bersamanya walaupun cuma sekejap dan akan mengampunkan dosa anak-anaknya itu. Hanya kata itu sahaja mampu aku katakan, dan kini terpulanglah kepada anak-anaknya.

            Setelah dua tahun berlalu, aku mengikuti rombongan itu sekali lagi dan kami menziarahi rumah kenangan itu. Aku mencari Mak Asmah dan pegawai di situ berkata, Mak Asmah sudah tidak tinggal lagi di sana. Aku terkejut dan cuba membuangkan fikiran negatif. Pegawai itu menambah, sudah setahun, dia tinggal di rumah anak sulungnya. Dan baharu semalam, Mak Asmah datang ke sini menyambut raya bersama dengan anak-anaknya di sini.

            Aku bersyukur kerana usaha yang tidak seberapa itu telah memberikan sinar baharu kepada Mak Asmah. Kisah ini walaupun hanya keluargaku sahaja yang tahu, namun apabila kukongsikan di sini, semoga akan menjadi teladan kepada anak-anak di luar sana. Percayalah, hati kedua orang tua kita akan gembira dan tenang apabila melihat anak-anaknya di hadapan mata mereka ketika menyambut hari raya. Maka, janganlah dilukai hati orang tua kita kerana merekalah yang telah menjaga kita sejak kecil lagi. Gembirakanlah hati mereka seperti mana mereka telah menggembirakan hati kita, anak-anaknya ini.