SEMUANYA UNTUKMU

SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI MAHARATU RAFIDAH MOHAMAD. SEMOGA GEMBIRA HENDAKNYA DAN SEMUANYA UNTUKMU.

Tuesday 17 February 2015

AKTIVITI BLOG : MENCIPTA LOGO RASMI BLOG MAHARATU

Sebenarnya, aktiviti ini adalah aktiviti mengejut dan tidak terduga. Ia berlaku secara mendadak, apabila Maharatu duduk bersama dengan kengkawan yang semuanya adalah lelaki. hehehehe... tak tahulah kenapa best friend Maharatu semuanya lelaki sejak kat U lagi? Susah nak jelaskan. Kengkawan perempuan memang ada, tapi taklah seakrab dengan mereka-mereka semua ini. Dan waktu kita duduk bersama tempoh hari, hanya dua orang sahaja kengkawan tak join tapi duduk sembang kat Whatsapp, jadi boleh diterima sebagai duduk sama jugalah. Yang sorang duduk kat Jepun dan sorang lagi duduk kat Kuching. Anyway, berbalik kepada aktiviti mengejut dan tidak terduga ini, maka timbullah cerita nak buat logo blog ini. Maharatu kata, tak payahlah, sebab, blog ini jarang sangat nak updated cerita bagai. Tetapi, keinginan dorang yang terlajak laris tuh, so, maka terhasillah, logo-logo yang boleh dikatakan superb dan ada juga yg lucu. Anyway, dalam beberapa logo tersebut, satu telah mendapat undian, dan logo rasmi blog ini akan digunakan apabila ada sesuatu updated nanti. Jom, kita tengok logo-logo tu, macam mana. Nak nilai sendiri pun tak apa...

Logo Pertama dari A.Redha a.k.a Royal Dewana Dewata. (simple dan menarik...)

Logo Kedua dari Mohd Ikhsan Lastprem. (Ramai juga yg dah buat mcam ini, cantik tapi color kuning, tak minatlah... hehehe...)

Logo Ketiga dari Zain A.M a.k.a Love Royal Heaven. (Maharatu tengok, cantik juga yang ini... :))

Logo Keempat dari Bastam a.k.a Love Maharatu FUNclub. (Macam logo kedai butik...)

Logo Kelima dari Richard Jumint. (Akan cantik apabila berada di atas bangunan... heheheh...)

Logo Keenam dari Raymond Annady Jumint Abdullah. (Ni kawan duduk kat Kuching. Tulisan tu, Maharatu suka sangat tetapi kurang warna lah...)

Ah... ini dia yang telah menambat hati semua termasuk Maharatu sendiri. Inilah Logo Rasmi yang menjadi pemenang. Hasil ciptaan Rahim Gochin Abdullah (ni kawan yang duduk kat Jepun.) Kenapa logo ini yang dipilih? Sedangkan ada yang lebih cantik dan lawa. Cuba tengok bentuk bulat kat atas R tu? Itukan simbol rasmi untuk Blogger. So, inikan logo untuk blog, maka kenalah ada titlenya kan. Dan simbol kotak-kotak tu, entah betul ke tak, itu konon adalah tulisan braille (opps, betulkah ejaan tu?). Kemudian logo Blogger tu pula terarah kepada huruf R sebab nama Rafidah. Nama Rafidah adalah nama yang memang wujud dalam kad pengenalan. Inilah beberapa sebab, logo ini berjaya. hehehehe....

Tahniah! Tahniah! Tahniah! kepada kengkawan yang sudi nak buat aktiviti ini dengan diri korang sendiri. Sayangnya, tak ada gambar ketika mereka tengah reka logo ini kan... Ish...ish...ish...

Monday 16 February 2015

PUISI BLOG : POSTER DINDING KOTA oleh MAHARATU RAFIDAH MOHAMAD


Sebuah puisi yang telah menjadi Johan dalam Sayembara Menulis Cerpen dan Puisi 2014 anjuran Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA). Poster Dinding Kota menceritakan tentang nasib kanak-kanak yang hidup di dalam kancah peperangan yang harus menerima perit maung kehidupan dan tidak mampu untuk keluar dari dunia penderitaan yang ditanggung kerana tiada sesiapa yang mahu mendengar dan tidak mungkin dapat membela nasib mereka maka Kau (kanak-kanak) terpaksa merelakannya. Oleh itu, terimalah Puisi POSTER DINDING KOTA.

POSTER DINDING KOTA oleh +Maharatu Rafidah Mohamad


Kau tidak meminta kemuliaan atau air mata
jantung yang bergema ibarat doa untuk mati
sepuluh tahun begitu pantas melepasi sepuluh tahun yang lalu
kautelah menyerahkan senjatamu
kematian yang tidak mengkagumkan mata mereka.

Wajahmu bagaikan poster dinding kota
yang gelap, gelap mengancam
yang berjanggut, berjanggut sebagai malam
dan mereka umpama poster kolam darah
nama-nama yang pekat lidah menyebut
sedangkan temanmu yang lain
menanam rasa takut, lewat yang dalam.

Tiada siapa yang seolah bersedia
melihatmu sebagai perwira hari
orang pergi tanpa melihat walau bayangmu
tapi, bila sahaja perintah berkurung berbunyi
jari kemudian ingkar dan liar
begitu petah menulis di tembok hidup
kau mati untuk mereka
kau mati buat keluarga mereka
kau mati demi sahabat mereka
dan kau mati takkan menghapus dosa mereka.

Dan paginya, tidak kira bila, di mana
suram tetap tidak akan berubah
kau diam dilumur warna merah
kau diam dibasah warna hitam
kau diam kerana suaramu bukan mereka
kejam, diam, kejam, diam, kejam
hanya itu
hanya itu

menghiasi poster dinding kota.

Sunday 8 February 2015

SKRIP DRAMA RADIO : PEMIMPIN KITA ENCIK TUKIMAN oleh MAHARATU RAFIDAH MOHAMAD


Skrip Drama Radio PEMIMPIN KITA ENCIK TUKIMAN telah berjaya mendapat Tempat Ke-2 dalam PERTANDINGAN MENULIS ANTOLOGI PUISI/SAJAK DAN SKRIP DRAMA RADIO anjuran RTM Labuan fm 2014. Di sini Maharatu sertakan skrip drama radio tersebut dan Alhamdulillah, skrip ini berjaya mendapat perhatian.


PEMIMPIN KITA ENCIK TUKIMAN oleh +Maharatu Rafidah Mohamad +Maharatu Rafidah Mohamad


SINOPSIS



Tukiman, seorang pemimpin di tanah kampung yang diterokai oleh bapa dan rakan-rakan bapanya suatu masa dahulu. Tukiman mengalami kemalangan jalan raya dan ketika dia koma, Tukiman bertemu dengan rakan baiknya iaitu Kadir yang telah meninggal dunia enam tahun lalu. Tukiman berasa bangga menjadi seorang pemimpin dan menceritakan kejayaannya itu kepada Kadir tetapi Kadir tidak bersetuju kerana dia bukanlah seorang pemimpin yang benar. Tukiman menyanggah apa yang diperkatakan oleh Kadir itu dan Kadir menerangkan kepadanya, bahawa untuk menjadi seorang pemimpin bukanlah terletak pada kejayaan bangunan tinggi mencakar langit, penduduk yang maju dengan pendidikan, kemudahan dan kewangan tetapi kejayaan seorang pemimpin adalah terletak pada kemajuan sesebuah kaum yang ditegakkan maruahnya di jalan yang benar. Tukiman menyedari kesilapan dan berjanji untuk mengubahnya, kerana selama dia menjadi pemimpin di tanah kampung itu, dia sentiasa sahaja menerima rasuah untuk membantu penduduk yang mahukan pertolongan dan turut memberi rasuah untuk mendapat jawatan sebagai pemimpin tanah kampung tersebut. Akhirnya, Tukiman menyerah diri dan menerima hukuman penjara selama 25 tahun dan denda.



PELAKON



TUKIMAN    Seorang lelaki berusia lingkungan 60-an. Seorang pemimpin di tanah kampung menggantikan bapanya yang telah membuka tanah kampung.

KADIR      Kawan Tukiman. Mereka bersama-sama bekerja menjadi pekerja asing di Arab Saudi. Memiliki suara yang agak parau dan garau.

JOSHUA        Pemaju dan berbangsa Cina.

KAMAL        Pemaju dan berbangsa Melayu. Rakan kepada Joshua.

RAJMI           Pemaju yang baharu bermula. Berbangsa India.

AISAH           Isteri kepada Tukiman. Berbangsa Arab.

ABIDIN         Anak kepada Tukiman dan Aisah.


SKRIP



MUZIK:
(Bunyi angin, hujan, kereta bergerak laju dan bunyi berdentum seperti kereta berlanggar. Kemudian kedengaran siren ambulan.)

TUKIMAN:
Aku datang kepada kamu daripada tahun-tahun yang sangat kering. Di masa lalu.

MUZIK:
(Bunyi angin berdesir kuat dan perlahan.)

TUKIMAN:
Nama aku Tukiman Abu. Ingat akan namaku. Aku tinggal di sebuah kampung di mana terletak warna putih di bawah sinar matahari. Mungkin juga tidak ingat. Tetapi, mungkin kamu ingat tentang isteri saya. Dia seorang gadis yang aku nikahi ketika aku menjadi pekerja asing di Arab Saudi. Namanya Aisah. Dan sebenarnya, aku juga adalah seorang lelaki, lelaki terakhir di dalam keluarga Abu Bin Abi. Orang pertama yang membuka tanah kampung ini.

MUZIK:
(Bunyi angin berdesir kuat dan perlahan.)

TUKIMAN:
Aku dilahirkan semasa Jepun sudah tiba ke tanah ini. Malamnya, orang kampung sibuk bersembunyi, emak sibuk pula nak melahirkan aku. Aku juga tidak tahu, kenapa emak beria benar nak melahirkan aku awal ataupun juga aku memang dah tak sabar nak lahir.

MUZIK:
(Suara anak kecil menangis dan bunyi siren kecemasan perang.)

TUKIMAN:
Bapa waktu itu turut menjaga rumah bersama dengan anak-anak buahnya kerana bapa seorang yang dihormati dan dia juga berasal dari golongan kaya waktu itu. Kerana itulah dia berjaya membuka tanah kampung ini bersama dengan beberapa teman-teman yang lain. Bapa juga seorang yang pemurah dan baik, maka itulah penduduk kampung ketika itu semuanya sayang pada Bapa.
MUZIK:
(Suara menyebut dan menyokong nama Abu Bin Abi.)

TUKIMAN:
Aku punya seorang teman. Namanya Kadir. Dia sebaya dengan aku dan menjadi teman ketika aku menjadi pekerja asing di Arab Saudi beberapa tahun yang lalu. Kadir adalah seorang lelaki kacukan Pakistan. Bapanya penjual kain dari kampung ke kampung dan berkahwin dengan emaknya, si Senah, anak kepada salah seorang teman Bapa.

KADIR:
Tukiman, Bapa aku memang Pakistan, tetapi aku anak jati tanah kampung ini.

TUKIMAN:
Aku tahu kau anak jati tanah kampung ini. Lelaki terakhir sama seperti aku. Lelaki terakhir dari keturunan yang membuka tanah kampung ini.

KADIR:
Maka aku adalah orang seperti kau. Kau jangan salah faham. Pakistan aku punya kad pengenalan. Bapa aku sudah lama menjadi warganegara tanah kampung ini.

TUKIMAN:
Aku berbesar hati mendengar katamu Kadir. India, Cina, apa juga bangsa yang ada di tanah kampung kita ini, adalah warganegara. Mereka bukan warga asing seperti mana kita di Arab Saudi dahulu.

KADIR:
Aku tahu dengan keadaan itu. Kita tidak makan nasi ketika di sana. Mahu jumpa ais batu juga susah. Tetapi apa yang kau jumpa Tukiman? Kau jumpa isteri, Tukiman. Isteri. Kau sebenarnya telah mengkhianati keturunan kita sendiri.

TUKIMAN:
Aku tidak mengkhianati keturunan aku. Jika aku mengkhianati keturunan aku, aku rasa, kau juga sendiri telah lama mengkhianati. Emak kau, Makcik Senah adalah orang pertama yang mengkhianati sumpah sejati tanah kampung ini kerana telah berkahwin dengan seorang lelaki Pakistan, Bapa kau itu.

KADIR:
Jadi kau mahu salahkan jodoh?

TUKIMAN:
Aku tidak mahu menyalah jodoh. Maka isteri aku, Aisah itu adalah jodohku yang salah jika aku tidak menerima qada dan qadar Tuhan. Kerana inilah juga, jangan sama sekali mengatakan kita mengkhianati sumpah sejati tanah kampung ini kerana telah berkahwin tidak sesama bangsa.

KADIR:
Aku berbesar hati mendengar kata kau itu, Tukiman. Tetapi, lihatlah sekarang. Adakah kau masih bersama dengan isteri kau Aisah?

TUKIMAN:
Aku bersama dengan Aisah sudah berpuluh tahun. Hanya hari ini saja aku tidak bersama dengannya. Kau sendiri tahu, kenapa bukan. Aku sudah tua. Tetapi aku mahu kau tahu, bahawa tua-tua aku ini, aku masih hebat menjadi pemimpin.

KADIR:
Pemimpin di usia mudamu? Kau menjadi pemimpin di mana? Bukankah kita berdua menjadi pekerja asing dan terbuang malah tidak memiliki sebarang dokumen ketika bekerja di Arab Saudi? Kita pulang ke tanah kampung ini, genap umur kita 40 tahun.

TUKIMAN:
Ya, memang betul tetapi selepas itu aku menjadi pemimpin menggantikan ketauliahan Bapa.

KADIR:
Jangan bohonglah Tukiman. Aku kenal benar dengan kau. Kita sama-sama membesar. Jika aku ini perempuan, pasti aku ini sudah menjadi isteri kau Tukiman.

TUKIMAN:
Aku kira, engkau tidak mengerti maksud aku apa Kadir. Aku ini seorang pemimpin.

KADIR:
Pemimpin di mana? Di mana?

MUZIK:
(Bunyi angin dan kedengaran suara orang menangis.)

TUKIMAN:
Kadir! Kadir! Kadir!

KADIR:
Aku di sini Tukiman. Aku tidak akan pergi ke mana-mana.

TUKIMAN:
Aku bimbang sebenarnya. Bimbang mengatakan perkara ini.

KADIR:
Tentang apa? Tentang kisah kau menjadi pemimpin yang sebenarnya hanyalah cerita kosong itu.

TUKIMAN:
Itu bukan cerita kosong. Aku adalah seorang pemimpin. Aku adalah lelaki terakhir keturunan tanah kampung, tempat kelahiran kita, Kadir.

KADIR:
Aku mahu bukti Tukiman. Bukti. Apa yang telah kau laksanakan? Mana? Mana buktinya?

TUKIMAN:
Kau ingat dengan berita yang menggemparkan dua tahun lalu. Tentang kebakaran rumah seorang nenek tua. Kau pasti dengan berita ini Kadir.

KADIR:
Aku tahu berita ini. Kasihan pada nenek tua itu. Tetapi apa kaitan cerita itu dengan kau? Kau tiada kaitan dengan nenek tua itu.

TUKIMAN:
Kau mahu bukti Kadir. Aku sudah memberi buktinya kepada kau. Aku yang membantu membina semula rumah nenek tua itu. Aku orangnya. Aku yang memberikan bantuan. Aku bagi wang, aku bagi beras, aku bagi papan, aku bagi zink, aku bagi paku. Malah aku juga mengupah pekerja untuk membina bangun rumah untuknya.

KADIR:
Jadi itu sudah jelas kau menjadi seorang pemimpin? Tidak Tukiman. Tidak.

TUKIMAN:
Apa bukti lagi yang kau mahu Kadir? Kau mesti ingat, kalau dahulu, jalan tanah kampung ini tanah becak. Tempat kita berdua selalu berkubang bila hujan lebat turun. Kau pasti ingat?

KADIR:
Aku ingat Tukiman. Aku ingat.

TUKIMAN:
Dan sekarang, di mana anak-anak kita boleh bermain seperti kita dahulu. Jalan tanah kampung ini sudah aku turap dengan simen. Ia duit aku sendiri. Duit simpanan yang aku simpan ketika kita bersama bekerja di Arab Saudi dahulu.

KADIR:
Belum cukup untuk kau digelar sebagai pemimpin Tukiman. Belum lagi.

TUKIMAN:
Aku fikir, kau tidak faham dengan apa yang cuba aku sampaikan. Aku lelaki terakhir yang akan memimpin tanah kampung tempat kelahiran kita.

KADIR:
Jadi apa yang harus kau lakukan? Cuba terangkan kepada aku. Mungkin aku akan faham.

MUZIK:
(Bunyi angin dan suara hiruk-pikuk seperti di bandar raya.)

TUKIMAN:
Aku telah berusaha membangunkan tanah kampung ini Kadir. Kau sendiri melihat dengan bangunan yang telah pun mencium langit biru itu.

KADIR:
Belum cukup lagi Tukiman. Belum cukup.

MUZIK:
(Bunyi angin dan suara kanak-kanak bermain riang.)

TUKIMAN:
Aku telah berusaha memberikan pendidikan kepada seluruh anak-anak tanah kampung ini. Mereka juga bebas dan riang bersama. Mereka semuanya pintar dan bakal menerajui tanah kampung ini seperti apa yang bapa-bapa kita impikan.

KADIR:
Belum cukup lagi Tukiman. Belum cukup.

MUZIK:
(Bunyi angin dan suara anak-anak muda berbincang tentang kejayaan.)

TUKIMAN:
Cuba tengok, anak-anak muda kita. Mereka semua berjaya dengan kehidupan mereka. Aku telah membantu mereka untuk memulakan perniagaan, memberi mereka rumah yang baharu sahaja berkahwin, aku juga telah memberikan mereka peluang pekerjaan.

KADIR:
Belum cukup lagi Tukiman. Belum cukup.

TUKIMAN:
Belum cukup apa lagi, Kadir. Aku telah memimpin penduduk tanah kampung ini menjadi penduduk yang mempunyai visi, misi dan wawasan. Apa lagi yang belum cukup?

KADIR:
Engkau lupa sesuatu.

TUKIMAN:
Sesuatu?

MUZIK:
(Bunyi angin yang cukup kuat berdesing.)

KADIR:
Tukiman, kau lupa sesuatu yang sangat penting. Kau melupakannya. Ia sangat penting.

TUKIMAN:
Aku tahu akan maksudmu. Aku tahu. Aku juga telah mendirikan sebuah di tanah kampung ini dan beratus lagi di luar sana.

MUZIK:
(Bunyi angin dan kedengaran laungan azan.)

TUKIMAN:
Kau dengar itu? Kau dengar laungan azan itu? Kau dengar Kadir? Dengar?

KADIR:
Aku dengar tetapi adakah kau kira berapa manusia yang menyahut laungan itu? Ada kau kira?

TUKIMAN:
Kadir, aku tidak perlu mengira berapa manusia untuk masuk ke dalamnya? Aku tidak punya hak untuk memaksa mereka.

KADIR:
Itu bererti kau bukan seorang pemimpin. Kau bukan pemimpin Kadir. Bukan.

TUKIMAN:
Aku seorang pemimpin. Aku telah memimpin mereka untuk menjadi penduduk yang berjaya di tanah kampung ini. Aku telah meletakkan mereka di satu aras yang tinggi.

KADIR:
Tetapi tidak di sisiNya. Tidak di sisi Allah swt.

TUKIMAN:
Kadir. Kau jangan cuba untuk memprovokasi aku. Aku seorang manusia dan aku tidak layak untuk memaksa manusia lain untuk menuruti segala arahanku.

KADIR:
Bukankah kau seorang pemimpin?

TUKIMAN:
Ya, aku seorang pemimpin.

KADIR:
Apakah peranan seorang pemimpin?

TUKIMAN:
Peranan? Aku tidak perlu menjelaskan apa peranan seorang pemimpin. Aku telah melihatkan semua buktinya kepada kau. Lihat. Lihat Kadir.

KADIR:
Kau lupa Tukiman. Seorang pemimpin yang sejati adalah pemimpin yang membawa seluruh manusia yang dipimpinnya ke jalan yang benar. Ke jalan yang satu. Jalan Allah.

TUKIMAN:
Aku memberikan kebebasan kepada semua untuk beragama. Aku tidak layak untuk memaksa mereka untuk turut serta ke jalan itu. Aku tidak berhak.
KADIR:
Tetapi kau seorang pemimpin. Kau seorang pemimpin Tukiman.

TUKIMAN:
Ya, aku memang seorang pemimpin.

KADIR:
Apa usahamu untuk membawa mereka yang kau pimpin kembali ke jalan yang satu?

TUKIMAN:
Kadir, aku sudah katakan, aku tidak berhak untuk memaksa mereka.

KADIR:
Maka, kau bukan seorang pemimpin, Tukiman.

TUKIMAN:
Aku seorang pemimpin. Aku seorang pemimpin.

MUZIK:
(Bunyi angin dan suara menyebut Aku Seorang Pemimpin berulangkali kedengaran.)

KADIR:
Kau bukan seorang pemimpin. Kau bukan seorang pemimpin.

MUZIK:
(Bunyi angin dan suara menyebut Kau Bukan Seorang Pemimpin berulangkali kedengaran.)

TUKIMAN:
Aku mengaku kalah. Katakan kepada aku, apakah caranya untuk aku mengubah diri dari seorang bukan pemimpin menjadi seorang pemimpin.

MUZIK:
(Bunyi angin dan suara seruling sayup-sayup kedengaran.)

KADIR:
Kebebasan kaum diperdagangkan untuk selendang kesenangan. Kita semua buta. Dan aku juga sama.

TUKIMAN:
Aku mengerti maksudmu, Kadir. Aku meletakkan maruah kaum kita untuk kesenangan. Aku lupa asal usul.

KADIR:
Aku lupa siapa kaumku. Aku mengambil maruah mereka untuk kesenangan aku di dunia. Aku meletakkan mereka di satu tempat yang agak biadap dan aku kini turut sama merasai sengsara mereka, Tukiman.

TUKIMAN:
Ya, aku mengerti maksudmu. Kaum tanah kampung ini sudah tidak sehaluan.

KADIR:
Ada yang bermuka-muka, ada yang acuh tak acuh dan ada juga menjadi kaki fitnah. Dilakukan untuk kesenangan diri sendiri.

TUKIMAN:
Aku telah memaksa kaum tanah kampung ini melakukan sesuatu yang bukan mereka mahukan. Tetapi apabila aku menaburkan mereka dengan wang, mereka pasti akan menurut. Wang...

KADIR:
Ya, wang adalah tuhan di tanah kampung ini. Wang telah memusnahkan kau sendiri, Tukiman.

TUKIMAN:
Ya, wang. Aku telah menaburkan wang kepada kaum tanah tampung ini. Aku kaburkan mata mereka dengan wang yang aku beri. Aku bukan seorang pemimpin yang sejati.

MUZIK:
(Bunyi angin dan bunyi seperti sedang berperang.)

JOSHUA:
Aku tak perlu isi borang tender, pemimpin kita Encik Tukiman dengan senang hati akan beri projek itu dengan aku.

KAMAL:
Projek menurap tanah menjadi jalan telah ada dalam genggaman tangan aku, Joshua.

JOSHUA:
Aku tahulah. Kau juga rakan rapat dengan pemimpin kita Encik Tukiman itu.

KAMAL:
Sesiapa yang sudi menurut kehendak dan syarat-syarat pemimpin kita Encik Tukiman itu, pasti boleh dapat projek. Mudah. Sekelip mata kita semua senang.

RAJMI:
Kamal, Joshua, aku dengar kamu berdua sudah dapat projek ribu-ribu. Wah, hebatlah kamu. Macam mana boleh dapat?

JOSHUA:
Kau usahawan baharu Rajmi. Kalau mahu dapat projek ribu-ribu, kau mesti kenal siapa pemimpin kita Encik Tukiman.

RAJMI:
Pemimpin kita Encik Tukiman?

KAMAL:
Ya, pemimpin kita Encik Tukiman. Dia adalah salah seorang anak peneroka tanah kampung ini. Tukiman Bin Abu.

RAJMI:
Apa hebatnya pemimpin kita Encik Tukiman itu?
JOSHUA:
Lihat sahaja dengan kami berdua. Mana-mana projek, kami dapat. Asal ada fulus... Fulus...

RAJMI:
Fulus? Maksud kamu wang?

KAMAL:
Ya, Rajmi. Wang. Wang adalah Tuhan di tanah kampung ini. Kalau kamu mahu berjaya seperti kami berdua, kamu kena berkorban. Benda ini mudah sahaja. Senang macam kacang.

RAJMI:
Kalau aku boleh kaya dan dapat projek sana-sini, aku juga mahu.

JOSHUA:
Begitulah kawan.

MUZIK:
(Bunyi angin dan kedengaran suara menangis.)

TUKIMAN:
Aku bukan pemimpin. Aku memang majukan kaum tanah kampung ini tetapi aku telah musnahkan maruah mereka.

KADIR:
Jika benar kau tiada hak ke atas jalan hidup mereka, tetapi kau punya hak untuk membetulkan jalan hidup keluargamu.

TUKIMAN:
Jalan hidup keluargaku? Kadir, apa maksudmu?

MUZIK:
(Bunyi angin dan suara bingit lagu seperti di kelab malam.)

KADIR:
Inilah yang telah kau letakkan kepada seluruh ahli keluargamu, Tukiman. Kau terlalu mengejar dunia ini sehingga kau lalai untuk menjadi pemimpin mereka di akhirat nanti. Lihat anak lelakimu yang akan menjadi pemberi doa di saat kematianmu nanti.

TUKIMAN:
Abidin... Abidin... Abidin...

ABIDIN:
Oh, Bapa. Mari, sama-sama dengan saya. Bukankah ini yang Bapa suka. Dunia ini memang seronok. Seronok.

TUKIMAN:
Abidin, pergi dari sini. Pulang! Pulang!

ABIDIN:
Saya tidak mahu pulang, Bapa. Majlis ini baharu sahaja bermula.

TUKIMAN:
Abidin, pulang!

ABIDIN:
Saya tidak mahu pulang, Bapa. Ini dunia yang Bapa ajar kepada kami selama 20 tahun ini. Inilah keseronokkan kami, anak-anak Bapa.

TUKIMAN:
Bapa tidak pernah mengajar kamu semua jadi begini.

ABIDIN:
Bapa jangan berbohong. Ini kenyataan. Siapa orang pertama yang membawa saya ke kelab malam ini kalau bukan Bapa? Bapa kata, untuk merai kejayaan saya. Ah, masa itu umur saya baharu sahaja 13 tahun. Lulus UPSR, Bapa.

TUKIMAN:
Bapa kata pulang!

ABIDIN:
Tidak! Saya tidak mahu pulang. Ini dunia saya. Saya akan pulang sekiranya Bapa mampu mencari jalan pulang itu nanti.

MUZIK:
(Bunyi angin, suara ketawa Abidin dan suara menangis kedengaran lagi.)

KADIR:
Adakah kau masih menggelar dirimu sebagai pemimpin?

TUKIMAN:
Aku masih seorang pemimpin Kadir. Pemimpin yang teruk. Engkau mahu tahu sesuatu...

KADIR:
Sesuatu?

TUKIMAN:
Ketika aku mencalonkan diri menjadi seorang pemimpin, aku telah menipu dengan menaburkan wang ringgit kepada mereka semua.

KADIR:
Aku tahu Tukiman. Aku tahu. Aku adalah rakanmu.

TUKIMAN:
Jika kau adalah rakanku, apa yang perlu aku lakukan?

KADIR:
Bagaimana kalau aku katakan, kau sudah terlambat untuk mengubahnya?

TUKIMAN:
Tidak. Aku tidak terlambat. Aku masih ada waktu. Tolong aku untuk mengubahnya.
KADIR:
Kau kenal aku. Aku adalah rakanmu. Susah senang kita bersama. Adakah kau tidak ingat, di mana aku sekarang berada?

TUKIMAN:
Kadir... Kadir... Jangan kau kata, bahawa aku...

KADIR:
Ya, kau bersama dengan aku.

TUKIMAN:
Aku sudah mati?

KADIR:
Ya.

TUKIMAN:
Tidak... Aku belum mati lagi. Dan aku tak boleh mati. Aku perlu mengubah apa yang telah berlaku. Aku harus hidup! Aku mesti hidup, Kadir!

KADIR:
Kau boleh hidup jika kau berjanji.

TUKIMAN:
Aku berjanji. Aku bersumpah akan kembalikan maruah kaum tanah kampung ini kembali kepada jalan yang benar. Aku akan menjadi seorang pemimpin yang benar.

KADIR:
Jika kau ingin menjadi seorang pemimpin yang benar, kau harus kembali ke jalan yang benar itu semula.

TUKIMAN:
Ya, aku akan kembali ke jalan yang benar. Tuhan tidak akan membiarkan manusia seperti aku untuk tidak bertaubat. Aku berjanji. Berjanji.
KADIR:
Kau akan kembali setelah mendengar laungan azan itu.

MUZIK:
(Bunyi angin, laungan azan dan suara Tukiman menjerit memanggil nama Kadir.)

AISAH:
Bang... Bang...

TUKIMAN:
Aisah... Mana Kadir? Abang di mana?

AISAH:
Abang di hospital kerana kemalangan. Syukur Abang selamat.

TUKIMAN:
Mana Kadir?

AISAH:
Abang... Abang Kadir dah enam tahun meninggal dunia. Kenapa?

TUKIMAN:
Mana anak-anak kita? Abidin?

AISAH:
Mereka semua baharu sahaja balik. Kenapa?

TUKIMAN:
Aisah, Abang bersalah. Selama ini Abang banyak berbuat dosa. Abang telah musnahkan maruah kaum tanah kampung ini. Abang berdosa.

JOSHUA:
Wah, nasib baik pemimpin kita Encik Tukiman selamat.

KAMAL:
Ya, dia selamat. Alhamdulillah.

RAJMI:
Ya, satu keajaiban. Ini bererti Tuhan masih mahu pemimpin kita Encik Tukiman berbakti kepada kita semua.

TUKIMAN:
Ya, Tuhan masih mahu aku hidup. Hidup untuk kembali ke jalan yang benar.

JOSHUA:
Jalan yang benar? Kenapa selama ini pemimpin kita Encik Tukiman berada di jalan salah? Oh, mungkin kerana kemalangan sebentar tadi agaknya.

KAMAL:
Pemimpin kita Encik Tukiman harus berehat.

TUKIMAN:
Tidak. Aku tidak akan melakukannya lagi. Aku harus berhenti.

MUZIK:
(Bunyi angin dan kedengaran suara riuh-rendah.)

HAKIM MAHKAMAH:
Dengan ini, mahkamah memutuskan Tukiman bin Abu bersalah atas tuduhan menerima dan memberi rasuah sejak tertuduh bergelar pemimpin untuk tanah kampung ini dan akan menjalani hukuman penjara selama 25 tahun dan denda lima kali ganda suapan yang diterima menurut Seksyen 16 & 17 (a) dan (b), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

MUZIK:

(Kedengaran bunyi ketuk dan bunyi angin berdesir semakin perlahan.)