Dua coretan asal yang dihasilkan oleh +Maharatu Rafidah Mohamad (+Maharatu Rafidah Mohamad ) dan telah diolah dengan lebih menarik lagi di dalam Rancangan Khas Syawal Setanggi Citra Lebaran Labuan FM 2014. Di sini, diberikan coretan asal untuk tatapan semua. :) Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin.
PAKAIAN
BAHARU
Tahun
ini, aku benar-benar ingin mendapatkan baju kurung moden sutera yang sungguh
cantik yang aku lihat di internet. Malah, baju kurung itu juga dijahit oleh
pereka fesyen terkenal. Harganya bernilai RM 550 yang turut termasuk kasut
percuma. Maka aku pun memutuskan untuk menjual kuih bahulu dengan tempahan awal
tahun bersama tawaran yang istimewa. Dan, aku berhasil memperoleh wang bernilai
RM 550 malah lebih lagi. Aku pun menempahkan baju impian aku itu. Ketika
Ramadhan, aku sibuk membuat kuih bahulu sehinggakan aku tidak cukup tangan. Aku
terpaksa membuat keputusan, memberitahu beberapa pelanggan, akan menerima kuih
bahulu, lewat sehari selepas raya dengan alasan, pembakar rosak. Namun,
hakikatnya, aku sudah tidak larat lagi.
Empat
hari sebelum raya, apa yang ditempah sudah diterima. Aku sangat gembira dan
tentang tempahan kuih bahulu aku lupakan. Sehari sebelum menjelang Aidilfitri,
entah mengapa, aku didatangi oleh seorang wanita yang tidak aku kenali. Aku
menjemputnya masuk dia keberatan untuk menerima pelawaan. Namanya makcik itu,
Mak cik Rohaya. Dia tinggal di kampung sebelah. Dia mempunyai dua orang cucu,
tidak mempunyai ayah dan ibu. Dia menyinggah ke rumahku kerana dia ingin
menjual kuih bahulu yang dibuatnya sendiri dengan harga RM 5 untuk dua ratus
biji. Aku terkejut mendengar penjelasannya itu. Sedangkan aku menjual RM 10
untuk seratus biji, inikan pula RM 5 untuk dua ratus biji.
Dia
turut menjelaskan, apabila menjual harga murah dengan jumlah yang banyak,
pelanggan membeli akan kuih bahulunya. Dengan wang yang ada, dia akan membeli
pakaian baharu kerana cucu-cucunya sudah hampir lima tahun tidak mempunyai
pakaian baharu. Dia juga berkata, cucu-cucunya ada menerima wang peninggalan
orang tua mereka, tetapi tarikh penerimaan wang itu adalah dipertengahan bulan.
Maka, tahun ini, dia ingin memastikan cucu-cucunya mempunyai pakaian baharu.
Aku bertanya, kenapa tidak meminta agar wang itu diserahkan lebih awal. Dia
berkata, dia bimbang, jika umurnya tidak sampai sehingga waktu itu, maka dia
tidak mampu menjalankan tugasnya untuk menjaga cucu-cucunya itu nanti.
Mak
cik Rohaya memberitahu sebuah cerita. Ia pernah diceritakan oleh arwah bapanya
ketika dia masih kecil. Kisah ini terjadi kepada Khalifah Umar Bin Abdul Aziz.
Anaknya bertanya kepada isterinya iaitu Fatimah Binti Abdul Malik, yang mana
anaknya inginkan pakaian baharu untuk Hari Raya nanti. Apabila Khalifah Umar
kembali ke rumah, isterinya memberitahu permintaan anaknya itu, namun Khalifah
Umar berkata dengan jujur, wang yang ada hanya boleh diterima pada bulan
hadapan. Isterinya, Fatimah mengerti. Isterinya berkata, dia akan mencuba
membeli pakaian yang murah agar anaknya akan gembira mendapat pakaian baharu.
Akhirnya, Khalifah Umar bersedih dan bersetuju menulis surat kepada Bendahari
meminta supaya gajinya didahulukan sebulan awal supaya dia boleh membelikan
sesuatu untuk anaknya sebelum Hari Raya Aidilfitri. Dan Bendahari membalas
permintaan Khalifah Umar dan Khalifah Umar menangis ketika membaca surat itu.
“Amir
ul-Mukminin, saya menghormati anda dan saya percaya anda akan patuh sepenuhnya.
Walau bagaimanapun, jika anda boleh menjamin kepada saya bahawa anda akan hidup
untuk melalui perkhidmatan anda di bulan depan, maka anda layak untuk menerima
gaji anda dan saya akan menyerahkannya kepada anda. Jika anda tidak boleh
memberi jaminan dalam hidup anda, maka bagaimana perbendaharaan dapat membayar
dan kenapa anda mengambil hak golongan miskin, anak yatim dan janda-janda ke
bahu anda?”
Khalifah
Umar menyedari kesilapannya. Dan isterinya, Fatimah membasuh pakaian lama. Dan
ketika hari raya, Khalifah Umar memberitahu bahawa pakaian lama mereka sangat
bersih kerana Tuhan tidak pernah memandang pada pakaian tetapi pada keimanan.
Jika kita ingin memiliki pakaian baharu semata-mata untuk keseronokkan, maka
kita terlepas akan keseronokan yang kekal dan keselesaan Syurga.
Disebabkan
inilah, dia tidak mahu meminta awal kerana dia bimbang tidak mampu menjalankan
amanah untuk menjaga cucu-cucunya nanti. Aku tersedar bahawa aku tidak amanah
dengan para pelanggan yang sudah menempah kuih bahulu denganku sebelum ini.
Bayangkan, jika Tuhan akan mencabut nyawaku, maka aku sudah tidak mampu
melunaskan amanah yang ada di bahuku. Aku sedar yang aku berdosa. Maka aku pun
membeli ke semua kuih bahulu Mak cik Rohaya dan mengatakan kepada pelangganku,
bahawa kuih bahulu itu telah dibeli daripada Mak cik Rohaya dan memohon maaf
kepada mereka. Syukur, mereka menerima kemaafanku.
Di
pagi hari raya, aku pergi ke rumah Mak cik Rohaya dan aku pun menghadiahkan
pakaian baharu kepada cucu-cucunya dan juga kepada Mak cik Rohaya. Aku
bersyukur, kerana kehadiran Mak cik Rohaya telah menyedarkan kesilapanku.
MAK
ASMAH
Dua
tahun lalu, ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri, aku telah mengikuti
rombongan Lawatan Ziarah Aidilfitri ke sebuah rumah kenangan yang menempatkan
orang-orang tua di salah sebuah negeri di Malaysia. Kedatangan kami disambut
mesra oleh pemilik rumah kenangan itu dengan dendangan lagu raya oleh Hail Amir
dan Uji Rahsid.
Di
tengah riuh kegembiraan itu, aku melihat seorang ibu yang senyumannya seperti
dibuat-buat. Mungkin dia mengharapkan sesuatu yang benar-benar dinantikan. Aku
menghampirinya membawa sebiji pinggan berisi lemang, ketupat dan rendang. Aku
menyapanya mesra. Dia menyambut sapaanku dengan senyuman.
Aku
memperkenalkan diriku dan dia memberitahu namanya, Mak Asmah. Aku menyerahkan
pinggan itu kepadanya dan mengucapkan terima kasih. Aku mula bertanya,
kepadanya tentang kesihatan. Aku benar-benar mengatur pertanyaan, kerana aku
bimbang, kata-kataku mungkin akan membuatkan dia menangis nanti. Dia
memberitahu yang dia sihat dan gembira menerima kehadiran kami di situ hari
ini. Aku turut mengatakan bahawa aku juga gembira sekali.
Aku
pun bertanya, berapa lamakah sudah dia tinggal di rumah kenangan ini? Dia
menjawab sambil membetulkan ketupat yang ada di dalam pinggan. Resah nadanya.
Katanya, dia sudah pun tinggal di sini hampir tujuh tahun. Aku tidak bertanya
lagi sebaliknya dia menceritakannya tanpa kuminta. Dia memberitahu, dia ada
empat orang anak. Tiga orang lelaki dan seorang perempuan. Ke semuanya sudah
berkahwin dan punya keluarga masing-masing. Aku senyap mendengar dan rentak
suaranya sudah mula kedengaran sedih.
Sebelum
suaminya meninggal dunia lapan tahun lalu, dia hidup bersama suaminya di
kampung. Anak-anak akan datang apabila hari raya. Tetapi selepas suaminya
meninggal dunia, dia tinggal dengan anak sulungnya. Tetapi anak sulungnya
selalu sahaja pergi ke luar negara kerana urusan kerja. Maka, dia pun tinggal
di rumah anak kedua. Namun, dia tidak mahu isteri anaknya itu bising kerananya,
maka dia minta untuk tinggal di rumah anak ketiga. Di rumah anak ketiga, dia
hidup dalam keadaan baik. Anak perempuannya menjaganya. Tetapi apabila suaminya
diberhentikan kerja, maka dia tidak mampu untuk menampung seorang lagi. Maka
dia pun tinggal di rumah anak bongsu. Tetapi orang kata, menjaga anak ramai
lebih senang berbanding menjaga seorang ibu. Oleh itu, anak-anaknya
menghantarnya ke rumah kenangan ini.
Aku
mengerti dengan kesedihan Mak Asmah. Dia merindui anak-anaknya. Dan aku
memberanikan diri bertanya, adakah anak-anaknya datang menjenguknya di sini.
Kalau dahulu, sebulan sekali tetapi sejak empat tahun yang lalu, datang
menjenguk cuma setahun sekali. Itupun sekejap, jawabnya. Mak Asmah sudah
mengengsat air matanya. Aku memegang bahunya cuba menenangkannya. Dia akan
bersyukur, kalau pun dia akan mati esok, jika anaknya datang beraya dengannya,
dia akan mati dalam tenang dan mengampunkan dosa anak-anaknya itu. Teringat dia
ketika anak-anaknya masih kecil, mereka semuanya melekat dengan dirinya dan
tidak mahu berpisah. Tetapi, sekarang, Tuhan sahaja yang tahu kesedihan dan
rindunya itu. Tambah Mak Asmah lagi dengan tangisnya. Aku hanya mampu
memeluknya dan cuba mengikhtiarkan sesuatu. InsyaAllah.
Setahun
aku berusaha menjejak anak-anak Mak Asmah. Syukur Alhamdulillah, aku berjaya
juga menemui mereka dan memberitahu kata terakhir ibu mereka itu. Bahawa ibunya
akan mati dalam tenang, jika anaknya merayakan Aidilfitri bersamanya walaupun
cuma sekejap dan akan mengampunkan dosa anak-anaknya itu. Hanya kata itu sahaja
mampu aku katakan, dan kini terpulanglah kepada anak-anaknya.
Setelah
dua tahun berlalu, aku mengikuti rombongan itu sekali lagi dan kami menziarahi
rumah kenangan itu. Aku mencari Mak Asmah dan pegawai di situ berkata, Mak
Asmah sudah tidak tinggal lagi di sana. Aku terkejut dan cuba membuangkan
fikiran negatif. Pegawai itu menambah, sudah setahun, dia tinggal di rumah anak
sulungnya. Dan baharu semalam, Mak Asmah datang ke sini menyambut raya bersama
dengan anak-anaknya di sini.
Aku
bersyukur kerana usaha yang tidak seberapa itu telah memberikan sinar baharu
kepada Mak Asmah. Kisah ini walaupun hanya keluargaku sahaja yang tahu, namun
apabila kukongsikan di sini, semoga akan menjadi teladan kepada anak-anak di
luar sana. Percayalah, hati kedua orang tua kita akan gembira dan tenang
apabila melihat anak-anaknya di hadapan mata mereka ketika menyambut hari raya.
Maka, janganlah dilukai hati orang tua kita kerana merekalah yang telah menjaga
kita sejak kecil lagi. Gembirakanlah hati mereka seperti mana mereka telah
menggembirakan hati kita, anak-anaknya ini.
No comments:
Post a Comment