ANTOLOGI CERPEN PENULISAN DAKWAH BIRU LANGIT ITU terbitan YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH MALAYSIA (YADIM)
Daripada dedikasi Yayasan
Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang berani menganjur sebuah Pertandingan
Penulisan Cerpen “Menjejak Cinta” yang diadakan pada tahun 2014, dengan bertujuan
mengambil peluang mengangkat mesej dakwah melalui mata pena yang mampu menjadi
medium dalam mendidik jiwa insan melalui penulisan yang berhemah dan
bertanggungjawab, telah menerima penyertaan sebanyak 347, lalu disenaraipendek
menjadi 159 penyertaan, akhirnya 25 buah penyertaan telah mematuhi garis
piawaian utama dengan mengambil kira keseimbangan dalam konteks pembinaan
sebuah cerpen yang baik, berlandaskan unsur asas serta memiliki kekuatan yang
tersendiri serta tidak terpisah di antara satu dengan yang lain. Maka dengan
menghimpunkan 25 buah penyertaan iaitu cerpen, maka lahirnya sebuah antologi
yang bertajuk Biru Langit itu.
Salah satu cerpen di antara 25 buah
itu, termasuk cerpen Maharatu sendiri yang bertajuk Hati. Syukur Alhamdulillah,
kerana percubaan kali ini berjaya dan mendapat hadiah saguhati. Pemenang
pertandingan kali ini telah dimenangi oleh Muhammad Ghazali Mohd. Ros dengan
tajuk cerpennya, Cinta Dalam Lipatan Dakwah Kita. Tempat kedua pula dimenangi
cerpen Biru Langit Itu oleh Siti Nazurah Mohd Kamel dan tempat ketiga oleh Siti
Rahmah Mokhtaruddin dengan cerpen bertajuk Hadiah. Tahniah diucapkan kepada
semua pemenang dan pertemuan di dalam Biru Langit Itu bukan sahaja telah
memberikan satu impak yang baik tetapi juga telah mempertemukan Maharatu dengan
silaturrahim bersama dengan rakan-rakan penulis yang lain. Salam perkenalan
Maharatu ucapkan.
Maharatu telah pun selesai membaca
Biru Langit Itu dan seperti biasa, Maharatu akan memberikan ulasan setiap buku
yang Maharatu baca. Tetapi kali ini, ulasan selaku pembaca, Maharatu muatkan ke
dalam blog agar, rakan-rakan dapat membacanya secara percuma, kerana
sebelumnya, kalau nak baca ulasan Maharatu kena bayar… hahahaha… Untuk
pengetahuan semua, ulasan ini adalah berlandaskan pemikiran seorang pembanulis
(nama reka sendiri okey, tak ada dalam kamus…) yang bermaksud (sendiri juga
yang beri maksud ini…) pembaca dan penulis. Maka, Maharatu turut memberikan
ulasan, Penulis Seharusnya dot dot dot dalam ulasan ringkas ini. Maka, Maharatu
telah memberikan senarai pendek ulasan terhadap 24 buah cerpen dalam Biru
Langit itu.
Oopppsss… 24? Kenapa tidak 25 buah?
Okey, takkanlah Maharatu nak ulas cerpen sendiri kan… Nanti ada pula yang kata,
angkat bakul sendiri. Maharatu harap, Maharatu akan dapat 24 kritikan dan
ulasan pula dari rakan-rakan yang ada di dalam Biru Langit itu ataupun juga
yang telah membelinya. Emm… tentang membeli buku Biru Langit Itu, susah sikit
nak jelaskan caranya. Mungkin, anda semua boleh merujuk kepada pihak YADIM
mengenainya.
Baiklah, di bawah ini, diberikan
Ulasan Ringkas Biru Langit Itu. Dan sekali lagi, ulasan ini bukanlah ulasan selaku pengulas atau pengkritik tetapi selaku pembaca yang mana adalah juga seorang penulis. Terima kasih… Jumpa lagi… Assalammualaikum dan tahniah kepada rakan-rakan Maharatu dalam Biru Langit Itu.
HIMPUNAN 25 CERPEN BIRU LANGIT ITU
ULASAN RINGKAS ANTOLOGI
CERPEN
BIRU LANGIT ITU
“Cintakan isteri dan takutkan
bini dua benda berbeza …”
PAKSI CINTA oleh A.UBAIDILLAH
ALIAS, menceritakan perbualan dua hala antara Ustaz Kauthar dan Lebai Samad
di warung Pak Kamel. Lebai Samad menegur Ustaz Kauthar yang sering ke pasar
membeli barang dapur sebagai takut kepada isteri disangkal oleh Ustaz Kauthar
bahawa apa yang dilakukan adalah sebagai meringankan tugas isterinya, Rogayah
yang mana pernah diinginkan oleh Lebai Samad sebelum ini. Lebai Samad yang
mempunyai dua orang isteri itu turut menyangkal kata Ustaz Kauthar, bahawa
tugas-tugas itu seharusnya dilakukan para isteri kerana tugas suami adalah
mencari nafkah keluarga. Tetapi Ustaz Kauthar tetap mempertahankan pandangannya
bahawa, berpoligami sememang adalah sunnah Nabi namun terlalu ramai terlupa,
bahawa Rasulullah saw juga berpoligami tetapi Baginda tetap membantu para
isterinya dengan meringankan tugas dan ini juga boleh diterima sebagai sifat
Rasulullah saw yang harus dicontohi oleh para suami. Malah, tindakan seorang
suami yang membantu dan meringankan tugas isteri, akan menambahkan lagi ikatan
cinta dan harmoni di dalam hubungan suami isteri.
Penulis berani menyatakan pendapat
peribadi dirinya terhadap isu poligami yang menjadi isu tarikan dalam
perkahwinan tetapi tidak mengendahkan tugas sebenar seorang suami dalam memupuk
semangat harmoni dalam berumahtangga. Penceritaan dan gaya bahasa yang
digunakan mudah dan sangat difahami. Latar masa yang digunakan hanyalah satu
hala sahaja, tiada imbas kembali. Cerita ini jelas mendatar kerana tiada puncak
klimaks yang mampu memancing para pembaca untuk mengetahui apakah kesudahannya
kerana, para pembaca pasti dapat membayangkan kesudahan ceritanya. Sikap yang
ditunjukkan oleh Ustaz Kauthar juga sangat bertentangan dengan sikap seorang
ustaz yang seharusnya memberikan hujah dengan bahasa yang lebih memujuk dan
bukan menunjukkan bahawa, apa yang dia lakukan adalah betul dan menyatakan
tindakan Lebai Samad adalah salah 100 %.
Seharusnya, penulis harus meletakkan
Ustaz Kauthar pada seorang lelaki yang bersikap berkecuali dan memujuk Lebai
Samad agar lebih memahami tugas yang harus dititikberatkan oleh seorang suami
terhadap isteri. Dan Ustaz Kauthar juga sendiri seperti meletakkan dirinya,
bahawa, dialah yang betul di dalam perbualannya dengan Lebai Samad.
“Jadilah seperti dandelion,
terokailah dunia untuk mencari tujuan hidup …”
DANDELION oleh AMIRUL IQMAL RAZLAN
mengisahkan watak Aku yang mengalami masalah kecelaruan hidup membuatkan dia
terdampar di sebuah taman yang ada di Dublin. Dalam keresahan yang melanda
dirinya, dia disapa oleh seorang lelaki tua yang disebut sebagai orang tua.
Orang tua itu seakan mengerti dengan apa yang berlaku kepada dirinya. Orang tua
itu mula menasihatinya dengan mengambil contoh bunga dandelion kepadanya. Orang
tua itu mengatakan, benih bunga dandelion ini akan pergi ke mana sahaja
mengikuti arah angina yang akan menerbangkan mereka, sama seperti manusia juga.
Namun, perjalanan bunga dandelion itu akan tiba di tempat yang sama, seperti
kehidupan seorang manusia yang harus berpaksikan kepada Tuhan yang Esa iaitu
Allah swt. Nasihat orang tua yang tidak dikenalinya itu membuatkan Aku
menyedari bahawa dia sudah jauh menyimpang dari agamanya dan juga sudah terlupa
dengan segala pesanan Bonda dan keluarganya. Aku akhirnya insaf dan kembali ke
pangkal jalan.
Menggunakan gaya bahasa yang
ringkas, mudah dan sangat difahami. Penulis menggunakan watak ‘Aku’ supaya
penulis dapat menjelaskan watak itu dengan lebih meluas namun penulis
meletakkan dirinya, pada sudut pandangan terbatas pada watak orang tua cuba
mengurangkan huraian tentang orang tua dengan hanya mengangkat hujah-hujahnya
sahaja. Tujuan ini dilakukan, supaya, penulis dapat meletakkan satu tanda, di
situlah mesej dan pengajaran dalam cerita ini. Hanya menggunakan satu aliran
latar masa yang mendatar, tiada klimaks dan peleraian yang sangat mudah.
Kecelaruan gaya bahasa yang
digunakan juga jelas terlihat dalam dialog, Aku dan Orang Tua. Aku adalah orang
Malaysia yang sudah terbawa-bawa dengan budaya Ireland, seharusnya lebih
menggunakan bahasa yang lebih moden atau bercampur-aduk. Manakala, Orang Tua
yang dikatakan berasal dari Indonesia seharusnya lebih menggunakan Bahasa
Melayu Indonesia yang lebih pekat. Sekiranya, mengangkat dandelion sebagai
watak utama, Aku seharusnya lebih mengetahui, akan kewujudan dandelion kerana
dia adalah seorang pelajar dalam urusan kedoktoran, seharusnya, dia boleh
memberikan fakta di dalam sains dan Orang Tua itu pula menyatakan dandelion itu
dari sudut pengamatan kehidupan.
“Adik, kan Tuhan yang cipta.
…”
ADIK SAYANG TUHAN oleh AZAH
NAHFUZAH MOHD. SHUKOR mengisahkan sebuah Kisah, Nami yang meminta kepada
ibunya, Puan Alijah seorang peniaga pisang goreng untuk memakai tudung ketika
membantu ibunya berniaga. Namun Nami menyatakan kepada ibunya bahawa dia tidak
mampu untuk memakai tudung lagi kerana panas. Nami memberikan banyak alasan,
namun Puan Alijah tetap menyatakan, bahawa jika Nami sayangkan Tuhan, Nami
harus menuruti segala ajaran Tuhan. Akhirnya, Nami berjaya juga memakai tudung
pada hari itu walaupun diberikan dengan pelbagai dugaan.
Sebuah cerita yang sangat menarik,
menggunakan bahasa yang mudah difahami. Memberikan nilai dan pengajaran secara
terus dan dapat diterima oleh pembaca dengan mudah akan maksud penceritaan. Plot
dengan satu latar masa yang sangat mendatar. Tiada klimaks atau unsur dramatik
yang berlaku. Usia Nami juga tidak diperjelaskan membuatkan pembaca
tertanya-tanya, berapakah usia Nami di dalam cerita ini.
Seharusnya, penulis lebih peka
terhadap dan watak dan perwatakan yang diwujudkan di dalam sesebuah karya
kerana keadaan ini boleh mengakibatkan pembaca terasa seperti tidak mahu
meneruskan membaca kerana diberikan satu persoalan yang tidak diberikan jawapan
sehingga di akhir cerita, dan pembaca juga dapat meneka kesudahan cerita
tersebut kerana perkataan diulang-ulang yang dituturkan oleh Puan Alijah dalam
memujuk Nami agar tidak membuka tudung tanpa penekanan tujuan, seperti telah
menolak penulis keluar dari cerita yang dihasilkan sendiri. Seharusnya, penulis
harus lebih kuat sekiranya, mahu menggunakan teknik pengulangan ilmu dengan
memberikan lagi hujah-hujah ilmu bantu yang sangat kukuh.
“Anak-anakku sayang, nantikan
mak di syurga ya, nak …”
ISTIKHARAH CINTA oleh BADARIAH
ARBIN mengisahkan tentang ketabahan Fatimah saat menghadapi kejadian
kehilangan dua orang anaknya yang dibadai oleh kepala air ketika mereka
sekeluarga sedang berkelah. Aidil dan Aiman, kedua orang anaknya lemas di dalam
kejadian itu. Fatimah berdoa kepada Tuhan agar kedua orang anaknya itu ditemui
dan menyedari bahawa kekuasaan Tuhan itu melebihi dari segalanya. Akhirnya,
Aidil dan Aiman diketemukan juga.
Bahasa yang digunakan sangat menarik
dan menyentuh hati pembaca. Penulis berjaya mengawal emosi pembaca dan turut
merasakan kehilangan sepanjang membacanya. Cerita yang ringkas namun menarik
pembaca untuk membaca sehingga akhir untuk mengetahui apakah kesudahannya.
Plot teratur, diselang-seli dengan
plot imbas kembali yang tidak ketara. Sudut pandangan yang digunakan
benar-benar memahami watak utama Fatimah namun, kekurangan dari sudut emosi dan
juga kata-kata mengakibatkan watak utama Fatimah itu semacam tidak mengenali
watak anak-anaknya sendiri. Penulis seharusnya memberikan sesuatu yang menjadi
ingatan kekal kepada Fatimah terhadap kedua orang anaknya yang lemas itu dan
diangkat sebagai satu tanda, bahawa penulis cukup mengenali Fatimah itu
sendiri, bukan sahaja dari segi hati, perasaan, akal fikiran tetapi segala-gala
kewujudan yang ada di sekeliling Fatimah. Unsur dramatik yang kurang jelas
kerana kekurangan penceritaan tentang struktur kejadian kepala air itu
membuatkan, pembaca seperti kabur terhadap situasi tersebut ataupun seolah-olah
Fatimah seperti tidak berada di tempat kejadian.
“Adakah anak Pak Cik pernah
menjadi penderma jantungnya kepada orang lain? …”
HIDAYAH oleh FATIMAH HASSAN, sebuah
kisah seorang lelaki yang bernama David sering dihantui oleh mimpi. Mimpi di
mana seorang lelaki itu datang menemuinya. David cuba merungkai misteri
mimpinya itu setelah menerima alamat sebuah kampung yang diperolehnya dari
mimpi itu juga. Tanpa diduga, dia akhirnya bertemu dengan Lebai Hasan yang mana
anaknya Syafiq adalah orang yang telah menjadi penderma organ. David yang
menerima jantung tiga bulan yang lalu menyedari bahawa jantung itu adalah
jantung Syafiq anak kepada Lebai Hasan yang menghidap penyakit kanser. David
adalah seorang penganut atheis akhirnya mempercayai akan kewujudan Tuhan lalu
memeluk Islam dengan bantuan Lebai Hasan.
Bahasa ringkas yang mudah difahami.
Cerita juga ringkas sedikit menarik minat pembaca untuk mengetahui, apakah
kaitan antara David dan Syafiq serta mimpi yang dialami oleh David tersebut. Plot
yang mendatar, tiada kesan dramatik dan juga penulis tidak menyeimbangkan sudut
pandangan kerana penulis terlalu terbatas terhadap pergerakan watak dan
perwatakan seperti David, Syafiq dan juga Lebai Hasan. Mungkin juga, penulis
seperti telah memotong-motong cerita mengakibatkan jalan cerita itu seperti
tersekat-sekat dan ia sebenarnya boleh diatur dengan kemas, apabila watak David
dan Syafiq disatukan seperti David dan Syafiq itu adalah orang yang sama, namun
hakikatnya, David hanya disatukan dengan Syafiq melalui jantung tersebut. Malah
David seharusnya seperti cukup mengenali Lebai Hasan, itu akan membuatkan
cerita ini akan dapat dikembangkan dengan lebih baik.
“Jangan terlalu mudah
menghukum, Zam. Lebih-lebih lagi berdasarkan pandangan luaran sahaja …”
HIJRAH ROHA ROHAYA oleh HASLAMIZAN
MALIKI adalah sebuah kisah ingatan ‘imbas kembali’ Rohaya dan juga Azam.
Tentang masalah kecelaruan identiti jantina. Rohaya yang berwatakan seperti
lelaki itu bekerja sebagai pemandu bas yang sering ditumpangi oleh Azam. Dari
situlah Azam menjadi teman rapat kepada Rohaya. Di dalam imbas kembali itu,
terjadi perbualan antara Rohaya dan Azam mengenai pendapat mereka tentang
kecelaruan identity jantina tersebut. Banyak fakta-fakta nyata dimasukkan
menjadi bahan dialog di antara mereka berdua.
Menggunakan gaya bahasa yang sangat
menarik, kemas dan teratur. Fakta-fakta yang diberikan sangat berkesan sebagai
bahan bukti antara dua pendapat, Rohaya dan Azam. Cerita juga sangat menarik,
ada isu yang boleh diangkat untuk santapan mesej dan pengajaran kepada pembaca.
Teknik imbas kembali yang digunakan bagus namun telah mengelirukan kepada
pembaca. Adakah imbas kembali itu digunakan untuk watak Rohaya atau Azam? Watak
Azam juga tidak kelihatan kemas dalam penceritaan membuatkan sedikit
kecelaruan, adakah Azam itu seorang guru atau pelajar? Adakah perbualan antara
Rohaya dan Azam di sepanjang cerita itu, adalah imbas kembali oleh Rohaya dan
Azam telah membuatkan teknik itu tidak usai digunakan. Seharusnya, penulis
harus mengatur teknik ini dengan kemas dan cuba mengangkat satu watak yang
mengimbas ke semua kejadian agar penceritaan itu akan lebih tampak suasananya.
“Aku amat bersetuju dan
bersedia syahid! …”
HELAH DUNIA oleh KHAIRUL
ADLI ABDULLAH, adalah mengenai kisah sekumpulan Fathul Ummah yang
dianggotai oleh Ahmad, Daud dan Salahuddin sebagai penentang tegar Israel.
Mereka bertiga sebagai pencetus Pemula Robot sebenarnya adalah ejen untuk
membantu pihak Palestin dan juga Gaza dalam menentang kezaliman pihak Israel.
Peralatan yang digunakan juga sangat unik kerana mereka bertiga memiliki kepintaran
mereka masing-masing. Misi mereka adalah untuk menyelamatkan saintis Palestin
yang disembunyikan oleh Ejen Mossad dan misi mereka berjaya. Pemula Robot yang
digunakan untuk membantu OKU telah berjaya diterima oleh Nippon Robot yang
bertempat di Jepun. Di akhir cerita, mereka dituduh sebagai ejen pengganas dan
mereka menyiasat, siapakah yang telah menyebarkan tohmahan tersebut.
Kisah futuristik yang sangat baik.
Tahun 2097 diambil sebagai latar masa yang sangat menarik, ditambah dengan
penjelasan peralatan canggih yang sangat hebat. Kesan dramatik dalam
insiden-insiden juga sangat jelas dan menarik untuk mengetahui, apakah
kesudahannya.
Latar masa yang digunakan membuatkan
cerita ini mengalami kekeliruan situasi. Tahun 2097 menjadi tahun yang diangkat
di dalam cerita namun segala kejadian yang berlaku, adalah kejadian yang
berlaku pada masa kini. Malah, terlalu mustahil, isu yang ada pada masa kini
akan terus berlaku sehingga tahun 2097. Kewujudan saintis Palestin telah
merosakkan keadaan tentang pergolakan yang berlaku di Palestin dan juga Gaza. Seharusnya
pergolakan peperangan tersebut telah berjaya diatasi. Malah tahun 2097,
seharusnya, Malaysia sudah memiliki satu syarikat besar yang mampu mengeluarkan
peralatan robotik yang sangat canggih dan tidak perlu lagi untuk bekerjasama
dengan pihak luar. Mungkin, sekiranya ingin memperlihatkan situasi kerjasama
itu, bukanlah lebih baik, pihak Palestin itu bekerjasama dengan pihak Malaysia,
dan misi untuk menyelamatkan saintis Palestin itu digunakan dalam misi kumpulan
Fathul Ummah. Dan di sinilah, unsur futuristik itu dapat diangkat dengan
sempurna.
Aku yakin, Allah adalah
satu-satunya tempat yang selayaknya untuk aku bersandar …
WILONA oleh LATIFAH RABBANIAH
JAMALUDIN, sebuah kisah mengenai Aku, Mary Beth yang menceritakan tentang
kehidupannya yang tinggal di Kota Paris. Mary Beth mengahwini Seth dan
diberikan seorang anak bernama Wilona. Wilona tidak mampu mendengar dengan
sempurna, maka Mary Beth dan Seth memberikan bantuan alat pendengaran dan tidak
pernah menganggap Wilona, anak mereka itu mengalami kecacatan pendengaran.
Namun, mereka tidak pernah menduga, bahawa Wilona juga turut menghidapi masalah
transgender yang mana, Wilona lebih menyukai perwatakan seorang lelaki. Seth
akhirnya memeluk agama Islam sebelum Seth meninggal dunia. Mary Beth pula
berusaha mencari dirinya sendiri dengan pembentukan perubahan watak pada diri
Wilona. Wilona akhirnya menghembuskan nafasnya setelah selesai menjalani
pembedahan kanser. Kematian Wilona bukanlah terjadi dari atas faktor kesihatan
dan penyakit yang dihadapi oleh anaknya itu. Akhirnya, Mary Beth juga memeluk
Islam dengan nama baharunya, Aminah dan Wilona sangat bersyukur mempunyai
seorang ibu seperti Mary Beth.
Cerpen ini adalah sebuah cerpen berbentuk
monolog. Aku atau Mary Beth sebagai pencerita terhadap kisah yang dilaluinya.
Menggunakan hanya satu teknik cuba mendekatkan pendekatan cerita secara terus,
memudahkan para pembaca mengetahui, apakah tujuan sebenar, kisah ini digarap.
Menggunakan bahasa yang mudah dan menarik.
Plot yang digunakan sangat mendatar,
tidak ada dataran klimaks. Watak Mary Beth yang digunakan sebagai perkataan
‘Aku’ sangat terbatas perilakunya. Penulis seperti tidak mengetahui, apakah
yang berlaku di sekelilinginya, tidak memahami watak-watak yang ada, dan Mary
Beth juga dalam keadaan yang sangat kaku kerana tidak menjelaskan keseluruhan
apa yang dialaminya. Seharusnya, penulis yang menggunakan teknik cerpen monolog
ini, watak yang wujud di dalam cerita, sebenarnya adalah diri penulis itu
sendiri. Sekiranya, kaedah ini dipergunakan oleh penulis, maka watak Mary Beth
itu akan lebih nampak kemas dan terjalin pada pengolahan hati, perasaan,
pemikiran dan sekeliling.
“Abang. Lagu apakah yang
abang alunkan ini? Sunggu syahdu …”
KELIBAT MUSAFIR DELNIAS II oleh MUHAMAD
FITRI ABU BAKAR adalah sebuah kisah perjalanan Mirwan bersama dengan Ud
miliknya. Perjalanan Mirwan diteruskan setelah melewati Kampung Semu. Mirwan
akhirnya tiba di sebuah Kampung Berembang. Di sana, Mirwan dapat memperlihatkan
kehidupan masyarakat kampung yang bersifat kasar dan tidak memperdulikan antara
satu sama lain. Mirwan bertemu dengan Hatif, seorang kanak-kanak pengemis.
Hatif memberitahu bahawa kampung mereka tidak mempunyai penghulu tetapi Tuan
Tanah bernama Tuan David Al-Gorskey. Mirwan menyampaikan dakwahnya melalui
petikan ud yang sentiasa dibawanya bersama dengan pesanan ibunya. Hatif mula
pandai bermain ud apabila terpikat dengan alunan yang dimainkan oleh Mirwan
sebelum ini. Hatif bermain ud di kota pekan, dan akhirnya Tuan David yang
mendengarnya cuba menghentikan permainan itu tetapi dapat dipatahkan oleh
Mirwan. Kemudian, seluruh penduduk kampung tersebut mahu memperlajari akan
keindahan permainan ud tersebut yang mana juga diserikan dengan ayat-ayat berzikir
memuji Tuhan, pencipta.
Menggunakan bahasa yang sangat
menarik, jalan cerita yang terjalin kemas dan juga memiliki kesan dramatik. Ia
sebuah cerita yang sangat difahami dan memiliki mesej pengajaran yang
tersendiri.
Pemilihan dialog yang tidak berkesan
dan tidak sesuai untuk watak Mirwan yang diberikan sesuatu perwatakan yang
sangat hebat. Seharusnya, dialog yang dituturkan oleh Mirwan perlulah disulami
dengan kata-kata yang berilmu. Latar tempat yang sedikit bercelaru dan tidak
begitu jelas. Dan tiada penyeleraian cerita. Seharusnya, andai penulis
menghasilkan karya yang mempunyai sambungan, sebagai contoh, pengembaraan,
penulis harus memberikan penyeleraian cerita untuk satu-satu cerita yang
dilalui oleh watak yang diangkat tersebut.
“Apa kau sanggup untuk
menanggung beban kaum wanita? …”
JERITAN NALURI oleh MUHAMMAD
FIRDAUS JOHARI mengisahkan tentang kisah Alias yang memiliki perwatakan
wanita. Izzat atau nama sebenar Izzati adalah teman rapat kepada Alias. Alias
menemui Izzati setelah lama tidak bertemu. Alias menyatakan hasrat untuk
menukar jantina dan mahu Izzati memanggilnya sebagai Alia. Izzati mula
memberitahu, akan kepayahan menjadi seorang wanita dan Tuhan sangat melaknati
umatnya menukar jantina. Ketika di dalam perjalanan pulang, mereka diperangkap
oleh beberapa orang lelaki. Izzati mengharapkan, Alias akan berusaha membantu
dan mempertahankan maruahnya namun Alias tidak bertindak seperti yang
diharapkan. Tetapi, di atas insiden itu, Alias akhirnya menjadi lelaki sebenar
dan mengahwini Izzati.
Menggunakan ayat yang kemas dan
teratur. Mudah difahami. Memberikan ilmu bantu yang sangat sesuai dengan mesej
yang cuba disampaikan. Plot yang tidak kemas kerana latar masa yang agak
kelam-kabut. Ia jelas dilihat pada akhir cerita, selepas kejadian hitam itu,
Izzati tidak lagi bertemu dengan Alias. Namun, pada pengakhiran cerita, Alias
sudah pun menjadi suami kepada Izzati. Kekurangan cerita ini hanyalah pada plot
yang tidak diatur dengan sempurna. Seharusnya, penulis harus peka pada susunan
latar masa kerana latar masa, adalah salah satu teknik terpenting di dalam
sesebuah karya seperti cerpen yang sangat padat kedudukannya.
Hari ini, kita perlu melihat
dakwah dari kaca mata yang lebih meluas …
CINTA DALAM LIPATAN DAKWAH KITA oleh
MUHAMMAD GHAZALI MOHD. ROS mengambil dua buah kisah yang dijadikan menjadi
satu iaitu, kisah pertama ; Tentang kisah bagaimana Melaka menjadi salah satu
kota masyhur di mana menjadi kota dagang dan juga kota penyebaran agama Islam
yang terkemuka. Menceritakan sepenuhnya, bagaimana seorang Tuan Guru yang
mahukan mengembalikan kegemilangan Islam di Melaka. Dan kisah kedua ; Tentang
kisah saya atau Ghazali yang hidup di zaman moden. Dia harus mendepani
cabaran-cabaran yang ada dan berusaha untuk mencegah serta memberikan nasihat
sebelum perkara itu terjadi. Menceritakan dua persepsi dunia yang berbeza
tetapi mengangkat satu motif yang sama iaitu berdakwah. Dari zaman kegemilangan
kota Melaka yang dikenali sebagai kota ilmuwan dan budayawan sehingga ke zaman
moden yang dikenali sebagai kota canggih dan teknologi. Namun, dari susur galur
yang kehidupan, seorang pendakwah yang harus membantu membawa ke jalan benar,
amatlah diperlukan dan sesiapa juga boleh menjadi pendakwah. Dari seorang
berbangsa Melayu, seharusnya perlu tampil menjadi pendakwah dalam meneruskan
segala syariat Tuhan dan ajaran sunnah Rasulullah. Itulah persepsi dari sudut
pemikiran watak utama, Ghazali.
Memberikan plot yang sangat menarik.
Dua plot yang dipisahkan menjadi satu latar masa yang sama. Bahasa dan ilmu
bantu yang diberikan juga sangat menarik dan dapat memberikan nilai serta moral
yang padu kepada para pembaca. Penilaian nilai dakwah juga diterapkan dengan
sumber fakta yang tepat.
Kekurangan dalam watak dan
perwatakan, membataskan cerpen ini adakah berbentuk cerpen fakta atau cerpen
cereka. Seharusnya, penulis memberikan kedudukan utama kepada watak saya atau
Ghazali di dalam dua plot yang diberikan. Mungkin sahaja Ghazali perlu wujud
pada plot pertama, pada zaman kegemilangan Melaka tersebut. Mungkin sahaja
Ghazali diberikan watak sebagai pendakwah ketika itu dan kewujudannya di zaman
moden, sebagai manusia yang mahu menjadi pendakwah, akan mengangkat cerpen ini
lebih menarik dan memiliki kualiti yang sangat hebat.
“Buya, tunggu aku …”
PADA BUYA HATINYA MASIH oleh MUHAMMAD
NUR SAIFUL GHAZALI adalah sebuah kisah mengenai Mansur yang mencari makna
diri terhadap jalan kehidupan yang dipilih oleh Mansur. Mansur yang hidup
bersendirian di rumah peninggalan arwah ayahnya yang dipanggil Buya, hanya
ditemani dengan rokok dan juga surat lama Buya. Dalam surat Buya, jelas Buya
berpesan kepadanya, bahawa apa yang berlaku kepadanya saat ini, adalah
pilihannya sebelum ini. Mansur sedar, bahawa, dia perlu berubah dan cuba
mengenali siapakah Buya di hatinya? Dan akhirnya Mansur sedar, bahawa apa yang
ditinggalkan oleh Buya kepadanya adalah ilmu akhirat yang tersembunyi pada
bilik yang sering dilarang oleh Buya kepada mereka untuk dikunjungi.
Kisah yang menarik dengan penggunaan
bahasa yang bersahaja, penceritaan cerpen monolog yang membawa sebuah kisah
tentang kehidupan. Plot yang digunakan sangat mendatar. Mansur yang kehilangan
makna diri terhadap kehidupan, membuatkan penulis turut kehilangan punca
perwatakan Mansur di dalam cerita. Penulis seharusnya, memberikan plot dramatis
dan kesan mendalam apa yang telah dilakukan oleh Mansur sebelum ini, apa yang
telah diajar oleh Buya kepada mereka dan juga apakah punca yang telah
membuatkan Mansur hidup melarat.
“Dengan izin-Nya, abang Ebit.
Tiada yang mustahil bagi Allah …”
IDAN
oleh NASUHA MUZAMIR YUSOF adalah kisah
mengenai Abang Edit yang merindui Idan, adiknya. Idan, menjadi Islam setelah
tertarik dengan ajaran yang disampaikan oleh Ustaz Hakimi di bukit nun. Abang
Edit sangat menyayangi Idan yang sering sahaja sakit-sakit itu. Ketika Idan,
menjadi Islam, sakit Idan sudah beransur pulih. Idan lebih sihat, bertenaga dan
wajahnya juga berseri-seri. Namun, Idan meninggal dunia dan saat itu, Abang
Edit sedar, bahawa Idan sangat bahagia dengan hari terakhir itu. Akhirnya,
Abang Edit menyakini, bahawa dia akan lebih tenang sekiranya memeluk Islam
seperti mana yang pernah Idan rasakan sebelum ini.
Menggunakan teknik monolog yang
sangat berkesan. Penceritaan terhadap Abang Edit sangat jelas dan mengetahui
segala luar dan dalam cerita mengukuhkan kekuatan mesej yang cuba disampaikan. Monolog
yang bagus adalah apabila disertakan dengan imbas kembali. Penulis boleh
menambah teknik imbas kembali yang lebih dramatik dan berkesan untuk menaikkan
seri cerita. Pemilihan diksi juga seharusnya, boleh ditambah dengan gaya bahasa
yang sedikit berat dan ilmu bantu terhadap keturunan Abang Edit dan juga
kawasan perkampungan mereka.
“Petang tadi, saya ada
bertemu seorang wanita bernama Margaret. Katanya dia berminat untuk mempelajari
Islam …”
MARGARET oleh NORHAIRIE NORDIN,
adalah kisah tentang Margaret yang cuba merungkai tentang Islam yang sering
digembar-gemburkan sebagai agama pengganas di dada akhbar. Margaret seorang
wanita beragama Kristian dan menjadi penganut Ateis kerana suaminya Robert,
mula menyedari bahawa Islam itu bukanlah sebuah agama pengganas. Maka Margaret
haruslah membongkar dan mencari jawapannya sendiri setelah mendengar penjelasan
daripada anaknya Joseph. Margaret mengunjungi sebuah kedai buku yang menjual buku-buku
yang berkaitan Islam. Di sana, dia menemui pemilik kedai yang sempat memberikan
pendapatnya sendiri mengenai Islam. Margaret mula menerima pendapat itu.
Margaret kemudian, pergi ke sebuah taman dan dia cukup tertarik mendengar suara
yang mengalunkan ayat suci al-Quran iaitu surah Al-Fatihah. Dia didatangi oleh
seorang wanita yang beragama Islam iaitu Aisah. Mereka sempat berbual mengenai
Islam dan membuatkan Margaret semakin tertarik hati dengan Islam yang pernah
disangkanya sebagai agama pengganas itu. Di akhir cerita, Margaret terlibat
dalam kes pengeboman dan ketika, kedua orang anaknya mengecam mayat ibu mereka,
wajah Margaret sangat tenang kerana sebelum itu, Margaret pernah menyatakan
hasratnya untuk memeluk agama Islam.
Penggunaan diksi yang sangat menarik.
Jalan cerita yang teratur kemas dan juga mengangkat satu konsep mesej
tersembunyi, membuatkan cerpen ini nampak lebih berkesan.
Plot yang dipisah-pisahkan sangat
menarik sekiranya, tiada ruang kosong yang dapat ditembusi. Dalam cerpen ini,
plot yang dipisah-pisahkan, terlalu banyak ruang kosong yang perlu diisi agar,
cerita ini tidak terlalu renggang dan sengaja dimatikan dengan begitu sahaja.
Penulis seharusnya lebih peka, pada ruang kosong di dalam karya yang
dihasilkan, agar cerita itu tidak nampak, penulis seperti terbatas ideanya.
“Tahukah kau yang jangka
hayatku hanya singkat di muka bumi ini? …”
BERTEMU DI PINTU ABYADH oleh NUR
AIDAWATY RAFAN, adalah sebuah kisah berbentuk alegori ini menceritakan
tentang dua ekor lebah iaitu Hani dan Andri. Hani adalah seekor lebah madu dan
Andri pula hanyalah seekor lebah yang tidak boleh menghasilkan madu. Hani
memberitahu, bahawa setiap makhluk yang diciptakan oleh Tuhan, adalah sama di
sisiNya. Setiap makhluk dijadikan atas tanggungjawab yang telah diamanahkan.
Seperti mereka, mereka juga memiliki tanggungjawab mereka sendiri untuk bersama
memakmurkan bumi Tuhan. Andri akhirnya pergi setelah menyelamatkan Hani
daripada serangan manusia.
Cerita yang sangat menarik. Penulis
berjaya mengangkat lebah sebagai watak utama menjadikan cerita ini memiliki
keunikannya sendiri. Penulis menceritakan bagaimana kehidupan lebah bersama
dengan koloninya memberikan satu impak ilmu bantu yang sangat berguna kepada
pembacanya.
Seharusnya, penulis tidak
mendedahkan, Hani dan Andri itu adalah seekor lebah dan mengangkat mereka
seperti watak manusia, dengan ditambah dengan plot klimaks yang tinggi, serta
memberikan sesuatu unsur persepsi ilmu yang mengunci minda para pembaca, maka
ruang kosong dalam cerpen yang masih jelas ada itu dapat diperbaiki dengan
sebaiknya.
“Semua manusia di muka bumi
ini membuat silap …”
PERPETEIA oleh NURUL HIDAYA SULEIMAN,
adalah kisah mengenai watak Aku yang dipenjara di Nusa Kambangan setelah
ditangkap oleh pihak polis Indonesia kerana memalsukan kad kredit, walaupun
sebenarnya Aku telah dijadikan kambing hitam oleh dua orang kawannya. Aku hidup
di dalam penjara dan mula mengenali kehidupan yang sebenar. Dan menyakini,
bahawa setiap dugaan yang diberikan oleh Tuhan, mempunyai rahmatnya yang tersendiri.
Aku dibebaskan dan kembali semula ke Malaysia dan mula mendidik anak-anaknya
menjadi anak yang terbaik untuknya demi menebus kembali apa yang telah Aku
lakukan sebelum ini.
Sebuah cerpen monolog yang
menceritakan setiap butir kejadian dengan gaya bahasa yang menarik. Cerita yang
ringkas tetapi masih mampu mengangkat ilmu bantu yang menjadi mesej utama di
dalam cerita. Penulis telah melupakan sudut pandangan pertama di mana, penulis
seolah lupa tentang watak Aku yang harus didominasi oleh penulis sepenuhnya,
kerana terdapat beberapa tempat penulis seperti melupakan sesuatu fikiran dan
emosi watak Aku. Seharusnya, penulis perlu mengkaji watak utama, plot kukuh dan
teknik berkesan sekiranya, ingin menghasilkan cerpen berbentuk cerpen monolog.
Manusia yang Allah pilih
bukan untuk saja-saja. Tapi kerana Allah juga cinta …
SANG PELANGI oleh NURUL
SHUHADA HAMIDON, adalah tentang kisah Alia, seorang gadis mualaf dan juga
seorang doktor. Alia bertemu dengan Adawiyah yang seorang gadis yang disahkan
mengandung. Adawiyah memberitahu bahawa, dia tidak berdosa kerana dia hanyalah
menjadi tempat pemuas nafsu. Alia membawa Adawiyah untuk tinggal bersamanya.
Adawiyah melihat segala pengorbanan dan kebaikan yang dilakukan oleh Alia yang
sangat mulia. Alia yang tidak diterima oleh keluarganya atas keputusannya
memeluk Islam, dibuang daripada keluarga. Alia akhirnya menjadi mangsa kerana
ingin menyelamatkan Hakim, anak yatim di Rumah Darul Hannan. Hakim yang cuba
mengejar peragut itu, menemukan Alia dengan adiknya, Ah Meng. Ah Meng melarikan
diri namun, seorang lelaki muncul membawa sebilah parang. Alia yang cuba
menyelamatkan Hakim, terkena parang tersebut.
Plot cerita yang berjalan dengan
kemas. Mesej yang diberikan juga sangat ketara dan gaya bahasa yang dipilih sangat
santai. Pemilihan permulaan cerpen yang dikirakan, sangat kurang tepat kerana
watak utama di dalam cerita ini adalah Alia, seharusnya watak Alia itu perlulah
diwujudkan terlebih dahulu. Mungkin, pada permulaan cerpen itu, kejadian yang
berlaku kepada Adawiyah itu adalah kesan daripada penceritaan Adawiyah kepada
Alia.
“Saya sedar kekayaan tidak
boleh membeli maruah dan kasih sayang …”
MENITI RINDU oleh SAADIN
ABDULLAH, adalah kisah mengenai Wa Timah yang menanti kehadiran anaknya
Anis setelah menerima sepucuk surat yang menyatakan dia telah berjaya ke atas
hak penjagaan anak tunggalnya atas hasil perkongsian hidup dengan bekas
suaminya, Tengku Abdul Jabar. Ngah Taha yang berdendam dengan bekas suami
kakaknya itu sangat tidak berkenan sekiranya, bekas suami kakaknya itu akan
sering datang ke kampung kerana bekas suami kakaknya itu pernah menghalaunya
dahulu. Wa Timah yang juga terkesan dengan sikap suaminya setelah mengahwininya
itu tidak mampu menahan lagi dan akhirnya mereka bercerai. Hak penjagaan
anaknya itu diserahkan kepada suaminya. Selepas lima tahun, apabila peguam Wa
Timah menyatakan untuk mendapatkan semula hak jagaan, Wa Timah akhirnya
berjaya. Ketika Anis tiba ke kampung, bekas suaminya turut sama datang. Bekas
suaminya, Tengku Abdul Jabar memohon maaf di atas apa yang telah dilakukannya
sebelum ini dan menyedari wang ringgit bukanlah pengukur sebuah kehidupan yang
bahagia.
Jalan cerita yang sangat menarik.
Gaya bahasa yang tersusun kemas. Perwatakan yang diberikan juga sangat menarik
dengan dialog yang sesuai dengan watak tersebut. Mesej yang diberikan juga
jelas dan mudah difahami. Klimaks yang sengaja dimatikan dengan begitu cepat
membuatkan, kesan itu sangat lemah pada pengakhiran cerita. Mungkin sahaja,
kesan amukan Ngah Taha itu dinaikkan pada permulaan cerita, kemudian, ia
dipotong lalu dimasukkan pada kisah Wa Timah yang menantikan kehadiran anaknya,
Anis, kemudian dimasukkan semula pada plot klimaks tersebut.
“Ibadah di hati itu lebih
besar pahalanya …”
MASJID ATAS BAHU oleh SURIANI
SAMSUDIN, adalah mengenai kisah pertemuan Tammy, seorang doktor dan juga
Jason seorang anggota polis narkotik. Tammy membantu merawat Jason yang cedera
akibat tembakan peluru. Jason memberitahu bahawa Tammy seharusnya menjadi
seorang doktor yang baik dan juga seorang gadis Islam yang sempurna dengan
tidak menggunakan dadah atau pun alkohol. Jason mempercayai tentang Allah swt
Nabi Muhammad saw dan Tammy mengatakan Jason adalah seorang Islam tetapi Jason
mengatakan tidak. Tammy akhirnya sedar bahawa dia seharusnya menjadi seorang
Islam yang sempurna atas, perbuatan Jason yang membuang semua bahan terlarang
yang sering digunakannya. Jason pula menyedari apabila kawan setugasnya, Ikram
yang sering memperlihatkan imannya terhadap Tuhan, membuatkan Jason memeluk
Islam. Tammy dan Jason akhirnya disatukan dengan kasihnya Tuhan.
Cerita menarik, plot cerita yang
sangat berkesan dan tersusun kemas. Perwatakan yang diberikan juga cukup jelas
dan memberikan kesan yang baik untuk dibaca. Ilmu bantu yang dipilih tidak
cukup dijelaskan terhadap watak yang dipilih seperti ketika Tammy merawat Jason
dan ketika Jason berusaha menyelamatkan Ikram, serta pada plot-plot penceritaan
yang masih kurang penggunaan ilmu bantu yang kukuh. Seharusnya, penulis perlu
membuat sedikit kajian terhadap penggunaan bahan terlarang ataupun ketika
proses menyelamatkan mangsa yang terkena tembakan.
“Allah, aku yakin Engkau ada
…”
CINTA BERTASBIH DI BELFAST oleh SITI
FARHANA HIDAYA MOHD. NAZRI, menceritakan tentang kisah Fattah yang menerima
sepucuk surat daripada Evelaine. Fattah menemui gadis Ateis itu ketika dia
berada di Dublin. Evelaine sentiasa bertanya tentang keberadaan Tuhan Islam ada
di mana dan setiap kali itu jugalah Fattah akan memberikan jawapan menyakinkan
bahawa Tuhan Islam itu ada di mana-mana sahaja dan akan sentiasa ada untuk
setiap umatNya. Evelaine yang tidak mempercayai Tuhan itu wujud, akhirnya
memeluk Islam apabila Joseph, abangnya yang sentiasa mengekorinya juga telah
memeluk Islam. Di dalam surat yang dikirimkan oleh Evelaine kepada Fattah, di
situlah jelas kenapa, Evelaine memilih Islam kerana surah az-Zariyat. Fattah
gembira menerima pemelukan Evelaine itu setelah usai membaca surat yang
diterimanya.
Gaya bahasa yang dipilih menarik.
Ilmu bantu yang kuat. Susunan cerita kemas dan mesej yang disampaikan juga
sampai kepada pembaca. Plot yang masih belum kuat dan masih terdapat ruang
kosong yang boleh diperbaiki. Perwatakan juga tidak begitu ketara
dipertonjolkan terhadap Fattah dan juga Evelaine, hanya sekadar diperkatakan
secara ringkas pada perkataan tetapi tidak pada fizikal ataupun fikiran, agak
terbatas. Penulis harus menitik-beratkan kedudukan watak dan perwatakan yang
dipilih untuk menutupi ruang kosong tersebut.
“Bukankah utusan Tuhan
mengajar untuk bersangka baik dengan semua orang, sedang Baginda pun sangat
memuliakan tetamunya …”
KERANA BAYAN oleh SITI
HAZIYAH MOHD. HATA adalah kisah mengenai Nara beragama Buddha yang menjadi
sukarela di Pertubuhan Pelarian Syria-Jordan (PESIJ). Nara ditemani oleh
temannya, Manisah. Bayan yang kehilangan keluarganya, akhirnya dipertemukan
dengan Nara yang tidak tahu berbicara dalam Bahasa Arab. Jailani menjadi
jurubahasa dan akhirnya, Nara mengetahui akan kisah kehidupan Bayan. Bayan
menceritakan, bahawa dia sedih dengan kehilangan keluarganya namun dia lebih
menyakini bahawa Tuhan akan selalu ada bersamanya. Ketika Nara bertanya, kenapa
Bayan tidak takut kepadanya, Bayan memberitahu bahawa setiap manusia itu pasti
adalah utusan Tuhan dan Baginda juga memiliki sifat, berbaik sesama manusia dan
menghormati tetamu. Kerana jawapan Bayan itu, akhirnya Nara menemui Tuhan
sebenar dengan memeluk Islam. Nara menukar namanya menjadi Aisah.
Plot cerita kemas. Latar masa yang
menarik dan sesuai dengan latar tempat dan latar masyarakat dengan penggunaan
dialog dalam Bahasa Arab. Penulis harus lebih bijak menggunakan teknik bahasa
asing andai dimuat menjadi sebuah dialog. Apabila, menggunakan teknik sebegini,
terjemahan haruslah diselitkan sekali agar, pembaca akan memahami setiap
pertuturan dialog dan tidak akan menjadi tersekat-sekat untuk meneruskan
pembacaan. Penggunaan teknik bahasa asing yang tidak disertakan terjemahan,
akan membuatkan rasa minat untuk pembaca meneruskan pembacaan kerana pemahaman
terhadap cerita akan menurun.
“Pernahkah lelaki tua itu
sepanjang hayatnya, untuk sekali sahaja, berterima kasih pada isterinya yang
melahirkan zuriat-zuriat mereka? …”
BIRU LANGIT ITU SELENDANGMU, IBU oleh SITI
NAZURAH MOHD. KAMEL, adalah sebuah kisah cerpen monolog ini mengisahkan
tentang Aku yang mengingati kehidupannya bersama dengan ibunya. Dia
menceritakan kekuatan, pengorbanan dan kasih sayang ibunya yang telah membesar
dan mengasuhnya menjadi seorang anak yang mengenali akan agamanya. Kepayahan
dan kesusahan hidup di kala kecil telah mematangkan dirinya untuk menjadi yang
terbaik seperti ibunya kepada anak-anaknya. Malah, suaminya yang ikhlas
mengahwininya, menjadi lambang kekuatan untuk dia menjadi seorang isteri yang
solehah sepertimana ibunya dahulu.
Gaya bahasa yang sangat menarik,
puitis. Teknik monolog yang sangat hebat, penceritaan yang telus dan mesej yang
diberikan juga sangat hebat. Sangat mendalami pada rasa watak dan perwatakan
juga dapat dijiwai oleh penulis dengan jelas dan terang. Tiada batasan pada
keseluruhan cerita. Pembahagian plot boleh dikemaskan lagi dengan meletakkan
unsur-unsur dramatik antara watak Aku dengan Ibu, mungkin sesuatu konflik. Ini
akan menampakkan lagi, penulis dapat menjiwai kedua-dua watak yang diberikan.
“Saya mahu emak tunaikan
hasrat saya yang paling istimewa …”
HADIAH oleh SITI RAHMAH MOKHTARUDDIN
adalah kisah seorang guru yang bernama Aisyah. Aisyah adalah guru sekolah
rendah yang sangat menyayangi pelajarnya. Dia didatangi oleh seorang murid
bernama Amir Fikri. Amir Fikri sedang menuntut di Tahun Enam. Amir Fikri sering
bertemu dengannya dan bertanya mengenai aurat wanita. Aisyah sentiasa
memberikan jawapan menyakinkan kepada anak muridnya itu. Amir Fikri
mengharapkan Aisyah akan mendoakan agar dia lulus cemerlang UPSR dan mahukan
Aisyah mendoakan hanya untuknya seorang sahaja. Aisyah tertanya-tanya, kenapa
permintaan anak muridnya itu sebegitu? Amir Fikri memberitahu, bahawa sekiranya
dia mendapat 5A dalam UPSR, dia boleh meminta apa sahaja daripada ibunya. Dan
Amir Fikri mahukan ibunya memakai tudung dan berpakaian longgar serta menjaga
aurat, disebabkan inilah dia mahukan Aisyah mendoakan hanya untuknya seorang
sahaja. Maka, Aisyah memenuhi permintaan mulia anak muridnya itu.
Jalan cerita yang menarik. Latar
masa yang tepat dengan teknik imbas kembali. Teknik monolog juga diangkat untuk
menyampaikan mesej penceritaan. Gaya bahasa yang digunakan mudah dan sangat
difahami dengan pemerian dialog yang sangat sesuai untuk kedua-dua watak, Amir
Fikri sebagai seorang pelajar dan Aisyah sebagai seorang guru. Teknik
pemberitahuan latar masa, seperti tiga minggu sebelum, 14 hari sebelum boleh
digunakan dengan teknik monolog tempat kejadian ‘masa kini’ dengan diberikan
serba sedikit situasi ketika peperiksaan sedang dijalankan.
“Khairi nak belajar di
sekolah pondok, ayah …”
KEDAMAIANNYA DI SEKOLAH PONDOK oleh SUHAIMI
JAMAUDIN, adalah kisah Razali, seorang anak kampung yang berusaha dan
akhirnya berjaya. Razali hanya memiliki seorang anak tunggal sahaja iaitu
Khairi. Khairi mempunyai hasrat untuk bersekolah di sekolah pondok namun
ditepis oleh Razali, bahawa Khairi mungkin tidak akan berjaya memiliki kejayaan
sekiranya hanya bersekolah di sekolah pondok. Khairi akhirnya didapati bersalah
apabila dia ditangkap kerana mengamalkan kegiatan rasuah dan juga berjudi. Dia
dipenjarakan selama lapan tahun. Di situ, baharulah Razali menyedari apabila
dia ditemukan dengan sebuah sekolah pondok yang mengajar golongan muda dan
golongan tua terhadap ilmu agama. Razali mengambil keputusan untuk menuntut di
sana akan berdoa agar umurnya dapat dipanjangkan demi menunggu anaknya keluar
daripada penjara dan akan membawa bersama-sama anaknya ke sekolah pondok itu
bagi menunaikan impian anaknya itu dahulu.
Teknik monolog yang berkesan
terhadap penceritaan. Mesej yang diberikan dapat disampaikan kepada pembaca.
Plot yang jelas dapat digambarkan dengan teknik pemisahan latar masa. Perwatakan
yang tidak diceritakan secara jelas dan juga pemisahan plot ke satu plot juga
seperti dipotong-potong dan tergesa-gesa. Penulis seharusnya mengisi ruang
pemisahan plot itu dengan sesuatu teknik atau penceritaan situasi.