JURNAL BLOG
KEALPAAN PENYAIR TERHADAP TUBUH SAJAK
Puisi adalah bentuk seni yang
paling popular di dunia. Ia adalah salah satu genre yang dihasilkan oleh semua
lapisan masyarakat. Ia dihasilkan melalui pengalaman, imaginasi ataupun sesuatu
yang lahir dari kejadian benar. Puisi juga merupakan salah satu cara terapi
yang baik kerana ia boleh membantu kita menyatakan siapa diri kita dan
menyatakan pendapat tentang sesuatu permasalahan. Dan puisi ini terbahagi
kepada dua bentuk, iaitu puisi tradisional dan puisi moden. Puisi tradisional
terdiri daripada pantun, nazam, syair, seloka dan sebagainya. Manakala puisi
moden pula hanya sajak.
Sejak ratusan tahun dahulu,
golongan bangsawan memegang genre popular ini dan hanya orang tertentu
sahaja yang dapat mendeklamasikan sajak ini di hadapan golongan bangsawan.
Tetapi ketika ini, sesiapa juga mampu menghasilkan sajak namun, tidak semua
yang mampu menghasilkan sajak yang akan dikenang sampai bila-bila.
Ada beberapa tubuh sebenarnya
dalam mendirikan sesebuah sajak yang kukuh. Malah, sajak juga memerlukan tubuh
yang kuat, sihat, cergas dan sempurna. Namun penyair yang lebih bersifat
bereksperimen terhadap sajak mereka, mereka akhirnya lebih mengutamakan
eksperimen mereka dan juga masih belum matang dalam menghasilkan setiap baris
perkataan yang dipilih. Ini juga mungkin terjadi, kerana sajak itu sendiri
memiliki sifat keghairahannya yang tersendiri untuk mengangkat sajak itu
menjadi sesuatu yang baharu daripada yang lebih baharu.
Oleh itu, di sini, diberikan
beberapa TUBUH membuat sajak yang sebenarnya sudah lama diketepikan oleh penyair.
Semoga, tubuh-tubuh yang telah dilupakan ini, dapat dijadikan sedikit panduan
untuk para penyair yang sangat berminat dengan genre puisi ini iaitu sajak.
TUBUH 1 : PILIH TOPIK.
Pertama sekali, penyair harus
memikirkan subjek untuk menulis. Sebagai contoh, subjek berbentuk cinta. Ia
tidak perlu menjadikan penyair itu seorang yang romantis. Malah, penyair yang
bersifat tegas juga boleh menghasilkan sajak sebegini. Subjek berbentuk cinta
ini boleh melibatkan rasa cinta kepada ibu bapa, adik-beradik, alam, rakan,
haiwan dan juga kepada Tuhan.
Contoh :
-
Subjek cinta yang diambil adalah –
Ibu.
TUBUH 2 : SOALAN.
Setelah penyair memilih subjek
iaitu Ibu, penyair harus memikirkan tentang ibu dan cinta penyair kepada ibunya.
Pastikan soalan-soalan itu berbentuk positif dan tanyakan kepada diri, apakah
soalan-soalan tersebut.
Contoh :
-
Apa yang diperlukan untuk menjadi
seorang ibu?
-
Apakah ibu anda bermakna kepada
anda?
-
Apakah perkara-perkara yang telah
ibu anda lakukan untuk anda yang anda hargai?
-
Apa perbezaan ibu anda daripada
ibu yang lain?
-
Apa yang anda suka mengenai ibu
anda?
-
Apakah perasaan anda terhadap
jawapan terhadap soalan-soalan ini?
Setelah itu, penyair harus meletakkan
jawapan kepada soalan-soalan tersebut mengikut rasa emosi cinta penyair.
Pastikan penyair berfikir secara positif.
TUBUH 3 – MULA MENULIS SAJAK ANDA.
Penyair harus memulakan sajak
penyair mengikut jawapan yang diberikan di dalam bentuk gaya bahasa yang indah.
Penyair boleh menyatakan sesuatu seperti :
Contoh :
Ibuku sangat bermakna kepadaku
dia telah mengalas ribuan
pengorbanan
cintanya lebih besar dari
segalanya.
Setelah penyair memiliki baris
sajak ini yang akan disambung ke baris-baris seterusnya, maka penyair sudah
berjaya menghasilkan sebuah sajak.
TUBUH 4 –
SELESAI DRAF PERTAMA ANDA.
Adalah penting untuk draf pertama,
ditulis dengan secepat mungkin, kerana idea itu boleh sahaja hilang bila-bila
masa. Di sini, penyair bebas menggunakan apa sahaja bahasa dan tidak perlu
risau dengan tatabahasa, ejaan, bentuk dan sebagainya.
TUBUH 5 –
KAJIAN DAN TULIS SEMULA.
Apabila sudah mempunyai draf
pertama, kini penyair boleh menyemak apa yang telah ditulis dan mula membentuk sajak
yang betul. Ingat, puisi moden iaitu sajak tidak perlu memiliki rima. Bagi
memiliki klimaks yang sempurna, penyair harus menekan di baris terakhir sajak yang
memastikan identiti sebagai seorang penyair yang mengangkat subjek di dalam sajak
tersebut diletakkan pada satu aras yang tinggi supaya sajak yang dihasilkan itu
akan dikenang sampai bila-bila. Apa yang penting, tiada puisi kedua yang sama
kerana ia sama seperti penyair sendiri, tidak mungkin ada orang lain yang sama
seperti anda. Itulah keindahan sajak.
Sajak akan lebih indah apabila penyair
masuk ke dalamnya dan menjadi sebahagian daripada sajak tersebut. Memang, sajak
bukan sahaja untuk diri penyair tetapi juga untuk orang lain, oleh itu,
terletaklah di sini tugas penyai membentuk baris-baris perkataan yang akan
memudahkan pembaca memahami dan pastikan sajak itu bukan sahaja penyair yang
faham tetapi sesiapa juga akan memahami walau hanya membacanya sepintas lalu. Ini
adalah salah satu ganjaran yang besar untuk menjadi penyair. Ia membantu penyair
untuk menyatakan diri sendiri dan membantu orang lain untuk memahami dirinya.
Setelah berjaya menulis sajak
berbentuk sebegini, penyair boleh berfikir tentang subjek yang lain. Senarai
subjek ini tiada batasan. Penyair boleh pergi ke mana sahaja melalui sajak anda,
penyair tidak perlu terikat dengan puisi-puisi yang terlalu banyak bermain
dengan kata-kata, tidak serius dan tidak matang. Apa yang diperlukan, hanya
pen, sehelai kertas dan imaginasi anda.
Semoga panduan yang diberikan
secara ringkas ini, akan dapat membantu menambah pengetahuan kepada para
penyair dan janganlah pula ia dipandang remeh kerana yang sedikit itulah yang
akan menjadi banyak.
No comments:
Post a Comment