SEMUANYA UNTUKMU

SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI MAHARATU RAFIDAH MOHAMAD. SEMOGA GEMBIRA HENDAKNYA DAN SEMUANYA UNTUKMU.

Sunday 29 June 2014

JURNAL BLOG : KEALPAAN PENYAIR TERHADAP TUBUH SAJAK oleh MAHARATU RAFIDAH MOHAMAD


JURNAL BLOG
KEALPAAN PENYAIR TERHADAP TUBUH SAJAK


Puisi adalah bentuk seni yang paling popular di dunia. Ia adalah salah satu genre yang dihasilkan oleh semua lapisan masyarakat. Ia dihasilkan melalui pengalaman, imaginasi ataupun sesuatu yang lahir dari kejadian benar. Puisi juga merupakan salah satu cara terapi yang baik kerana ia boleh membantu kita menyatakan siapa diri kita dan menyatakan pendapat tentang sesuatu permasalahan. Dan puisi ini terbahagi kepada dua bentuk, iaitu puisi tradisional dan puisi moden. Puisi tradisional terdiri daripada pantun, nazam, syair, seloka dan sebagainya. Manakala puisi moden pula hanya sajak.

Sejak ratusan tahun dahulu, golongan bangsawan memegang genre popular ini dan hanya orang tertentu sahaja yang dapat mendeklamasikan sajak ini di hadapan golongan bangsawan. Tetapi ketika ini, sesiapa juga mampu menghasilkan sajak namun, tidak semua yang mampu menghasilkan sajak yang akan dikenang sampai bila-bila.

Ada beberapa tubuh sebenarnya dalam mendirikan sesebuah sajak yang kukuh. Malah, sajak juga memerlukan tubuh yang kuat, sihat, cergas dan sempurna. Namun penyair yang lebih bersifat bereksperimen terhadap sajak mereka, mereka akhirnya lebih mengutamakan eksperimen mereka dan juga masih belum matang dalam menghasilkan setiap baris perkataan yang dipilih. Ini juga mungkin terjadi, kerana sajak itu sendiri memiliki sifat keghairahannya yang tersendiri untuk mengangkat sajak itu menjadi sesuatu yang baharu daripada yang lebih baharu.

Oleh itu, di sini, diberikan beberapa TUBUH membuat sajak yang sebenarnya sudah lama diketepikan oleh penyair. Semoga, tubuh-tubuh yang telah dilupakan ini, dapat dijadikan sedikit panduan untuk para penyair yang sangat berminat dengan genre puisi ini iaitu sajak.

TUBUH 1 : PILIH TOPIK.

Pertama sekali, penyair harus memikirkan subjek untuk menulis. Sebagai contoh, subjek berbentuk cinta. Ia tidak perlu menjadikan penyair itu seorang yang romantis. Malah, penyair yang bersifat tegas juga boleh menghasilkan sajak sebegini. Subjek berbentuk cinta ini boleh melibatkan rasa cinta kepada ibu bapa, adik-beradik, alam, rakan, haiwan dan juga kepada Tuhan.

Contoh :
-          Subjek cinta yang diambil adalah – Ibu.

TUBUH 2 : SOALAN.

Setelah penyair memilih subjek iaitu Ibu, penyair harus memikirkan tentang ibu dan cinta penyair kepada ibunya. Pastikan soalan-soalan itu berbentuk positif dan tanyakan kepada diri, apakah soalan-soalan tersebut.

Contoh :
-          Apa yang diperlukan untuk menjadi seorang ibu?
-          Apakah ibu anda bermakna kepada anda?
-          Apakah perkara-perkara yang telah ibu anda lakukan untuk anda yang anda hargai?
-          Apa perbezaan ibu anda daripada ibu yang lain?
-          Apa yang anda suka mengenai ibu anda?
-          Apakah perasaan anda terhadap jawapan terhadap soalan-soalan ini?

Setelah itu, penyair harus meletakkan jawapan kepada soalan-soalan tersebut mengikut rasa emosi cinta penyair. Pastikan penyair berfikir secara positif.


TUBUH 3MULA MENULIS SAJAK ANDA.

Penyair harus memulakan sajak penyair mengikut jawapan yang diberikan di dalam bentuk gaya bahasa yang indah. Penyair boleh menyatakan sesuatu seperti :

Contoh :

Ibuku sangat bermakna kepadaku
dia telah mengalas ribuan pengorbanan
cintanya lebih besar dari segalanya.

Setelah penyair memiliki baris sajak ini yang akan disambung ke baris-baris seterusnya, maka penyair sudah berjaya menghasilkan sebuah sajak.

TUBUH 4 SELESAI DRAF PERTAMA ANDA.

Adalah penting untuk draf pertama, ditulis dengan secepat mungkin, kerana idea itu boleh sahaja hilang bila-bila masa. Di sini, penyair bebas menggunakan apa sahaja bahasa dan tidak perlu risau dengan tatabahasa, ejaan, bentuk dan sebagainya.

TUBUH 5 KAJIAN DAN TULIS SEMULA.

Apabila sudah mempunyai draf pertama, kini penyair boleh menyemak apa yang telah ditulis dan mula membentuk sajak yang betul. Ingat, puisi moden iaitu sajak tidak perlu memiliki rima. Bagi memiliki klimaks yang sempurna, penyair harus menekan di baris terakhir sajak yang memastikan identiti sebagai seorang penyair yang mengangkat subjek di dalam sajak tersebut diletakkan pada satu aras yang tinggi supaya sajak yang dihasilkan itu akan dikenang sampai bila-bila. Apa yang penting, tiada puisi kedua yang sama kerana ia sama seperti penyair sendiri, tidak mungkin ada orang lain yang sama seperti anda. Itulah keindahan sajak.
Sajak akan lebih indah apabila penyair masuk ke dalamnya dan menjadi sebahagian daripada sajak tersebut. Memang, sajak bukan sahaja untuk diri penyair tetapi juga untuk orang lain, oleh itu, terletaklah di sini tugas penyai membentuk baris-baris perkataan yang akan memudahkan pembaca memahami dan pastikan sajak itu bukan sahaja penyair yang faham tetapi sesiapa juga akan memahami walau hanya membacanya sepintas lalu. Ini adalah salah satu ganjaran yang besar untuk menjadi penyair. Ia membantu penyair untuk menyatakan diri sendiri dan membantu orang lain untuk memahami dirinya.

Setelah berjaya menulis sajak berbentuk sebegini, penyair boleh berfikir tentang subjek yang lain. Senarai subjek ini tiada batasan. Penyair boleh pergi ke mana sahaja melalui sajak anda, penyair tidak perlu terikat dengan puisi-puisi yang terlalu banyak bermain dengan kata-kata, tidak serius dan tidak matang. Apa yang diperlukan, hanya pen, sehelai kertas dan imaginasi anda.

Semoga panduan yang diberikan secara ringkas ini, akan dapat membantu menambah pengetahuan kepada para penyair dan janganlah pula ia dipandang remeh kerana yang sedikit itulah yang akan menjadi banyak.

No comments:

Post a Comment