Preview i-Novel MALAIKAT DUNIA oleh +Maharatu Rafidah Mohamad terbitan +Eyeroom Editor & Publisher 2013
PROLOG
“Ceraikan Alijah…” Sophian tergamam mendengar kata isterinya, Alijah
itu. Alijah memangku anak sulung mereka, Haaris yang baharu sahaja berumur
setahun lebih itu.
“Kenapa?” Begitu
serak sekali suara Sophian menuturkan pertanyaannya itu. “Alijah dah tak
sanggup hidup bersama dengan Abang lagi?” Alijah menarik nafas dalam.
“Ya, memang saya
dah tak sanggup lagi. Saya penat hidup begini. Kais pagi, makan pagi. Kais
petang, belum tentu kenyang. Saya nak hidup bebas.” Alijah masam mencuka.
Sophian tunduk lagi.
“Alijah tak
sayangkan Haaris?” Alijah merenung wajah anak mereka itu. Alijah bingkas
berdiri. Sophian tidak mampu menghalang kehendak isterinya itu. Sophian
merenung pula wajah anaknya itu.
¤¤¤¤¤¤¤¤¤
“Inilah rumah
kita…” Alijah tersenyum gembira melihat isi rumah yang cukup berbeza dari
sebelum ini.
“Terima kasih
Abang.” Alijah memegang tangan suaminya itu. “Ijah cukup gembira sekali.”
Mereka berbalas senyum.
“Demi anak kita.”
Mereka tertawa mesra.
¤¤¤¤¤¤¤¤¤
“Bagaimana dengan
anak kami, Doktor Yakob?” Doktor Yakob menghembus nafas perlahan.
“Beginilah Encik
Akbar dan Puan Masriati…” Mereka serentak berpandangan sesama sendiri. “Biar
saya berterus-terang, anak Encik dan Puan sebenarnya tak ada apa-apa sebarang
penyakit. Mindanya juga cukup sihat cuma apa yang diperlukan di sini adalah
perhatian. Mungkin, dia lambat untuk bercakap tetapi sekiranya kita sentiasa
membawa dia berbual, bercerita, insyaAllah, dia akan berubah. Dia cukup sihat
sekali. Tak perlu bimbang.” Jelas Doktor Yakob membuatkan Akbar berkerut dahi.
“Tetapi, dia sudah
berumur lima
tahun. Takkan masih tak boleh nak bercakap. Takkan dia bisu…” Begitu sukar
Akbar menuturkan kata itu dan Masriati sempat memegang tangan suaminya itu.
“Tidak. Dia tidak
bisu. Sebenarnya, dia sihat. Seperti yang saya katakan tadi. Tumpukan perhatian
kepadanya, ajak dia berbual, bercerita, memberikan interaksi kepadanya, saya
yakin dia akan mula bersuara. Saya akan tempatkan dia di kelas terapi dan Encik
Akbar serta Puan Masriati juga boleh menyertainya.” Mereka berdua berpandangan
sesama sendiri dan terpaksa mengangguk untuk mengerti walaupun mereka masih
belum mampu memahami ke semuanya.
¤¤¤¤¤¤¤¤¤
“Encik Nazhif Ammar
Bin Akbar Ammar.” Nazhif memandang isterinya setelah namanya dipanggil oleh
jururawat hospital itu. Isterinya memberikan keyakinan kepadanya. Nazhif
berdiri dan dia tidak sengaja melanggar seorang wanita. Isterinya bingkas
berdiri membantu suaminya.
“Maafkan saya.”
Nazhif cepat membantu. Wanita itu menggelengkan kepalanya dan melangkah semula.
Nazhif berdehem lemah dan memerhatikan sahaja langkah wanita itu yang agak
tidak stabil. Mata Nazhif berbekas bayang di lantai. Sehelai sapu tangan
terampai dan cepat Nazhif mengambilnya. Dia mencari susuk tubuh wanita yang
mungkin baharu sahaja melepasi usia 20-an tetapi tidak kelihatan. Sapu tangan
itu digenggam di dalam tangan.
“Awak tak apa-apa
ke? Nak saya tolong?” Nazhif mencuka mendengar pertanyaan isterinya itu.
“Ni bukan benda
main-main.” Nazhif tidak mengendahkan dengan tawa isterinya itu. Jururawat itu
masih menunggunya.
“Saya isteri awak.
Salah ke?” Nazhif menggelengkan kepalanya dan menghampiri jururawat tersebut.
“Jangan kacau suami saya ya…” Jururawat itu hanya tersenyum malas. Nazhif pula
mendengus kasar.
BAB 1
Sebuah kereta Porcshe diparkir kemas di tempat yang sentiasa
dikhaskan untuknya. Daun pintu terkuak kemas dan sepasang kaki melangkah
keluar. Kasut Bonia itu berkilat. “Selamat pagi Tuan.” Seorang lelaki melangkah
keluar dari kereta dan cepat tersenyum. Bingkai cermin mata sempat dinaikkan.
“Boleh saya tolong Tuan?”
“Tak perlu Johan.
Terima kasih.” Daun pintu kereta ditutup perlahan. Baju kot dikemaskan. Bunyi
kereta berkunci kedengaran. Johan mengangguk hormat. Kaki kemas melangkah masuk
ke dalam sebuah bangunan yang juga sebenarnya adalah miliknya. Para pekerjanya semua tunduk hormat kepadanya dan dia
sentiasa mengukirkan senyuman.
“Selamat pagi
Tuan.”
“Selamat Pagi Mak
Ju.” Mak Ju tersenyum sambil menyorong troli berisi mop dan baldi. Daun pintu
lif terkuak. “Saya pergi dahulu.” Mak Ju mengangguk gembira dan meneruskan
tugasnya membersihkan bangunan itu.
Daun pintu lif
terbuka semula. Dia melangkah keluar dan bingkai cermin mata sempat dinaikkan
untuk kali kedua. Para pekerja di tingkat
utama itu cepat berdiri memberikan hormat kepadanya. “Selamat pagi Tuan.”
Setiausahanya bergegas mengejarnya sehingga ke dalam bilik pejabat.
Dia cepat duduk dan
menarik kerusi menghampiri meja. Dia membelek fail yang sudah terampai di atas
meja. “Ada
apa-apa hal hari ni, Maria?” Maria berdehem perlahan dan menekan di kaca Ipad.
“Hari ini Tuan
Nazhif ada mesyuarat dengan pihak Kementerian Pelajaran untuk iklan pendidikan
yang telah diberikan kuasa kepada kita untuk menjalankannya.” Nazhif memandang
Maria. “Selain itu, tiada lagi.” Dia mengangguk.
“Baiklah, awak
ingatkan saya mengenainya. Terima kasih Maria dan tolong panggilkan Ismet.”
Maria mengangguk dan melangkah keluar. Nazhif tersenyum dan menarik sebatang
pen. Dia mula merenung isi fail yang berisi segala maklumat bagi promosi
pengiklanan yang akan ditandatangi bulan hadapan. Daun pintu diketuk perlahan.
“Masuk.”
Ismet bergerak
masuk dan tersenyum. “Ada
apa Tuan Nazhif panggil saya?” Nazhif memandang Ismet yang sedang tersenyum
kepadanya. Dia membalas senyuman tersenyum.
“Awak dah dapatkan
kura-kura yang saya mahukan?” Ismet berdehem perlahan.
“Saya tengah tunggu
kura-kura tu sampai.” Nazhif membetulkan lagi bingkai cermin matanya.
“Sampai bila?”
“InsyaAllah, minggu
depan. Maklumlah kan
kura-kura lambat jalan.” Ismet tersengih sumbing apabila Nazhif memandangnya
agak sinis. Ismet cepat menelan senyumannya dan menganggukkan kepalanya sekali
mematikan pandangan sinis Nazhif itu.
“Dan awak dah dapat
cari penulis tu?” Ismet menarik nafas dalam.
“Maksud Tuan Nazhif,
Maharatu?” Ismet bertanya agak janggal bunyinya.
“Yalah, habis tu
siapa lagi?” Ismet tertawa kecil.
“Saya tak berjaya
menjejakinya Tuan Nazhif. Susah nak mengesan
pergerakan beliau.” Nazhif mengeluh lemah. “Kenapa Tuan Nazhif masih nak
mencari dia? Sedangkan dia dah menghilang. Lagipun, dia tak suka dengan Tuan
Nazhif kan …”
Nazhif memandang Ismet tajam dan Ismet cepat mengalihkan pandangannya kepada
pen yang dipegang oleh Nazhif.
“Bukan itu
masalahnya Ismet. Ah, biarkanlah. Lupakan. Saya nak awak mesti pastikan,
kura-kura itu akan ada minggu depan. Kalau tak ada, awak akan jadi
kura-kuranya.” Ismet mengangguk malas. Nazhif menghembus nafas perlahan.
¤¤¤¤¤¤¤¤¤
Bekas makanan
berisi kuih karipap disusun kemas di sisi bekas makanan berisi kuih kukus kelapa.
“Rielda…”
“Ya, Mak Tuah.” Mak
Tuah menyerahkan bekas makanan yang berisi dengan mee goreng yang sudah
dibungkus dengan plastik yang bersusun kemas. Sharielda menyambutnya kemas.
“Sekejap lagi nak
waktu rehat.” Sharielda mengangguk. Mak Tuah membetulkan susunan nasi lemak di
dalam bekas makanan.
“Hai Mak Tuah.” Mak
Tuah tergelak kecil. Sharielda berlalu pergi.
“Cikgu Eugene… Apa
khabar hari ni?” Eugene
tersenyum mesra.
“Sihat sahaja Mak
Tuah. Mak Tuah nampak lawa hari ni. Ada
apa-apa ke?” Eugene cuba mengusik.
“Ada-ada sajalah
Cikgu Eugene ni. Mak Tuah ni memang lawa hari-hari.” Mereka serentak ketawa.
“Cikgu Eugene nak makan apa hari ni?”
“Ada apa yang istimewa?” Tanya Eugene mesra.
“Semuanya istimewa
Cikgu Eugene.” Mereka serentak ketawa lagi. Sharielda membersihkan meja sebelum
meletakkan besen besar yang berisi bungkusan plastik minuman sirap. Eugene memandang Sharielda
melirik.
“Saya rasa nak
makan kuih sahaja. Masih kenyang dari sarapan pagi tadi di rumah.” Jelas
Eugene.
“Siapa yang masakkan?”
Mak Tuah menyeloroh kata. Eugene
tertawa.
“Ibu saya datang
dari Sabah semalam.” Mak Tuah mengangguk
mengerti. Mak Tuah mengambilkan piring dan menyerahkannya kepada Eugene .
“Kedua-dua orang
tua Cikgu datang sekali ke?” Eugene
menyepit kuih karipap.
“Ya. Mereka datang
bercuti sebenarnya ke sini. Kata mereka nak melawat Istana Seri Menanti.” Mak
Tuah mengangguk. Sharielda menyibukkan dirinya.
“Nak minum apa?”
Mak Tuah sempat bertanya di dalam perbualan mereka itu.
“Macam biasa Mak
Tuah.”
“Rielda, teh susu
untuk Cikgu Eugene.” Sharielda mengangguk dengan senyumannya. Eugene mengulum senyumnya memandang
Sharielda.
“Saya duduk dulu
Mak Tuah.” Mak Tuah mengangguk. Seketika kedengaran bunyi loceng berbunyi
nyaring. Dan dalam beberapa minit kemudian, kantin yang sunyi itu riuh rendah
dengan suara para pelajar yang sedang meningkat naik usia itu. Eugene mula menjamah kuih
karipap kemas di bibirnya yang agak merah jambu itu.
“Hai Cikgu Eugene…”
Eugene
tersenyum dengan teguran pelajar lelaki kepadanya. Eugene melirik pandang kepada tingkah
Sharielda. Salah seorang pekerja di kantin itu menghampirinya dan meletakkan
gelas berisi teh susu. Eugene
mengangguk terima kasih.
“Boleh kami duduk
di sini Cikgu?” Eugene
tersentak dengan pertanyaan mesra itu. Seorang pelajar perempuan tersenyum
kepadanya. Eugene
pantas mengangguk. “Terima kasih Cikgu.” Mereka yang bertiga itu serentak duduk
berdepan dengannya. Eugene
masih melirik pandangannya kepada Sharielda yang tertawa dengan pelajar-pelajar
yang sedang membeli itu.
¤¤¤¤¤¤¤¤¤
“Puan Sri yakin
untuk membeli Butik Moonlight?” Jenny memegang fail kemas di dada. Jemari
bermain-main di atas meja. “Kita semua tahu yang Moonlight mengalami defisit…”
“Tetapi bukan yang
teruk. Saya memang nak membelinya kemudian akan memajukannya semula.” Jenny
mengangguk perlahan. “Aturkan janji temu saya dengan pemilik Moonlight segera.
Katakan saya ada tawaran istimewa untuknya.”
“Baik Puan Sri
Hasmida.” Hasmida tersenyum. Jenny cepat menaip arahan majikannya itu di dada
Ipad.
“Dan saya nak awak
aturkan satu janji temu istimewa saya dengan suami saya malam ini.” Jenny
tersenyum tidak mengerti.
“Puan Sri nak saya
aturkan yang bagaimana?”
“Istimewa. Yang
cukup istimewa.” Jenny mengangguk mula mengerti. Hasmida tersenyum kecil.
“Baiklah Puan Sri. Ada apa-apa yang saya
perlu lakukan lagi?” Hasmida menggelengkan kepalanya pantas. Jenny mengangguk
dan melangkah keluar.
¤¤¤¤¤¤¤¤¤
“Mak… Ella
laparlah…” Zuriella menghempaskan punggungnya di kerusi deras. Kakinya
dinaikkan ke atas. “Dah nak petang ni. Perut dah berkeriuk sakit.” Zuriella
mengomel malas. Kain disentap dihempas di atas meja makan bersama dengan
perasaan geram. Bahu Zuriella tergerak ke atas.
“Boleh tak Ella
jangan merengek macam budak kecil. Mak rimas tahu tak. Rimas.” Alijah bercekak
pinggang geram. Zuriella menjeling bersama dengusan kasar.
“Assalammualaikum…”
Mereka serentak memandang ke muka pintu dapur. Salam tidak bersahut.
“Kenapa kau lambat
balik, ah?” Alijah mencebik geram. Sharielda meletakkan bekas makanan di atas
meja. Zuriella cepat menarik dan membuka.
“Takkan kuih saja
yang kau bawa balik, ah?” Herdik Zuriella dan menghempas bekas makanan itu.
“Ini saja yang
tinggal. Semuanya dah habis.” Jawab Sharielda teragak-agak.
“Ah, kau tu memang
begitu. Takkan kau tak boleh nak simpankan untuk aku.” Sharielda menarik nafas
dalam mendengar herdikan Zuriella itu. Dia menuju ke peti sejuk dan menuang air
ke dalam gelas.
“Berapa yang kau
dapat hari ni?” Sharielda meneguk perlahan air sejuk tersebut. Dia memandang
Alijah, emaknya itu.
“Bolehlah untuk
bikin pusing modal.” Masih juga Shari elda
teragak-agak menjawab.
“Yalah, berapa?”
Pekik Alijah lagi dengan tangan yang masih bercekak pinggang.
“Dalam RM 100.”
Zuriella melirik pandang kakaknya itu. Alijah menarik nafas dalam.
“Mak nak pinjam…”
Sharielda mencuci gelas itu dan meletakkannya ke dalam besen. Sharielda
mengeluarkan dompet dari poket skirt panjangnya itu. Alijah dan Zuriella
memandang tajam. Dia mengeluarkan dua keping wang not RM 50 dan menyerahkannya
kepada Alijah. Mata Alijah jelas melihat beberapa keping wang lagi tersimpan di
dalam dompet tersebut. Cepat tangannya merampas beg anaknya itu. “Kau kata
seratus. Ni apa…” Alijah cepat mengeluarkan isi dompet itu.
“Jangan Mak. Itu
untuk modal jualan esok.” Sharielda berkeras cuba merebut dompetnya semula.
Zuriella bingkas berdiri dan membantu emaknya.
“Takkan tu pun kau
tak boleh nak bagi pinjam?” Zuriella menolak kakaknya. Sharielda terundur ke
belakang dan bergesel dengan bucu kerusi. Dompetnya diragut keras isinya di
mata Sharielda ketika ini. Alijah mengira wang tersebut.
“Seratus? Ni
semuanya ada tiga ratus.” Herdik Alijah geram dan tangannya pantas menampar
kasar di perut Sharielda sambil dompet dibaling ke muka Sharielda. Wang
ditangannya juga dirampas keras. “Sejak bila kau pandai menipu ni ah? Siapa
yang ajar kau?” Alijah cepat menampar kepala Sharielda. Zuriella tersenyum
mengejek. “Aku tak pernah ajar kau menipu orang tua. Kurang ajar punya anak.”
Sekali lagi Alijah menampar kepala Sharielda. Sharielda tidak melawan. Alijah
mendengus kasar dan melangkah pergi. Zuriella tertawa dan membontoti emaknya
itu.
Sharielda menarik
nafas dalam. Dia melihat dompetnya hampir sahaja terkoyak besar itu. Dia
merenung bekas makanan yang berisi kuih tersebut dengan jemarinya meramas agak
perlahan di bahagian perut. Dia memejamkan matanya malas. Dia mengakui memang
itu yang akan berlaku kepadanya. Setiap hari.
¤¤¤¤¤¤¤¤¤
“Terima kasih. Kami
cukup berpuas hati dengan hasil pembentangan sebentar tadi. Kami juga yakin yang
Legendary mampu memberikan hasil yang memuaskan.” Nazhif menerima salam itu.
“Kami sentiasa
melakukan yang terbaik.” Nazhif menghembus nafas perlahan dan bibirnya masih
juga terukir dengan senyuman. Maria yang berdiri di sebelahnya tersenyum kecil.
Ismet berbual dengan salah seorang dari Kementerian Pelajaran tersebut.
“Silakan untuk
menjamu minuman petang.” Ajak mereka mesra. Nazhif mengangguk.
“Tuan Nazhif…”
Maria bersuara perlahan. “Saya menerima panggilan yang Tuan Nazhif ada janji
temu pada malam ini. Lapan malam di Hotel Concorde.” Berkerut wajah Nazhif
mendengarnya. Mereka yang berjalan beriringan membontoti itu terhenti seketika.
Ismet menghampiri dan terpandang akan seseorang.
“Saya akan bertemu
dengan siapa?” Maria tersenyum mesra.
“Katanya adalah
rahsia. Tetapi pertemuan ni penting sekali. Tuan Nazhif jangan bimbang.” Maria
tertawa kecil kerana dia yang sudah tahu, siapakah yang bakal ditemui oleh
majikannya malam ini membuatkan Nazhif menarik nafas dalam yang terasa
menyendat di dadanya.
“Tuan Nazhif…”
Nazhif memandang Ismet. Ismet menunjukkan jarinya ke hadapan. Nazhif menurut
arah dan bulat matanya memandang. “Penulis tu…” Nazhif berkalih dan cepat
mengejar. Maria dan Ismet bergerak rapat.
“Maafkan saya,
kenapa?” Maria dan Ismet hanya berdiam diri dengan pertanyaan wakil dari
Kementerian Pelajaran tersebut.
¤¤¤¤¤¤¤¤¤
Sharielda
mengeluarkan sesuatu dari poket skirt. Dia tersenyum dengan dirinya sendiri.
Baharu kali ini dia terfikir mengenainya. Dia membuka lipatan getah yang
mengikat gulungan beberapa keping wang tersebut. Dia mengira sekali lagi. Genap
wang itu sebanyak RM 450, hasil jualan untuk minggu lalu yang dia tidak kutip
dari Mak Tuah.
“Bolehlah aku buat
modal untuk minggu depan.” Sharielda tersenyum gembira. Sharielda memasukkan
wang tersebut ke dalam tabung ayam dan memasukkan tabung tersebut ke dalam
kotak yang ditarik dari bawah katil. Dia mengangkat sebuah kotak kecil. Dia
duduk menyandar birai katil. Kotak itu dibuka penutupnya. Sekeping kertas
berlipat kemas. Kertas itu diangkat keluar dan dibuka lipatannya.
Matanya kaku dan
hatinya disiat sayu membaca setiap butir perkataan yang tertulis di dada kertas
tersebut. “Aku terpaksa melakukannya.” Logo berbentuk palang merah itu
direnungnya. “Mungkin, dia sudah besar ketika ini.” Air mata yang gugur cepat
disekanya dan dia tersenyum. Kertas itu dicium mesra. Daun pintu diketuk
membuatkan Sharielda kaget. Kertas itu dilipat kemas dan dimasukkan semula ke
dalam kotak. Kotak yang memuatkan kertas itu disimpan ke dalam kotak semula di
sisi tabung ayam dan ditolak ke bawah katil semula. Sekali lagi daun pintu
diketuk. “Sekejap.” Laung Sharielda. Dia berdiri membetulkan dirinya. Daun
pintu dikuak perlahan. “Oh, Ayah… Ingatkan siapa tadi. Masuklah.” Sharielda
tersenyum kepada ayahnya itu, Sophian.
“Maaflah kalau
ganggu Rielda.” Sophian berdiri di muka pintu bilik anaknya itu.
“Eh, taklah. Bila
Ayah balik? Tak dengarpun bunyi lori.” Sophian ketawa dan membuka topinya.
“Ayah nak Rielda buatkan minuman ke?”
“Tak apa Rielda.
Ayah baru sahaja minum tadi kat warung Wak. Mana Mak dan adik Rielda?”
Sharielda berdehem perlahan.
“Agaknya mereka
keluar.” Sophian mengangguk dan menghulurkan beg plastik kepadanya. “Apa ni?”
Sophian tertawa mesra.
“Yang dipesan oleh
Rielda sebelum Ayah pergi ke Kelantan tiga hari lepas. Takkan dah lupa…”
Sharielda tergelak mengingatinya. “Keropok lekor… Masih segar lagi ni.”
“Terima kasih
Ayah.” Sharielda melihat isinya. “Banyaknya Ayah…” Sophian ketawa dan menyentuh
ubun kepala anaknya itu. Sharielda tersenyum gembira.
“Ayah bangga ada
anak macam Rielda.”
“Rielda yang bangga
sebenarnya sebab ada Ayah…” Mereka berbalas senyum. “Emm… apa kata kalau Ayah
pergi mandi, Rielda pergi goreng keropok lekor dan kita boleh minum petang
sama-sama.” Sophian tergelak lagi dan mengangguk. Sharielda tersenyum gembira.
BAB 2
No comments:
Post a Comment