Skrip Drama Radio PEMIMPIN KITA ENCIK TUKIMAN telah berjaya mendapat Tempat Ke-2 dalam PERTANDINGAN MENULIS ANTOLOGI PUISI/SAJAK DAN SKRIP DRAMA RADIO anjuran RTM Labuan fm 2014. Di sini Maharatu sertakan skrip drama radio tersebut dan Alhamdulillah, skrip ini berjaya mendapat perhatian.
PEMIMPIN KITA ENCIK TUKIMAN oleh +Maharatu Rafidah Mohamad +Maharatu Rafidah Mohamad
SINOPSIS
Tukiman, seorang pemimpin di tanah kampung yang diterokai
oleh bapa dan rakan-rakan bapanya suatu masa dahulu. Tukiman mengalami
kemalangan jalan raya dan ketika dia koma, Tukiman bertemu dengan rakan baiknya
iaitu Kadir yang telah meninggal dunia enam tahun lalu. Tukiman berasa bangga
menjadi seorang pemimpin dan menceritakan kejayaannya itu kepada Kadir tetapi Kadir
tidak bersetuju kerana dia bukanlah seorang pemimpin yang benar. Tukiman
menyanggah apa yang diperkatakan oleh Kadir itu dan Kadir menerangkan
kepadanya, bahawa untuk menjadi seorang pemimpin bukanlah terletak pada
kejayaan bangunan tinggi mencakar langit, penduduk yang maju dengan pendidikan,
kemudahan dan kewangan tetapi kejayaan seorang pemimpin adalah terletak pada
kemajuan sesebuah kaum yang ditegakkan maruahnya di jalan yang benar. Tukiman
menyedari kesilapan dan berjanji untuk mengubahnya, kerana selama dia menjadi
pemimpin di tanah kampung itu, dia sentiasa sahaja menerima rasuah untuk
membantu penduduk yang mahukan pertolongan dan turut memberi rasuah untuk
mendapat jawatan sebagai pemimpin tanah kampung tersebut. Akhirnya, Tukiman
menyerah diri dan menerima hukuman penjara selama 25 tahun dan denda.
PELAKON
TUKIMAN Seorang lelaki berusia lingkungan 60-an. Seorang pemimpin di
tanah kampung menggantikan bapanya yang telah membuka tanah kampung.
KADIR Kawan Tukiman. Mereka bersama-sama bekerja menjadi pekerja
asing di Arab Saudi. Memiliki suara yang agak parau dan garau.
JOSHUA Pemaju dan berbangsa Cina.
KAMAL Pemaju dan berbangsa Melayu. Rakan kepada Joshua.
RAJMI Pemaju yang baharu bermula. Berbangsa India.
AISAH Isteri kepada Tukiman. Berbangsa Arab.
ABIDIN Anak kepada Tukiman dan Aisah.
SKRIP
MUZIK:
(Bunyi angin, hujan, kereta bergerak laju dan bunyi
berdentum seperti kereta berlanggar. Kemudian kedengaran siren ambulan.)
TUKIMAN:
Aku datang kepada kamu daripada tahun-tahun yang sangat kering.
Di masa lalu.
MUZIK:
(Bunyi angin berdesir kuat dan perlahan.)
TUKIMAN:
Nama aku Tukiman Abu. Ingat akan namaku. Aku tinggal di
sebuah kampung di mana terletak warna putih di bawah sinar matahari. Mungkin
juga tidak ingat. Tetapi, mungkin kamu ingat tentang isteri saya. Dia seorang
gadis yang aku nikahi ketika aku menjadi pekerja asing di Arab Saudi. Namanya
Aisah. Dan sebenarnya, aku juga adalah seorang lelaki, lelaki terakhir di dalam
keluarga Abu Bin Abi. Orang pertama yang membuka tanah kampung ini.
MUZIK:
(Bunyi angin berdesir kuat dan perlahan.)
TUKIMAN:
Aku dilahirkan semasa Jepun sudah tiba ke tanah ini.
Malamnya, orang kampung sibuk bersembunyi, emak sibuk pula nak melahirkan aku.
Aku juga tidak tahu, kenapa emak beria benar nak melahirkan aku awal ataupun
juga aku memang dah tak sabar nak lahir.
MUZIK:
(Suara anak kecil menangis dan bunyi siren kecemasan
perang.)
TUKIMAN:
Bapa waktu itu turut menjaga rumah bersama dengan anak-anak
buahnya kerana bapa seorang yang dihormati dan dia juga berasal dari golongan
kaya waktu itu. Kerana itulah dia berjaya membuka tanah kampung ini bersama
dengan beberapa teman-teman yang lain. Bapa juga seorang yang pemurah dan baik,
maka itulah penduduk kampung ketika itu semuanya sayang pada Bapa.
MUZIK:
(Suara menyebut dan menyokong nama Abu Bin Abi.)
TUKIMAN:
Aku punya seorang teman. Namanya Kadir. Dia sebaya dengan
aku dan menjadi teman ketika aku menjadi pekerja asing di Arab Saudi beberapa
tahun yang lalu. Kadir adalah seorang lelaki kacukan Pakistan. Bapanya penjual
kain dari kampung ke kampung dan berkahwin dengan emaknya, si Senah, anak
kepada salah seorang teman Bapa.
KADIR:
Tukiman, Bapa aku memang Pakistan, tetapi aku anak jati tanah
kampung ini.
TUKIMAN:
Aku tahu kau anak jati tanah kampung ini. Lelaki terakhir
sama seperti aku. Lelaki terakhir dari keturunan yang membuka tanah kampung
ini.
KADIR:
Maka aku adalah orang seperti kau. Kau jangan salah faham.
Pakistan aku punya kad pengenalan. Bapa aku sudah lama menjadi warganegara
tanah kampung ini.
TUKIMAN:
Aku berbesar hati mendengar katamu Kadir. India, Cina, apa
juga bangsa yang ada di tanah kampung kita ini, adalah warganegara. Mereka
bukan warga asing seperti mana kita di Arab Saudi dahulu.
KADIR:
Aku tahu dengan keadaan itu. Kita tidak makan nasi ketika di
sana. Mahu jumpa ais batu juga susah. Tetapi apa yang kau jumpa Tukiman? Kau
jumpa isteri, Tukiman. Isteri. Kau sebenarnya telah mengkhianati keturunan kita
sendiri.
TUKIMAN:
Aku tidak mengkhianati keturunan aku. Jika aku mengkhianati
keturunan aku, aku rasa, kau juga sendiri telah lama mengkhianati. Emak kau,
Makcik Senah adalah orang pertama yang mengkhianati sumpah sejati tanah kampung
ini kerana telah berkahwin dengan seorang lelaki Pakistan, Bapa kau itu.
KADIR:
Jadi kau mahu salahkan jodoh?
TUKIMAN:
Aku tidak mahu menyalah jodoh. Maka isteri aku, Aisah itu
adalah jodohku yang salah jika aku tidak menerima qada dan qadar Tuhan. Kerana
inilah juga, jangan sama sekali mengatakan kita mengkhianati sumpah sejati
tanah kampung ini kerana telah berkahwin tidak sesama bangsa.
KADIR:
Aku berbesar hati mendengar kata kau itu, Tukiman. Tetapi,
lihatlah sekarang. Adakah kau masih bersama dengan isteri kau Aisah?
TUKIMAN:
Aku bersama dengan Aisah sudah berpuluh tahun. Hanya hari
ini saja aku tidak bersama dengannya. Kau sendiri tahu, kenapa bukan. Aku sudah
tua. Tetapi aku mahu kau tahu, bahawa tua-tua aku ini, aku masih hebat menjadi
pemimpin.
KADIR:
Pemimpin di usia mudamu? Kau menjadi pemimpin di mana?
Bukankah kita berdua menjadi pekerja asing dan terbuang malah tidak memiliki
sebarang dokumen ketika bekerja di Arab Saudi? Kita pulang ke tanah kampung
ini, genap umur kita 40 tahun.
TUKIMAN:
Ya, memang betul tetapi selepas itu aku menjadi pemimpin
menggantikan ketauliahan Bapa.
KADIR:
Jangan bohonglah Tukiman. Aku kenal benar dengan kau. Kita
sama-sama membesar. Jika aku ini perempuan, pasti aku ini sudah menjadi isteri
kau Tukiman.
TUKIMAN:
Aku kira, engkau tidak mengerti maksud aku apa Kadir. Aku ini seorang pemimpin.
Aku kira, engkau tidak mengerti maksud aku apa Kadir. Aku ini seorang pemimpin.
KADIR:
Pemimpin di mana? Di mana?
Pemimpin di mana? Di mana?
MUZIK:
(Bunyi angin dan kedengaran suara orang menangis.)
TUKIMAN:
Kadir! Kadir! Kadir!
KADIR:
Aku di sini Tukiman. Aku tidak akan pergi ke mana-mana.
TUKIMAN:
Aku bimbang sebenarnya. Bimbang mengatakan perkara ini.
KADIR:
Tentang apa? Tentang kisah kau menjadi pemimpin yang
sebenarnya hanyalah cerita kosong itu.
TUKIMAN:
Itu bukan cerita kosong. Aku adalah seorang pemimpin. Aku
adalah lelaki terakhir keturunan tanah kampung, tempat kelahiran kita, Kadir.
KADIR:
Aku mahu bukti Tukiman. Bukti. Apa yang telah kau
laksanakan? Mana? Mana buktinya?
TUKIMAN:
Kau ingat dengan berita yang menggemparkan dua tahun lalu.
Tentang kebakaran rumah seorang nenek tua. Kau pasti dengan berita ini Kadir.
KADIR:
Aku tahu berita ini. Kasihan pada nenek tua itu. Tetapi apa
kaitan cerita itu dengan kau? Kau tiada kaitan dengan nenek tua itu.
TUKIMAN:
Kau mahu bukti Kadir. Aku sudah memberi buktinya kepada kau.
Aku yang membantu membina semula rumah nenek tua itu. Aku orangnya. Aku yang
memberikan bantuan. Aku bagi wang, aku bagi beras, aku bagi papan, aku bagi
zink, aku bagi paku. Malah aku juga mengupah pekerja untuk membina bangun rumah
untuknya.
KADIR:
Jadi itu sudah jelas kau menjadi seorang pemimpin? Tidak
Tukiman. Tidak.
TUKIMAN:
Apa bukti lagi yang kau mahu Kadir? Kau mesti ingat, kalau
dahulu, jalan tanah kampung ini tanah becak. Tempat kita berdua selalu
berkubang bila hujan lebat turun. Kau pasti ingat?
KADIR:
Aku ingat Tukiman. Aku ingat.
TUKIMAN:
Dan sekarang, di mana anak-anak kita boleh bermain seperti
kita dahulu. Jalan tanah kampung ini sudah aku turap dengan simen. Ia duit aku
sendiri. Duit simpanan yang aku simpan ketika kita bersama bekerja di Arab
Saudi dahulu.
KADIR:
Belum cukup untuk kau digelar sebagai pemimpin Tukiman. Belum
lagi.
TUKIMAN:
Aku fikir, kau tidak faham dengan apa yang cuba aku
sampaikan. Aku lelaki terakhir yang akan memimpin tanah kampung tempat
kelahiran kita.
KADIR:
Jadi apa yang harus kau lakukan? Cuba terangkan kepada aku.
Mungkin aku akan faham.
MUZIK:
(Bunyi angin dan suara hiruk-pikuk seperti di bandar raya.)
TUKIMAN:
Aku telah berusaha membangunkan tanah kampung ini Kadir. Kau
sendiri melihat dengan bangunan yang telah pun mencium langit biru itu.
KADIR:
Belum cukup lagi Tukiman. Belum cukup.
MUZIK:
(Bunyi angin dan suara kanak-kanak bermain riang.)
TUKIMAN:
Aku telah berusaha memberikan pendidikan kepada seluruh
anak-anak tanah kampung ini. Mereka juga bebas dan riang bersama. Mereka
semuanya pintar dan bakal menerajui tanah kampung ini seperti apa yang
bapa-bapa kita impikan.
KADIR:
Belum cukup lagi Tukiman. Belum cukup.
MUZIK:
(Bunyi angin dan suara anak-anak muda berbincang tentang
kejayaan.)
TUKIMAN:
Cuba tengok, anak-anak muda kita. Mereka semua berjaya
dengan kehidupan mereka. Aku telah membantu mereka untuk memulakan perniagaan,
memberi mereka rumah yang baharu sahaja berkahwin, aku juga telah memberikan
mereka peluang pekerjaan.
KADIR:
Belum cukup lagi Tukiman. Belum cukup.
TUKIMAN:
Belum cukup apa lagi, Kadir. Aku telah memimpin penduduk
tanah kampung ini menjadi penduduk yang mempunyai visi, misi dan wawasan. Apa
lagi yang belum cukup?
KADIR:
Engkau lupa sesuatu.
TUKIMAN:
Sesuatu?
MUZIK:
(Bunyi angin yang cukup kuat berdesing.)
KADIR:
Tukiman, kau lupa sesuatu yang sangat penting. Kau
melupakannya. Ia sangat penting.
TUKIMAN:
Aku tahu akan maksudmu. Aku tahu. Aku juga telah mendirikan
sebuah di tanah kampung ini dan beratus lagi di luar sana.
MUZIK:
(Bunyi angin dan kedengaran laungan azan.)
TUKIMAN:
Kau dengar itu? Kau dengar laungan azan itu? Kau dengar
Kadir? Dengar?
KADIR:
Aku dengar tetapi adakah kau kira berapa manusia yang
menyahut laungan itu? Ada kau kira?
TUKIMAN:
Kadir, aku tidak perlu mengira berapa manusia untuk masuk ke
dalamnya? Aku tidak punya hak untuk memaksa mereka.
KADIR:
Itu bererti kau bukan seorang pemimpin. Kau bukan pemimpin
Kadir. Bukan.
TUKIMAN:
Aku seorang pemimpin. Aku telah memimpin mereka untuk
menjadi penduduk yang berjaya di tanah kampung ini. Aku telah meletakkan mereka
di satu aras yang tinggi.
KADIR:
Tetapi tidak di sisiNya. Tidak di sisi Allah swt.
TUKIMAN:
Kadir. Kau jangan cuba untuk memprovokasi aku. Aku seorang
manusia dan aku tidak layak untuk memaksa manusia lain untuk menuruti segala
arahanku.
KADIR:
Bukankah kau seorang pemimpin?
TUKIMAN:
Ya, aku seorang pemimpin.
KADIR:
Apakah peranan seorang pemimpin?
TUKIMAN:
Peranan? Aku tidak perlu menjelaskan apa peranan seorang
pemimpin. Aku telah melihatkan semua buktinya kepada kau. Lihat. Lihat Kadir.
KADIR:
Kau lupa Tukiman. Seorang pemimpin yang sejati adalah
pemimpin yang membawa seluruh manusia yang dipimpinnya ke jalan yang benar. Ke
jalan yang satu. Jalan Allah.
TUKIMAN:
Aku memberikan kebebasan kepada semua untuk beragama. Aku
tidak layak untuk memaksa mereka untuk turut serta ke jalan itu. Aku tidak
berhak.
KADIR:
Tetapi kau seorang pemimpin. Kau seorang pemimpin Tukiman.
TUKIMAN:
Ya, aku memang seorang pemimpin.
KADIR:
Apa usahamu untuk membawa mereka yang kau pimpin kembali ke jalan yang satu?
Apa usahamu untuk membawa mereka yang kau pimpin kembali ke jalan yang satu?
TUKIMAN:
Kadir, aku sudah katakan, aku tidak berhak untuk memaksa
mereka.
KADIR:
Maka, kau bukan seorang pemimpin, Tukiman.
TUKIMAN:
Aku seorang pemimpin. Aku seorang pemimpin.
MUZIK:
(Bunyi angin dan suara menyebut Aku Seorang Pemimpin
berulangkali kedengaran.)
KADIR:
Kau bukan seorang pemimpin. Kau bukan seorang pemimpin.
MUZIK:
(Bunyi angin dan suara menyebut Kau Bukan Seorang Pemimpin
berulangkali kedengaran.)
TUKIMAN:
Aku mengaku kalah. Katakan kepada aku, apakah caranya untuk
aku mengubah diri dari seorang bukan pemimpin menjadi seorang pemimpin.
MUZIK:
(Bunyi angin dan suara seruling sayup-sayup kedengaran.)
KADIR:
Kebebasan kaum diperdagangkan untuk selendang kesenangan.
Kita semua buta. Dan aku juga sama.
TUKIMAN:
Aku mengerti maksudmu, Kadir. Aku meletakkan maruah kaum
kita untuk kesenangan. Aku lupa asal usul.
KADIR:
Aku lupa siapa kaumku. Aku mengambil maruah mereka untuk
kesenangan aku di dunia. Aku meletakkan mereka di satu tempat yang agak biadap
dan aku kini turut sama merasai sengsara mereka, Tukiman.
TUKIMAN:
Ya, aku mengerti maksudmu. Kaum tanah kampung ini sudah
tidak sehaluan.
KADIR:
Ada yang bermuka-muka, ada yang acuh tak acuh dan ada juga
menjadi kaki fitnah. Dilakukan untuk kesenangan diri sendiri.
TUKIMAN:
Aku telah memaksa kaum tanah kampung ini melakukan sesuatu
yang bukan mereka mahukan. Tetapi apabila aku menaburkan mereka dengan wang,
mereka pasti akan menurut. Wang...
KADIR:
Ya, wang adalah tuhan di tanah kampung ini. Wang telah
memusnahkan kau sendiri, Tukiman.
TUKIMAN:
Ya, wang. Aku telah menaburkan wang kepada kaum tanah
tampung ini. Aku kaburkan mata mereka dengan wang yang aku beri. Aku bukan
seorang pemimpin yang sejati.
MUZIK:
(Bunyi angin dan bunyi seperti sedang berperang.)
JOSHUA:
Aku tak perlu isi borang tender, pemimpin kita Encik Tukiman
dengan senang hati akan beri projek itu dengan aku.
KAMAL:
Projek menurap tanah menjadi jalan telah ada dalam genggaman
tangan aku, Joshua.
JOSHUA:
Aku tahulah. Kau juga rakan rapat dengan pemimpin kita Encik
Tukiman itu.
KAMAL:
Sesiapa yang sudi menurut kehendak dan syarat-syarat
pemimpin kita Encik Tukiman itu, pasti boleh dapat projek. Mudah. Sekelip mata
kita semua senang.
RAJMI:
Kamal, Joshua, aku dengar kamu berdua sudah dapat projek
ribu-ribu. Wah, hebatlah kamu. Macam mana boleh dapat?
JOSHUA:
Kau usahawan baharu Rajmi. Kalau mahu dapat projek
ribu-ribu, kau mesti kenal siapa pemimpin kita Encik Tukiman.
RAJMI:
Pemimpin kita Encik Tukiman?
KAMAL:
Ya, pemimpin kita Encik Tukiman. Dia adalah salah seorang
anak peneroka tanah kampung ini. Tukiman Bin Abu.
RAJMI:
Apa hebatnya pemimpin kita Encik Tukiman itu?
Apa hebatnya pemimpin kita Encik Tukiman itu?
JOSHUA:
Lihat sahaja dengan kami berdua. Mana-mana projek, kami
dapat. Asal ada fulus... Fulus...
RAJMI:
Fulus? Maksud kamu wang?
KAMAL:
Ya, Rajmi. Wang. Wang adalah Tuhan di tanah kampung ini.
Kalau kamu mahu berjaya seperti kami berdua, kamu kena berkorban. Benda ini
mudah sahaja. Senang macam kacang.
RAJMI:
Kalau aku boleh kaya dan dapat projek sana-sini, aku juga
mahu.
JOSHUA:
Begitulah kawan.
MUZIK:
(Bunyi angin dan kedengaran suara menangis.)
TUKIMAN:
Aku bukan pemimpin. Aku memang majukan kaum tanah kampung
ini tetapi aku telah musnahkan maruah mereka.
KADIR:
Jika benar kau tiada hak ke atas jalan hidup mereka, tetapi
kau punya hak untuk membetulkan jalan hidup keluargamu.
TUKIMAN:
Jalan hidup keluargaku? Kadir, apa maksudmu?
MUZIK:
(Bunyi angin dan suara bingit lagu seperti di kelab malam.)
KADIR:
Inilah yang telah kau letakkan kepada seluruh ahli
keluargamu, Tukiman. Kau terlalu mengejar dunia ini sehingga kau lalai untuk
menjadi pemimpin mereka di akhirat nanti. Lihat anak lelakimu yang akan menjadi
pemberi doa di saat kematianmu nanti.
TUKIMAN:
Abidin... Abidin... Abidin...
ABIDIN:
Oh, Bapa. Mari, sama-sama dengan saya. Bukankah ini yang
Bapa suka. Dunia ini memang seronok. Seronok.
TUKIMAN:
Abidin, pergi dari sini. Pulang! Pulang!
ABIDIN:
Saya tidak mahu pulang, Bapa. Majlis ini baharu sahaja bermula.
TUKIMAN:
Abidin, pulang!
ABIDIN:
Saya tidak mahu pulang, Bapa. Ini dunia yang Bapa ajar
kepada kami selama 20 tahun ini. Inilah keseronokkan kami, anak-anak Bapa.
TUKIMAN:
Bapa tidak pernah mengajar kamu semua jadi begini.
ABIDIN:
Bapa jangan berbohong. Ini kenyataan. Siapa orang pertama
yang membawa saya ke kelab malam ini kalau bukan Bapa? Bapa kata, untuk merai
kejayaan saya. Ah, masa itu umur saya baharu sahaja 13 tahun. Lulus UPSR, Bapa.
TUKIMAN:
Bapa kata pulang!
ABIDIN:
Tidak! Saya tidak mahu pulang. Ini dunia saya. Saya akan
pulang sekiranya Bapa mampu mencari jalan pulang itu nanti.
MUZIK:
(Bunyi angin, suara ketawa Abidin dan suara menangis
kedengaran lagi.)
KADIR:
Adakah kau masih menggelar dirimu sebagai pemimpin?
TUKIMAN:
Aku masih seorang pemimpin Kadir. Pemimpin yang teruk. Engkau mahu tahu sesuatu...
Aku masih seorang pemimpin Kadir. Pemimpin yang teruk. Engkau mahu tahu sesuatu...
KADIR:
Sesuatu?
TUKIMAN:
Ketika aku mencalonkan diri menjadi seorang pemimpin, aku
telah menipu dengan menaburkan wang ringgit kepada mereka semua.
KADIR:
Aku tahu Tukiman. Aku tahu. Aku adalah rakanmu.
TUKIMAN:
Jika kau adalah rakanku, apa yang perlu aku lakukan?
KADIR:
Bagaimana kalau aku katakan, kau sudah terlambat untuk
mengubahnya?
TUKIMAN:
Tidak. Aku tidak terlambat. Aku masih ada waktu. Tolong aku
untuk mengubahnya.
KADIR:
Kau kenal aku. Aku adalah rakanmu. Susah senang kita
bersama. Adakah kau tidak ingat, di mana aku sekarang berada?
TUKIMAN:
Kadir... Kadir... Jangan kau kata, bahawa aku...
KADIR:
Ya, kau bersama dengan aku.
TUKIMAN:
Aku sudah mati?
KADIR:
Ya.
TUKIMAN:
Tidak... Aku belum mati lagi. Dan aku tak boleh mati. Aku
perlu mengubah apa yang telah berlaku. Aku harus hidup! Aku mesti hidup, Kadir!
KADIR:
Kau boleh hidup jika kau berjanji.
TUKIMAN:
Aku berjanji. Aku bersumpah akan kembalikan maruah kaum
tanah kampung ini kembali kepada jalan yang benar. Aku akan menjadi seorang
pemimpin yang benar.
KADIR:
Jika kau ingin menjadi seorang pemimpin yang benar, kau
harus kembali ke jalan yang benar itu semula.
TUKIMAN:
Ya, aku akan kembali ke jalan yang benar. Tuhan tidak akan
membiarkan manusia seperti aku untuk tidak bertaubat. Aku berjanji. Berjanji.
KADIR:
Kau akan kembali setelah mendengar laungan azan itu.
MUZIK:
(Bunyi angin, laungan azan dan suara Tukiman menjerit
memanggil nama Kadir.)
AISAH:
Bang... Bang...
TUKIMAN:
Aisah... Mana Kadir? Abang di mana?
AISAH:
Abang di hospital kerana kemalangan. Syukur Abang selamat.
Abang di hospital kerana kemalangan. Syukur Abang selamat.
TUKIMAN:
Mana Kadir?
AISAH:
Abang... Abang Kadir dah enam tahun meninggal dunia. Kenapa?
TUKIMAN:
Mana anak-anak kita? Abidin?
AISAH:
Mereka semua baharu sahaja balik. Kenapa?
TUKIMAN:
Aisah, Abang bersalah. Selama ini Abang banyak berbuat dosa. Abang telah musnahkan maruah kaum tanah kampung ini. Abang berdosa.
Aisah, Abang bersalah. Selama ini Abang banyak berbuat dosa. Abang telah musnahkan maruah kaum tanah kampung ini. Abang berdosa.
JOSHUA:
Wah, nasib baik pemimpin kita Encik Tukiman selamat.
Wah, nasib baik pemimpin kita Encik Tukiman selamat.
KAMAL:
Ya, dia selamat. Alhamdulillah.
RAJMI:
Ya, satu keajaiban. Ini bererti Tuhan masih mahu pemimpin
kita Encik Tukiman berbakti kepada kita semua.
TUKIMAN:
Ya, Tuhan masih mahu aku hidup. Hidup untuk kembali ke jalan
yang benar.
JOSHUA:
Jalan yang benar? Kenapa selama ini pemimpin kita Encik
Tukiman berada di jalan salah? Oh, mungkin kerana kemalangan sebentar tadi
agaknya.
KAMAL:
Pemimpin kita Encik Tukiman harus berehat.
TUKIMAN:
Tidak. Aku tidak akan melakukannya lagi. Aku harus berhenti.
MUZIK:
(Bunyi angin dan kedengaran suara riuh-rendah.)
HAKIM MAHKAMAH:
Dengan ini, mahkamah memutuskan Tukiman bin Abu bersalah
atas tuduhan menerima dan memberi rasuah sejak tertuduh bergelar pemimpin untuk
tanah kampung ini dan akan menjalani hukuman penjara selama 25 tahun dan denda
lima kali ganda suapan yang diterima menurut Seksyen 16 & 17 (a) dan (b),
Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
MUZIK:
(Kedengaran bunyi ketuk dan bunyi angin berdesir semakin
perlahan.)
No comments:
Post a Comment