RUBIK oleh +Maharatu Rafidah Mohamad ( +Maharatu Rafidah Mohamad )
Rubik.
Permainan teka-teki yang dihasilkan pada tahun 1974. Ia memiliki 26 bahagian
kecil yang berputar pada poros. Setiap sisi memiliki sembilan permukaan yang
terdiri daripada enam warna berbeza. Ia juga sebenarnya objek berbentuk 3D dan
kes ini sama seperti rubik yang juga dikenali sebagai kuib magis. Sebuah kes
yang memiliki proksi di satu tempat, di satu masa, di satu keadaan, seorang
suspek utama, seorang saksi utama dan seorang mangsa utama. Ia perlu disusun
mengikut bahagiannya untuk menjadi sebuah rubik yang lengkap. Ia sebuah
permainan yang sangat saya minati. Ia hobi saya.
Kisah Satu : Pengakuan Sheikh
Rosli Sheikh Ahmad
Saya
lelaki kaya, dihormati, berpelajaran dan kesihatan yang baik. Maksudnya saya
tidak gila. Saya adalah anak kepada Sheikh Ahmad dan Sharifah Sarimah. Mereka
berdua juga dikatakan memiliki darah kerabat diraja. Oleh itu, saya sedikit
sebanyak juga seperti mereka, memiliki darah kerabat diraja. Setiap gadis akan
terpesona melihat penampilan saya yang bergaya, tampan dan memiliki aksesori
pakaian yang mewah. Kereta juga jenis yang berharga mahal. Tidak dinafikan,
kehidupan yang saya miliki sangat mewah dan menggembirakan. Malah saya juga
berpuas hati dengan segala yang tercurah kepada saya. Maklum, saya anak
tunggal. Oleh itu, rasa bangga itu mesti ada.
Saya
memiliki hobi yang sangat pelik. Saya begitu meminati benda tajam. Seperti
pisau, pedang dan apa sahaja yang tajam. Saya juga memiliki ratusan koleksi
pisau tidak kira, ia jenis pisau dapur, pisau memburu dan sebagainya. Ah, sebut
tentang memburu, saya juga pakar di dalam memburu binatang hutan. Ia hobi yang
sangat menarik. Dan ramai juga wanita terkejut dan takut apabila mengetahui
hobi pelik saya ini. Tetapi ia sebenarnya menjadi kebanggaan buat saya. Dan
saya juga bertuah mempunyai hobi sebegini.
Walau
bagaimanapun, saya juga seorang lelaki yang malang. Saya dipertemukan dengan
beberapa kenalan yang mengaku ahli perniagaan, saya ditipu ratusan ribu dan
syarikat saya SRSA muflis. Saya dipertemukan dengan beberapa kenalan yang
anggun dan ayu, saya dikikis lalu ditinggalkan. Malah saya juga pernah jatuh
cinta dengan seorang wanita. Dia cukup baik, manis, sopan santun dan penyayang.
Tetapi sayang, dia hanya ingin mengambil kesempatan ke atas saya. Oleh itu, dia
tinggalkan saya setelah saya beri segala-galanya kepada dia. Dan juga
sebenarnya, saya sangat malang kerana di dalam syarikat saya, ada seorang
pekerja yang sangat bodoh dan buruk perangai. Dia pemalas dan saya juga
kehilangan beratus projek kerana perangainya itu. Mungkin saya malang juga
kerana pekerja saya itu. Saya pecat dia dan saya tidak beri dia sebarang
pampasan kerana syarikat saya muflis kerananya. Mungkin juga sifat malang ini
bukan kerana badi sesiapa tetapi kerana perangai saya yang tunjuk lagak
agaknya. Tetapi, ini belum dikatakan malang lagi kepada saya. Malang yang
sebenarnya adalah hari itu.
Langit
cerah. Matahari betul-betul di atas ubun-ubun kepala saya. Kereta mewah yang
saya pandu, saya parkirkan di tepi jalan bersebelahan sebuah sungai. Saya
menunggu seseorang. Dia seorang wanita sebenarnya. Saya mengenalinya di dalam
sebuah majlis beberapa bulan lepas. Hubungan saya dengan wanita itu semakin
erat. Malah, mungkin juga wanita itulah yang akan menjadi pilihan hidup saya.
Namanya, Sofia Annum Mokhtar. Matanya bundar dan bibirnya mungil. Bila dia
tersenyum cukup mengghairahkan mata saya yang menatapnya.
Hampir
sejam saya menunggu Sofia di situ. Hari itu adalah hari Sabtu. Saya tidak akan
melupakan hari itu sebenarnya. Saya menunggunya di sebuah taman yang memiliki
ratusan arca bersejarah, konon kata para pengunjung. Saya sendiri tidak
mengetahuinya. Tetapi yang menariknya adalah sungai tersebut. Setelah dua jam
menunggu, akhirnya Sofia tiba juga seperti dijanjikan walaupun Sofia terlewat
dua jam. Seperti biasa Sofia akan bertindak mesra dan manja dengan saya. Inilah
juga yang membuatkan saya seorang yang tidak meminati sajak mula menjadi
seorang penyair yang hebat kerana dapat mengungkapkan kata-kata bermadah yang
romantis.
Sofia
berkata manja dengan saya yang mengatakan dia terlambat kerana keretanya rosak.
Saya dengan senang hati menyuruhnya membawa kereta mewah saya bersamanya. Sofia
memberikan seulas senyuman yang cukup indah. Bagaikan, saya mahu sahaja
bernikah dengannya ketika itu dengan cepat. Tetapi ditahan-tahan sahaja. Lama
kami berbual di situ sehinggalah mata saya melihat seseorang yang cukup saya
benci. Saya memberitahu kepada Sofia, kita harus pergi dari sini sekarang
sebelum saya ditimpa musibah. Sofia menurut walaupun dia tidak mengerti
tindakan saya itu. Ketika Sofia menghantar saya ke rumah, Sofia sempat
memberikan ciuman manja di pipi saya. Betapa gembiranya hati ini bukan
kepalang. Saya melambai kepadanya dan kereta mewah kesayangan saya pergi
bersamanya.
Esok,
pintu pagar rumah saya terbuka dengan beberapa anggota polis melangkah masuk
dengan bangga. Pembantu rumah begitu takut dengan keadaan itu sehingga gugup
menuturkan kata kepada majikannya iaitu kedua orang tua saya. Ketika, ketua
polis bersuara, seluruh rumah sunyi dan senyap. Dan seperti orang kata, kalau
jarum gugur ke lantai, kita boleh mendengarnya. Itulah yang berlaku di ruang
tamu yang luas yang dilengkapi dengan perabot mewah dan buatan luar negara.
Ketua
polis itu melihatkan sekeping gambar kepada ayah. Ayah pula berpaling memandang
kepada saya. Dia menyerahkan gambar itu kepada saya. Saya mengambil dan
memandangnya. Gambar itu adalah kereta kesayangan saya yang terjunam ke dalam
sebuah sungai yang saya tidak kenali. Betapa terkejutnya saya melihat kereta
kesayangan saya itu. Pantas saya bertanya dengan keadaan kereta saya, namun
ketua polis itu menyerahkan pula sekeping gambar kepada saya. Dan kali ini
gambar itu terlepas dari tangan saya.
Seorang
wanita dalam keadaan yang agak teruk terperosok di dalam bonet kereta yang
kecil dengan darah yang berlumuran di seluruh tubuh. Ketua polis itu berkata
lagi, wanita itu telah mati kerana ditikam dengan benda tajam petang semalam.
Saya bertanya adakah wanita itu adalah Sofia Annum Mokhtar tetapi ketua polis
menggelengkan kepalanya. Wanita itu bernama Aisyah Mohamad Farid. Jelas, saya
tidak mengenali wanita itu, namun ketua polis menyerahkan pula sekeping kertas
kepada ayah. Ayah pantas memandang kepada saya sekali lagi. Ibu pula sudah
menangis di sisi ayah. Sebuah gari bergoyangan di hadapan mata saya pula. Tidak
mungkin. Saya bukan seorang pembunuh!
Kisah Dua : Pengakuan Yusoff
Turkisham
Nama
saya Yusoff Turkisham. Datuk saya orang Turki dan nenek saya orang Malaysia.
Sebab itu nama bapa saya Turkisham. Entah kenapa, saya tidak boleh memberikan
jawapannya. Saya anak yatim piatu. Kedua orang tua saya meninggal dunia sejak
saya di bangku sekolah rendah. Saya dibesarkan di rumah anak-anak yatim.
Hidup
saya susah. Saya orang miskin dan tidak punya harta yang ditinggalkan walaupun
tikar buatan Turki. Selepas saya keluar dari rumah anak-anak yatim, saya
bekerja sebagai kerani kecil di sebuah syarikat besar iaitu SRSA. Cukuplah buat
pengalas perut. Malah kerani kecil ini sering sahaja dipandang hina dan jijik
oleh golongan atasan tetapi mereka tidak sedar bahawa kerani kecil ini jugalah
yang telah memajukan syarikat mereka.
Majikan
saya seorang lelaki yang agak angkuh dan sombong kerana dia memiliki apa sahaja
yang dia mahukan dengan mudah. Malah majikan saya juga tidak pernah menegur
mesra para pekerjanya. Dan saya ingat pada suatu hari, saya tidak sengaja
melanggarnya kerana terlalu asyik membaca isi di dalam fail yang akan
dibentangkan di dalam mesyuarat nanti. Majikan saya yang menjaga statusnya itu,
pantas mengherdik marah kepada saya dan mengoyak kertas-kertas yang ada di
dalam fail itu. Saya terpaksa membuat salinan yang lain dan saya terlambat tiba
di bilik mesyuarat itu, sekali lagi saya dimarah, dihina dan kepala saya
ditenyeh-tenyeh seperti sedang menumbuk belacan.
Saya
masih bersabar dan saya juga tidak mampu untuk melawan. Saya timun dan majikan
saya durian. Oleh itu saya hanya perlu bersabar dan bersabar. Tetapi, kesabaran
manusia itu ada hadnya. Begitu juga dengan saya. Saya berharap suatu hari
nanti, Tuhan akan membalas setiap perbuatannya itu. Saya gembira ketika
syarikat SRSA muflis kerana rakan-rakannya menipu majikan saya itu. Tetapi yang
rugi juga adalah saya. Di syarikat itulah saya mencari sesuap nasi untuk perut
saya hari-hari. Saya dipecat tanpa sebarang pampasan. Tidak mengapa saya tetap
juga bersabar.
Setelah
itu, saya bekerja dengan seorang lelaki pembuat pisau. Dan dari situ, saya mula
berminat dengan kerja baharu saya itu. Saya begitu senang dan saya juga sudah
mula pandai membuat pisau saya sendiri. Dan pisau pertama saya juga berjaya
dibeli oleh seorang wanita yang agak kaya dan hebat statusnya. Saya sangat
bangga sekali kerana hasil kerja saya dibeli orang. Malah majikan baharu saya itu
juga memuji kepandaian saya. Kemudian, majikan saya itu turut mengajar
bagaimana cara untuk memburu binatang hutan. Mulanya saya memang tidak pandai
malah saya juga terpaksa tidur semalaman di dalam jerat yang dibuat oleh
pemburu lain. Memang waktu itu, saya terpaksa bertahan dan apabila
mengenangnya, saya pasti akan ketawa.
Ketika
saya bekerja dengan majikan baharu saya itu, ada juga sebuah kisah yang saya
tidak akan melupakannya. Saya bertemu dengan seorang gadis bernama Suraya Abdul
Majid. Dia cukup baik dan dia juga sudi untuk berkawan dengan saya yang miskin
dan hina ini. Tetapi sayangnya, saya tidak bertemu jodoh dengan gadis itu.
Tidak mengapalah, mungkin bukan rezeki saya lagi untuk berumah tangga. Saya
meneruskan hidup saya sebagai pembuat pisau dan syukur Alhamdulillah, saya juga
sudah mempunyai pekerjaan tetap dan menjadi pengurus di dalam kedai majikan
saya itu.
Ketika
saya sedang leka membuat pisau baharu, tiba-tiba saya dikejutkan dengan sebuah
berita yang cukup menggemparkan negara. Berita itu mengenai majikan lama saya
yang sangat angkuh dan sombong itu. Entah mengapa pada hari itu saya begitu
gembira menerima perkhabaran di dalam akhbar dan juga televisyen, malah juga
radio. Majikan lama saya ditahan reman kerana menjadi suspek pembunuhan seorang
wanita. Saya benar-benar ketawa sambil menyiapkan pisau baharu saya ketika itu.
Dan pelbagai kata-kata cercaan menghina majikan saya itu, turut dilemparkan
dalam nada berbisik. Malah saya juga ketawa besar apabila kepala majikan saya
terhantuk dinding di hadapannya kerana kepalanya yang berbungkus bangkai dengan
kain itu untuk menutup wajahnya walaupun sebenarnya orang mengenali dia siapa.
Tetapi
di sebalik cerita, saya adalah orang yang menemui mayat di dalam kereta itu.
Adakah ia suratan atau kebetulan? Ironinya, saya yang sering dihina, dipandang
jijik dan diherdik kerana kemiskinan, telah membuatkan majikan saya yang
angkuh, sombong dan berlagak itu terlanggar dinding mahkamah. Memang lucu
sekali.
Pagi
itu, saya sedang merancang untuk pergi memancing di sebuah tasik di pinggir
kota. Tetapi niat saya itu terhenti kerana saya berubah fikiran pula. Oleh itu
saya pergi memancing di sungai dan bermalam di sana. Sebenarnya, ia bukanlah
sebuah sungai tetapi akibat hakisan daripada cari gali bijih timah yang telah
ditinggalkan berpuluh tahun. Pancing saya mengena sasaran setiap kali saya
humban ke dalam sungai. Dan ketika saya memancing itu, saya seperti melihat
sebuah kereta bergegas pergi namun saya fikir, itu hanya bayangan mata saya
sahaja kerana tidak mungkin ada orang yang datang ke tempat sebegitu. Malah,
sayalah orang pertama yang datang memancing di sungai ini. Hari itu, saya
memang bertuah. Saya mendapat lebih 15 ekor ikan. Saya gembira sekali dan ikan
yang saya pancing itu saya bakar menjadi pengalas perut saya malam itu. Ia
memang sedap.
Pada
keesokkannya, saya memancing lagi. Hari itu hari Ahad. Namun setelah dua tiga
jam menunggu, pancing saya tidak mengena sasaran, saya bertukar tempat. Ketika
itulah saya terkejut melihat sebuah kereta terumbang-ambing di dalam sungai
yang sedikit keruh airnya.
Saya
menghampiri tempat itu dan membuka kasut saya. Saya melangkah masuk ke dalam
sungai yang berada pada takat pinggang saya itu. Saya tidak perlu bimbang
kerana saya mahir dalam berenang. Saya melihat di dalam kereta namun tiada
sesiapa di dalamnya. Selamat, hati saya berkata. Saya bergerak meraduk air ke
belakang kereta untuk melihat flat kereta tersebut.
Saya
sedikit terkejut dan tidak percaya. Kereta itu amat saya kenali. Maka saya mengelilingi
melihat kereta itu untuk mengenal pasti lagi. Baju saya juga sudah basah
separuh. Wajah saya juga terpercik air sungai yang keruh itu. Benar-benar saya
tidak percaya, kereta itu adalah milik majikan saya. Bekas majikan saya. Saya
cuba menolak ke tepi sungai tetapi tidak berjaya. Mungkin kerana faktor berat.
Saya berusaha lagi dan entah mengapa bonet kereta terbuka. Saya perlahan
menghampiri belakang kereta dan bau busuk serta-merta menggigit hidung saya.
Seperti nyamuk menggigit di kulit, terasa pedasnya. Saya memberanikan diri saya
untuk melihat isi di dalam bonet itu.
Sebuah
bakul plastik sampah terikat kemas. Saya sekali lagi mencuba berani. Saya
membuka ikatan plastik sampah itu dan dengan pantas saya seperti ditolak
sesuatu, saya terjebur ke dalam sungai dan segera berenang naik. Saya
ketakutan. Dan bingung. Apa yang perlu saya lakukan? Saya bergegas mencari
pondok telefon namun tidak ketemu. Maka saya berlari menuju ke balai polis dan
menceritakan apa yang saya temui. Ketua polis meminta saya membawanya ke tempat
tersebut. Dia sendiri turun ke dalam sungai memeriksa apa yang ada di dalam
bakul plastik itu. Benar. Ada mayat seperti apa yang mata saya lihat.
Saya
terpaksa memberitahu semua kejadian yang berlaku kepada ketua polis dan
akhirnya majikan saya itu ditahan reman. Begitu ironi sekali dan saya pula
hanya ingin ketawa besar menunggu keputusan mahkamah nanti.
KISAH TIGA : ALBERT CHONG
Saya
Albert Chong. Dan saya adalah seorang hakim. Saya menjadi hakim dalam mengadili
kes kematian Aisyah Mohamad Farid yang dikatakan telah dibunuh secara kejam
pada pukul 3.00 petang, 25 Mei 2013. Kes ini sebenarnya rumit sekali. Tetapi
mungkin kerana kepintaran dan kebijaksanaan saya, saya dapat menyelesaikan kes
ini.
Ketika
sesi penghakiman hari pertama, saksi yang cuma ada satu itu dipanggil ke kandang
saksi iaitu Yusoff Turkisham. Saksi pertama ini menceritakan segala-galanya apa
yang berlaku ketika dia menemui mayat tersebut. Malah soalan perangkap dari
peguam bela Sheikh Rosli Sheikh Ahmad juga dapat dijawab dengan tenang.
Bagaikan saksi pertama ini sudah bersedia dengan soalan sebegitu. Persoalan
tentang dendam.
Mungkinkah
kerana dendam, saksi pertama bertindak menuduh Sheikh Rosli Sheikh Ahmad
sebagai pembunuh? Dan jawab saksi pertama, jika benar ia kerana dendam, dia
pasti sudah pun melakukannya sejak dahulu lagi. Sebelum dia dipecat dan
dimalukan di khalayak ramai. Tetapi dia tidak melakukannya kerana, ia tidak
akan memberikan manfaat kepadanya.
Sheikh
Rosli Sheikh Ahmad mungkin sahaja boleh bebas kerana tiada sedikit bukti pun
dijumpai ke atas mangsa yang menjadi miliknya. Hanya keretanya itu sahaja.
Malah dia juga menceritakan, dia meminjamkan kereta itu kepada seorang wanita
bernama Sofia Annum Mokhtar namun apabila disiasat kewujudan wanita itu sedikit
tidak memberikan kesan jawapan. Dan saya sendiri beranggap, mungkin sahaja dia
sedang berhalusinasi dan tertekan kerana sebelum dia bertemu dengan wanita itu,
dia telah diisytiharkan muflis dan syarikatnya juga musnah. Mungkin kerana
situasi itu membuatkan dia berhalusinasi dengan dirinya sendiri. Malah, saya
sendiri menyarankan untuk memeriksa kesihatan mental Sheikh Rosli Sheikh Ahmad.
Namun mentalnya di dalam keadaan normal dan sihat.
Saya
juga membaca laporan forensik berulangkali, namun sebarang bukti pembunuh juga
tidak ditemui. Begitu cekap sekali pembunuh itu menjalankan operasinya. Malah
mangsa juga tidak memiliki sebarang maklumat peribadi yang boleh dikesan.
Seolah mangsa adalah makhluk asing yang baharu tiba di bumi. Yang ada hanyalah
kesan tikaman di beberapa tempat di bahagian badannya. Tempat-tempat itu
jugalah adalah tempat-tempat yang mempunyai bahagian penting di dalam tubuh
badan iaitu salur darah yang berhubung tepat ke bahagian jantung dan otak. Itu
kata pakar forensik di dalam laporan mereka.
Tetapi,
ada sesuatu yang terlepas pandang yang hanya saya boleh lihat. Ada empat
perkara yang agak sama di antara mereka berdua, saksi utama dan suspek utama.
Seolah mereka berdua sedang mereka alibi mereka sendiri.
Pertama
: Saksi utama berkata, dia ingin memancing di tasik tetapi dia mematikan
niatnya dan pergi memancing di sebuah sungai. Suspek utama juga berkata, dia
bertemu dengan seorang wanita yang bernama Sofia Annum Mokhtar di sebuah sungai
di sebuah taman yang memiliki ratusan arca bersejarah. Taman mana di sini yang
ada sungai? Setahu saya tidak ada. Dan saya terfikir, memiliki ratusan acra
bersejarah itu adalah, bukankah sungai itu terbentuk akibat hakisan cari gali
bijih timah berpuluh-puluh tahun yang lalu. Ia adalah sebuah sejarah yang
tercatat di dalam buku pelancongan negeri. Malah hari itu juga adalah hari yang
sama iaitu hari Sabtu, 25 Mei 2013.
Kedua
: Ketika suspek utama berada di sana bersama dengan Sofia Annum Mokhtar, dia
terpaksa bergegas pergi dari situ kerana dia melihat seseorang yang sangat
dibencinya. Dan saksi utama pula berkata, dia seperti melihat bayang kereta
berlalu pergi. Ia sangat pelik.
Ketiga
: Aisyah Mohamad Farid dibunuh dengan benda tajam yang dikatakan adalah pisau. Suspek
utama mempunyai hobi yang pelik. Hobinya adalah menyimpan koleksi pisau yang
ganjil. Saksi utama pula bekerja sebagai pembuat pisau yang hebat. Oleh itu,
untuk mencederakan seorang wanita seperti mangsa adalah sangat mudah sekali.
Malah, mereka juga pasti boleh mengetahui, bahagian penting di dalam tubuh
seseorang manusia mahupun binatang kerana mereka berdua pakar dalam memburu.
Sesuatu kebetulan yang sangat unik.
Keempat
: Kenapa wanita itu dibunuh? Hanya satu. Wanita yang mengecewakan mereka berdua
adalah wanita yang sama.
Oleh
itu, pembunuh Aisyah Mohamad Farid adalah mereka berdua. Yang bertemu dengan
wanita itu adalah Sheikh Rosli Sheikh Ahmad untuk menjadi umpan kepada wanita
tersebut untuk datang ke kawasan sungai itu Dan mereka berdua bersubahat
membunuh wanita tersebut dan mereka alibi mereka sendiri untuk menyelamatkan
diri mereka masing-masing. Mereka juga mengatur rancangan supaya Sheikh Rosli
Sheikh Ahmad dijadikan suspek utama kerana tiada sebarang bukti yang boleh
dikaitkan dengannya, maka dia akan terlepas dengan mudah. Dan Yusoff Turkisham
pula menjadi saksi utama yang bila-bila masa sahaja boleh melepaskan diri dari
sebarang hukuman mahkamah.
Maka,
saya adalah hakim yang sangat bijak dan pintar di dalam negara ini, menjatuhkan
hukuman bersalah kepada mereka berdua kerana memiliki keterangan yang telah
memerangkap mereka berdua sendiri. Sebuah kes, yang hanya ada seorang saksi dan
seorang suspek dapat saya selesaikan apabila mereka mengakui kesalahan mereka
itu akhirnya kerana faktor dendam terhadap wanita yang telah mengecewakan
mereka itu. Dan saya juga dapat meneka dengan betul, jerat yang terkena oleh
Yusoff Turkisham adalah milik Sheikh Rosli Sheikh Ahmad. Bermula dari situ,
mereka pasti telah menjadi sahabat yang akhirnya bersubahat.
Cuma
yang saya perlu fikirkan adalah, siapa Sofia Annum Mokhtar dan Suraya Abdul
Majid yang ada di dalam kes ini? Dan sekiranya mereka orang yang sama, siapa
pula Aisyah Mohamad Farid yang menjadi mangsa utama itu sebenarnya? Ah,
rupa-rupanya rubik itu belum berjaya diselesaikan sebenarnya.
(Cerpen ini juga telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris yang diantologi untuk X-Book Short Stories Around the World 2014, seperti gambar di bawah.)
No comments:
Post a Comment