Hanya Kenangan Remix MV by Imran Ajmain.
SEMUANYA UNTUKMU
SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI MAHARATU RAFIDAH MOHAMAD. SEMOGA GEMBIRA HENDAKNYA DAN SEMUANYA UNTUKMU.
Friday, 21 June 2013
Thursday, 20 June 2013
PREVIEW i-NOVEL MALAIKAT DUNIA oleh MAHARATU RAFIDAH MOHAMAD
Preview i-Novel MALAIKAT DUNIA oleh +Maharatu Rafidah Mohamad terbitan +Eyeroom Editor & Publisher 2013
PROLOG
“Ceraikan Alijah…” Sophian tergamam mendengar kata isterinya, Alijah
itu. Alijah memangku anak sulung mereka, Haaris yang baharu sahaja berumur
setahun lebih itu.
“Kenapa?” Begitu
serak sekali suara Sophian menuturkan pertanyaannya itu. “Alijah dah tak
sanggup hidup bersama dengan Abang lagi?” Alijah menarik nafas dalam.
“Ya, memang saya
dah tak sanggup lagi. Saya penat hidup begini. Kais pagi, makan pagi. Kais
petang, belum tentu kenyang. Saya nak hidup bebas.” Alijah masam mencuka.
Sophian tunduk lagi.
“Alijah tak
sayangkan Haaris?” Alijah merenung wajah anak mereka itu. Alijah bingkas
berdiri. Sophian tidak mampu menghalang kehendak isterinya itu. Sophian
merenung pula wajah anaknya itu.
¤¤¤¤¤¤¤¤¤
“Inilah rumah
kita…” Alijah tersenyum gembira melihat isi rumah yang cukup berbeza dari
sebelum ini.
“Terima kasih
Abang.” Alijah memegang tangan suaminya itu. “Ijah cukup gembira sekali.”
Mereka berbalas senyum.
“Demi anak kita.”
Mereka tertawa mesra.
¤¤¤¤¤¤¤¤¤
“Bagaimana dengan
anak kami, Doktor Yakob?” Doktor Yakob menghembus nafas perlahan.
“Beginilah Encik
Akbar dan Puan Masriati…” Mereka serentak berpandangan sesama sendiri. “Biar
saya berterus-terang, anak Encik dan Puan sebenarnya tak ada apa-apa sebarang
penyakit. Mindanya juga cukup sihat cuma apa yang diperlukan di sini adalah
perhatian. Mungkin, dia lambat untuk bercakap tetapi sekiranya kita sentiasa
membawa dia berbual, bercerita, insyaAllah, dia akan berubah. Dia cukup sihat
sekali. Tak perlu bimbang.” Jelas Doktor Yakob membuatkan Akbar berkerut dahi.
“Tetapi, dia sudah
berumur lima
tahun. Takkan masih tak boleh nak bercakap. Takkan dia bisu…” Begitu sukar
Akbar menuturkan kata itu dan Masriati sempat memegang tangan suaminya itu.
“Tidak. Dia tidak
bisu. Sebenarnya, dia sihat. Seperti yang saya katakan tadi. Tumpukan perhatian
kepadanya, ajak dia berbual, bercerita, memberikan interaksi kepadanya, saya
yakin dia akan mula bersuara. Saya akan tempatkan dia di kelas terapi dan Encik
Akbar serta Puan Masriati juga boleh menyertainya.” Mereka berdua berpandangan
sesama sendiri dan terpaksa mengangguk untuk mengerti walaupun mereka masih
belum mampu memahami ke semuanya.
¤¤¤¤¤¤¤¤¤
“Encik Nazhif Ammar
Bin Akbar Ammar.” Nazhif memandang isterinya setelah namanya dipanggil oleh
jururawat hospital itu. Isterinya memberikan keyakinan kepadanya. Nazhif
berdiri dan dia tidak sengaja melanggar seorang wanita. Isterinya bingkas
berdiri membantu suaminya.
“Maafkan saya.”
Nazhif cepat membantu. Wanita itu menggelengkan kepalanya dan melangkah semula.
Nazhif berdehem lemah dan memerhatikan sahaja langkah wanita itu yang agak
tidak stabil. Mata Nazhif berbekas bayang di lantai. Sehelai sapu tangan
terampai dan cepat Nazhif mengambilnya. Dia mencari susuk tubuh wanita yang
mungkin baharu sahaja melepasi usia 20-an tetapi tidak kelihatan. Sapu tangan
itu digenggam di dalam tangan.
“Awak tak apa-apa
ke? Nak saya tolong?” Nazhif mencuka mendengar pertanyaan isterinya itu.
“Ni bukan benda
main-main.” Nazhif tidak mengendahkan dengan tawa isterinya itu. Jururawat itu
masih menunggunya.
“Saya isteri awak.
Salah ke?” Nazhif menggelengkan kepalanya dan menghampiri jururawat tersebut.
“Jangan kacau suami saya ya…” Jururawat itu hanya tersenyum malas. Nazhif pula
mendengus kasar.
BAB 1
Sebuah kereta Porcshe diparkir kemas di tempat yang sentiasa
dikhaskan untuknya. Daun pintu terkuak kemas dan sepasang kaki melangkah
keluar. Kasut Bonia itu berkilat. “Selamat pagi Tuan.” Seorang lelaki melangkah
keluar dari kereta dan cepat tersenyum. Bingkai cermin mata sempat dinaikkan.
“Boleh saya tolong Tuan?”
“Tak perlu Johan.
Terima kasih.” Daun pintu kereta ditutup perlahan. Baju kot dikemaskan. Bunyi
kereta berkunci kedengaran. Johan mengangguk hormat. Kaki kemas melangkah masuk
ke dalam sebuah bangunan yang juga sebenarnya adalah miliknya. Para pekerjanya semua tunduk hormat kepadanya dan dia
sentiasa mengukirkan senyuman.
“Selamat pagi
Tuan.”
“Selamat Pagi Mak
Ju.” Mak Ju tersenyum sambil menyorong troli berisi mop dan baldi. Daun pintu
lif terkuak. “Saya pergi dahulu.” Mak Ju mengangguk gembira dan meneruskan
tugasnya membersihkan bangunan itu.
Daun pintu lif
terbuka semula. Dia melangkah keluar dan bingkai cermin mata sempat dinaikkan
untuk kali kedua. Para pekerja di tingkat
utama itu cepat berdiri memberikan hormat kepadanya. “Selamat pagi Tuan.”
Setiausahanya bergegas mengejarnya sehingga ke dalam bilik pejabat.
Dia cepat duduk dan
menarik kerusi menghampiri meja. Dia membelek fail yang sudah terampai di atas
meja. “Ada
apa-apa hal hari ni, Maria?” Maria berdehem perlahan dan menekan di kaca Ipad.
“Hari ini Tuan
Nazhif ada mesyuarat dengan pihak Kementerian Pelajaran untuk iklan pendidikan
yang telah diberikan kuasa kepada kita untuk menjalankannya.” Nazhif memandang
Maria. “Selain itu, tiada lagi.” Dia mengangguk.
“Baiklah, awak
ingatkan saya mengenainya. Terima kasih Maria dan tolong panggilkan Ismet.”
Maria mengangguk dan melangkah keluar. Nazhif tersenyum dan menarik sebatang
pen. Dia mula merenung isi fail yang berisi segala maklumat bagi promosi
pengiklanan yang akan ditandatangi bulan hadapan. Daun pintu diketuk perlahan.
“Masuk.”
Ismet bergerak
masuk dan tersenyum. “Ada
apa Tuan Nazhif panggil saya?” Nazhif memandang Ismet yang sedang tersenyum
kepadanya. Dia membalas senyuman tersenyum.
“Awak dah dapatkan
kura-kura yang saya mahukan?” Ismet berdehem perlahan.
“Saya tengah tunggu
kura-kura tu sampai.” Nazhif membetulkan lagi bingkai cermin matanya.
“Sampai bila?”
“InsyaAllah, minggu
depan. Maklumlah kan
kura-kura lambat jalan.” Ismet tersengih sumbing apabila Nazhif memandangnya
agak sinis. Ismet cepat menelan senyumannya dan menganggukkan kepalanya sekali
mematikan pandangan sinis Nazhif itu.
“Dan awak dah dapat
cari penulis tu?” Ismet menarik nafas dalam.
“Maksud Tuan Nazhif,
Maharatu?” Ismet bertanya agak janggal bunyinya.
“Yalah, habis tu
siapa lagi?” Ismet tertawa kecil.
“Saya tak berjaya
menjejakinya Tuan Nazhif. Susah nak mengesan
pergerakan beliau.” Nazhif mengeluh lemah. “Kenapa Tuan Nazhif masih nak
mencari dia? Sedangkan dia dah menghilang. Lagipun, dia tak suka dengan Tuan
Nazhif kan …”
Nazhif memandang Ismet tajam dan Ismet cepat mengalihkan pandangannya kepada
pen yang dipegang oleh Nazhif.
“Bukan itu
masalahnya Ismet. Ah, biarkanlah. Lupakan. Saya nak awak mesti pastikan,
kura-kura itu akan ada minggu depan. Kalau tak ada, awak akan jadi
kura-kuranya.” Ismet mengangguk malas. Nazhif menghembus nafas perlahan.
¤¤¤¤¤¤¤¤¤
Bekas makanan
berisi kuih karipap disusun kemas di sisi bekas makanan berisi kuih kukus kelapa.
“Rielda…”
“Ya, Mak Tuah.” Mak
Tuah menyerahkan bekas makanan yang berisi dengan mee goreng yang sudah
dibungkus dengan plastik yang bersusun kemas. Sharielda menyambutnya kemas.
“Sekejap lagi nak
waktu rehat.” Sharielda mengangguk. Mak Tuah membetulkan susunan nasi lemak di
dalam bekas makanan.
“Hai Mak Tuah.” Mak
Tuah tergelak kecil. Sharielda berlalu pergi.
“Cikgu Eugene… Apa
khabar hari ni?” Eugene
tersenyum mesra.
“Sihat sahaja Mak
Tuah. Mak Tuah nampak lawa hari ni. Ada
apa-apa ke?” Eugene cuba mengusik.
“Ada-ada sajalah
Cikgu Eugene ni. Mak Tuah ni memang lawa hari-hari.” Mereka serentak ketawa.
“Cikgu Eugene nak makan apa hari ni?”
“Ada apa yang istimewa?” Tanya Eugene mesra.
“Semuanya istimewa
Cikgu Eugene.” Mereka serentak ketawa lagi. Sharielda membersihkan meja sebelum
meletakkan besen besar yang berisi bungkusan plastik minuman sirap. Eugene memandang Sharielda
melirik.
“Saya rasa nak
makan kuih sahaja. Masih kenyang dari sarapan pagi tadi di rumah.” Jelas
Eugene.
“Siapa yang masakkan?”
Mak Tuah menyeloroh kata. Eugene
tertawa.
“Ibu saya datang
dari Sabah semalam.” Mak Tuah mengangguk
mengerti. Mak Tuah mengambilkan piring dan menyerahkannya kepada Eugene .
“Kedua-dua orang
tua Cikgu datang sekali ke?” Eugene
menyepit kuih karipap.
“Ya. Mereka datang
bercuti sebenarnya ke sini. Kata mereka nak melawat Istana Seri Menanti.” Mak
Tuah mengangguk. Sharielda menyibukkan dirinya.
“Nak minum apa?”
Mak Tuah sempat bertanya di dalam perbualan mereka itu.
“Macam biasa Mak
Tuah.”
“Rielda, teh susu
untuk Cikgu Eugene.” Sharielda mengangguk dengan senyumannya. Eugene mengulum senyumnya memandang
Sharielda.
“Saya duduk dulu
Mak Tuah.” Mak Tuah mengangguk. Seketika kedengaran bunyi loceng berbunyi
nyaring. Dan dalam beberapa minit kemudian, kantin yang sunyi itu riuh rendah
dengan suara para pelajar yang sedang meningkat naik usia itu. Eugene mula menjamah kuih
karipap kemas di bibirnya yang agak merah jambu itu.
“Hai Cikgu Eugene…”
Eugene
tersenyum dengan teguran pelajar lelaki kepadanya. Eugene melirik pandang kepada tingkah
Sharielda. Salah seorang pekerja di kantin itu menghampirinya dan meletakkan
gelas berisi teh susu. Eugene
mengangguk terima kasih.
“Boleh kami duduk
di sini Cikgu?” Eugene
tersentak dengan pertanyaan mesra itu. Seorang pelajar perempuan tersenyum
kepadanya. Eugene
pantas mengangguk. “Terima kasih Cikgu.” Mereka yang bertiga itu serentak duduk
berdepan dengannya. Eugene
masih melirik pandangannya kepada Sharielda yang tertawa dengan pelajar-pelajar
yang sedang membeli itu.
¤¤¤¤¤¤¤¤¤
“Puan Sri yakin
untuk membeli Butik Moonlight?” Jenny memegang fail kemas di dada. Jemari
bermain-main di atas meja. “Kita semua tahu yang Moonlight mengalami defisit…”
“Tetapi bukan yang
teruk. Saya memang nak membelinya kemudian akan memajukannya semula.” Jenny
mengangguk perlahan. “Aturkan janji temu saya dengan pemilik Moonlight segera.
Katakan saya ada tawaran istimewa untuknya.”
“Baik Puan Sri
Hasmida.” Hasmida tersenyum. Jenny cepat menaip arahan majikannya itu di dada
Ipad.
“Dan saya nak awak
aturkan satu janji temu istimewa saya dengan suami saya malam ini.” Jenny
tersenyum tidak mengerti.
“Puan Sri nak saya
aturkan yang bagaimana?”
“Istimewa. Yang
cukup istimewa.” Jenny mengangguk mula mengerti. Hasmida tersenyum kecil.
“Baiklah Puan Sri. Ada apa-apa yang saya
perlu lakukan lagi?” Hasmida menggelengkan kepalanya pantas. Jenny mengangguk
dan melangkah keluar.
¤¤¤¤¤¤¤¤¤
“Mak… Ella
laparlah…” Zuriella menghempaskan punggungnya di kerusi deras. Kakinya
dinaikkan ke atas. “Dah nak petang ni. Perut dah berkeriuk sakit.” Zuriella
mengomel malas. Kain disentap dihempas di atas meja makan bersama dengan
perasaan geram. Bahu Zuriella tergerak ke atas.
“Boleh tak Ella
jangan merengek macam budak kecil. Mak rimas tahu tak. Rimas.” Alijah bercekak
pinggang geram. Zuriella menjeling bersama dengusan kasar.
“Assalammualaikum…”
Mereka serentak memandang ke muka pintu dapur. Salam tidak bersahut.
“Kenapa kau lambat
balik, ah?” Alijah mencebik geram. Sharielda meletakkan bekas makanan di atas
meja. Zuriella cepat menarik dan membuka.
“Takkan kuih saja
yang kau bawa balik, ah?” Herdik Zuriella dan menghempas bekas makanan itu.
“Ini saja yang
tinggal. Semuanya dah habis.” Jawab Sharielda teragak-agak.
“Ah, kau tu memang
begitu. Takkan kau tak boleh nak simpankan untuk aku.” Sharielda menarik nafas
dalam mendengar herdikan Zuriella itu. Dia menuju ke peti sejuk dan menuang air
ke dalam gelas.
“Berapa yang kau
dapat hari ni?” Sharielda meneguk perlahan air sejuk tersebut. Dia memandang
Alijah, emaknya itu.
“Bolehlah untuk
bikin pusing modal.” Masih juga Shari elda
teragak-agak menjawab.
“Yalah, berapa?”
Pekik Alijah lagi dengan tangan yang masih bercekak pinggang.
“Dalam RM 100.”
Zuriella melirik pandang kakaknya itu. Alijah menarik nafas dalam.
“Mak nak pinjam…”
Sharielda mencuci gelas itu dan meletakkannya ke dalam besen. Sharielda
mengeluarkan dompet dari poket skirt panjangnya itu. Alijah dan Zuriella
memandang tajam. Dia mengeluarkan dua keping wang not RM 50 dan menyerahkannya
kepada Alijah. Mata Alijah jelas melihat beberapa keping wang lagi tersimpan di
dalam dompet tersebut. Cepat tangannya merampas beg anaknya itu. “Kau kata
seratus. Ni apa…” Alijah cepat mengeluarkan isi dompet itu.
“Jangan Mak. Itu
untuk modal jualan esok.” Sharielda berkeras cuba merebut dompetnya semula.
Zuriella bingkas berdiri dan membantu emaknya.
“Takkan tu pun kau
tak boleh nak bagi pinjam?” Zuriella menolak kakaknya. Sharielda terundur ke
belakang dan bergesel dengan bucu kerusi. Dompetnya diragut keras isinya di
mata Sharielda ketika ini. Alijah mengira wang tersebut.
“Seratus? Ni
semuanya ada tiga ratus.” Herdik Alijah geram dan tangannya pantas menampar
kasar di perut Sharielda sambil dompet dibaling ke muka Sharielda. Wang
ditangannya juga dirampas keras. “Sejak bila kau pandai menipu ni ah? Siapa
yang ajar kau?” Alijah cepat menampar kepala Sharielda. Zuriella tersenyum
mengejek. “Aku tak pernah ajar kau menipu orang tua. Kurang ajar punya anak.”
Sekali lagi Alijah menampar kepala Sharielda. Sharielda tidak melawan. Alijah
mendengus kasar dan melangkah pergi. Zuriella tertawa dan membontoti emaknya
itu.
Sharielda menarik
nafas dalam. Dia melihat dompetnya hampir sahaja terkoyak besar itu. Dia
merenung bekas makanan yang berisi kuih tersebut dengan jemarinya meramas agak
perlahan di bahagian perut. Dia memejamkan matanya malas. Dia mengakui memang
itu yang akan berlaku kepadanya. Setiap hari.
¤¤¤¤¤¤¤¤¤
“Terima kasih. Kami
cukup berpuas hati dengan hasil pembentangan sebentar tadi. Kami juga yakin yang
Legendary mampu memberikan hasil yang memuaskan.” Nazhif menerima salam itu.
“Kami sentiasa
melakukan yang terbaik.” Nazhif menghembus nafas perlahan dan bibirnya masih
juga terukir dengan senyuman. Maria yang berdiri di sebelahnya tersenyum kecil.
Ismet berbual dengan salah seorang dari Kementerian Pelajaran tersebut.
“Silakan untuk
menjamu minuman petang.” Ajak mereka mesra. Nazhif mengangguk.
“Tuan Nazhif…”
Maria bersuara perlahan. “Saya menerima panggilan yang Tuan Nazhif ada janji
temu pada malam ini. Lapan malam di Hotel Concorde.” Berkerut wajah Nazhif
mendengarnya. Mereka yang berjalan beriringan membontoti itu terhenti seketika.
Ismet menghampiri dan terpandang akan seseorang.
“Saya akan bertemu
dengan siapa?” Maria tersenyum mesra.
“Katanya adalah
rahsia. Tetapi pertemuan ni penting sekali. Tuan Nazhif jangan bimbang.” Maria
tertawa kecil kerana dia yang sudah tahu, siapakah yang bakal ditemui oleh
majikannya malam ini membuatkan Nazhif menarik nafas dalam yang terasa
menyendat di dadanya.
“Tuan Nazhif…”
Nazhif memandang Ismet. Ismet menunjukkan jarinya ke hadapan. Nazhif menurut
arah dan bulat matanya memandang. “Penulis tu…” Nazhif berkalih dan cepat
mengejar. Maria dan Ismet bergerak rapat.
“Maafkan saya,
kenapa?” Maria dan Ismet hanya berdiam diri dengan pertanyaan wakil dari
Kementerian Pelajaran tersebut.
¤¤¤¤¤¤¤¤¤
Sharielda
mengeluarkan sesuatu dari poket skirt. Dia tersenyum dengan dirinya sendiri.
Baharu kali ini dia terfikir mengenainya. Dia membuka lipatan getah yang
mengikat gulungan beberapa keping wang tersebut. Dia mengira sekali lagi. Genap
wang itu sebanyak RM 450, hasil jualan untuk minggu lalu yang dia tidak kutip
dari Mak Tuah.
“Bolehlah aku buat
modal untuk minggu depan.” Sharielda tersenyum gembira. Sharielda memasukkan
wang tersebut ke dalam tabung ayam dan memasukkan tabung tersebut ke dalam
kotak yang ditarik dari bawah katil. Dia mengangkat sebuah kotak kecil. Dia
duduk menyandar birai katil. Kotak itu dibuka penutupnya. Sekeping kertas
berlipat kemas. Kertas itu diangkat keluar dan dibuka lipatannya.
Matanya kaku dan
hatinya disiat sayu membaca setiap butir perkataan yang tertulis di dada kertas
tersebut. “Aku terpaksa melakukannya.” Logo berbentuk palang merah itu
direnungnya. “Mungkin, dia sudah besar ketika ini.” Air mata yang gugur cepat
disekanya dan dia tersenyum. Kertas itu dicium mesra. Daun pintu diketuk
membuatkan Sharielda kaget. Kertas itu dilipat kemas dan dimasukkan semula ke
dalam kotak. Kotak yang memuatkan kertas itu disimpan ke dalam kotak semula di
sisi tabung ayam dan ditolak ke bawah katil semula. Sekali lagi daun pintu
diketuk. “Sekejap.” Laung Sharielda. Dia berdiri membetulkan dirinya. Daun
pintu dikuak perlahan. “Oh, Ayah… Ingatkan siapa tadi. Masuklah.” Sharielda
tersenyum kepada ayahnya itu, Sophian.
“Maaflah kalau
ganggu Rielda.” Sophian berdiri di muka pintu bilik anaknya itu.
“Eh, taklah. Bila
Ayah balik? Tak dengarpun bunyi lori.” Sophian ketawa dan membuka topinya.
“Ayah nak Rielda buatkan minuman ke?”
“Tak apa Rielda.
Ayah baru sahaja minum tadi kat warung Wak. Mana Mak dan adik Rielda?”
Sharielda berdehem perlahan.
“Agaknya mereka
keluar.” Sophian mengangguk dan menghulurkan beg plastik kepadanya. “Apa ni?”
Sophian tertawa mesra.
“Yang dipesan oleh
Rielda sebelum Ayah pergi ke Kelantan tiga hari lepas. Takkan dah lupa…”
Sharielda tergelak mengingatinya. “Keropok lekor… Masih segar lagi ni.”
“Terima kasih
Ayah.” Sharielda melihat isinya. “Banyaknya Ayah…” Sophian ketawa dan menyentuh
ubun kepala anaknya itu. Sharielda tersenyum gembira.
“Ayah bangga ada
anak macam Rielda.”
“Rielda yang bangga
sebenarnya sebab ada Ayah…” Mereka berbalas senyum. “Emm… apa kata kalau Ayah
pergi mandi, Rielda pergi goreng keropok lekor dan kita boleh minum petang
sama-sama.” Sophian tergelak lagi dan mengangguk. Sharielda tersenyum gembira.
BAB 2
i-Novel Terbaharu daripada +Maharatu Rafidah Mohamad terbitan Eyeroom Editor & Publisher.
MALAIKAT DUNIA
Tuesday, 22 January 2013
Tuesday, 15 January 2013
HEAVEN UNTUK ANDA
KINI HEAVEN BOLEH DIMILIKI !
HEAVEN karya oleh +Maharatu Rafidah Mohamad yang telah dilancarkan pada 14 Januari 2013 kini sudah boleh dimiliki oleh anda.
Untuk menempah CD i-Novel HEAVEN, boleh email kepada saya di maharaturafidahmohamad@gmail.com atau bolehlah inbox saya di www.facebook.com/lamanrasmimrmd untuk sebarang urusan tempahan.
Harga sebuah CD i-Novel HEAVEN adalah RM 38.
Saturday, 12 January 2013
SNEAK PREVIEW HEAVEN
SNEAK PREVIEW
HEAVEN oleh +Maharatu Rafidah Mohamad
HEAVEN PROLOG
Sebuah kereta berjenama Ferrari putih itu cepat meluncur masuk ke sebuah laman yang luas yang dikelililingi bunga mawar yang sedang berkembang hebat. Daun pintu dikuak deras setelah diparkirkan tepat di hadapan kaki lima rumah yang turut luas itu. Cepat sahaja kaki bergerak. Kasut Salvatore itu begitu kemas dihentakkan ke lantai. Kaki yang bergerak itu sebenarnya berentak laju iaitu berlari. Anak tangga didaki laju dan ada dua tiga anak tangga ditinggalkan langkah. Kaki semakin cepat berlari.
Daun pintu diselak deras. Bersembur anak mata memandang kepadanya. “Bagaimana dengan Ayah?” Katil diterpa hebat. Terbaring seorang lelaki yang sudah berusia sedang nazak. “Kenapa tak panggil Doktor Mazli?” Tangan dipegang erat. “Ayah…”
“Doktor Mazli baharu sahaja merawat Yang Mulia…” Seorang lelaki yang berpakaian kemas berkot hitam itu tunduk hormat.
“Apa katanya?” Tiada sebarang jawapan yang dituturkan tetapi hanya suara berdengung. “Apa katanya Encik Rahmat?” Rahmat memandang kepada rakan mereka yang berdiri di dalam bilik yang besar itu.
“Doktor Mazli kata, Yang Mulia hanya mampu bertahan sehingga malam ini.” Tangan bertambah erat dipegang. Tekak bergerak menelan air liur secara paksa.
“Ayah…” Sekali lagi mata menerpa ke arah muka pintu. “Bagaimana dengan Ayah?”
“Kita hanya berdoa, Ayah akan selamat, Im…” Mata terpejam rapat terasa sebak memandang sekujur tubuh yang terbaring lemah itu.
“Ibu di mana?”
“Yang Mulia Tengku Abadiah ada di bilik bacaan cuba ditenangkan oleh Puan Fatimah, Tengku Imran.” Jawab Rahmat juga turut sebak. Imran mengangguk. “Kami minta diri dulu Tengku Imran dan dan Tengku Jeffry.” Mereka berdua mengangguk. Rahmat mengarahkan rakan setugasnya keluar.
“Adakah Yang Mulia Tengku Johari akan meninggal dunia malam ni, Encik Rahmat?” Rahmat terhenti tingkah. Dia yang selaku ketua pembantu rumah itu mendengus kasar.
“Cik Anna… Bolehkah jangan berkata sesuatu yang tidak baik ketika ini?” Rahmat membentak geram. Anna cepat tunduk. “Lebih baik kita kerjakan apa yang sepatutnya diusahakan.” Anna mengangguk lemah. Mereka yang lain juga menurut. Rahmat melangkah pergi.
“Nampaknya, Yang Mulia takkan mampu bertahan. Dia dah nazak.” Seorang lelaki berbisik ke arah Anna. Dia yang ditugaskan sebagai valet rumah itu tertawa sinis. Anna melihat rakannya yang lain hanya mengangkat bahu.
»»»»»
Kotak yang boleh dikatakan berat itu diangkat lalu diletakkan di atas kerusi. Penutupnya dibuka. Tersusun kemas botol syampu yang sudah dikira stoknya oleh pengira stok semalam. Botol syampu berwarna putih itu diangkat dan penanda harga didekatkan ke badannya. Botol syampu itu diletakkan kemas di ruang rak yang sudah disediakan. Tingkah itu berulangkali dilakukannya dengan kemas sekali.
“San, kau dah buat apa yang aku suruh?” Laung suara seorang lelaki kedengaran di mini pasaraya itu.
“Sudah…” Laungnya menjawab seraya mulutnya terkumat-kamit dengan dirinya sendiri.
Kedengaran bunyi loceng pintu kedai menandakan pelanggan melangkah masuk. Lelaki yang menjaga kaunter bayaran yang melaung bertanya tadi tunduk senyum kepada seorang remaja lelaki bertopi dan berjaket.
Remaja lelaki itu berjalan menyusur lorong-lorong rak barangan tersebut. Matanya keliar memandang sekeliling walaupun pada ketika itu kedai tersebut tidak berpelanggan. Dia berdiri di hadapan rak yang tersusun alat kosmetik. Tangannya mengangkat pewarna rambut. Dia membelek kotak pewarna rambut tersebut. Matanya memandang sekeliling sekali lagi dan cepat sahaja matanya memasukkan kotak pewarna rambut itu ke dalam jaket bajunya.
Dia bergerak dan mengangkat pula gel rambut. Dia membelek lagi dan cepat sahaja dia memasukkan ke dalam jaket semula yang sebenarnya mempunyai poket baju itu. Dia berundur dan menuju ke rak yang menyimpan makanan snek. Dia menarik plastik keropok Twister warna hijau. Dan dia berjalan menuju ke kaunter. Lelaki yang menjaga kaunter tersenyum dan mengira apa yang dibeli olehnya.
“Berapa?” Tanyanya. Lelaki itu tersenyum lagi.
“Semuanya RM 75…” Terbeliak mata remaja lelaki itu memandang ke arahnya.
“Apa? RM 75? Biar betul… Keropok ni takkan berharga RM 75 pula…” Remaja lelaki itu menengking.
“Oh… itu termasuk pewarna dan gel rambut yang ada di dalam paket baju kau tu.” Seorang gadis yang memegang alat penanda harga menghampiri dan tergelak kepadanya. Remaja lelaki menelan air liur paksa dan cepat berlari keluar. “Memang dia nak kena…” Gadis itu meletakkan penanda harga tersebut dan meliuk-liuk badannya memberikan kerenggangan.
“Hati-hati San…” Dia mengangguk dan melangkah keluar. Dia melihat remaja lelaki itu berlari sudah melepasi jalan. Dia tersenyum dan mula mengejar remaja tersebut.
Entah bagaimana caranya, dia sudah berdiri di hadapan remaja lelaki itu. “Bagaimana kau boleh ada di depan aku, ah?” Tanya remaja lelaki itu sedikit panik yang telah membuatkan dia terduduk.
“Kawasan ni aku punya…” Jawab gadis itu dengan lagak samseng dengan menggeselkan hidungnya itu dengan tangan. “RM 75 atau bagi balik pewarna rambut dan gel tu…”
“Kalau aku tak nak bagi…” Remaja lelaki itu menjawab berani dan berdiri.
“Kalau kau tak nak bagi…” Gadis itu menghampiri dan remaja lelaki itu berundur setapak ke belakang. Waktu seolah bergerak perlahan saat perut remaja lelaki itu ditumbuk. Remaja lelaki itu terlompat ke belakang dengan begitu perlahan sekali. Tangan cepat dilumatkan ke dagu remaja lelaki itu. Terpelantinglah air liur ke kanan apabila mukanya berpaling deras. Lutut pula cepat dinaikkan ke atas dan sekali lagi perut dihentak kuat.
Remaja lelaki itu terduduk ke lantai. Waktu bergerak seperti biasa semula. Tangan dibersihkan. Remaja lelaki itu menahan kesakitan. “Nah… Aku bagi balik…” Pewarna dan gel rambut dikeluarkan dari poket jaket.
“Kalau nak mencuri, jangan kat sini. Sini kawasan aku. Siapa yang tak kenal San? Sebut sahaja nama aku, semua akan takut.” Remaja lelaki itu bingkas berdiri dan berlari ketakutan. Kotak pewarna rambut dan gel rambut itu diangkat dan dibersihkan. “Ada hati nak mencuri waktu-waktu aku nak habis kerja…” Dia berpaling dan berlanggar dengan seorang lelaki. Air liur cepat ditelan deras.
“Tolong Abang…” Dia mendengus kasar dan memejamkan matanya lemah.
HEAVEN 1
Imran merenung jauh ke dasar wajah ayahnya itu. Begitu banyak dikesalinya saat ini. Saat dia meninggalkan dan melupakan segala kehendak ayahnya suatu ketika dahulu.
“Im punya impian sendiri, Ayah. Im tak mampu menguruskan Heaven Holding. Lagipun, Abang mampu menguruskannya.” Tengku Johari bercekak pinggan dan merenung bingkai gambar besar yang memuatkan gambar mereka sekeluarga.
“Ayah mahukan kedua-dua anak Ayah menguruskan Heaven Holding. Im dan juga Jef. Ayah mahukan legasi kita berterusan. Ayah menjaga Heaven Holding sejak berpuluh tahun dan sekarang ni Ayah mahukan kedua-dua anak lelaki Ayah menjaganya pula.” Imran mendengus kasar.
“Abang mampu menguruskannya.” Tengku Johari berpaling deras dan mencengkam mata Imran yang cepat berpaling arah.
“Im boleh capai segala impian Im tapi Im masih mampu menguruskan Heaven Holding. Abang Jef takkan mampu menguruskannya seorang.”
“Selama ni, Abang yang menguruskannya. Dia mampu dan Im tak mampu.” Imran bingkas berdiri. Tengku Johari mendengus kasar pula. “Im mahukan impian Im tercapai. Im takkan mampu menguruskan Heaven Holding.” Imran tegas dengan keputusannya.
“Baik. Kalau itu yang Im mahukan. Ayah takkan menghalang tapi Im kena ingat. Ingat akan perkara ni. Im bukan lagi anak Ayah selepas ni.” Tengku Johari mencengkam anak mata Imran.
“Baik. Im akan ingat semua ni.” Imran tersentak dari lamunannya apabila bahunya disentuh perlahan. Dia membuka kelopak matanya. Tengku Jeffry mengulas senyum perlahan.
“Kenapa?” Imran menggelengkan kepalanya lemah. Tengku Jeffry mengalihkan matanya dan memandang ayahnya, Tengku Johari yang sudah tidak sedarkan diri itu walaupun dadanya masih berombak. “Semoga Allah memanjangkan umur Ayah. Abang tak mampu kehilangannya ketika ni.”
“Ya… Im dah banyak buat salah dengan Ayah. Im menyesal dengan apa yang Im telah lakukan selama ni dengan Ayah. Seolah menyesal ketika ni dah tak berguna lagi.” Tengku Jeffry kembali memandang Imran, adiknya itu.
“Ayah tak pernah menyalahkan Im selama ni. Ayah selalu sahaja menyebut nama Im dan selama ni juga Ayah yang membantu Im.”
“Ya… Im tahu. Im benar-benar menyesal.” Imran mengeluh berat setelah mematahkan kata abangnya itu.
“Sabarlah…” Tengku Jeffry sekali lagi menyentuh bahu adiknya itu.
“Maaf…” Mereka serentak memandang ke muka pintu. Rahmat tunduk hormat. “Keluarga Dato Sri Shahnon ada di ruang tamu. Katanya ingin menjenguk Yang Mulia.” Tengku Jeffry berdiri dan mengangguk. Dia menurut langkah Rahmat.
»»»»»
Daun pintu diketuk perlahan. “Kejap…” Kunci dibuka dan daun pintu diselak. “Oh… aku ingat siapa. Rupanya Cik Ratnasani kita.”
“Aku malas nak berjenaka dengan kau, Ismawati kesayanganku.” Isma geli-geleman mendengar kata Ratnasani itu. Mereka serentak duduk dan mata memandang ke kaca televisyen.
“Bagaimana?” Isma memandang temannya itu.
“Bagaimana apa? Macam biasalah.”
“Oh, jadi hari ni pun ada pencurilah kat kedai Pak Matali tu?”
“Aku tak tahulah. Kenapa bila nak mencuri, mesti kat kedai Pak Matali. Tak ada kedai lain ke?” Isma cepat ketawa deras. “Yang kau gelak ni kenapa? Aku tak buat lawak pun.” Isma menelan tawanya walaupun dia masih juga nak tergelak. “Daripada aku layan kau, lebih baik aku pergi mandi.”
“Baguslah begitu, sebab bau kau tu busuk dan masam sangat. Ketiak kau tu, muntah saja aku tak menghidunya.” Ratnasani cepat mengangkat ketiaknya. Isma cepat mengepit hidungnya. Ratnasani menghidu ketiaknya.
“Bau? Memang ada bau, tapi bau wangi.” Ratnasani menjuih malas dan bingkas berdiri.
“Ah… lupa nak bagi.” Ratnasani berpaling semula memandang Isma. Isma mengeluarkan wang dari poket seluarnya. “Ni sewa rumah untuk bulan ni.” Ratnasani mengambilnya gembira.
“Aku fikir kau lupa. Sajalah aku tak bertanya…” Ratnasani mengedip-ngedip mata dan mencium wang tersebut.
“Abah aku bank in Jumaat tu dan kau tu macam selalu tak ada di rumah kalau hujung-hujung minggu ni.” Ratnasani memuncungkan mulutnya ke depan. “Emm… apa kata, lepas kau mandi, kita keluar pergi makan. Aku dah call Zizi. Dia akan datang kejap lagi.”
“Baguslah… Kita makan kat Heaven Restaurant.”
“Ah… tak nak aku makan kat sana . Dah lah mahal, makanan pun tak sedap. Lainlah kalau ada offer special dari sana .” Isma berdiri dan cepat memegang bahu Ratnasani.
“Aku tak pasti sangat dapat ke tak offer special tapi mungkin dapat makanan free…”
“Makanan free?” Isma melonjak gembira. “Bestnya. Aku nak makan udang kara lemon…”
“Boleh sangat…” Isma melompat girang. “Itupun kalau ada orang pesan udang kara lemon.” Berubah tingkah Isma mendengar kata Ratnasani.
“Maksud kau?” Ratnasani memuncungkan lagi mulutnya ke depan seolah telah menjadi habitnya pula. “Kalau ada orang pesan udang kara lemon, baru dapat makanan free.” Isma berfikir seketika. “Maksudnya…” Ratnasani berpaling dan masuk ke dalam biliknya. Isma menurut. “Oh… Aku dah tahu.” Ratnasani meletakkan beg galasnya di atas katil. “Jahatnya kau. Kau nak kami makan sisa orang ke?” Ratnasani ketawa mendadak mendengar kata Isma yang sedikit menyampah itu. “Eh… sakit hati betul aku dengan kau tahu tak…” Isma menjerit geram dan melangkah keluar. “Cepatlah mandi!” Jerit Isma menambah.
“Aku kerja malam ni.” Isma mendadak masuk. Bulat mata Ratnasani memandang Isma dan bahunya pula terangkat ke atas.
»»»»»
Muka dua tiga kali disebak geram. Peluh sudah membasah di dahi yang sedikit kuning kehitaman itu. “Berani nak teruskan?” Mata dicengkam keras. Mata yang melawan itu ketawa nyaring. Seorang wanita duduk disamping dan memegang erat tangan.
“Bagaimana kalau aku nak teruskan? Kenapa kau takut kalah? Daun yang aku miliki mungkin sahaja lebih besar dari daun yang kau ada macam kat duduk kat sebelah kau tu…”
“Eh… mulut kau tu jaga sikit. Aku dengan senang-senang boleh cilikan mulut kau tu.”
“Sabar sayang…” Tangan cepat mengurut tangan wanita kesayangannya itu. Jawapan diberikan dengan tawa. “Kalau begitu, aku akan tambah dan gandakan wang pertaruhan.” Seorang lelaki yang berdiri di kiri di belakangnya ke depan. Wang ditolak ke tengah. “RM 100 ribu…” Jawapan yang diberikan masih juga dengan tawa.
“Aku akan kalahkan kau. Percayalah dan kau pula jangan menyesal.”
“Aku menyesal…” Lelaki itu sekali lagi menolak wang ke tengah. “Aku tambah lagi RM 400 ribu.”
“Baik… Aku terima tawaran kau.” Mata terpaku memandang antara satu sama lain. Daun dipegang perlahan. Sekeping diterbalikkan. Daun terup yang bertanda A jelas di mata. Dia tersenyum sinis. “Giliran kau pula…”
Kedua-dua keping kad segera diterbalikkan. “Aku memiliki 20 mata. Dan mustahillah salah satu kad itu adalah berbentuk K, Q atau J.”
“Ya?” Dia bingkas berdiri. Wang ditarik ke arahnya. Lelaki itu juga turut berdiri bersama wanita kesayangannya. “Duit ni adalah aku punya sekarang sebab…” Daun diterbalikkan. Matanya bulat memandang tanda di atas daun terup itu. “Duit ni aku punya.” Dia ketawa besar.
“Takkan mudah untuk kau dapatkan duit ni, Irfan.”
“Kenapa pula?” Wang sudah dimasukkan ke dalam poket bajunya dan cepat ditegah oleh lelaki tersebut. “Ini duit aku sebab aku menang.” Sekali lagi tangan menegah dari tindakannya.
“Kau takkan mampu memilikinya…” Irfan cepat mengambil dua gulung wang tersebut dan cepat berlari meninggalkan ruang itu. “Kejar dia…” Lelaki itu cepat berlari mendapatkan Irfan.
Irfan begitu cepat berlari dari kawasan sunyi itu. Dia berpaling ke belakang dan melihat lelaki itu mengejarnya cepat. Kakinya begitu cepat melangkah dan langkahnya juga besar. Tanah yang sedikit becak itu dipijak dan air terpercik ke atas. Irfan berlari tidak tentu hala ketika itu. Ketika dia berpaling ke belakang, dia sudah melihat lelaki itu menjadi empat orang.
“Betul-betul jahanam aku kali ni.” Irfan segera berpaling dan larinya semakin deras dan tiba-tiba sahaja kakinya terpijak batu dan tersadung jatuh. Dia dikepung. “Aku bagi balik duit tu…” Wang dikeluarkan semula dari poket bajunya. “Nah, ambillah balik. Aku tak nak.” Wang dirampas dari tangannya.
“Kau takkan boleh lari dari aku.” Irfan menelan air liur paksa.
“Maafkan aku, Yunus. Aku tahu aku salah.” Irfan merayu. Keempat-empat lelaki itu bergerak ke hadapan setelah menerima arahan Yunus. Irfan menutup mukanya dari terkena tendangan kaki dari keempat-empat lelaki tersebut.
Sebuah van putih berhenti di hadapan. Seorang lelaki berpakaian serba hitam melangkah keluar dan menarik pintu. Seorang lelaki berpakaian kot putih melangkah turun. Cermin mata dibuka dan tersenyum kepada Yunus.
“Kenapa?” Irfan menelan air liur paksa apabila berpaling melihat lelaki itu. “Oh… rupanya di sini kau bersembunyi. Lipas yang aku cari.” Yunus ketawa sinis. “Kenapa dengan budak gila ni?”
“Maksud kau Irfan…”
“Yalah, siapa lagi kalau bukan dia. Dia ni lipas yang suka curi makanan orang lain.” Irfan menyeka wajahnya resah. Dia akhirnya ditelan oleh mulut naga dan buaya ketika ini. “Serahkan dia kepada aku dan aku akan uruskannya.”
“Dia banyak berhutang dengan aku, AJ.”
“Begitu juga dengan aku. Betul tak Irfan?” AJ merenung tajam ke dalam mata Irfan. Irfan tunduk lemah dalam duduknya.
»»»»»
Tengku Jeffry berteleku di kerusi. Dahinya ditahan dengan jari. “Abang, janganlah bimbang. Ayah Abang mesti boleh sembuh.” Tengku Jeffry melepaskan jarinya yang menahan dahinya itu.
“Abang tahu Sayang. Ayah orang yang kuat.” Tangannya mencapai tangan wanita yang duduk di sisinya. Wanita itu tersenyum. “Terima kasih kerana temankan Abang sepanjang hari ni.” Tengku Jeffry membelai tangan wanita itu.
“Ailee kan tunang Abang. Ailee akan sentiasa ada di sisi Abang.” Tengku Jeffry tersenyum lagi dan mencium tangan tunangnya itu.
“Maafkan saya Tengku Jeffry…” Mereka berdua segera bangkit. Anna resah dengan dirinya sendiri. “Yang Mulia sedar dan ingin bertemu dengan Tengku Jeffry.”
“Ya…” Tengku Jeffry segera berlari naik. Ailee menurut langkah Anna. Tengku Jeffry menerpa masuk ke dalam bilik ayahnya itu. “Ayah…” Dia duduk di sisi Tengku Johari yang semakin lemah itu.
“Im…” Imran segera menghampiri dan duduk di sisi ayahnya seperti Tengku Jeffry.
“Maafkan Im, Ayah.” Imran memegang tangan ayahnya itu. Ayahnya membalas pegangan tangan anaknya itu. Isterinya, Tengku Abadiah resah di hujung kaki suaminya. Dato Sri Shahnon berdiri di sisi isterinya, Datin Sri Rosnani. Ailee menghampiri dan berdiri di sisi ibunya.
“Jef…” Tengku Johari bersuara serak.
“Ayah…”
“Ayah mahu…” Tengku Johari menarik nafas dalam. “Menjaga keluarga kita.”
“Baik Ayah. Jef berjanji dan Ayah mesti berehat dan jaga kesihatan.” Pujuk Tengku Jeffry.
“Ayah dah penat…” Tengku Johari menarik nafas lagi. Dadanya benar-benar terasa berat dan sakit. “Im, Ayah tak pernah marahkan Im.”
“Im tahu dan Im benar-benar minta maaf dengan Ayah…” Imran mengurut lemah tangannya.
“Ayah tak pernah salahkan Im. Im berhak menentukan hala hidup Im. Ayah gembira dengan apa yang ada pada Im ketika ni…” Tengku Johari batuk lemah. Tengku Jeffry mengurut perlahan dada ayahnya.
“Abang, jangan banyak sangat bercakap. Cuba bawa berehat.” Tengku Abadiah bersuara dan mengurut kaki suaminya itu.
“Diah, Abang minta maaf kalau Abang ada buat salah selama ini dengan Diah.”
“Abang tak pernah buat apa-apa kesalahan dengan Diah. Abang dah bahagiakan Diah selama ini. Diah sayangkan Abang.” Tengku Abadiah cuba menahan rasa hatinya yang begitu sayat resah dan sedih itu. Tengku Johari batuk lagi.
“Jef, jagalah Im dan Ibu baik-baik.” Tengku Jeffry menyentuh dahi ayahnya itu. “Jaga warisan keturunan kita.”
“Ya, Jef janji.” Tengku Johari menarik keras nafasnya dan kedengaran suaranya berdegung kuat. Tengku Jeffry segera menyeka matanya dari air matanya menitik. Tengku Johari sudah mula terasa nyawanya ditarik keluar dari jasad. “Ayah…”
“Abang…” Tengku Abadiah berdiri dan menghampiri Imran. Imran mengeratkan tangannya memegang tangan ayahnya itu.
“Saya cukup bertuah memiliki kamu semua di dunia ni…” Tengku Jeffry cepat sahaja berbisik ke telinga ayahnya itu. Ayahnya menurut kata dan seketika mata Tengku Johari terpejam dan pegangan tangan Imran lemah terlepas. Tengku Abadiah cepat menutup wajahnya. Dia sudah tidak mampu menahan tangisnya. Tengku Jeffry mengusap perlahan wajah ayahnya untuk menutup mata ayahnya buat selama-lamanya.
Imran cepat berdiri dan keluar dari bilik itu. Dato Sri Shahnon memandang isterinya yang turut menangis perlahan itu. Ailee segera menerpa kepada Tengku Abadiah cuba menenangkannya.
»»»»»
“Terus-terang aku kenyang malam ni…” Isma mendengung suara kekenyangan. Zizi menghabiskan sisa minumannya. Ratnasani menghampiri meja mereka dan duduk.
“Bagaimana? Kenyang tak makan udang kara lemon bekas sisi orang makan ni…” Ratnasani ketawa sipu-sipu malu sambil menutup mulutnya seperti seorang gadis pemalu.
“Kau cakap apa tadi?” Zizi melentikkan jari kelingkingnya ke arah Ratnasani. “Udang kara lemon ni adalah sisa makanan orang?”
“Betullah…” Isma memberikan jawapan.
“Jadi kita makan sisa makanan orang ke?” Ratnasani mengangguk mengiyakan dan tertawa sopan lagi. “Ah, tak kisahlah. Sebab aku ni bukan keturunan Sultan Mahmud mangkat dijulang pun…” Mereka bertiga segera ketawa nyaring di meja mereka.
“San…” Ratnasani cepat menelan tawa. Isma dan Zizi juga begitu. Ratnasani berdiri. Seorang lelaki menghampirinya.
“Maafkan saya Encik Azmi.” Ratnasani tunduk dengan senyumannya. Azmi memandang Isma dan Zizi.
“Mesti makan percuma kan .” Azmi melirik sinis kepada mereka bertiga dan berkalih tajam kepada Ratnasani. “Kalau kerja tu, buatlah macam kerja. Jangan nak curi tulang pula.”
“Faham Encik Azmi.” Azmi kembali memandang Isma dan Zizi.
“Kamu berdua juga sama. Kalau nak makan percuma, bagus beli saja restoran ni.”
“Kalau aku ada duit, dah lama aku pecat…”
“Pecat siapa?” Azmi mengherdik tingkah. Zizi menelan balik katanya. “Kalau lelaki tu, buatlah macam cara lelaki. Ini tidak, lebih kuah dari sudu. Sudah, pergi buat kerja.” Azmi berpaling pergi. Ratnasani memuncungkan mulutnya dan kembali melihat kedua rakannya itu dan cepat sahaja dia ketawa. Isma dan Zizi juga tertawa sama. Mata para pelanggan melirik dan sedikit berbisik ke arah mereka.
Subscribe to:
Posts (Atom)