SEMUANYA UNTUKMU

SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI MAHARATU RAFIDAH MOHAMAD. SEMOGA GEMBIRA HENDAKNYA DAN SEMUANYA UNTUKMU.

Sunday 3 August 2014

CERPEN BLOG : POKOK BELUNU oleh MAHARATU RAFIDAH MOHAMAD



POKOK BELUNU


DITERBITKAN DALAM ANTOLOGI PUISI DAN CERPEN 2008 LAMBAIAN TELUK OLEH DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA SABAH.



Matahari hampir mencecah anjung barat. Cahayanya dilindungi oleh sepohon pokok yang banyak menyimpan 1001 macam rahsia penduduk Kampung Tekuyung. Sebuah kampung yang tidak begitu dikenali oleh orang ramai. Kampung yang terperosok dari dunia kecanggihan dan kemodenan masa. Walau bagaimanapun, kampung itu wujud seiringan dengan pokok yang menahan cahaya matahari menerjah ke tanah. Seorang lelaki tua yang seusia dengan pokok itu khusyuk memandang ketinggian pokok itu, tidak endah dengan gigitan nyamuk yang menghinggapi ke kulit tuanya yang telah dimakan usia.
            Tangah Husin tidak rimas duduk di belukar semak itu, sambil memandang kejauhan pokok di hadapannya. Pokok itu banyak memberi jasa kepadanya. Kepada isteri dan anak-anaknya malah penduduk kampung itu juga. Dia tidak pernah merungut dengan pokok itu. Pokok yang ditanamnya sejak kecil lagi. Sejak ayahnya Tua Hasan meneroka kampung ini. Ayahnya bersama-sama beberapa orang tua lain datang ke tanah Labuan yang dulu dikenali sebagai Victoria menempa nasib dan tuah. Kini yang tinggal hanya dia dan pokok yang membesar bersama-samanya. Pokok itu adalah sebahagian nyawanya.
            “Sin, mari dulu kau sakajap. Ada bapak mahu kau buat ni.” Hasan memanggil anak bongsu lelakinya yang sedang leka bermain tanah bersama-sama abang dan kakaknya.
            “Apa Pak?” Husin terjengah-jengah memandang bapanya yang sedang duduk mencangkung.
         “Mari kau dulu!” Suara Hasan tinggi memanggilnya. “Hai, kau ani Sin, cuba bila dipanggil atu tarus mengaga.” Husin memang liat bila dipanggil olehnya. Tidak sama dengan anak-anaknya yang lain. Mungkin kerana Husin anak bongsu daripada lima orang adik-beradik membuat Husin lebih manja daripada dua abang dan dua kakaknya itu.
            “Ada apa Pak?” Husin merapatkan tubuh mungilnya ke sisi bapanya.
            “Ndak, bapak mahu kau tanam benih pokok ani!”
            “Pokok apa, Pak?”
         “Pokok belunu!” Abang dan kakaknya menghampiri mereka berdua. “Pokok belunu ani, buahnya sadap dimakan. Jadi, bapak mahu kau tanam. Abang sama kakakmu sudah menanam pokok-pokok lain di sana!” Mulut Hasan menjuih menunjuk arah tempat anak-anaknya yang lain yang telah menanam beberapa jenis pokok semalam.
            “Pokok ani capat basarkah, pak?”
            “Bila kau basar, basartah pokok ani jua!”
            “Oh!” Husin menanam benih pokok belunu itu dengan diajar oleh bapanya
            “Oi, Tangah Husin! Bahapakan tuh?” Lamunannya terhenti apabila dirinya disapa. Dia memandang ke arah suara yang menyapa itu. Bibah, isteri Awang Kail. “Bahapakan tuh? Ndak ada nyamuk tuh, Tangah?” Bibah tersenyum kambing.
            “Oh… kau Bibah. Saja tah duduk-duduk di sini, ah! Kau pula kan ke mana?”
            “Kan ke kadai Si Yakop atu. Kan mambali lauk!” Suara Bibah melaung.
            “Si Awang ndak turun memukat hari ani?”
            Bibah berjalan menghampiri Husin. “Air ndak baik, katanya. Di rumah atu seorang pun ndak mahu kan ke kadai. Terpaksa tah aku ke sana mambali apa yang patut!” Bibah sedikit mengeluh. Husin mengangguk faham. “Kita bahapa? Belunu atu bebuah tahun ani, Tangah?” Bibah berbasa-basi dengan perkataan ‘kita’ dengan Husin sebagai tanda hormat.
            “Antah. Tapi kalau ikut kiraan, bebuah kali jua belunu ani.” Husin memandang berahsia.
            “Kalau bagus bebuah tuh jua. Dapat jua merasa sebiji dua belunu atu karang.” Bibah ketawa kecil menampakkan baris-baris gigi yang kekuningan. Husin hanya memerhati. “Hei, lambat sudah luan ani. Karang tutup kadai Si Yakop atu. Jalan dulu aku ani, Tangah!”
            “Bah. Hati-hati saja jalan atu!”
            “Bah. Assalammualaikum.”
           “Waalaikumsalam.” Mata Husin menyoroti langkah Bibah. Dia hairan melihat sikap Bibah kepadanya. Kadang-kadang Bibah baik dengannya, kadang-kadang tidak. Husin hanya tersenyum memikirkan perangai dan sikap Bibah terhadapnya selama ini.
            “Orang tua atu sudah nyanyuk. Pokok belunu atu ndak ada kan bebuah lagi. Baik ditabang. Kampung ani selalu berangin, ribut, tumbang pokok atu, habis menyusahkan orang karang kan lalu. Luan jalan atu jua tampat lalu kan ke bandar. Budak-budak ke sekolah, jalan atu. Orang keraja, jalan atu jua. Mahunya tiba-tiba pokok atu tumbang masa orang lalu, macam mana?” Lantang suara Bibah bercakap mengenai pokok belunu milik Husin itu.
            “Masalahnya Bongsu Bibah, orang tua atu ndak mahu, pokok belunu atu ditabang. Bakaras kepala. Kata ndak mahu, ndak mahulah! Sampai terbengkalai projek kan mambasarkan jalan raya di simpang utara atu.” Tokok Mail selaku pembantu Ketua Kampung Tekuyung. Bair hanya diam mendengar kata-kata mereka.
            “Betul tuh kata kau, Mail, Bongsu Bibah. Tangah Husin atu melambatkan proses kemajuan kampung ani. Dahlah, kampung kita ani mundur. Baik sudah atu, YB kita atu sudi membantu kita memajukan kampung ani tapi Tangah Husin menentang habis-habis.” Brahim menambah pendapat bantahan.
            “Aku faham perasaan korang ani.” Bair malas menggunakan bahasa formal dengan anak buahnya. “Aku ndak boleh bekaras hati sama Si Tangah Husin atu. Ia orang lama di kampung ani. Walaupun aku Ketua Kampung tapi aku kena jua hormati ia atu.” Jelas Bair.
            “Ah, atu pun Tangah Husin.” Husin muncul tiba-tiba di laman rumah Bair. Dia mendengar semua yang dibicarakan oleh mereka sebentar tadi.
            “Aku tatap dengan pendirian aku, ndak akan manabang pokok belunu aku atu. Ia nyawa aku selama ani. Pokok atu banyak berjasa arahku. Aku ndak mahu sapa-sapa manabang pokok atu sampai bila-bila. Anak dan cucu-cucuku masih ada. Mereka suka makan buah belunu atu. Ndak kan aku mahu dia orang atu kampunan sabab ndak dapat makan belunu. Langkah mayatku dulu kalau ada sapa-sapa berani.” Amarah Husin tidak dapat dibendung lagi dengan sikap mereka yang sering menyalahkan pokok belununya itu.
            “Tapi Tangah, pokok atu…”
         “Aku ndak mahu dangar apa-apa!” Husin memintas kata Bibah. “Yang aku tau, aku ndak mahu pokok belunu aku ditabang!” Husin menyergah dan membuatkan mereka terkejut dengan tindakannya. Husin tersedar kembali dari lamunannya. Dia masih berada di hadapan pokok belununya dan bukan di laman rumah Bair. Dia berfikir sejenak. “Apabila pokok ani mengeluarkan buahnya, orang pertama yang akan memanis muka dengannya ialah Bibah, Mail dan Brahim,” hati tua Husin berbisik dan dia tersenyum dengan keadaan itu. Dia tidak pernah mengambil hati dengan sikap mereka terhadapnya. Pokok belunu ini masih mampu mengeratkan kemesraan mereka, walaupun sebab pokok belunu itu mereka benci dengan kedegilannya. Dia memandang langit. Lembayung matanya mencecah di anjung langit. Daun-daun pokok belunu seakan melambai mesra kepadanya. “Kau banyak menabur jasa kepadaku. Hasilmu telah membesarkan anak-anakku sehingga berjaya.” Husin tersenyum berbaur keluhan di dalam hatinya ketika ini. Serba-salah. Kusut.
            “Tangah Husin, aku sebenarnya malas sudah melayan karenah dia orang atu. Malar menyuruh aku manabang pokok belunu atu. Aku tau pokok belunu atu banyak membawa kenangan dan banyak jua membantu kau mencari rezeki. Mambasarkan anak-anakmu. Si Milah, Si Rizal, Si Amat, Si Roz, Si Hari dan Si Pian atu masuk universiti dulu semua hasil daripada pokok belunu atu. Kalau ndak Tangah menjual buahnya, aku rasa ndak habis kali dia orang atu balajar. Jadi, aku ani sarba salah jua. Ditalan mati bapak, diluah mati emak. Ke kanan salah, ke kiri pun salah. Macam dipaksa jua aku ani, Tangah.” Bair berbasa-basi dengan Husin. Husin faham dan hanya bereaksi seperti biasa.
            “Aku faham jua atu, Bair.” Husin terasa lebih mesra dan dekat dengan memanggil nama dari ‘tok’ kepada Bair. “Tapi, aku ani sayang banarkan manabang pokok atu. Pokok belunu atu macam nyawa aku sudah.”
            “Tapi ndakkan kau membiarkan saja. Setahu aku, pokok atu jua membawa bencana sama arwah Si Timah.” Bair cuba memprovokasi Husin. Mata Husin terbeliak besar melihat Bair setelah mendengar hujahnya.
            “Si Timah mati bukan sebab pokok atu. Sudah ajalnya.” Suara Husin meninggi. Terlintas di matanya, isterinya Timah terjatuh setelah kepalanya dihempap dahan pokok belunu yang rapuh. Husin menarik nafas geram di dalam dirinya.
            “Kalau ndak dahannya patah dan terhempap di kepalanya, Tangah rasa Si Timah atu hidup jua lagi?”
            “Ajalnya sudah di sana. Aku ndak pernah salahkan sapa-sapa. Si Timah atu ndak panjang umur. Bukan salah pokok atu!” Nada Husin keras. “Jadi, arwah binimu atu dulu, meninggal sabab kemalangan, salah keretalah tuh?” Bair menggeleng. “Tapi, sekarang kau kahwin lagi. Apa kau kisah!” Husin memandang jauh. “Qada dan qadar Bair. Ndakkan pasal aku marah nyamuk, kelambu kubakar!” Bair terdiam dengan jawapan Husin. Dia memang tersilap langkah kalau memutuskan untuk bersengketa dengan Husin. Dia memang akur dengan Husin. Husin lebih mengerti daripada dia. “Kau kena faham, aku Bair. Bukan aku mahu menyusahkan kau.” Husin memandang Bair. Kelat pandangannya.
            “Sudahku cakap, aku memang sarba salah sama Tangah. Pandailah Tangah menjawab arah dia orang karang. Aku mulih dulu, Tangah. Assalammualaikum.” Bair mengalah dan malas untuk bertekak dan bertikam lidah dengan Husin lebih lama lagi hanya mengenai pokok kesayangannya itu.
            Husin masih mendongak melihat pokok belunu. Hanya itu saja yang tinggal. Pokok-pokok lain yang ditanam oleh arwah abang dan kakaknya telah habis ditebang oleh orang kampung. Dia mengakui pokok belunu itu telah meragut nyawa isterinya. Mulanya dia marah dan berdendam dengan pokok belunu itu, tapi hakikatnya dia sedar itu semua adalah ketentuan-Nya. Dia tidak dapat menolak. Dia harus menerima walaupun perit untuk ditelan. Pernah juga anak sulungnya, Milah menyuruh dia menebang pokok belunu itu, tapi akhirnya Milah berhenti daripada mengomel apabila Husin lebih keras hati daripada kulit pokok belunu itu.
            “Tangah Husin! Tangah Husin!” Husin meluru pantas ke muka pintu setelah namanya dijerit deras di laman. Husin melihat Brahim dengan muka merah menahan marah.
            “Kanapa Brahim?” Husin merebahkan punggungnya di anjung tangga.
            “Kanapa kata Tangah?” Brahim cuba menekan nada suaranya. “Pokok belunu Tangah atu bawa sial!” Brahim mundar-mandir seperti monyet terkena belacan di laman rumahnya.
            “Kalau pun jua, duduk dulu!” Husin cuba meredakan perasaan Brahim. “Cakap perlahan-lahan.”
            “Anakku Si Jali patah kaki! Sekarang ani di hospital!”
            “Tapi apa kena mengena pula dengan pokok belunu atu, Brahim?”
            “Kalau ndak ada pokok atu, ndak Si Jali patah kaki. Ndak ia memanjat pokok atu.”
            “Kalau macam atu, atu bukan salah pokok belunu, salah Si Jali sendiri. Si Jali memanjat atu, kanapa?”
            “Diakan mengambil buahnya atu!”
            “Diakan mahu buahnya? Kanapa Si Jali ndak minta arahku? Kanapa jua dia memanjat?”
            “Susah jua bercakap sama Tangah ani! Pokok belunu atu mesti ditabang, Tangah. Mesti ditabang! Kalau Tangah ndak mahu tabang, aku sendiri pergi tabang!”
            “Brahim, pergilah kau tabang pokok atu, kalau kau mahu puas hati! Tapi kau tau jua kan, kalau pokok yang sudah lama, sudah tua, ada isinya.” Husin mengalah dengan Brahim.
            “Ndak aku hairan!” Brahim bergegas meninggalkan Husin. Husin sudah malas melayan sikap mereka. Mungkin usia pokok belunu itu sudah sampai waktunya.
            Husin masih terduduk mendongak pokok belunu. Dia masih ingat Brahim tidak dapat menebang pokok belununya. Entah kenapa, sekali kapak menikam batangnya, Brahim tiba-tiba rebah. Orang kampung ketika itu yang menyaksikan terus mendapatkan Brahim. Brahim pengsan. Selepas kejadian itu, orang kampung mula melabelkan dirinya menyimpan jin. Menyimpan penunggu, menyekutukan Tuhan dan macam-macam lagi. Tapi Husin berdiam diri. Dia tidak mahu bertikam lidah dengan mereka semua. Orang kampung bercakap dia sudah nyanyuk, dia pekakkan telinga. Orang kampung bercakap, kononnya dia mengisim pokok belunu, dia butakan mata. Dia akur dengan semua budi bicara orang kampung di hadapannya. Orang kampung bercakap, menghina, mengutuk dan mencaci, dia tetap menghantar seplastik buah belunu kepada mereka semua. Bukan merasuah tapi dia mahu semuanya menikmati kelazatan buah belunu itu. Dia berasa puas, kalau tangannya sendiri menghulurkan buah belunu itu, dan mereka menyambutnya. Dia gembira sepenuh jiwanya. Tapi mereka tetap tidak faham perasaannya, hatinya yang telah sebati dengan akar pokok belunu itu. Mereka tidak faham dan tidak akan faham. Bukan sayang tetapi dia mahu orang kampung dan generasi akan datang masih tahu akan buah belunu itu. Masih tahu kelazatan buah belunu. Hanya itu saja yang dia mahu.
            Matahari hampir ditelan langit. Husin masih duduk menanti di hadapan pokok belunu. Tiga puntung rokok sudah habis dihisapnya. Si Roz selalu melarang dia menghisap rokok, katanya membahayakan kesihatan tapi dia tetap juga merokok. Dia tersenyum mengenang semua itu. Anak-anaknya memang baik terhadapnya. Setiap kali mereka balik menjenguknya, mesti ada cadangan yang sama mengajak dia tinggal bersama-sama mereka. Dia tidak mahu berpisah dengan pokok belunu itu. Dia tidak mahu, pokok belununya ditebang oleh orang-orang kampung sewaktu dia tak ada di kampung. Lagipun dia mahu mati di kampung ini juga, kerana di kampung ini dia telah dibesarkan dan mengenal erti dunia. Semuanya bermula di kampung ini.  Segala-galanya.
            Si Amat, anak ketiganya yang bekerja di Jabatan Pertanian pernah mencadangkan kepadanya untuk menanam pokok belunu baru di tempat lain. Tapi dia menolak. Alasannya kelazatan buah belunu iti tidak akan sama lagi. Banyak kimia telah terlarut di akarnya, kalau ditanam pada masa sekarang. Si Amat berkeras tapi tetap mengalah pada penghujungnya. Anak-anaknya memang kenal akan kedegilannya kalau menyentuh bab pokok belununya itu. Daripada bertekak dengannya, lebih baik mereka tutup buku dan membiarkan sahaja bapa mereka dengan pokok belunu itu. Mereka tahu pokok belunu itu banyak membantu mereka adik-beradik. Husin terkejut dengan bunyi hon kereta di belakangnya. Dia menoleh. Rizal, anaknya.
            “Assalammualaikum, pak.” Rizal keluar dari kereta diikuti oleh anak-anaknya. Mereka bersalam dan memeluk Husin. “Bahapa di sini?”
            “Hai, Bang Ngah, takkan ndak tau.” Roz menyindir tapi Husin cepat-cepat melepaskan puntung rokok yang ada di tangannya.
            “Kanapa ani? Semua datang. Ndak ada keraja?” Husin membersihkan seluar hitamnya.
            “Ndak. Kami ambil cuti. Ada hal kan dicakap arah kita.” Amat menerangkan maksud tersurat kedatangan mereka adik-beradik. “Marilah pak, mulih!”
            “Muatkah?”
            “Muat tu, pak. Kereta kan dua tuh! Kita kan ikut sapa? Si Rizal atau Si Milah? Bah, marilah!” Husin memilih untuk naik kereta Rizal.
            Husin hanya mendiamkan diri sedari tadi. Dia tidak bercakap apa-apa setiba mereka di rumah. Milah dan Roz sibuk di dapur. Rizal, Amat, Pian dan Hari membersihkan serba sedikit rumahnya. Husin tahu dengan sikap anak-anaknya. Bila pulang saja menjenguknya, rumahnya pasti terang-benderang oleh mereka. Husin tak membantah dengan tindakan anaknya walaupun dia lebih suka keadaan samar-samar di rumahnya. Mata tuanya sudah tidak boleh menerima cahaya yang terang. Matanya pasti bergenang. Kerana itulah juga orang-orang kampung suka mengatakan yang bukan-bukan terhadapnya.
            “Pak, apa kita buat tadi di sana?” Rizal memesrakan kata dengan memanggil ‘kita’ dengan bapanya. “Ada hajat kita mahu manabang pokok belunu atu?” Rizal memperlinya. Husin hanya tersenyum.
            “Kami ada hadiah untuk kita.” Amat mulakan bicara.
            “Hadiah? Bapa belum hari jadi lagi!” Husin ketawa kecil. Setiap kali ulang tahun kelahirannya, pasti anak-anaknya memberikan hadiah kepadanya walaupun dia rasa janggal dibuat begitu. Tapi untuk tidak menghampakan anak-anaknya, dia tepat menerima juga dan meletakkan di dalam almari sebagai hiasan. Bila rindu, hadiah-hadiah itu akan ditatap mengubati rindunya.
            “Tahulah, hari jadi kita belum sampai lagi. Tapi ani hadiah istimewa untuk kita.” Milah mengangkat dulang berisi cawan, dan Roz membawa pinggan berisi kuih. Kuih yang sengaja dibeli sewaktu dalam perjalanan tadi.
            “Ada-ada tah saja kamu ani. Apa tah tuh?” Husin menjamah kuih yang dihidangkan. Anak-anaknya tahu itu memang kuih kegemarannya. Tiba-tiba guruh berdentum kuat. Mereka sedikit terkejut.
            “Agaknya malam ani mungkin ribut.” Pian bangun menjengah tingkap melihat langit. Langit sudah ditutupi awan hitam. “Memang hujan labat malam ani, pak.”
            “Biar tah hujan. Lama sudah kampung ani ndak hujan.” Ringkas Husin menjawab kata Pian, anak bongsunya. “Kamu mahu sembahyang karang di masjid atau di rumah?”
            “Di rumah. Kita berjemaah sama-sama. Kita jadi imam?”
            “Bah. Mana saja. Jadi malam ani, kita makan sadap-sadap. Bolehkah?”
            “Mana saja. Ditanggung beres!” Mereka tergelak kecil. Hati Husin turut terhibur dengan kehadiran anak-anaknya itu.
            Hujan turun dengan lebat selepas Maghrib dan di selang-seli dengan kilat dan guruh. Angin turut bergelora. Hati tua Husin galau melihat keadaan di luar rumahnya. Entah kenapa, dia sendiri tak dapat mengagak. Seolah-olah ada sesuatu yang bakal berlaku terhadapnya.
            Matanya kaku melihat rintik hujan yang menggila. Ribut bergelora, kian mengganas dan guruh bergendangan. Tiada tanda untuk berhenti. “Pak, marilah makan. Siap sudah dihidangkan.” Husin menoleh dan menutup birai tingkap. Langkahnya berat menuju ke dapur. Milah menarik kerusi mempersilakan Husin duduk. Husin menuruti. Husin terasa ghairah melihat masakan yang terhidang di depannya. Milah mencedok nasi untuknya. Dia hanya bereaksi tingkah dan membiarkan saja anaknya menghidangkan makanan untuknya. Husin memandang anak-anaknya yang sedang khusyuk makan. Dia bersyukur ke hadrat Ilahi kerana memberikan amanah yang begitu sabar dan telah menjaga amanah itu dengan sempurna sepenuhnya. Dia benar-benar bersyukur.
            Cuaca masih tak berubah. Masih seperti tadi. Husin duduk dikelilingi oleh anak-anaknya. Guruh berdentum kuat menggegarkan rumahnya. Milah dan Roz terkejut. “Sebenarnya, kami ada hajat untuk beritahu dengan kita.” Rizal memulakan bicara. Tiba-tiba pintu diketuk deras menghentikan bualan mereka. “Siapa tuh?”
            “Aku Si Awang. Ada Tangah Husin?” Rizal membuka pintu. Awang kelihatan kesejukan kerana kebasahan. “Ada Tangah, bapamu?”
            “Ada. Kanapa?”
       “Panggil sakajap bapamu!” Nafas Awang turun naik di dadanya. Husin bangun dan merapatkan badannya ke sisi Rizal.
            “Kanapa Wang ni? Cemasnya?”
            “Pokok belunu kita, Tangah. Pokok belunu!”
            “Kanapa?” Husin diserang cemas.
            “Pokok belunu tumbang!”
            “Ah… bila?” Husin melangkah turun memegang bahu Awang.
            “Baru tadi. Ngam aku lalu di sana. Ndak sampai 100 meter, tiba-tiba ada bunyi kuat di belakangku. Kali aku liat, pokok belunu atu rabah menyembah bumi.”
            Husin terduduk. Seakan-akan nyawanya turut tercabut. Anak-anaknya merangkul badannya. “Sampai dulu jua ajalmu.”
            “Sabar pak. Sabar!” Awang memerhati saja. Dia tahu perasaan Husin terhadap pokok belunu kesayangannya itu. Hujan terus turun. “Sabar pak. Kami adik-beradik sudah membeli sebidang tanah dan sekarang sudah ditanam dengan benih pokok belunu. Itu hadiah kami arah kita!” Jelas Milah di tangga rumah dan dibasahi oleh hujan malam.
            Pokok belunu yang tinggi menjulang yang didongak oleh Husin petang tadi telah rebah mencium bumi. Husin tak lagi mendongak seperti tadi tapi, dia tunduk melihat pokok belunu yang terbaring. Sejarah tetap tidak berakhir. Pokok belunu itu banyak kenangannya sejak dia kecil. Sejarah hidupnya tetap terukir di kulit buah belunu. Husin mengalah juga dengan riwayat ciptaan-Nya. Matanya tetap kaku melihat pokok belunu itu diratah oleh orang kampung yang selama ini mengingini kejadian sebegitu. Husin pasrah semahu-mahunya. Pokok belunulah hidupnya. Pokok belunulah riwayatnya.




GLOSARI.

ani                               -           ini/begini
antah                           -           entah
arah                             -           sama/dengan
atu                               -           itu/situ/begitu
bah                              -           kata penegas (bahasa Sabah)
bahapakan/bahapa       -           buat apa
balajar                          -           belajar
banar                           -           benar
basar                            -           besar
bebuah                         -           berbuah
bakaras                        -           berkeras
bongsu                         -           mak cik/Mak Su
dangar                         -           dengar
inda                             -           tiada/tidak
kadai                           -           kedai
kampunan                    -           kempunan
kan                              -           akan
kanapa                         -           kenapa
karang                         -           nanti
keraja                           -           kerja
labat                            -           lebat
liat                               -           lihat
luan                             -           jalan/perjalanan
malar                           -           selalu/kerap
mambali                       -           membeli
mambasar                    -           membesar
manabang                    -           menebang
mengaga                      -           datang
mulih                           -           balik
rabah                           -           rebah
sabab                           -           sebab
sadap                           -           sedap
sakajap                        -           sekejap
sarba                            -           serba
tabang                         -           tebang
tah                               -           sama fungsi dengan partikel -lah
talan                            -           telan
tampat                         -           tempat
tangah                         -           pak cik/Pak Ngah
tarus                            -           terus
tatap                            -           tetap
tuh                               -           tu


ANTOLOGI PUISI DAN CERPEN
LAMBAIAN TELUK 2008 TERBITAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA SABAH

No comments:

Post a Comment