MAHARATU RAFIDAH MOHAMAD

SEMUANYA UNTUKMU

SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI MAHARATU RAFIDAH MOHAMAD. SEMOGA GEMBIRA HENDAKNYA DAN SEMUANYA UNTUKMU.

Sunday, 27 July 2014

SYAWAL BLOG : SALAM AIDILFITRI



+Maharatu Rafidah Mohamad dengan ini mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada Seluruh Rakyat Malaysia dan juga Muslim di seluruh dunia. Semoga Syawal Kali ini Akan memberikan sejuta nikmat kemaafan kepada kita sesama insan. Dan harapan Aidilfitri Maharatu kali ini, semoga, negara kita Malaysia akan terus aman, sejahtera dan dilindungi oleh Allah swt. Dan juga mendoakan akan kesejahteraan kepada seluruh umat Islam di seluruh dunia dan membuka hati-hati untuk memberikan walau hanya seminit kegembiraan kepada umat Islam yang sedang menderita. Walau apa-apapun, Maharatu ingin memohon maaf dan ampun, andai ada kesalahan dan kesilapan yang dilakukan sepanjang bersama. Maaf Zahir & Batin.

Friday, 25 July 2014

PUISI SEMERBAK KASTURI RAMADHAN RTM LABUAN FM



MANUSIA SANG PENGEMIS


Sesungguhnya telah datang kepada insan
ketika itu dia belum mampu
berbicara
mendengar
melihat
namun berdegup nyawa
dari setitis kesenian
yang bukan bernama
manusia sang pengemis
setiba dia lahir di pinggir kasih.

Sesungguhnya Dia telah menunjuk jalan kepadanya
namun adakalanya
insan itu tahu apa maknanya terima kasih
dan adakalanya
insan itu hanya tahu makna meninggi diri
kalimat terakhir yang terukir pada bibir
manusia sang pengemis
hanyalah sandiwara omong
yang hebat seperti rewang.

Sesungguhnya Dia telah memberikan cahaya
dua buah cahaya yang perlu dipilih
kegelapan mahupun keterangan
di remang susur mata sekaki
yang ada hanya kekecewaan
rentak suara tangis dan alun kata ketawa
bersambut sampuk dan tepuk
kehidupan suatu paksa yang terpaksa
manusia sang pengemis
tahu apa itu terbunuh debar bila gugur.

Kata itu terlalu sukar sebenarnya
makhluk paling gagah itu manusia
namun segagahnya juga adalah pengemis
yang merangkak memutuskan tanah sepi
tanpa mengenal kain dan kapasnya
hancur lebur dalam kabut fajar
dia ingin berhenti
tetapi, mana perhentiannya?
yang yakin pengemis itu juga manusia
pengemis kepada cintanya Tuhan.



SUJUD


Saat akal diciptakan
dia sujud kepada Allah dan taat
detik nafsu diciptakan
dia sujud kepada Allah dan cuma seketika taat
ingkar dan akhirnya bertaubat
pabila tidak mampu menahan gelora lapar
Allah naikkan semula ke syurga aman.

Di singgah arasy sujud berlabuhan
memberikan sejuta pengharapan
kejayaan dari segala kesabaran
kemenangan dari segala peperangan.

Sujud sembah menerima bahagia
Allah pengatur kecekalan insan
kebenaran datang lenyapnya kepalsuan
memanggil ke jalan Tuhan
memberi pertemuan kemaafan
jari lembut disambut sapa
sujud dan sembah kepadaNya
dengan rahmat Ramadhan
pengikat segala cinta mendokong gembira.



RAMADHAN TERBAIK TAHUN INI


Ia adalah bulan yang terbaik
yang menerangi segala kegelapan
inilah bulan yang terbaik
membungakan segala kuntuman segar
masa yang mengalirkan air mata
pada kebahagiaan dan kegembiraan
segalanya sukar untuk dibendung lagi
bagaikan air sungai yang berterusan mengalir
untuk memulakannya, terasa tidak sabar
dan apabila ia dalam ayunan penuh
pengharapan pada keimanan bakal tersempurna.

Betapa kita menginginkan bulan ini
di dalam dakapan jiwa murni
mencairkan segala perit payah menjalani
dan merasakan kehangatan kerinduan
pada sebuah nilai perpaduan
biarpun cuma sementara bersama
ia tetap bagai bertahun lama
inilah anugerah Allah swt yang teristimewa
di antara yang terbaik.

Dingin angin membangunkan syukur sahur
menghidangkan kenikmatan dalam kesederhanaan
berdoa segala niat merukunkan harian
kalimah Al-Quran ditutur di bibir kering
oh! yang menjadikan kekuatan luar biasa
yang tidak boleh digambarkan
biar dengan mata batin sekali pun.


Setiap tahun kita berusaha berubah
bak menggilap mutiara menjadi lebih indah
tingkatkan ibadah setinggi keimanan
membaca Al-Quran seluas kekuatan
menjemput Iftar segugus persahabatan
terawih bersama sebulat permuafakatan
bersolat berdoa sedalam keinsafan
bersedekah salam sekukuh kejujuran
menghimpunkan tali persaudaraan
mengeratkan ikatan persamaan.

Imam bersuara merdu
mengambil tawaduk keimanan
agar tunduk sujud kesyukuran
kepada nikmat-Mu, ya Allah
yang memberikan sejuta bintang keindahan
yang menghulurkan sejuta cinta keharmonian
agama-Mu, ya Allah
mengingatkan perjuangan para nabi, para rasul
menepis kejahatan, menghapus godaan
dan ketika inilah, kita mampu
untuk kembali kepada-Nya
dan menghapuskan segala dosa yang ada
agar diterima di jalan-Nya semula.

Ramadhan ini
ganjaran untuk membiak dan meningkatkan
segala amal dan sunnah yang sering terlupa
mendorong untuk lebih baik
dan meninggalkan segala kemungkaran
dan doa kita sama sahaja
mengharap Ramadhan tahun ini
adalah yang terbaik untuk kita.



BERDOALAH DENGAN KASIH SAYANG DI MALAM LAILATUL QARD


Malam ini malam indah
rasa dengan hati, bukan dengan mata
satu malam yang tidak terungkapkan
ia adalah malam anugerah Ilahi
berdoalah dengan kasih sayang
dengan rahmat-Nya di segenap ruang
segala malaikat akan turun dari langit
memayungi segala ciptaan tercinta-Nya.

Malam ini malam istimewa
segala bebab akan dibebaskan
dengan tangan dibangkitkan
berdoalah dengan kasih sayang
untuk menyembuhkan para hati
merendah diri mencairkan kemunafikan
memberikan sejuta nikmat keimanan.

Malam ini malam kecerahan
memohonlah pengampunan dari-Nya
angin yang menari pada pokok kebahagiaan kekal
berdoalah dengan kasih sayang
dalam pelukan tangis air mata keesaan
menyentuh langit berbintang Ilahi
mengharapkan dapat kembali ke jalan benar.

Malam ini malam damai
rahmat-Nya berkumpul segenap alam
tidak akan berhenti, jauh ke atas
berdoalah dengan kasih sayang
mengisi dunia merukunkan akhirat
membersihkan segala jiwa kotor
dari arang menjadi permata
berdoalah dengan kasih sayang
wahai saudara seIslam sekalian
berdoalah dengan kasih sayang
dengan rahmat cinta-Nya Allah.

Malam ini malam diberkati
sebuah malam yang disukai
malam indah dari segala malam
berdoalah dengan kasih sayang di malam Lailatul Qard
bukan masa untuk penting diri dan tamak
bukan masa untuk fikir golongan berbeza
semoga Allah bersama dalam setiap langkah
semoga Allah membimbing dalam setiap keputusan
semoga Allah memberikan dalam setiap kehidupan
semoga Allah melindungi dalam setiap perjalanan
Semoga Allah mendengar dalam setiap rayuan
dan semoga Allah merahmati dalam setiap pengorbanan
maka
berdoalah dengan kasih sayang
demi cinta-Nya Allah.



YA NAFSI, MOHON AKURLAH WALAU SEBENTAR


Mengapa susut air mata ini?
mengapa susut air mata ini dalam kesedihan?
ya nafsi, benarkah engkau telah lupa
selepas perbicaraan datang bantuan manis
mengapa engkau mudah lupa?
sembahlah sujud kepada ar-Rahman
ya nafsi, adakah engkau tidak ingat?
pada Allah, engkau masih bergantung.

Baca, Allah tidak mereka cerita
daripada ujian di hari lalu
pada sahabat yang dikasihi Allah
jalan Allah yang dituju penuh sabar.
mengapa engkau mempengaruhi dalam hati manusia?
mengapa melenting, saat Allah menghulurkan tangan?
ya nafsi, tidakkah engkau ingat
Bilal di atas pasir menjulang nama Allah?

Ahad! Ahad! Dia menangis
walau dagingnya sudah terbakar
Ahad! Ahad! Dia menangis
demi Allah, dia tidak berpaling.

Lupakah engkau akan ketegasan Hamza
seperti pedang berkilauan tidak jatuh
dengan sabar dia rukuk pada Allah
tidak gentar Quraish datang mencela.
mengapa lemas dalam air mata masin?
ya nafsi, dapatkah kesakitanmu sebulan dipenjara
dalam menyembuhkan untuk Yasir dan Sumayyah
di seksa di dataran terik
akurlah walau sebentar, ya nafsy.

Ya nafsi, lupakah engkau
akan ketaatan Rasulullah Muhammad
dalam menjalankan suruhan Allah
tidak gentar dengan segala tomahan
ya nafsi, engkau cuma terkurung sebulan
tidak akan mampu meredakan penderitaan
yang telah dirasakan oleh para sahabat Allah
mohonlah akur walau sebentar.

Ya nafsi, mengapa engkau tidak berkawan dengan Al-Wali?
mengapa tidak sujud kepada-Nya mengadu?
seperti Ayub yang hanya ada Allah
kesedihan dan kesakitan diserahkan kepada yang satu
ya nafsi, lupakah engkau pada kehidupan
yang harus membersihkan hati dan jiwa
ya nafsi, kau tidak perlu menangis
tunduklah pada kekuasaan Allah.

Ya nafsi, berilah peluang kepada manusia
untuk melaksanakan suruhan Tuhan
biarlah manusia menutur kalimah Allah
Subhana Allah, Allahu Akbar
biarlah manusia mempercayai akan hikmah-Nya
sesungguhnya Dia tahu akan segala kebaikan
maka ya nafsi, mohon akurlah walau sebentar.



MAHA SUCI ALLAH


Bismillah
salam bermula
kepada pencipta segala ciptaan
Maha Suci Allah
kata-kata yang mulia
sering terbang membuka seluruh alam
hati yang tertinggi, berniat kerana-Nya
hanya lima kali sehari bertemu
marilah kita berdoa
memuji Ilahi, Allahu Akbar.

Al-Quran tercipta
meletakkan kata-kata benar
menyempurnakan segala penjelasan
dari langit ke jejak bumi
panduan hidup janjian syurga neraka
kasih Allah seluas lautan
yang membimbing ke jalan akhirat
tanpa sedikit yang cacat
maha sempurna Ya Rabb
pencipta umat, Lahillahillallah.

Nikmat Allah tidak didustakan
menangis sujud bayangan hidup
bersihkan hati, lapangkan dada
kekayaan cinta Allah kepada kita
tidak akan pernah berkurang
pelajarilah ajaran dari keimanan Rasulullah
melindungi dari musibah
memberi rahmat menakjubkan mata
kurniaan jiwa agar tidak sakit
maka jadilah hamba kepada-Nya, SubhanaAllah.

Hidup di dunia ini penuh pancaroba
jangan memfitnah, jangan menghina
kita semua sama, hulurkan tangan
dari kelahiran sehingga kematian
Dia pencipta, Dia pemelihara
segala puji bagi Allah
mencurahkan rezeki seadilnya cara
tidak sedikit pun kedekut
melimpahkan sayang ke sekalian ummah
menjadi kunci pahala syurga, Alhamdulillah.

Dia memilih yang terbaik
ujian dan dugaan adalah pahala
jangan gentar, jangan kalah
segala zat dari Allah
akan memberi ganjaran kemurniaan
tidak sedikit pun rosak
menghulurkan iman ke segenap dunia
sujudlah tegakkan keimanan
akan terbuka lembar kebahagiaan, InsyaAllah.

Kata-kata mulia Allah
tuturlah, lafazlah, zikirlah
di bulan yang mulia ini
bulan segala keinsafan
segala kekuatan menghadap
Tuhan yang satu, Allah swt
pencipta kekal sanjungan mulia
Allahu Akbar
Lahillahillallah
SubhanaAllah
Alhamdulillah
InsyaAllah
amin ya rabbul alamin.


Tuesday, 15 July 2014

KERATAN AKHBAR : PUISI YANG TERSIAR DI AKHBAR 2014


Keratan Akhbar New Sabah Times. Ahad 18 Mei 2014. Puisi +Maharatu Rafidah Mohamad +Maharatu Rafidah Mohamad bertajuk ANUGERAH.


Keratan Akhbar New Sabah Times. Ahad 13 Julai 2014. Puisi +Maharatu Rafidah Mohamad +Maharatu Rafidah Mohamad bertajuk DOGMA GEMBIRA.