SEMUANYA UNTUKMU

SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI MAHARATU RAFIDAH MOHAMAD. SEMOGA GEMBIRA HENDAKNYA DAN SEMUANYA UNTUKMU.

Friday 31 October 2014

KERATAN AKHBAR : CERPEN RUBIK TERBITAN NEWS SABAH TIMES (07 SEPTEMBER 2014)





            Rubik. Permainan teka-teki yang dihasilkan pada tahun 1974. Ia memiliki 26 bahagian kecil yang berputar pada poros. Setiap sisi memiliki sembilan permukaan yang terdiri daripada enam warna berbeza. Ia juga sebenarnya objek berbentuk 3D dan kes ini sama seperti rubik yang juga dikenali sebagai kuib magis. Sebuah kes yang memiliki proksi di satu tempat, di satu masa, di satu keadaan, seorang suspek utama, seorang saksi utama dan seorang mangsa utama. Ia perlu disusun mengikut bahagiannya untuk menjadi sebuah rubik yang lengkap. Ia sebuah permainan yang sangat saya minati. Ia hobi saya.

Kisah Satu : Pengakuan Sheikh Rosli Sheikh Ahmad

            Saya lelaki kaya, dihormati, berpelajaran dan kesihatan yang baik. Maksudnya saya tidak gila. Saya adalah anak kepada Sheikh Ahmad dan Sharifah Sarimah. Mereka berdua juga dikatakan memiliki darah kerabat diraja. Oleh itu, saya sedikit sebanyak juga seperti mereka, memiliki darah kerabat diraja. Setiap gadis akan terpesona melihat penampilan saya yang bergaya, tampan dan memiliki aksesori pakaian yang mewah. Kereta juga jenis yang berharga mahal. Tidak dinafikan, kehidupan yang saya miliki sangat mewah dan menggembirakan. Malah saya juga berpuas hati dengan segala yang tercurah kepada saya. Maklum, saya anak tunggal. Oleh itu, rasa bangga itu mesti ada.

            Saya memiliki hobi yang sangat pelik. Saya begitu meminati benda tajam. Seperti pisau, pedang dan apa sahaja yang tajam. Saya juga memiliki ratusan koleksi pisau tidak kira, ia jenis pisau dapur, pisau memburu dan sebagainya. Ah, sebut tentang memburu, saya juga pakar di dalam memburu binatang hutan. Ia hobi yang sangat menarik. Dan ramai juga wanita terkejut dan takut apabila mengetahui hobi pelik saya ini. Tetapi ia sebenarnya menjadi kebanggaan buat saya. Dan saya juga bertuah mempunyai hobi sebegini.

            Walau bagaimanapun, saya juga seorang lelaki yang malang. Saya dipertemukan dengan beberapa kenalan yang mengaku ahli perniagaan, saya ditipu ratusan ribu dan syarikat saya SRSA muflis. Saya dipertemukan dengan beberapa kenalan yang anggun dan ayu, saya dikikis lalu ditinggalkan. Malah saya juga pernah jatuh cinta dengan seorang wanita. Dia cukup baik, manis, sopan santun dan penyayang. Tetapi sayang, dia hanya ingin mengambil kesempatan ke atas saya. Oleh itu, dia tinggalkan saya setelah saya beri segala-galanya kepada dia. Dan juga sebenarnya, saya sangat malang kerana di dalam syarikat saya, ada seorang pekerja yang sangat bodoh dan buruk perangai. Dia pemalas dan saya juga kehilangan beratus projek kerana perangainya itu. Mungkin saya malang juga kerana pekerja saya itu. Saya pecat dia dan saya tidak beri dia sebarang pampasan kerana syarikat saya muflis kerananya. Mungkin juga sifat malang ini bukan kerana badi sesiapa tetapi kerana perangai saya yang tunjuk lagak agaknya. Tetapi, ini belum dikatakan malang lagi kepada saya. Malang yang sebenarnya adalah hari itu.

            Langit cerah. Matahari betul-betul di atas ubun-ubun kepala saya. Kereta mewah yang saya pandu, saya parkirkan di tepi jalan bersebelahan sebuah sungai. Saya menunggu seseorang. Dia seorang wanita sebenarnya. Saya mengenalinya di dalam sebuah majlis beberapa bulan lepas. Hubungan saya dengan wanita itu semakin erat. Malah, mungkin juga wanita itulah yang akan menjadi pilihan hidup saya. Namanya, Sofia Annum Mokhtar. Matanya bundar dan bibirnya mungil. Bila dia tersenyum cukup mengghairahkan mata saya yang menatapnya.

            Hampir sejam saya menunggu Sofia di situ. Hari itu adalah hari Sabtu. Saya tidak akan melupakan hari itu sebenarnya. Saya menunggunya di sebuah taman yang memiliki ratusan arca bersejarah, konon kata para pengunjung. Saya sendiri tidak mengetahuinya. Tetapi yang menariknya adalah sungai tersebut. Setelah dua jam menunggu, akhirnya Sofia tiba juga seperti dijanjikan walaupun Sofia terlewat dua jam. Seperti biasa Sofia akan bertindak mesra dan manja dengan saya. Inilah juga yang membuatkan saya seorang yang tidak meminati sajak mula menjadi seorang penyair yang hebat kerana dapat mengungkapkan kata-kata bermadah yang romantis.

            Sofia berkata manja dengan saya yang mengatakan dia terlambat kerana keretanya rosak. Saya dengan senang hati menyuruhnya membawa kereta mewah saya bersamanya. Sofia memberikan seulas senyuman yang cukup indah. Bagaikan, saya mahu sahaja bernikah dengannya ketika itu dengan cepat. Tetapi ditahan-tahan sahaja. Lama kami berbual di situ sehinggalah mata saya melihat seseorang yang cukup saya benci. Saya memberitahu kepada Sofia, kita harus pergi dari sini sekarang sebelum saya ditimpa musibah. Sofia menurut walaupun dia tidak mengerti tindakan saya itu. Ketika Sofia menghantar saya ke rumah, Sofia sempat memberikan ciuman manja di pipi saya. Betapa gembiranya hati ini bukan kepalang. Saya melambai kepadanya dan kereta mewah kesayangan saya pergi bersamanya.

            Esok, pintu pagar rumah saya terbuka dengan beberapa anggota polis melangkah masuk dengan bangga. Pembantu rumah begitu takut dengan keadaan itu sehingga gugup menuturkan kata kepada majikannya iaitu kedua orang tua saya. Ketika, ketua polis bersuara, seluruh rumah sunyi dan senyap. Dan seperti orang kata, kalau jarum gugur ke lantai, kita boleh mendengarnya. Itulah yang berlaku di ruang tamu yang luas yang dilengkapi dengan perabot mewah dan buatan luar negara.

            Ketua polis itu melihatkan sekeping gambar kepada ayah. Ayah pula berpaling memandang kepada saya. Dia menyerahkan gambar itu kepada saya. Saya mengambil dan memandangnya. Gambar itu adalah kereta kesayangan saya yang terjunam ke dalam sebuah sungai yang saya tidak kenali. Betapa terkejutnya saya melihat kereta kesayangan saya itu. Pantas saya bertanya dengan keadaan kereta saya, namun ketua polis itu menyerahkan pula sekeping gambar kepada saya. Dan kali ini gambar itu terlepas dari tangan saya.

            Seorang wanita dalam keadaan yang agak teruk terperosok di dalam bonet kereta yang kecil dengan darah yang berlumuran di seluruh tubuh. Ketua polis itu berkata lagi, wanita itu telah mati kerana ditikam dengan benda tajam petang semalam. Saya bertanya adakah wanita itu adalah Sofia Annum Mokhtar tetapi ketua polis menggelengkan kepalanya. Wanita itu bernama Aisyah Mohamad Farid. Jelas, saya tidak mengenali wanita itu, namun ketua polis menyerahkan pula sekeping kertas kepada ayah. Ayah pantas memandang kepada saya sekali lagi. Ibu pula sudah menangis di sisi ayah. Sebuah gari bergoyangan di hadapan mata saya pula. Tidak mungkin. Saya bukan seorang pembunuh!

Kisah Dua : Pengakuan Yusoff Turkisham

            Nama saya Yusoff Turkisham. Datuk saya orang Turki dan nenek saya orang Malaysia. Sebab itu nama bapa saya Turkisham. Entah kenapa, saya tidak boleh memberikan jawapannya. Saya anak yatim piatu. Kedua orang tua saya meninggal dunia sejak saya di bangku sekolah rendah. Saya dibesarkan di rumah anak-anak yatim.

            Hidup saya susah. Saya orang miskin dan tidak punya harta yang ditinggalkan walaupun tikar buatan Turki. Selepas saya keluar dari rumah anak-anak yatim, saya bekerja sebagai kerani kecil di sebuah syarikat besar iaitu SRSA. Cukuplah buat pengalas perut. Malah kerani kecil ini sering sahaja dipandang hina dan jijik oleh golongan atasan tetapi mereka tidak sedar bahawa kerani kecil ini jugalah yang telah memajukan syarikat mereka.

            Majikan saya seorang lelaki yang agak angkuh dan sombong kerana dia memiliki apa sahaja yang dia mahukan dengan mudah. Malah majikan saya juga tidak pernah menegur mesra para pekerjanya. Dan saya ingat pada suatu hari, saya tidak sengaja melanggarnya kerana terlalu asyik membaca isi di dalam fail yang akan dibentangkan di dalam mesyuarat nanti. Majikan saya yang menjaga statusnya itu, pantas mengherdik marah kepada saya dan mengoyak kertas-kertas yang ada di dalam fail itu. Saya terpaksa membuat salinan yang lain dan saya terlambat tiba di bilik mesyuarat itu, sekali lagi saya dimarah, dihina dan kepala saya ditenyeh-tenyeh seperti sedang menumbuk belacan.

            Saya masih bersabar dan saya juga tidak mampu untuk melawan. Saya timun dan majikan saya durian. Oleh itu saya hanya perlu bersabar dan bersabar. Tetapi, kesabaran manusia itu ada hadnya. Begitu juga dengan saya. Saya berharap suatu hari nanti, Tuhan akan membalas setiap perbuatannya itu. Saya gembira ketika syarikat SRSA muflis kerana rakan-rakannya menipu majikan saya itu. Tetapi yang rugi juga adalah saya. Di syarikat itulah saya mencari sesuap nasi untuk perut saya hari-hari. Saya dipecat tanpa sebarang pampasan. Tidak mengapa saya tetap juga bersabar.

            Setelah itu, saya bekerja dengan seorang lelaki pembuat pisau. Dan dari situ, saya mula berminat dengan kerja baharu saya itu. Saya begitu senang dan saya juga sudah mula pandai membuat pisau saya sendiri. Dan pisau pertama saya juga berjaya dibeli oleh seorang wanita yang agak kaya dan hebat statusnya. Saya sangat bangga sekali kerana hasil kerja saya dibeli orang. Malah majikan baharu saya itu juga memuji kepandaian saya. Kemudian, majikan saya itu turut mengajar bagaimana cara untuk memburu binatang hutan. Mulanya saya memang tidak pandai malah saya juga terpaksa tidur semalaman di dalam jerat yang dibuat oleh pemburu lain. Memang waktu itu, saya terpaksa bertahan dan apabila mengenangnya, saya pasti akan ketawa.

            Ketika saya bekerja dengan majikan baharu saya itu, ada juga sebuah kisah yang saya tidak akan melupakannya. Saya bertemu dengan seorang gadis bernama Suraya Abdul Majid. Dia cukup baik dan dia juga sudi untuk berkawan dengan saya yang miskin dan hina ini. Tetapi sayangnya, saya tidak bertemu jodoh dengan gadis itu. Tidak mengapalah, mungkin bukan rezeki saya lagi untuk berumah tangga. Saya meneruskan hidup saya sebagai pembuat pisau dan syukur Alhamdulillah, saya juga sudah mempunyai pekerjaan tetap dan menjadi pengurus di dalam kedai majikan saya itu.

            Ketika saya sedang leka membuat pisau baharu, tiba-tiba saya dikejutkan dengan sebuah berita yang cukup menggemparkan negara. Berita itu mengenai majikan lama saya yang sangat angkuh dan sombong itu. Entah mengapa pada hari itu saya begitu gembira menerima perkhabaran di dalam akhbar dan juga televisyen, malah juga radio. Majikan lama saya ditahan reman kerana menjadi suspek pembunuhan seorang wanita. Saya benar-benar ketawa sambil menyiapkan pisau baharu saya ketika itu. Dan pelbagai kata-kata cercaan menghina majikan saya itu, turut dilemparkan dalam nada berbisik. Malah saya juga ketawa besar apabila kepala majikan saya terhantuk dinding di hadapannya kerana kepalanya yang berbungkus bangkai dengan kain itu untuk menutup wajahnya walaupun sebenarnya orang mengenali dia siapa.

            Tetapi di sebalik cerita, saya adalah orang yang menemui mayat di dalam kereta itu. Adakah ia suratan atau kebetulan? Ironinya, saya yang sering dihina, dipandang jijik dan diherdik kerana kemiskinan, telah membuatkan majikan saya yang angkuh, sombong dan berlagak itu terlanggar dinding mahkamah. Memang lucu sekali.

            Pagi itu, saya sedang merancang untuk pergi memancing di sebuah tasik di pinggir kota. Tetapi niat saya itu terhenti kerana saya berubah fikiran pula. Oleh itu saya pergi memancing di sungai dan bermalam di sana. Sebenarnya, ia bukanlah sebuah sungai tetapi akibat hakisan daripada cari gali bijih timah yang telah ditinggalkan berpuluh tahun. Pancing saya mengena sasaran setiap kali saya humban ke dalam sungai. Dan ketika saya memancing itu, saya seperti melihat sebuah kereta bergegas pergi namun saya fikir, itu hanya bayangan mata saya sahaja kerana tidak mungkin ada orang yang datang ke tempat sebegitu. Malah, sayalah orang pertama yang datang memancing di sungai ini. Hari itu, saya memang bertuah. Saya mendapat lebih 15 ekor ikan. Saya gembira sekali dan ikan yang saya pancing itu saya bakar menjadi pengalas perut saya malam itu. Ia memang sedap.

            Pada keesokkannya, saya memancing lagi. Hari itu hari Ahad. Namun setelah dua tiga jam menunggu, pancing saya tidak mengena sasaran, saya bertukar tempat. Ketika itulah saya terkejut melihat sebuah kereta terumbang-ambing di dalam sungai yang sedikit keruh airnya.

            Saya menghampiri tempat itu dan membuka kasut saya. Saya melangkah masuk ke dalam sungai yang berada pada takat pinggang saya itu. Saya tidak perlu bimbang kerana saya mahir dalam berenang. Saya melihat di dalam kereta namun tiada sesiapa di dalamnya. Selamat, hati saya berkata. Saya bergerak meraduk air ke belakang kereta untuk melihat flat kereta tersebut.

            Saya sedikit terkejut dan tidak percaya. Kereta itu amat saya kenali. Maka saya mengelilingi melihat kereta itu untuk mengenal pasti lagi. Baju saya juga sudah basah separuh. Wajah saya juga terpercik air sungai yang keruh itu. Benar-benar saya tidak percaya, kereta itu adalah milik majikan saya. Bekas majikan saya. Saya cuba menolak ke tepi sungai tetapi tidak berjaya. Mungkin kerana faktor berat. Saya berusaha lagi dan entah mengapa bonet kereta terbuka. Saya perlahan menghampiri belakang kereta dan bau busuk serta-merta menggigit hidung saya. Seperti nyamuk menggigit di kulit, terasa pedasnya. Saya memberanikan diri saya untuk melihat isi di dalam bonet itu.

            Sebuah bakul plastik sampah terikat kemas. Saya sekali lagi mencuba berani. Saya membuka ikatan plastik sampah itu dan dengan pantas saya seperti ditolak sesuatu, saya terjebur ke dalam sungai dan segera berenang naik. Saya ketakutan. Dan bingung. Apa yang perlu saya lakukan? Saya bergegas mencari pondok telefon namun tidak ketemu. Maka saya berlari menuju ke balai polis dan menceritakan apa yang saya temui. Ketua polis meminta saya membawanya ke tempat tersebut. Dia sendiri turun ke dalam sungai memeriksa apa yang ada di dalam bakul plastik itu. Benar. Ada mayat seperti apa yang mata saya lihat.

            Saya terpaksa memberitahu semua kejadian yang berlaku kepada ketua polis dan akhirnya majikan saya itu ditahan reman. Begitu ironi sekali dan saya pula hanya ingin ketawa besar menunggu keputusan mahkamah nanti.

KISAH TIGA : ALBERT CHONG

            Saya Albert Chong. Dan saya adalah seorang hakim. Saya menjadi hakim dalam mengadili kes kematian Aisyah Mohamad Farid yang dikatakan telah dibunuh secara kejam pada pukul 3.00 petang, 25 Mei 2013. Kes ini sebenarnya rumit sekali. Tetapi mungkin kerana kepintaran dan kebijaksanaan saya, saya dapat menyelesaikan kes ini.

            Ketika sesi penghakiman hari pertama, saksi yang cuma ada satu itu dipanggil ke kandang saksi iaitu Yusoff Turkisham. Saksi pertama ini menceritakan segala-galanya apa yang berlaku ketika dia menemui mayat tersebut. Malah soalan perangkap dari peguam bela Sheikh Rosli Sheikh Ahmad juga dapat dijawab dengan tenang. Bagaikan saksi pertama ini sudah bersedia dengan soalan sebegitu. Persoalan tentang dendam.

            Mungkinkah kerana dendam, saksi pertama bertindak menuduh Sheikh Rosli Sheikh Ahmad sebagai pembunuh? Dan jawab saksi pertama, jika benar ia kerana dendam, dia pasti sudah pun melakukannya sejak dahulu lagi. Sebelum dia dipecat dan dimalukan di khalayak ramai. Tetapi dia tidak melakukannya kerana, ia tidak akan memberikan manfaat kepadanya.

            Sheikh Rosli Sheikh Ahmad mungkin sahaja boleh bebas kerana tiada sedikit bukti pun dijumpai ke atas mangsa yang menjadi miliknya. Hanya keretanya itu sahaja. Malah dia juga menceritakan, dia meminjamkan kereta itu kepada seorang wanita bernama Sofia Annum Mokhtar namun apabila disiasat kewujudan wanita itu sedikit tidak memberikan kesan jawapan. Dan saya sendiri beranggap, mungkin sahaja dia sedang berhalusinasi dan tertekan kerana sebelum dia bertemu dengan wanita itu, dia telah diisytiharkan muflis dan syarikatnya juga musnah. Mungkin kerana situasi itu membuatkan dia berhalusinasi dengan dirinya sendiri. Malah, saya sendiri menyarankan untuk memeriksa kesihatan mental Sheikh Rosli Sheikh Ahmad. Namun mentalnya di dalam keadaan normal dan sihat.

            Saya juga membaca laporan forensik berulangkali, namun sebarang bukti pembunuh juga tidak ditemui. Begitu cekap sekali pembunuh itu menjalankan operasinya. Malah mangsa juga tidak memiliki sebarang maklumat peribadi yang boleh dikesan. Seolah mangsa adalah makhluk asing yang baharu tiba di bumi. Yang ada hanyalah kesan tikaman di beberapa tempat di bahagian badannya. Tempat-tempat itu jugalah adalah tempat-tempat yang mempunyai bahagian penting di dalam tubuh badan iaitu salur darah yang berhubung tepat ke bahagian jantung dan otak. Itu kata pakar forensik di dalam laporan mereka.

            Tetapi, ada sesuatu yang terlepas pandang yang hanya saya boleh lihat. Ada empat perkara yang agak sama di antara mereka berdua, saksi utama dan suspek utama. Seolah mereka berdua sedang mereka alibi mereka sendiri.

            Pertama : Saksi utama berkata, dia ingin memancing di tasik tetapi dia mematikan niatnya dan pergi memancing di sebuah sungai. Suspek utama juga berkata, dia bertemu dengan seorang wanita yang bernama Sofia Annum Mokhtar di sebuah sungai di sebuah taman yang memiliki ratusan arca bersejarah. Taman mana di sini yang ada sungai? Setahu saya tidak ada. Dan saya terfikir, memiliki ratusan acra bersejarah itu adalah, bukankah sungai itu terbentuk akibat hakisan cari gali bijih timah berpuluh-puluh tahun yang lalu. Ia adalah sebuah sejarah yang tercatat di dalam buku pelancongan negeri. Malah hari itu juga adalah hari yang sama iaitu hari Sabtu, 25 Mei 2013.

            Kedua : Ketika suspek utama berada di sana bersama dengan Sofia Annum Mokhtar, dia terpaksa bergegas pergi dari situ kerana dia melihat seseorang yang sangat dibencinya. Dan saksi utama pula berkata, dia seperti melihat bayang kereta berlalu pergi. Ia sangat pelik.

            Ketiga : Aisyah Mohamad Farid dibunuh dengan benda tajam yang dikatakan adalah pisau. Suspek utama mempunyai hobi yang pelik. Hobinya adalah menyimpan koleksi pisau yang ganjil. Saksi utama pula bekerja sebagai pembuat pisau yang hebat. Oleh itu, untuk mencederakan seorang wanita seperti mangsa adalah sangat mudah sekali. Malah, mereka juga pasti boleh mengetahui, bahagian penting di dalam tubuh seseorang manusia mahupun binatang kerana mereka berdua pakar dalam memburu. Sesuatu kebetulan yang sangat unik.

            Keempat : Kenapa wanita itu dibunuh? Hanya satu. Wanita yang mengecewakan mereka berdua adalah wanita yang sama.

            Oleh itu, pembunuh Aisyah Mohamad Farid adalah mereka berdua. Yang bertemu dengan wanita itu adalah Sheikh Rosli Sheikh Ahmad untuk menjadi umpan kepada wanita tersebut untuk datang ke kawasan sungai itu Dan mereka berdua bersubahat membunuh wanita tersebut dan mereka alibi mereka sendiri untuk menyelamatkan diri mereka masing-masing. Mereka juga mengatur rancangan supaya Sheikh Rosli Sheikh Ahmad dijadikan suspek utama kerana tiada sebarang bukti yang boleh dikaitkan dengannya, maka dia akan terlepas dengan mudah. Dan Yusoff Turkisham pula menjadi saksi utama yang bila-bila masa sahaja boleh melepaskan diri dari sebarang hukuman mahkamah.

            Maka, saya adalah hakim yang sangat bijak dan pintar di dalam negara ini, menjatuhkan hukuman bersalah kepada mereka berdua kerana memiliki keterangan yang telah memerangkap mereka berdua sendiri. Sebuah kes, yang hanya ada seorang saksi dan seorang suspek dapat saya selesaikan apabila mereka mengakui kesalahan mereka itu akhirnya kerana faktor dendam terhadap wanita yang telah mengecewakan mereka itu. Dan saya juga dapat meneka dengan betul, jerat yang terkena oleh Yusoff Turkisham adalah milik Sheikh Rosli Sheikh Ahmad. Bermula dari situ, mereka pasti telah menjadi sahabat yang akhirnya bersubahat.

            Cuma yang saya perlu fikirkan adalah, siapa Sofia Annum Mokhtar dan Suraya Abdul Majid yang ada di dalam kes ini? Dan sekiranya mereka orang yang sama, siapa pula Aisyah Mohamad Farid yang menjadi mangsa utama itu sebenarnya? Ah, rupa-rupanya rubik itu belum berjaya diselesaikan sebenarnya.


(Cerpen ini juga telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris yang diantologi untuk X-Book Short Stories Around the World 2014, seperti gambar di bawah.)


X-BOOK (short stories around the world).

Rubik dalam Bahasa English.



No comments:

Post a Comment