POKOK BELUNU
DITERBITKAN DALAM ANTOLOGI PUISI
DAN CERPEN 2008 LAMBAIAN TELUK OLEH DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA SABAH.
Matahari hampir mencecah anjung
barat. Cahayanya dilindungi oleh sepohon pokok yang banyak menyimpan 1001 macam
rahsia penduduk Kampung Tekuyung. Sebuah kampung yang tidak begitu dikenali
oleh orang ramai. Kampung yang terperosok dari dunia kecanggihan dan kemodenan
masa. Walau bagaimanapun, kampung itu wujud seiringan dengan pokok yang menahan
cahaya matahari menerjah ke tanah. Seorang lelaki tua yang seusia dengan pokok
itu khusyuk memandang ketinggian pokok itu, tidak endah dengan gigitan nyamuk
yang menghinggapi ke kulit tuanya yang telah dimakan usia.
Tangah
Husin tidak rimas duduk di belukar semak itu, sambil memandang kejauhan pokok
di hadapannya. Pokok itu banyak memberi jasa kepadanya. Kepada isteri dan
anak-anaknya malah penduduk kampung itu juga. Dia tidak pernah merungut dengan
pokok itu. Pokok yang ditanamnya sejak kecil lagi. Sejak ayahnya Tua Hasan
meneroka kampung ini. Ayahnya bersama-sama beberapa orang tua lain datang ke
tanah Labuan yang dulu dikenali sebagai Victoria menempa nasib dan tuah. Kini
yang tinggal hanya dia dan pokok yang membesar bersama-samanya. Pokok itu
adalah sebahagian nyawanya.
“Sin,
mari dulu kau sakajap. Ada bapak mahu kau buat ni.” Hasan memanggil anak bongsu
lelakinya yang sedang leka bermain tanah bersama-sama abang dan kakaknya.
“Apa
Pak?” Husin terjengah-jengah memandang bapanya yang sedang duduk mencangkung.
“Mari
kau dulu!” Suara Hasan tinggi memanggilnya. “Hai, kau ani Sin, cuba bila
dipanggil atu tarus mengaga.” Husin memang liat bila dipanggil olehnya. Tidak
sama dengan anak-anaknya yang lain. Mungkin kerana Husin anak bongsu daripada
lima orang adik-beradik membuat Husin lebih manja daripada dua abang dan dua
kakaknya itu.
“Ada
apa Pak?” Husin merapatkan tubuh mungilnya ke sisi bapanya.
“Ndak,
bapak mahu kau tanam benih pokok ani!”
“Pokok
apa, Pak?”
“Pokok
belunu!” Abang dan kakaknya menghampiri mereka berdua. “Pokok belunu ani,
buahnya sadap dimakan. Jadi, bapak mahu kau tanam. Abang sama kakakmu sudah
menanam pokok-pokok lain di sana!” Mulut Hasan menjuih menunjuk arah tempat
anak-anaknya yang lain yang telah menanam beberapa jenis pokok semalam.
“Pokok
ani capat basarkah, pak?”
“Bila
kau basar, basartah pokok ani jua!”
“Oh!”
Husin menanam benih pokok belunu itu dengan diajar oleh bapanya
“Oi,
Tangah Husin! Bahapakan tuh?” Lamunannya terhenti apabila dirinya disapa. Dia
memandang ke arah suara yang menyapa itu. Bibah, isteri Awang Kail. “Bahapakan
tuh? Ndak ada nyamuk tuh, Tangah?” Bibah tersenyum kambing.
“Oh…
kau Bibah. Saja tah duduk-duduk di sini, ah! Kau pula kan ke mana?”
“Kan
ke kadai Si Yakop atu. Kan mambali lauk!” Suara Bibah melaung.
“Si
Awang ndak turun memukat hari ani?”
Bibah
berjalan menghampiri Husin. “Air ndak baik, katanya. Di rumah atu seorang pun
ndak mahu kan ke kadai. Terpaksa tah aku ke sana mambali apa yang patut!” Bibah
sedikit mengeluh. Husin mengangguk faham. “Kita bahapa? Belunu atu bebuah tahun
ani, Tangah?” Bibah berbasa-basi dengan perkataan ‘kita’ dengan Husin sebagai
tanda hormat.
“Antah.
Tapi kalau ikut kiraan, bebuah kali jua belunu ani.” Husin memandang berahsia.
“Kalau
bagus bebuah tuh jua. Dapat jua merasa sebiji dua belunu atu karang.” Bibah
ketawa kecil menampakkan baris-baris gigi yang kekuningan. Husin hanya
memerhati. “Hei, lambat sudah luan ani. Karang tutup kadai Si Yakop atu. Jalan
dulu aku ani, Tangah!”
“Bah.
Hati-hati saja jalan atu!”
“Bah.
Assalammualaikum.”
“Waalaikumsalam.”
Mata Husin menyoroti langkah Bibah. Dia hairan melihat sikap Bibah kepadanya.
Kadang-kadang Bibah baik dengannya, kadang-kadang tidak. Husin hanya tersenyum
memikirkan perangai dan sikap Bibah terhadapnya selama ini.
“Orang
tua atu sudah nyanyuk. Pokok belunu atu ndak ada kan bebuah lagi. Baik
ditabang. Kampung ani selalu berangin, ribut, tumbang pokok atu, habis
menyusahkan orang karang kan lalu. Luan jalan atu jua tampat lalu kan ke
bandar. Budak-budak ke sekolah, jalan atu. Orang keraja, jalan atu jua. Mahunya
tiba-tiba pokok atu tumbang masa orang lalu, macam mana?” Lantang suara Bibah
bercakap mengenai pokok belunu milik Husin itu.
“Masalahnya
Bongsu Bibah, orang tua atu ndak mahu, pokok belunu atu ditabang. Bakaras
kepala. Kata ndak mahu, ndak mahulah! Sampai terbengkalai projek kan
mambasarkan jalan raya di simpang utara atu.” Tokok Mail selaku pembantu Ketua
Kampung Tekuyung. Bair hanya diam mendengar kata-kata mereka.
“Betul
tuh kata kau, Mail, Bongsu Bibah. Tangah Husin atu melambatkan proses kemajuan
kampung ani. Dahlah, kampung kita ani mundur. Baik sudah atu, YB kita atu sudi
membantu kita memajukan kampung ani tapi Tangah Husin menentang habis-habis.”
Brahim menambah pendapat bantahan.
“Aku
faham perasaan korang ani.” Bair malas menggunakan bahasa formal dengan anak
buahnya. “Aku ndak boleh bekaras hati sama Si Tangah Husin atu. Ia orang lama
di kampung ani. Walaupun aku Ketua Kampung tapi aku kena jua hormati ia atu.”
Jelas Bair.
“Ah,
atu pun Tangah Husin.” Husin muncul tiba-tiba di laman rumah Bair. Dia
mendengar semua yang dibicarakan oleh mereka sebentar tadi.
“Aku
tatap dengan pendirian aku, ndak akan manabang pokok belunu aku atu. Ia nyawa
aku selama ani. Pokok atu banyak berjasa arahku. Aku ndak mahu sapa-sapa manabang
pokok atu sampai bila-bila. Anak dan cucu-cucuku masih ada. Mereka suka makan
buah belunu atu. Ndak kan aku mahu dia orang atu kampunan sabab ndak dapat
makan belunu. Langkah mayatku dulu kalau ada sapa-sapa berani.” Amarah Husin
tidak dapat dibendung lagi dengan sikap mereka yang sering menyalahkan pokok
belununya itu.
“Tapi
Tangah, pokok atu…”
“Aku
ndak mahu dangar apa-apa!” Husin memintas kata Bibah. “Yang aku tau, aku ndak
mahu pokok belunu aku ditabang!” Husin menyergah dan membuatkan mereka terkejut
dengan tindakannya. Husin tersedar kembali dari lamunannya. Dia masih berada di
hadapan pokok belununya dan bukan di laman rumah Bair. Dia berfikir sejenak.
“Apabila pokok ani mengeluarkan buahnya, orang pertama yang akan memanis muka
dengannya ialah Bibah, Mail dan Brahim,” hati tua Husin berbisik dan dia
tersenyum dengan keadaan itu. Dia tidak pernah mengambil hati dengan sikap
mereka terhadapnya. Pokok belunu ini masih mampu mengeratkan kemesraan mereka,
walaupun sebab pokok belunu itu mereka benci dengan kedegilannya. Dia memandang
langit. Lembayung matanya mencecah di anjung langit. Daun-daun pokok belunu
seakan melambai mesra kepadanya. “Kau banyak menabur jasa kepadaku. Hasilmu
telah membesarkan anak-anakku sehingga berjaya.” Husin tersenyum berbaur
keluhan di dalam hatinya ketika ini. Serba-salah. Kusut.
“Tangah
Husin, aku sebenarnya malas sudah melayan karenah dia orang atu. Malar menyuruh
aku manabang pokok belunu atu. Aku tau pokok belunu atu banyak membawa kenangan
dan banyak jua membantu kau mencari rezeki. Mambasarkan anak-anakmu. Si Milah,
Si Rizal, Si Amat, Si Roz, Si Hari dan Si Pian atu masuk universiti dulu semua
hasil daripada pokok belunu atu. Kalau ndak Tangah menjual buahnya, aku rasa
ndak habis kali dia orang atu balajar. Jadi, aku ani sarba salah jua. Ditalan
mati bapak, diluah mati emak. Ke kanan salah, ke kiri pun salah. Macam dipaksa
jua aku ani, Tangah.” Bair berbasa-basi dengan Husin. Husin faham dan hanya
bereaksi seperti biasa.
“Aku
faham jua atu, Bair.” Husin terasa lebih mesra dan dekat dengan memanggil nama
dari ‘tok’ kepada Bair. “Tapi, aku ani sayang banarkan manabang pokok atu.
Pokok belunu atu macam nyawa aku sudah.”
“Tapi
ndakkan kau membiarkan saja. Setahu aku, pokok atu jua membawa bencana sama
arwah Si Timah.” Bair cuba memprovokasi Husin. Mata Husin terbeliak besar
melihat Bair setelah mendengar hujahnya.
“Si
Timah mati bukan sebab pokok atu. Sudah ajalnya.” Suara Husin meninggi.
Terlintas di matanya, isterinya Timah terjatuh setelah kepalanya dihempap dahan
pokok belunu yang rapuh. Husin menarik nafas geram di dalam dirinya.
“Kalau
ndak dahannya patah dan terhempap di kepalanya, Tangah rasa Si Timah atu hidup
jua lagi?”
“Ajalnya
sudah di sana. Aku ndak pernah salahkan sapa-sapa. Si Timah atu ndak panjang
umur. Bukan salah pokok atu!” Nada Husin keras. “Jadi, arwah binimu atu dulu,
meninggal sabab kemalangan, salah keretalah tuh?” Bair menggeleng. “Tapi,
sekarang kau kahwin lagi. Apa kau kisah!” Husin memandang jauh. “Qada dan qadar
Bair. Ndakkan pasal aku marah nyamuk, kelambu kubakar!” Bair terdiam dengan
jawapan Husin. Dia memang tersilap langkah kalau memutuskan untuk bersengketa
dengan Husin. Dia memang akur dengan Husin. Husin lebih mengerti daripada dia.
“Kau kena faham, aku Bair. Bukan aku mahu menyusahkan kau.” Husin memandang
Bair. Kelat pandangannya.
“Sudahku
cakap, aku memang sarba salah sama Tangah. Pandailah Tangah menjawab arah dia
orang karang. Aku mulih dulu, Tangah. Assalammualaikum.” Bair mengalah dan
malas untuk bertekak dan bertikam lidah dengan Husin lebih lama lagi hanya
mengenai pokok kesayangannya itu.
Husin
masih mendongak melihat pokok belunu. Hanya itu saja yang tinggal. Pokok-pokok
lain yang ditanam oleh arwah abang dan kakaknya telah habis ditebang oleh orang
kampung. Dia mengakui pokok belunu itu telah meragut nyawa isterinya. Mulanya
dia marah dan berdendam dengan pokok belunu itu, tapi hakikatnya dia sedar itu
semua adalah ketentuan-Nya. Dia tidak dapat menolak. Dia harus menerima walaupun
perit untuk ditelan. Pernah juga anak sulungnya, Milah menyuruh dia menebang
pokok belunu itu, tapi akhirnya Milah berhenti daripada mengomel apabila Husin
lebih keras hati daripada kulit pokok belunu itu.
“Tangah
Husin! Tangah Husin!” Husin meluru pantas ke muka pintu setelah namanya dijerit
deras di laman. Husin melihat Brahim dengan muka merah menahan marah.
“Kanapa
Brahim?” Husin merebahkan punggungnya di anjung tangga.
“Kanapa
kata Tangah?” Brahim cuba menekan nada suaranya. “Pokok belunu Tangah atu bawa
sial!” Brahim mundar-mandir seperti monyet terkena belacan di laman rumahnya.
“Kalau
pun jua, duduk dulu!” Husin cuba meredakan perasaan Brahim. “Cakap
perlahan-lahan.”
“Anakku
Si Jali patah kaki! Sekarang ani di hospital!”
“Tapi
apa kena mengena pula dengan pokok belunu atu, Brahim?”
“Kalau
ndak ada pokok atu, ndak Si Jali patah kaki. Ndak ia memanjat pokok atu.”
“Kalau
macam atu, atu bukan salah pokok belunu, salah Si Jali sendiri. Si Jali
memanjat atu, kanapa?”
“Diakan
mengambil buahnya atu!”
“Diakan
mahu buahnya? Kanapa Si Jali ndak minta arahku? Kanapa jua dia memanjat?”
“Susah
jua bercakap sama Tangah ani! Pokok belunu atu mesti ditabang, Tangah. Mesti
ditabang! Kalau Tangah ndak mahu tabang, aku sendiri pergi tabang!”
“Brahim,
pergilah kau tabang pokok atu, kalau kau mahu puas hati! Tapi kau tau jua kan,
kalau pokok yang sudah lama, sudah tua, ada isinya.” Husin mengalah dengan
Brahim.
“Ndak
aku hairan!” Brahim bergegas meninggalkan Husin. Husin sudah malas melayan
sikap mereka. Mungkin usia pokok belunu itu sudah sampai waktunya.
Husin
masih terduduk mendongak pokok belunu. Dia masih ingat Brahim tidak dapat
menebang pokok belununya. Entah kenapa, sekali kapak menikam batangnya, Brahim
tiba-tiba rebah. Orang kampung ketika itu yang menyaksikan terus mendapatkan
Brahim. Brahim pengsan. Selepas kejadian itu, orang kampung mula melabelkan
dirinya menyimpan jin. Menyimpan penunggu, menyekutukan Tuhan dan macam-macam
lagi. Tapi Husin berdiam diri. Dia tidak mahu bertikam lidah dengan mereka
semua. Orang kampung bercakap dia sudah nyanyuk, dia pekakkan telinga. Orang
kampung bercakap, kononnya dia mengisim pokok belunu, dia butakan mata. Dia
akur dengan semua budi bicara orang kampung di hadapannya. Orang kampung
bercakap, menghina, mengutuk dan mencaci, dia tetap menghantar seplastik buah
belunu kepada mereka semua. Bukan merasuah tapi dia mahu semuanya menikmati
kelazatan buah belunu itu. Dia berasa puas, kalau tangannya sendiri
menghulurkan buah belunu itu, dan mereka menyambutnya. Dia gembira sepenuh
jiwanya. Tapi mereka tetap tidak faham perasaannya, hatinya yang telah sebati
dengan akar pokok belunu itu. Mereka tidak faham dan tidak akan faham. Bukan
sayang tetapi dia mahu orang kampung dan generasi akan datang masih tahu akan
buah belunu itu. Masih tahu kelazatan buah belunu. Hanya itu saja yang dia
mahu.
Matahari
hampir ditelan langit. Husin masih duduk menanti di hadapan pokok belunu. Tiga
puntung rokok sudah habis dihisapnya. Si Roz selalu melarang dia menghisap
rokok, katanya membahayakan kesihatan tapi dia tetap juga merokok. Dia
tersenyum mengenang semua itu. Anak-anaknya memang baik terhadapnya. Setiap
kali mereka balik menjenguknya, mesti ada cadangan yang sama mengajak dia
tinggal bersama-sama mereka. Dia tidak mahu berpisah dengan pokok belunu itu.
Dia tidak mahu, pokok belununya ditebang oleh orang-orang kampung sewaktu dia
tak ada di kampung. Lagipun dia mahu mati di kampung ini juga, kerana di
kampung ini dia telah dibesarkan dan mengenal erti dunia. Semuanya bermula di kampung
ini. Segala-galanya.
Si
Amat, anak ketiganya yang bekerja di Jabatan Pertanian pernah mencadangkan
kepadanya untuk menanam pokok belunu baru di tempat lain. Tapi dia menolak.
Alasannya kelazatan buah belunu iti tidak akan sama lagi. Banyak kimia telah
terlarut di akarnya, kalau ditanam pada masa sekarang. Si Amat berkeras tapi
tetap mengalah pada penghujungnya. Anak-anaknya memang kenal akan kedegilannya
kalau menyentuh bab pokok belununya itu. Daripada bertekak dengannya, lebih
baik mereka tutup buku dan membiarkan sahaja bapa mereka dengan pokok belunu
itu. Mereka tahu pokok belunu itu banyak membantu mereka adik-beradik. Husin
terkejut dengan bunyi hon kereta di belakangnya. Dia menoleh. Rizal, anaknya.
“Assalammualaikum,
pak.” Rizal keluar dari kereta diikuti oleh anak-anaknya. Mereka bersalam dan
memeluk Husin. “Bahapa di sini?”
“Hai,
Bang Ngah, takkan ndak tau.” Roz menyindir tapi Husin cepat-cepat melepaskan
puntung rokok yang ada di tangannya.
“Kanapa
ani? Semua datang. Ndak ada keraja?” Husin membersihkan seluar hitamnya.
“Ndak.
Kami ambil cuti. Ada hal kan dicakap arah kita.” Amat menerangkan maksud
tersurat kedatangan mereka adik-beradik. “Marilah pak, mulih!”
“Muatkah?”
“Muat
tu, pak. Kereta kan dua tuh! Kita kan ikut sapa? Si Rizal atau Si Milah? Bah,
marilah!” Husin memilih untuk naik kereta Rizal.
Husin
hanya mendiamkan diri sedari tadi. Dia tidak bercakap apa-apa setiba mereka di
rumah. Milah dan Roz sibuk di dapur. Rizal, Amat, Pian dan Hari membersihkan
serba sedikit rumahnya. Husin tahu dengan sikap anak-anaknya. Bila pulang saja
menjenguknya, rumahnya pasti terang-benderang oleh mereka. Husin tak membantah
dengan tindakan anaknya walaupun dia lebih suka keadaan samar-samar di
rumahnya. Mata tuanya sudah tidak boleh menerima cahaya yang terang. Matanya
pasti bergenang. Kerana itulah juga orang-orang kampung suka mengatakan yang
bukan-bukan terhadapnya.
“Pak,
apa kita buat tadi di sana?” Rizal memesrakan kata dengan memanggil ‘kita’
dengan bapanya. “Ada hajat kita mahu manabang pokok belunu atu?” Rizal
memperlinya. Husin hanya tersenyum.
“Kami
ada hadiah untuk kita.” Amat mulakan bicara.
“Hadiah?
Bapa belum hari jadi lagi!” Husin ketawa kecil. Setiap kali ulang tahun
kelahirannya, pasti anak-anaknya memberikan hadiah kepadanya walaupun dia rasa
janggal dibuat begitu. Tapi untuk tidak menghampakan anak-anaknya, dia tepat
menerima juga dan meletakkan di dalam almari sebagai hiasan. Bila rindu,
hadiah-hadiah itu akan ditatap mengubati rindunya.
“Tahulah,
hari jadi kita belum sampai lagi. Tapi ani hadiah istimewa untuk kita.” Milah
mengangkat dulang berisi cawan, dan Roz membawa pinggan berisi kuih. Kuih yang
sengaja dibeli sewaktu dalam perjalanan tadi.
“Ada-ada
tah saja kamu ani. Apa tah tuh?” Husin menjamah kuih yang dihidangkan.
Anak-anaknya tahu itu memang kuih kegemarannya. Tiba-tiba guruh berdentum kuat.
Mereka sedikit terkejut.
“Agaknya
malam ani mungkin ribut.” Pian bangun menjengah tingkap melihat langit. Langit
sudah ditutupi awan hitam. “Memang hujan labat malam ani, pak.”
“Biar
tah hujan. Lama sudah kampung ani ndak hujan.” Ringkas Husin menjawab kata
Pian, anak bongsunya. “Kamu mahu sembahyang karang di masjid atau di rumah?”
“Di
rumah. Kita berjemaah sama-sama. Kita jadi imam?”
“Bah.
Mana saja. Jadi malam ani, kita makan sadap-sadap. Bolehkah?”
“Mana
saja. Ditanggung beres!” Mereka tergelak kecil. Hati Husin turut terhibur
dengan kehadiran anak-anaknya itu.
Hujan
turun dengan lebat selepas Maghrib dan di selang-seli dengan kilat dan guruh.
Angin turut bergelora. Hati tua Husin galau melihat keadaan di luar rumahnya.
Entah kenapa, dia sendiri tak dapat mengagak. Seolah-olah ada sesuatu yang
bakal berlaku terhadapnya.
Matanya
kaku melihat rintik hujan yang menggila. Ribut bergelora, kian mengganas dan
guruh bergendangan. Tiada tanda untuk berhenti. “Pak, marilah makan. Siap sudah
dihidangkan.” Husin menoleh dan menutup birai tingkap. Langkahnya berat menuju
ke dapur. Milah menarik kerusi mempersilakan Husin duduk. Husin menuruti. Husin
terasa ghairah melihat masakan yang terhidang di depannya. Milah mencedok nasi
untuknya. Dia hanya bereaksi tingkah dan membiarkan saja anaknya menghidangkan
makanan untuknya. Husin memandang anak-anaknya yang sedang khusyuk makan. Dia
bersyukur ke hadrat Ilahi kerana memberikan amanah yang begitu sabar dan telah
menjaga amanah itu dengan sempurna sepenuhnya. Dia benar-benar bersyukur.
Cuaca
masih tak berubah. Masih seperti tadi. Husin duduk dikelilingi oleh
anak-anaknya. Guruh berdentum kuat menggegarkan rumahnya. Milah dan Roz
terkejut. “Sebenarnya, kami ada hajat untuk beritahu dengan kita.” Rizal memulakan
bicara. Tiba-tiba pintu diketuk deras menghentikan bualan mereka. “Siapa tuh?”
“Aku
Si Awang. Ada Tangah Husin?” Rizal membuka pintu. Awang kelihatan kesejukan
kerana kebasahan. “Ada Tangah, bapamu?”
“Ada.
Kanapa?”
“Panggil
sakajap bapamu!” Nafas Awang turun naik di dadanya. Husin bangun dan merapatkan
badannya ke sisi Rizal.
“Kanapa
Wang ni? Cemasnya?”
“Pokok
belunu kita, Tangah. Pokok belunu!”
“Kanapa?”
Husin diserang cemas.
“Pokok
belunu tumbang!”
“Ah…
bila?” Husin melangkah turun memegang bahu Awang.
“Baru
tadi. Ngam aku lalu di sana. Ndak sampai 100 meter, tiba-tiba ada bunyi kuat di
belakangku. Kali aku liat, pokok belunu atu rabah menyembah bumi.”
Husin
terduduk. Seakan-akan nyawanya turut tercabut. Anak-anaknya merangkul badannya.
“Sampai dulu jua ajalmu.”
“Sabar
pak. Sabar!” Awang memerhati saja. Dia tahu perasaan Husin terhadap pokok
belunu kesayangannya itu. Hujan terus turun. “Sabar pak. Kami adik-beradik
sudah membeli sebidang tanah dan sekarang sudah ditanam dengan benih pokok belunu.
Itu hadiah kami arah kita!” Jelas Milah di tangga rumah dan dibasahi oleh hujan
malam.
Pokok
belunu yang tinggi menjulang yang didongak oleh Husin petang tadi telah rebah
mencium bumi. Husin tak lagi mendongak seperti tadi tapi, dia tunduk melihat
pokok belunu yang terbaring. Sejarah tetap tidak berakhir. Pokok belunu itu
banyak kenangannya sejak dia kecil. Sejarah hidupnya tetap terukir di kulit
buah belunu. Husin mengalah juga dengan riwayat ciptaan-Nya. Matanya tetap kaku
melihat pokok belunu itu diratah oleh orang kampung yang selama ini mengingini
kejadian sebegitu. Husin pasrah semahu-mahunya. Pokok belunulah hidupnya. Pokok
belunulah riwayatnya.
GLOSARI.
ani - ini/begini
antah - entah
arah - sama/dengan
atu - itu/situ/begitu
bah - kata
penegas (bahasa Sabah)
bahapakan/bahapa - buat
apa
balajar - belajar
banar - benar
basar - besar
bebuah - berbuah
bakaras - berkeras
bongsu - mak
cik/Mak Su
dangar - dengar
inda - tiada/tidak
kadai - kedai
kampunan - kempunan
kan - akan
kanapa - kenapa
karang - nanti
keraja - kerja
labat - lebat
liat - lihat
luan - jalan/perjalanan
malar - selalu/kerap
mambali - membeli
mambasar - membesar
manabang - menebang
mengaga - datang
mulih - balik
rabah - rebah
sabab - sebab
sadap - sedap
sakajap - sekejap
sarba - serba
tabang - tebang
tah - sama
fungsi dengan partikel -lah
talan - telan
tampat - tempat
tangah - pak
cik/Pak Ngah
tarus - terus
tatap - tetap
tuh - tu
ANTOLOGI PUISI DAN CERPEN
LAMBAIAN TELUK 2008 TERBITAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA SABAH