SEMUANYA UNTUKMU

SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI MAHARATU RAFIDAH MOHAMAD. SEMOGA GEMBIRA HENDAKNYA DAN SEMUANYA UNTUKMU.

Monday 22 June 2015

ULASAN BUKU BLOG : ULASAN SELAKU PEMBACA BIRU LANGIT ITU oleh MAHARATU RAFIDAH MOHAMAD

ANTOLOGI CERPEN PENULISAN DAKWAH BIRU LANGIT ITU terbitan YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH MALAYSIA (YADIM)

Daripada dedikasi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang berani menganjur sebuah Pertandingan Penulisan Cerpen “Menjejak Cinta” yang diadakan pada tahun 2014, dengan bertujuan mengambil peluang mengangkat mesej dakwah melalui mata pena yang mampu menjadi medium dalam mendidik jiwa insan melalui penulisan yang berhemah dan bertanggungjawab, telah menerima penyertaan sebanyak 347, lalu disenaraipendek menjadi 159 penyertaan, akhirnya 25 buah penyertaan telah mematuhi garis piawaian utama dengan mengambil kira keseimbangan dalam konteks pembinaan sebuah cerpen yang baik, berlandaskan unsur asas serta memiliki kekuatan yang tersendiri serta tidak terpisah di antara satu dengan yang lain. Maka dengan menghimpunkan 25 buah penyertaan iaitu cerpen, maka lahirnya sebuah antologi yang bertajuk Biru Langit itu.
            Salah satu cerpen di antara 25 buah itu, termasuk cerpen Maharatu sendiri yang bertajuk Hati. Syukur Alhamdulillah, kerana percubaan kali ini berjaya dan mendapat hadiah saguhati. Pemenang pertandingan kali ini telah dimenangi oleh Muhammad Ghazali Mohd. Ros dengan tajuk cerpennya, Cinta Dalam Lipatan Dakwah Kita. Tempat kedua pula dimenangi cerpen Biru Langit Itu oleh Siti Nazurah Mohd Kamel dan tempat ketiga oleh Siti Rahmah Mokhtaruddin dengan cerpen bertajuk Hadiah. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang dan pertemuan di dalam Biru Langit Itu bukan sahaja telah memberikan satu impak yang baik tetapi juga telah mempertemukan Maharatu dengan silaturrahim bersama dengan rakan-rakan penulis yang lain. Salam perkenalan Maharatu ucapkan.
            Maharatu telah pun selesai membaca Biru Langit Itu dan seperti biasa, Maharatu akan memberikan ulasan setiap buku yang Maharatu baca. Tetapi kali ini, ulasan selaku pembaca, Maharatu muatkan ke dalam blog agar, rakan-rakan dapat membacanya secara percuma, kerana sebelumnya, kalau nak baca ulasan Maharatu kena bayar… hahahaha… Untuk pengetahuan semua, ulasan ini adalah berlandaskan pemikiran seorang pembanulis (nama reka sendiri okey, tak ada dalam kamus…) yang bermaksud (sendiri juga yang beri maksud ini…) pembaca dan penulis. Maka, Maharatu turut memberikan ulasan, Penulis Seharusnya dot dot dot dalam ulasan ringkas ini. Maka, Maharatu telah memberikan senarai pendek ulasan terhadap 24 buah cerpen dalam Biru Langit itu.
            Oopppsss… 24? Kenapa tidak 25 buah? Okey, takkanlah Maharatu nak ulas cerpen sendiri kan… Nanti ada pula yang kata, angkat bakul sendiri. Maharatu harap, Maharatu akan dapat 24 kritikan dan ulasan pula dari rakan-rakan yang ada di dalam Biru Langit itu ataupun juga yang telah membelinya. Emm… tentang membeli buku Biru Langit Itu, susah sikit nak jelaskan caranya. Mungkin, anda semua boleh merujuk kepada pihak YADIM mengenainya.
            Baiklah, di bawah ini, diberikan Ulasan Ringkas Biru Langit Itu. Dan sekali lagi, ulasan ini bukanlah ulasan selaku pengulas atau pengkritik tetapi selaku pembaca yang mana adalah juga seorang penulis. Terima kasih… Jumpa lagi… Assalammualaikum dan tahniah kepada rakan-rakan Maharatu dalam Biru Langit Itu.

HIMPUNAN 25 CERPEN BIRU LANGIT ITU



ULASAN RINGKAS ANTOLOGI CERPEN
BIRU LANGIT ITU



“Cintakan isteri dan takutkan bini dua benda berbeza …”
PAKSI CINTA oleh A.UBAIDILLAH ALIAS, menceritakan perbualan dua hala antara Ustaz Kauthar dan Lebai Samad di warung Pak Kamel. Lebai Samad menegur Ustaz Kauthar yang sering ke pasar membeli barang dapur sebagai takut kepada isteri disangkal oleh Ustaz Kauthar bahawa apa yang dilakukan adalah sebagai meringankan tugas isterinya, Rogayah yang mana pernah diinginkan oleh Lebai Samad sebelum ini. Lebai Samad yang mempunyai dua orang isteri itu turut menyangkal kata Ustaz Kauthar, bahawa tugas-tugas itu seharusnya dilakukan para isteri kerana tugas suami adalah mencari nafkah keluarga. Tetapi Ustaz Kauthar tetap mempertahankan pandangannya bahawa, berpoligami sememang adalah sunnah Nabi namun terlalu ramai terlupa, bahawa Rasulullah saw juga berpoligami tetapi Baginda tetap membantu para isterinya dengan meringankan tugas dan ini juga boleh diterima sebagai sifat Rasulullah saw yang harus dicontohi oleh para suami. Malah, tindakan seorang suami yang membantu dan meringankan tugas isteri, akan menambahkan lagi ikatan cinta dan harmoni di dalam hubungan suami isteri.
            Penulis berani menyatakan pendapat peribadi dirinya terhadap isu poligami yang menjadi isu tarikan dalam perkahwinan tetapi tidak mengendahkan tugas sebenar seorang suami dalam memupuk semangat harmoni dalam berumahtangga. Penceritaan dan gaya bahasa yang digunakan mudah dan sangat difahami. Latar masa yang digunakan hanyalah satu hala sahaja, tiada imbas kembali. Cerita ini jelas mendatar kerana tiada puncak klimaks yang mampu memancing para pembaca untuk mengetahui apakah kesudahannya kerana, para pembaca pasti dapat membayangkan kesudahan ceritanya. Sikap yang ditunjukkan oleh Ustaz Kauthar juga sangat bertentangan dengan sikap seorang ustaz yang seharusnya memberikan hujah dengan bahasa yang lebih memujuk dan bukan menunjukkan bahawa, apa yang dia lakukan adalah betul dan menyatakan tindakan Lebai Samad adalah salah 100 %.
            Seharusnya, penulis harus meletakkan Ustaz Kauthar pada seorang lelaki yang bersikap berkecuali dan memujuk Lebai Samad agar lebih memahami tugas yang harus dititikberatkan oleh seorang suami terhadap isteri. Dan Ustaz Kauthar juga sendiri seperti meletakkan dirinya, bahawa, dialah yang betul di dalam perbualannya dengan Lebai Samad.



“Jadilah seperti dandelion, terokailah dunia untuk mencari tujuan hidup …”
DANDELION oleh AMIRUL IQMAL RAZLAN mengisahkan watak Aku yang mengalami masalah kecelaruan hidup membuatkan dia terdampar di sebuah taman yang ada di Dublin. Dalam keresahan yang melanda dirinya, dia disapa oleh seorang lelaki tua yang disebut sebagai orang tua. Orang tua itu seakan mengerti dengan apa yang berlaku kepada dirinya. Orang tua itu mula menasihatinya dengan mengambil contoh bunga dandelion kepadanya. Orang tua itu mengatakan, benih bunga dandelion ini akan pergi ke mana sahaja mengikuti arah angina yang akan menerbangkan mereka, sama seperti manusia juga. Namun, perjalanan bunga dandelion itu akan tiba di tempat yang sama, seperti kehidupan seorang manusia yang harus berpaksikan kepada Tuhan yang Esa iaitu Allah swt. Nasihat orang tua yang tidak dikenalinya itu membuatkan Aku menyedari bahawa dia sudah jauh menyimpang dari agamanya dan juga sudah terlupa dengan segala pesanan Bonda dan keluarganya. Aku akhirnya insaf dan kembali ke pangkal jalan.
            Menggunakan gaya bahasa yang ringkas, mudah dan sangat difahami. Penulis menggunakan watak ‘Aku’ supaya penulis dapat menjelaskan watak itu dengan lebih meluas namun penulis meletakkan dirinya, pada sudut pandangan terbatas pada watak orang tua cuba mengurangkan huraian tentang orang tua dengan hanya mengangkat hujah-hujahnya sahaja. Tujuan ini dilakukan, supaya, penulis dapat meletakkan satu tanda, di situlah mesej dan pengajaran dalam cerita ini. Hanya menggunakan satu aliran latar masa yang mendatar, tiada klimaks dan peleraian yang sangat mudah.
            Kecelaruan gaya bahasa yang digunakan juga jelas terlihat dalam dialog, Aku dan Orang Tua. Aku adalah orang Malaysia yang sudah terbawa-bawa dengan budaya Ireland, seharusnya lebih menggunakan bahasa yang lebih moden atau bercampur-aduk. Manakala, Orang Tua yang dikatakan berasal dari Indonesia seharusnya lebih menggunakan Bahasa Melayu Indonesia yang lebih pekat. Sekiranya, mengangkat dandelion sebagai watak utama, Aku seharusnya lebih mengetahui, akan kewujudan dandelion kerana dia adalah seorang pelajar dalam urusan kedoktoran, seharusnya, dia boleh memberikan fakta di dalam sains dan Orang Tua itu pula menyatakan dandelion itu dari sudut pengamatan kehidupan.



“Adik, kan Tuhan yang cipta. …”
ADIK SAYANG TUHAN oleh AZAH NAHFUZAH MOHD. SHUKOR mengisahkan sebuah Kisah, Nami yang meminta kepada ibunya, Puan Alijah seorang peniaga pisang goreng untuk memakai tudung ketika membantu ibunya berniaga. Namun Nami menyatakan kepada ibunya bahawa dia tidak mampu untuk memakai tudung lagi kerana panas. Nami memberikan banyak alasan, namun Puan Alijah tetap menyatakan, bahawa jika Nami sayangkan Tuhan, Nami harus menuruti segala ajaran Tuhan. Akhirnya, Nami berjaya juga memakai tudung pada hari itu walaupun diberikan dengan pelbagai dugaan.
            Sebuah cerita yang sangat menarik, menggunakan bahasa yang mudah difahami. Memberikan nilai dan pengajaran secara terus dan dapat diterima oleh pembaca dengan mudah akan maksud penceritaan. Plot dengan satu latar masa yang sangat mendatar. Tiada klimaks atau unsur dramatik yang berlaku. Usia Nami juga tidak diperjelaskan membuatkan pembaca tertanya-tanya, berapakah usia Nami di dalam cerita ini.
            Seharusnya, penulis lebih peka terhadap dan watak dan perwatakan yang diwujudkan di dalam sesebuah karya kerana keadaan ini boleh mengakibatkan pembaca terasa seperti tidak mahu meneruskan membaca kerana diberikan satu persoalan yang tidak diberikan jawapan sehingga di akhir cerita, dan pembaca juga dapat meneka kesudahan cerita tersebut kerana perkataan diulang-ulang yang dituturkan oleh Puan Alijah dalam memujuk Nami agar tidak membuka tudung tanpa penekanan tujuan, seperti telah menolak penulis keluar dari cerita yang dihasilkan sendiri. Seharusnya, penulis harus lebih kuat sekiranya, mahu menggunakan teknik pengulangan ilmu dengan memberikan lagi hujah-hujah ilmu bantu yang sangat kukuh.



“Anak-anakku sayang, nantikan mak di syurga ya, nak …”
ISTIKHARAH CINTA oleh BADARIAH ARBIN mengisahkan tentang ketabahan Fatimah saat menghadapi kejadian kehilangan dua orang anaknya yang dibadai oleh kepala air ketika mereka sekeluarga sedang berkelah. Aidil dan Aiman, kedua orang anaknya lemas di dalam kejadian itu. Fatimah berdoa kepada Tuhan agar kedua orang anaknya itu ditemui dan menyedari bahawa kekuasaan Tuhan itu melebihi dari segalanya. Akhirnya, Aidil dan Aiman diketemukan juga.
            Bahasa yang digunakan sangat menarik dan menyentuh hati pembaca. Penulis berjaya mengawal emosi pembaca dan turut merasakan kehilangan sepanjang membacanya. Cerita yang ringkas namun menarik pembaca untuk membaca sehingga akhir untuk mengetahui apakah kesudahannya.
            Plot teratur, diselang-seli dengan plot imbas kembali yang tidak ketara. Sudut pandangan yang digunakan benar-benar memahami watak utama Fatimah namun, kekurangan dari sudut emosi dan juga kata-kata mengakibatkan watak utama Fatimah itu semacam tidak mengenali watak anak-anaknya sendiri. Penulis seharusnya memberikan sesuatu yang menjadi ingatan kekal kepada Fatimah terhadap kedua orang anaknya yang lemas itu dan diangkat sebagai satu tanda, bahawa penulis cukup mengenali Fatimah itu sendiri, bukan sahaja dari segi hati, perasaan, akal fikiran tetapi segala-gala kewujudan yang ada di sekeliling Fatimah. Unsur dramatik yang kurang jelas kerana kekurangan penceritaan tentang struktur kejadian kepala air itu membuatkan, pembaca seperti kabur terhadap situasi tersebut ataupun seolah-olah Fatimah seperti tidak berada di tempat kejadian.




“Adakah anak Pak Cik pernah menjadi penderma jantungnya kepada orang lain? …”
HIDAYAH oleh FATIMAH HASSAN, sebuah kisah seorang lelaki yang bernama David sering dihantui oleh mimpi. Mimpi di mana seorang lelaki itu datang menemuinya. David cuba merungkai misteri mimpinya itu setelah menerima alamat sebuah kampung yang diperolehnya dari mimpi itu juga. Tanpa diduga, dia akhirnya bertemu dengan Lebai Hasan yang mana anaknya Syafiq adalah orang yang telah menjadi penderma organ. David yang menerima jantung tiga bulan yang lalu menyedari bahawa jantung itu adalah jantung Syafiq anak kepada Lebai Hasan yang menghidap penyakit kanser. David adalah seorang penganut atheis akhirnya mempercayai akan kewujudan Tuhan lalu memeluk Islam dengan bantuan Lebai Hasan.
            Bahasa ringkas yang mudah difahami. Cerita juga ringkas sedikit menarik minat pembaca untuk mengetahui, apakah kaitan antara David dan Syafiq serta mimpi yang dialami oleh David tersebut. Plot yang mendatar, tiada kesan dramatik dan juga penulis tidak menyeimbangkan sudut pandangan kerana penulis terlalu terbatas terhadap pergerakan watak dan perwatakan seperti David, Syafiq dan juga Lebai Hasan. Mungkin juga, penulis seperti telah memotong-motong cerita mengakibatkan jalan cerita itu seperti tersekat-sekat dan ia sebenarnya boleh diatur dengan kemas, apabila watak David dan Syafiq disatukan seperti David dan Syafiq itu adalah orang yang sama, namun hakikatnya, David hanya disatukan dengan Syafiq melalui jantung tersebut. Malah David seharusnya seperti cukup mengenali Lebai Hasan, itu akan membuatkan cerita ini akan dapat dikembangkan dengan lebih baik.



“Jangan terlalu mudah menghukum, Zam. Lebih-lebih lagi berdasarkan pandangan luaran sahaja …”
HIJRAH ROHA ROHAYA oleh HASLAMIZAN MALIKI adalah sebuah kisah ingatan ‘imbas kembali’ Rohaya dan juga Azam. Tentang masalah kecelaruan identiti jantina. Rohaya yang berwatakan seperti lelaki itu bekerja sebagai pemandu bas yang sering ditumpangi oleh Azam. Dari situlah Azam menjadi teman rapat kepada Rohaya. Di dalam imbas kembali itu, terjadi perbualan antara Rohaya dan Azam mengenai pendapat mereka tentang kecelaruan identity jantina tersebut. Banyak fakta-fakta nyata dimasukkan menjadi bahan dialog di antara mereka berdua.
            Menggunakan gaya bahasa yang sangat menarik, kemas dan teratur. Fakta-fakta yang diberikan sangat berkesan sebagai bahan bukti antara dua pendapat, Rohaya dan Azam. Cerita juga sangat menarik, ada isu yang boleh diangkat untuk santapan mesej dan pengajaran kepada pembaca. Teknik imbas kembali yang digunakan bagus namun telah mengelirukan kepada pembaca. Adakah imbas kembali itu digunakan untuk watak Rohaya atau Azam? Watak Azam juga tidak kelihatan kemas dalam penceritaan membuatkan sedikit kecelaruan, adakah Azam itu seorang guru atau pelajar? Adakah perbualan antara Rohaya dan Azam di sepanjang cerita itu, adalah imbas kembali oleh Rohaya dan Azam telah membuatkan teknik itu tidak usai digunakan. Seharusnya, penulis harus mengatur teknik ini dengan kemas dan cuba mengangkat satu watak yang mengimbas ke semua kejadian agar penceritaan itu akan lebih tampak suasananya.



“Aku amat bersetuju dan bersedia syahid! …”
HELAH DUNIA oleh KHAIRUL ADLI ABDULLAH, adalah mengenai kisah sekumpulan Fathul Ummah yang dianggotai oleh Ahmad, Daud dan Salahuddin sebagai penentang tegar Israel. Mereka bertiga sebagai pencetus Pemula Robot sebenarnya adalah ejen untuk membantu pihak Palestin dan juga Gaza dalam menentang kezaliman pihak Israel. Peralatan yang digunakan juga sangat unik kerana mereka bertiga memiliki kepintaran mereka masing-masing. Misi mereka adalah untuk menyelamatkan saintis Palestin yang disembunyikan oleh Ejen Mossad dan misi mereka berjaya. Pemula Robot yang digunakan untuk membantu OKU telah berjaya diterima oleh Nippon Robot yang bertempat di Jepun. Di akhir cerita, mereka dituduh sebagai ejen pengganas dan mereka menyiasat, siapakah yang telah menyebarkan tohmahan tersebut.
            Kisah futuristik yang sangat baik. Tahun 2097 diambil sebagai latar masa yang sangat menarik, ditambah dengan penjelasan peralatan canggih yang sangat hebat. Kesan dramatik dalam insiden-insiden juga sangat jelas dan menarik untuk mengetahui, apakah kesudahannya.
            Latar masa yang digunakan membuatkan cerita ini mengalami kekeliruan situasi. Tahun 2097 menjadi tahun yang diangkat di dalam cerita namun segala kejadian yang berlaku, adalah kejadian yang berlaku pada masa kini. Malah, terlalu mustahil, isu yang ada pada masa kini akan terus berlaku sehingga tahun 2097. Kewujudan saintis Palestin telah merosakkan keadaan tentang pergolakan yang berlaku di Palestin dan juga Gaza. Seharusnya pergolakan peperangan tersebut telah berjaya diatasi. Malah tahun 2097, seharusnya, Malaysia sudah memiliki satu syarikat besar yang mampu mengeluarkan peralatan robotik yang sangat canggih dan tidak perlu lagi untuk bekerjasama dengan pihak luar. Mungkin, sekiranya ingin memperlihatkan situasi kerjasama itu, bukanlah lebih baik, pihak Palestin itu bekerjasama dengan pihak Malaysia, dan misi untuk menyelamatkan saintis Palestin itu digunakan dalam misi kumpulan Fathul Ummah. Dan di sinilah, unsur futuristik itu dapat diangkat dengan sempurna.




Aku yakin, Allah adalah satu-satunya tempat yang selayaknya untuk aku bersandar …
WILONA oleh LATIFAH RABBANIAH JAMALUDIN, sebuah kisah mengenai Aku, Mary Beth yang menceritakan tentang kehidupannya yang tinggal di Kota Paris. Mary Beth mengahwini Seth dan diberikan seorang anak bernama Wilona. Wilona tidak mampu mendengar dengan sempurna, maka Mary Beth dan Seth memberikan bantuan alat pendengaran dan tidak pernah menganggap Wilona, anak mereka itu mengalami kecacatan pendengaran. Namun, mereka tidak pernah menduga, bahawa Wilona juga turut menghidapi masalah transgender yang mana, Wilona lebih menyukai perwatakan seorang lelaki. Seth akhirnya memeluk agama Islam sebelum Seth meninggal dunia. Mary Beth pula berusaha mencari dirinya sendiri dengan pembentukan perubahan watak pada diri Wilona. Wilona akhirnya menghembuskan nafasnya setelah selesai menjalani pembedahan kanser. Kematian Wilona bukanlah terjadi dari atas faktor kesihatan dan penyakit yang dihadapi oleh anaknya itu. Akhirnya, Mary Beth juga memeluk Islam dengan nama baharunya, Aminah dan Wilona sangat bersyukur mempunyai seorang ibu seperti Mary Beth.
            Cerpen ini adalah sebuah cerpen berbentuk monolog. Aku atau Mary Beth sebagai pencerita terhadap kisah yang dilaluinya. Menggunakan hanya satu teknik cuba mendekatkan pendekatan cerita secara terus, memudahkan para pembaca mengetahui, apakah tujuan sebenar, kisah ini digarap. Menggunakan bahasa yang mudah dan menarik.
            Plot yang digunakan sangat mendatar, tidak ada dataran klimaks. Watak Mary Beth yang digunakan sebagai perkataan ‘Aku’ sangat terbatas perilakunya. Penulis seperti tidak mengetahui, apakah yang berlaku di sekelilinginya, tidak memahami watak-watak yang ada, dan Mary Beth juga dalam keadaan yang sangat kaku kerana tidak menjelaskan keseluruhan apa yang dialaminya. Seharusnya, penulis yang menggunakan teknik cerpen monolog ini, watak yang wujud di dalam cerita, sebenarnya adalah diri penulis itu sendiri. Sekiranya, kaedah ini dipergunakan oleh penulis, maka watak Mary Beth itu akan lebih nampak kemas dan terjalin pada pengolahan hati, perasaan, pemikiran dan sekeliling.



“Abang. Lagu apakah yang abang alunkan ini? Sunggu syahdu …”
KELIBAT MUSAFIR DELNIAS II oleh MUHAMAD FITRI ABU BAKAR adalah sebuah kisah perjalanan Mirwan bersama dengan Ud miliknya. Perjalanan Mirwan diteruskan setelah melewati Kampung Semu. Mirwan akhirnya tiba di sebuah Kampung Berembang. Di sana, Mirwan dapat memperlihatkan kehidupan masyarakat kampung yang bersifat kasar dan tidak memperdulikan antara satu sama lain. Mirwan bertemu dengan Hatif, seorang kanak-kanak pengemis. Hatif memberitahu bahawa kampung mereka tidak mempunyai penghulu tetapi Tuan Tanah bernama Tuan David Al-Gorskey. Mirwan menyampaikan dakwahnya melalui petikan ud yang sentiasa dibawanya bersama dengan pesanan ibunya. Hatif mula pandai bermain ud apabila terpikat dengan alunan yang dimainkan oleh Mirwan sebelum ini. Hatif bermain ud di kota pekan, dan akhirnya Tuan David yang mendengarnya cuba menghentikan permainan itu tetapi dapat dipatahkan oleh Mirwan. Kemudian, seluruh penduduk kampung tersebut mahu memperlajari akan keindahan permainan ud tersebut yang mana juga diserikan dengan ayat-ayat berzikir memuji Tuhan, pencipta.
            Menggunakan bahasa yang sangat menarik, jalan cerita yang terjalin kemas dan juga memiliki kesan dramatik. Ia sebuah cerita yang sangat difahami dan memiliki mesej pengajaran yang tersendiri.
            Pemilihan dialog yang tidak berkesan dan tidak sesuai untuk watak Mirwan yang diberikan sesuatu perwatakan yang sangat hebat. Seharusnya, dialog yang dituturkan oleh Mirwan perlulah disulami dengan kata-kata yang berilmu. Latar tempat yang sedikit bercelaru dan tidak begitu jelas. Dan tiada penyeleraian cerita. Seharusnya, andai penulis menghasilkan karya yang mempunyai sambungan, sebagai contoh, pengembaraan, penulis harus memberikan penyeleraian cerita untuk satu-satu cerita yang dilalui oleh watak yang diangkat tersebut.




“Apa kau sanggup untuk menanggung beban kaum wanita? …”
JERITAN NALURI oleh MUHAMMAD FIRDAUS JOHARI mengisahkan tentang kisah Alias yang memiliki perwatakan wanita. Izzat atau nama sebenar Izzati adalah teman rapat kepada Alias. Alias menemui Izzati setelah lama tidak bertemu. Alias menyatakan hasrat untuk menukar jantina dan mahu Izzati memanggilnya sebagai Alia. Izzati mula memberitahu, akan kepayahan menjadi seorang wanita dan Tuhan sangat melaknati umatnya menukar jantina. Ketika di dalam perjalanan pulang, mereka diperangkap oleh beberapa orang lelaki. Izzati mengharapkan, Alias akan berusaha membantu dan mempertahankan maruahnya namun Alias tidak bertindak seperti yang diharapkan. Tetapi, di atas insiden itu, Alias akhirnya menjadi lelaki sebenar dan mengahwini Izzati.
            Menggunakan ayat yang kemas dan teratur. Mudah difahami. Memberikan ilmu bantu yang sangat sesuai dengan mesej yang cuba disampaikan. Plot yang tidak kemas kerana latar masa yang agak kelam-kabut. Ia jelas dilihat pada akhir cerita, selepas kejadian hitam itu, Izzati tidak lagi bertemu dengan Alias. Namun, pada pengakhiran cerita, Alias sudah pun menjadi suami kepada Izzati. Kekurangan cerita ini hanyalah pada plot yang tidak diatur dengan sempurna. Seharusnya, penulis harus peka pada susunan latar masa kerana latar masa, adalah salah satu teknik terpenting di dalam sesebuah karya seperti cerpen yang sangat padat kedudukannya.



Hari ini, kita perlu melihat dakwah dari kaca mata yang lebih meluas …
CINTA DALAM LIPATAN DAKWAH KITA oleh MUHAMMAD GHAZALI MOHD. ROS mengambil dua buah kisah yang dijadikan menjadi satu iaitu, kisah pertama ; Tentang kisah bagaimana Melaka menjadi salah satu kota masyhur di mana menjadi kota dagang dan juga kota penyebaran agama Islam yang terkemuka. Menceritakan sepenuhnya, bagaimana seorang Tuan Guru yang mahukan mengembalikan kegemilangan Islam di Melaka. Dan kisah kedua ; Tentang kisah saya atau Ghazali yang hidup di zaman moden. Dia harus mendepani cabaran-cabaran yang ada dan berusaha untuk mencegah serta memberikan nasihat sebelum perkara itu terjadi. Menceritakan dua persepsi dunia yang berbeza tetapi mengangkat satu motif yang sama iaitu berdakwah. Dari zaman kegemilangan kota Melaka yang dikenali sebagai kota ilmuwan dan budayawan sehingga ke zaman moden yang dikenali sebagai kota canggih dan teknologi. Namun, dari susur galur yang kehidupan, seorang pendakwah yang harus membantu membawa ke jalan benar, amatlah diperlukan dan sesiapa juga boleh menjadi pendakwah. Dari seorang berbangsa Melayu, seharusnya perlu tampil menjadi pendakwah dalam meneruskan segala syariat Tuhan dan ajaran sunnah Rasulullah. Itulah persepsi dari sudut pemikiran watak utama, Ghazali.
            Memberikan plot yang sangat menarik. Dua plot yang dipisahkan menjadi satu latar masa yang sama. Bahasa dan ilmu bantu yang diberikan juga sangat menarik dan dapat memberikan nilai serta moral yang padu kepada para pembaca. Penilaian nilai dakwah juga diterapkan dengan sumber fakta yang tepat.
            Kekurangan dalam watak dan perwatakan, membataskan cerpen ini adakah berbentuk cerpen fakta atau cerpen cereka. Seharusnya, penulis memberikan kedudukan utama kepada watak saya atau Ghazali di dalam dua plot yang diberikan. Mungkin sahaja Ghazali perlu wujud pada plot pertama, pada zaman kegemilangan Melaka tersebut. Mungkin sahaja Ghazali diberikan watak sebagai pendakwah ketika itu dan kewujudannya di zaman moden, sebagai manusia yang mahu menjadi pendakwah, akan mengangkat cerpen ini lebih menarik dan memiliki kualiti yang sangat hebat.



“Buya, tunggu aku …”
PADA BUYA HATINYA MASIH oleh MUHAMMAD NUR SAIFUL GHAZALI adalah sebuah kisah mengenai Mansur yang mencari makna diri terhadap jalan kehidupan yang dipilih oleh Mansur. Mansur yang hidup bersendirian di rumah peninggalan arwah ayahnya yang dipanggil Buya, hanya ditemani dengan rokok dan juga surat lama Buya. Dalam surat Buya, jelas Buya berpesan kepadanya, bahawa apa yang berlaku kepadanya saat ini, adalah pilihannya sebelum ini. Mansur sedar, bahawa, dia perlu berubah dan cuba mengenali siapakah Buya di hatinya? Dan akhirnya Mansur sedar, bahawa apa yang ditinggalkan oleh Buya kepadanya adalah ilmu akhirat yang tersembunyi pada bilik yang sering dilarang oleh Buya kepada mereka untuk dikunjungi.
            Kisah yang menarik dengan penggunaan bahasa yang bersahaja, penceritaan cerpen monolog yang membawa sebuah kisah tentang kehidupan. Plot yang digunakan sangat mendatar. Mansur yang kehilangan makna diri terhadap kehidupan, membuatkan penulis turut kehilangan punca perwatakan Mansur di dalam cerita. Penulis seharusnya, memberikan plot dramatis dan kesan mendalam apa yang telah dilakukan oleh Mansur sebelum ini, apa yang telah diajar oleh Buya kepada mereka dan juga apakah punca yang telah membuatkan Mansur hidup melarat.



“Dengan izin-Nya, abang Ebit. Tiada yang mustahil bagi Allah …”
IDAN oleh NASUHA MUZAMIR YUSOF adalah kisah mengenai Abang Edit yang merindui Idan, adiknya. Idan, menjadi Islam setelah tertarik dengan ajaran yang disampaikan oleh Ustaz Hakimi di bukit nun. Abang Edit sangat menyayangi Idan yang sering sahaja sakit-sakit itu. Ketika Idan, menjadi Islam, sakit Idan sudah beransur pulih. Idan lebih sihat, bertenaga dan wajahnya juga berseri-seri. Namun, Idan meninggal dunia dan saat itu, Abang Edit sedar, bahawa Idan sangat bahagia dengan hari terakhir itu. Akhirnya, Abang Edit menyakini, bahawa dia akan lebih tenang sekiranya memeluk Islam seperti mana yang pernah Idan rasakan sebelum ini.
            Menggunakan teknik monolog yang sangat berkesan. Penceritaan terhadap Abang Edit sangat jelas dan mengetahui segala luar dan dalam cerita mengukuhkan kekuatan mesej yang cuba disampaikan. Monolog yang bagus adalah apabila disertakan dengan imbas kembali. Penulis boleh menambah teknik imbas kembali yang lebih dramatik dan berkesan untuk menaikkan seri cerita. Pemilihan diksi juga seharusnya, boleh ditambah dengan gaya bahasa yang sedikit berat dan ilmu bantu terhadap keturunan Abang Edit dan juga kawasan perkampungan mereka.



“Petang tadi, saya ada bertemu seorang wanita bernama Margaret. Katanya dia berminat untuk mempelajari Islam …”
MARGARET oleh NORHAIRIE NORDIN, adalah kisah tentang Margaret yang cuba merungkai tentang Islam yang sering digembar-gemburkan sebagai agama pengganas di dada akhbar. Margaret seorang wanita beragama Kristian dan menjadi penganut Ateis kerana suaminya Robert, mula menyedari bahawa Islam itu bukanlah sebuah agama pengganas. Maka Margaret haruslah membongkar dan mencari jawapannya sendiri setelah mendengar penjelasan daripada anaknya Joseph. Margaret mengunjungi sebuah kedai buku yang menjual buku-buku yang berkaitan Islam. Di sana, dia menemui pemilik kedai yang sempat memberikan pendapatnya sendiri mengenai Islam. Margaret mula menerima pendapat itu. Margaret kemudian, pergi ke sebuah taman dan dia cukup tertarik mendengar suara yang mengalunkan ayat suci al-Quran iaitu surah Al-Fatihah. Dia didatangi oleh seorang wanita yang beragama Islam iaitu Aisah. Mereka sempat berbual mengenai Islam dan membuatkan Margaret semakin tertarik hati dengan Islam yang pernah disangkanya sebagai agama pengganas itu. Di akhir cerita, Margaret terlibat dalam kes pengeboman dan ketika, kedua orang anaknya mengecam mayat ibu mereka, wajah Margaret sangat tenang kerana sebelum itu, Margaret pernah menyatakan hasratnya untuk memeluk agama Islam.
            Penggunaan diksi yang sangat menarik. Jalan cerita yang teratur kemas dan juga mengangkat satu konsep mesej tersembunyi, membuatkan cerpen ini nampak lebih berkesan.
            Plot yang dipisah-pisahkan sangat menarik sekiranya, tiada ruang kosong yang dapat ditembusi. Dalam cerpen ini, plot yang dipisah-pisahkan, terlalu banyak ruang kosong yang perlu diisi agar, cerita ini tidak terlalu renggang dan sengaja dimatikan dengan begitu sahaja. Penulis seharusnya lebih peka, pada ruang kosong di dalam karya yang dihasilkan, agar cerita itu tidak nampak, penulis seperti terbatas ideanya.



“Tahukah kau yang jangka hayatku hanya singkat di muka bumi ini? …”
BERTEMU DI PINTU ABYADH oleh NUR AIDAWATY RAFAN, adalah sebuah kisah berbentuk alegori ini menceritakan tentang dua ekor lebah iaitu Hani dan Andri. Hani adalah seekor lebah madu dan Andri pula hanyalah seekor lebah yang tidak boleh menghasilkan madu. Hani memberitahu, bahawa setiap makhluk yang diciptakan oleh Tuhan, adalah sama di sisiNya. Setiap makhluk dijadikan atas tanggungjawab yang telah diamanahkan. Seperti mereka, mereka juga memiliki tanggungjawab mereka sendiri untuk bersama memakmurkan bumi Tuhan. Andri akhirnya pergi setelah menyelamatkan Hani daripada serangan manusia.
            Cerita yang sangat menarik. Penulis berjaya mengangkat lebah sebagai watak utama menjadikan cerita ini memiliki keunikannya sendiri. Penulis menceritakan bagaimana kehidupan lebah bersama dengan koloninya memberikan satu impak ilmu bantu yang sangat berguna kepada pembacanya.
            Seharusnya, penulis tidak mendedahkan, Hani dan Andri itu adalah seekor lebah dan mengangkat mereka seperti watak manusia, dengan ditambah dengan plot klimaks yang tinggi, serta memberikan sesuatu unsur persepsi ilmu yang mengunci minda para pembaca, maka ruang kosong dalam cerpen yang masih jelas ada itu dapat diperbaiki dengan sebaiknya.



“Semua manusia di muka bumi ini membuat silap …”
PERPETEIA oleh NURUL HIDAYA SULEIMAN, adalah kisah mengenai watak Aku yang dipenjara di Nusa Kambangan setelah ditangkap oleh pihak polis Indonesia kerana memalsukan kad kredit, walaupun sebenarnya Aku telah dijadikan kambing hitam oleh dua orang kawannya. Aku hidup di dalam penjara dan mula mengenali kehidupan yang sebenar. Dan menyakini, bahawa setiap dugaan yang diberikan oleh Tuhan, mempunyai rahmatnya yang tersendiri. Aku dibebaskan dan kembali semula ke Malaysia dan mula mendidik anak-anaknya menjadi anak yang terbaik untuknya demi menebus kembali apa yang telah Aku lakukan sebelum ini.
            Sebuah cerpen monolog yang menceritakan setiap butir kejadian dengan gaya bahasa yang menarik. Cerita yang ringkas tetapi masih mampu mengangkat ilmu bantu yang menjadi mesej utama di dalam cerita. Penulis telah melupakan sudut pandangan pertama di mana, penulis seolah lupa tentang watak Aku yang harus didominasi oleh penulis sepenuhnya, kerana terdapat beberapa tempat penulis seperti melupakan sesuatu fikiran dan emosi watak Aku. Seharusnya, penulis perlu mengkaji watak utama, plot kukuh dan teknik berkesan sekiranya, ingin menghasilkan cerpen berbentuk cerpen monolog.



Manusia yang Allah pilih bukan untuk saja-saja. Tapi kerana Allah juga cinta …
SANG PELANGI oleh NURUL SHUHADA HAMIDON, adalah tentang kisah Alia, seorang gadis mualaf dan juga seorang doktor. Alia bertemu dengan Adawiyah yang seorang gadis yang disahkan mengandung. Adawiyah memberitahu bahawa, dia tidak berdosa kerana dia hanyalah menjadi tempat pemuas nafsu. Alia membawa Adawiyah untuk tinggal bersamanya. Adawiyah melihat segala pengorbanan dan kebaikan yang dilakukan oleh Alia yang sangat mulia. Alia yang tidak diterima oleh keluarganya atas keputusannya memeluk Islam, dibuang daripada keluarga. Alia akhirnya menjadi mangsa kerana ingin menyelamatkan Hakim, anak yatim di Rumah Darul Hannan. Hakim yang cuba mengejar peragut itu, menemukan Alia dengan adiknya, Ah Meng. Ah Meng melarikan diri namun, seorang lelaki muncul membawa sebilah parang. Alia yang cuba menyelamatkan Hakim, terkena parang tersebut.
            Plot cerita yang berjalan dengan kemas. Mesej yang diberikan juga sangat ketara dan gaya bahasa yang dipilih sangat santai. Pemilihan permulaan cerpen yang dikirakan, sangat kurang tepat kerana watak utama di dalam cerita ini adalah Alia, seharusnya watak Alia itu perlulah diwujudkan terlebih dahulu. Mungkin, pada permulaan cerpen itu, kejadian yang berlaku kepada Adawiyah itu adalah kesan daripada penceritaan Adawiyah kepada Alia.



“Saya sedar kekayaan tidak boleh membeli maruah dan kasih sayang …”
MENITI RINDU oleh SAADIN ABDULLAH, adalah kisah mengenai Wa Timah yang menanti kehadiran anaknya Anis setelah menerima sepucuk surat yang menyatakan dia telah berjaya ke atas hak penjagaan anak tunggalnya atas hasil perkongsian hidup dengan bekas suaminya, Tengku Abdul Jabar. Ngah Taha yang berdendam dengan bekas suami kakaknya itu sangat tidak berkenan sekiranya, bekas suami kakaknya itu akan sering datang ke kampung kerana bekas suami kakaknya itu pernah menghalaunya dahulu. Wa Timah yang juga terkesan dengan sikap suaminya setelah mengahwininya itu tidak mampu menahan lagi dan akhirnya mereka bercerai. Hak penjagaan anaknya itu diserahkan kepada suaminya. Selepas lima tahun, apabila peguam Wa Timah menyatakan untuk mendapatkan semula hak jagaan, Wa Timah akhirnya berjaya. Ketika Anis tiba ke kampung, bekas suaminya turut sama datang. Bekas suaminya, Tengku Abdul Jabar memohon maaf di atas apa yang telah dilakukannya sebelum ini dan menyedari wang ringgit bukanlah pengukur sebuah kehidupan yang bahagia.
            Jalan cerita yang sangat menarik. Gaya bahasa yang tersusun kemas. Perwatakan yang diberikan juga sangat menarik dengan dialog yang sesuai dengan watak tersebut. Mesej yang diberikan juga jelas dan mudah difahami. Klimaks yang sengaja dimatikan dengan begitu cepat membuatkan, kesan itu sangat lemah pada pengakhiran cerita. Mungkin sahaja, kesan amukan Ngah Taha itu dinaikkan pada permulaan cerita, kemudian, ia dipotong lalu dimasukkan pada kisah Wa Timah yang menantikan kehadiran anaknya, Anis, kemudian dimasukkan semula pada plot klimaks tersebut.



“Ibadah di hati itu lebih besar pahalanya …”
MASJID ATAS BAHU oleh SURIANI SAMSUDIN, adalah mengenai kisah pertemuan Tammy, seorang doktor dan juga Jason seorang anggota polis narkotik. Tammy membantu merawat Jason yang cedera akibat tembakan peluru. Jason memberitahu bahawa Tammy seharusnya menjadi seorang doktor yang baik dan juga seorang gadis Islam yang sempurna dengan tidak menggunakan dadah atau pun alkohol. Jason mempercayai tentang Allah swt Nabi Muhammad saw dan Tammy mengatakan Jason adalah seorang Islam tetapi Jason mengatakan tidak. Tammy akhirnya sedar bahawa dia seharusnya menjadi seorang Islam yang sempurna atas, perbuatan Jason yang membuang semua bahan terlarang yang sering digunakannya. Jason pula menyedari apabila kawan setugasnya, Ikram yang sering memperlihatkan imannya terhadap Tuhan, membuatkan Jason memeluk Islam. Tammy dan Jason akhirnya disatukan dengan kasihnya Tuhan.
            Cerita menarik, plot cerita yang sangat berkesan dan tersusun kemas. Perwatakan yang diberikan juga cukup jelas dan memberikan kesan yang baik untuk dibaca. Ilmu bantu yang dipilih tidak cukup dijelaskan terhadap watak yang dipilih seperti ketika Tammy merawat Jason dan ketika Jason berusaha menyelamatkan Ikram, serta pada plot-plot penceritaan yang masih kurang penggunaan ilmu bantu yang kukuh. Seharusnya, penulis perlu membuat sedikit kajian terhadap penggunaan bahan terlarang ataupun ketika proses menyelamatkan mangsa yang terkena tembakan.



“Allah, aku yakin Engkau ada …”
CINTA BERTASBIH DI BELFAST oleh SITI FARHANA HIDAYA MOHD. NAZRI, menceritakan tentang kisah Fattah yang menerima sepucuk surat daripada Evelaine. Fattah menemui gadis Ateis itu ketika dia berada di Dublin. Evelaine sentiasa bertanya tentang keberadaan Tuhan Islam ada di mana dan setiap kali itu jugalah Fattah akan memberikan jawapan menyakinkan bahawa Tuhan Islam itu ada di mana-mana sahaja dan akan sentiasa ada untuk setiap umatNya. Evelaine yang tidak mempercayai Tuhan itu wujud, akhirnya memeluk Islam apabila Joseph, abangnya yang sentiasa mengekorinya juga telah memeluk Islam. Di dalam surat yang dikirimkan oleh Evelaine kepada Fattah, di situlah jelas kenapa, Evelaine memilih Islam kerana surah az-Zariyat. Fattah gembira menerima pemelukan Evelaine itu setelah usai membaca surat yang diterimanya.
            Gaya bahasa yang dipilih menarik. Ilmu bantu yang kuat. Susunan cerita kemas dan mesej yang disampaikan juga sampai kepada pembaca. Plot yang masih belum kuat dan masih terdapat ruang kosong yang boleh diperbaiki. Perwatakan juga tidak begitu ketara dipertonjolkan terhadap Fattah dan juga Evelaine, hanya sekadar diperkatakan secara ringkas pada perkataan tetapi tidak pada fizikal ataupun fikiran, agak terbatas. Penulis harus menitik-beratkan kedudukan watak dan perwatakan yang dipilih untuk menutupi ruang kosong tersebut.



“Bukankah utusan Tuhan mengajar untuk bersangka baik dengan semua orang, sedang Baginda pun sangat memuliakan tetamunya …”
KERANA BAYAN oleh SITI HAZIYAH MOHD. HATA adalah kisah mengenai Nara beragama Buddha yang menjadi sukarela di Pertubuhan Pelarian Syria-Jordan (PESIJ). Nara ditemani oleh temannya, Manisah. Bayan yang kehilangan keluarganya, akhirnya dipertemukan dengan Nara yang tidak tahu berbicara dalam Bahasa Arab. Jailani menjadi jurubahasa dan akhirnya, Nara mengetahui akan kisah kehidupan Bayan. Bayan menceritakan, bahawa dia sedih dengan kehilangan keluarganya namun dia lebih menyakini bahawa Tuhan akan selalu ada bersamanya. Ketika Nara bertanya, kenapa Bayan tidak takut kepadanya, Bayan memberitahu bahawa setiap manusia itu pasti adalah utusan Tuhan dan Baginda juga memiliki sifat, berbaik sesama manusia dan menghormati tetamu. Kerana jawapan Bayan itu, akhirnya Nara menemui Tuhan sebenar dengan memeluk Islam. Nara menukar namanya menjadi Aisah.
            Plot cerita kemas. Latar masa yang menarik dan sesuai dengan latar tempat dan latar masyarakat dengan penggunaan dialog dalam Bahasa Arab. Penulis harus lebih bijak menggunakan teknik bahasa asing andai dimuat menjadi sebuah dialog. Apabila, menggunakan teknik sebegini, terjemahan haruslah diselitkan sekali agar, pembaca akan memahami setiap pertuturan dialog dan tidak akan menjadi tersekat-sekat untuk meneruskan pembacaan. Penggunaan teknik bahasa asing yang tidak disertakan terjemahan, akan membuatkan rasa minat untuk pembaca meneruskan pembacaan kerana pemahaman terhadap cerita akan menurun.



“Pernahkah lelaki tua itu sepanjang hayatnya, untuk sekali sahaja, berterima kasih pada isterinya yang melahirkan zuriat-zuriat mereka? …”
BIRU LANGIT ITU SELENDANGMU, IBU oleh SITI NAZURAH MOHD. KAMEL, adalah sebuah kisah cerpen monolog ini mengisahkan tentang Aku yang mengingati kehidupannya bersama dengan ibunya. Dia menceritakan kekuatan, pengorbanan dan kasih sayang ibunya yang telah membesar dan mengasuhnya menjadi seorang anak yang mengenali akan agamanya. Kepayahan dan kesusahan hidup di kala kecil telah mematangkan dirinya untuk menjadi yang terbaik seperti ibunya kepada anak-anaknya. Malah, suaminya yang ikhlas mengahwininya, menjadi lambang kekuatan untuk dia menjadi seorang isteri yang solehah sepertimana ibunya dahulu.
            Gaya bahasa yang sangat menarik, puitis. Teknik monolog yang sangat hebat, penceritaan yang telus dan mesej yang diberikan juga sangat hebat. Sangat mendalami pada rasa watak dan perwatakan juga dapat dijiwai oleh penulis dengan jelas dan terang. Tiada batasan pada keseluruhan cerita. Pembahagian plot boleh dikemaskan lagi dengan meletakkan unsur-unsur dramatik antara watak Aku dengan Ibu, mungkin sesuatu konflik. Ini akan menampakkan lagi, penulis dapat menjiwai kedua-dua watak yang diberikan.



“Saya mahu emak tunaikan hasrat saya yang paling istimewa …”
HADIAH oleh SITI RAHMAH MOKHTARUDDIN adalah kisah seorang guru yang bernama Aisyah. Aisyah adalah guru sekolah rendah yang sangat menyayangi pelajarnya. Dia didatangi oleh seorang murid bernama Amir Fikri. Amir Fikri sedang menuntut di Tahun Enam. Amir Fikri sering bertemu dengannya dan bertanya mengenai aurat wanita. Aisyah sentiasa memberikan jawapan menyakinkan kepada anak muridnya itu. Amir Fikri mengharapkan Aisyah akan mendoakan agar dia lulus cemerlang UPSR dan mahukan Aisyah mendoakan hanya untuknya seorang sahaja. Aisyah tertanya-tanya, kenapa permintaan anak muridnya itu sebegitu? Amir Fikri memberitahu, bahawa sekiranya dia mendapat 5A dalam UPSR, dia boleh meminta apa sahaja daripada ibunya. Dan Amir Fikri mahukan ibunya memakai tudung dan berpakaian longgar serta menjaga aurat, disebabkan inilah dia mahukan Aisyah mendoakan hanya untuknya seorang sahaja. Maka, Aisyah memenuhi permintaan mulia anak muridnya itu.
            Jalan cerita yang menarik. Latar masa yang tepat dengan teknik imbas kembali. Teknik monolog juga diangkat untuk menyampaikan mesej penceritaan. Gaya bahasa yang digunakan mudah dan sangat difahami dengan pemerian dialog yang sangat sesuai untuk kedua-dua watak, Amir Fikri sebagai seorang pelajar dan Aisyah sebagai seorang guru. Teknik pemberitahuan latar masa, seperti tiga minggu sebelum, 14 hari sebelum boleh digunakan dengan teknik monolog tempat kejadian ‘masa kini’ dengan diberikan serba sedikit situasi ketika peperiksaan sedang dijalankan.



“Khairi nak belajar di sekolah pondok, ayah …”
KEDAMAIANNYA DI SEKOLAH PONDOK oleh SUHAIMI JAMAUDIN, adalah kisah Razali, seorang anak kampung yang berusaha dan akhirnya berjaya. Razali hanya memiliki seorang anak tunggal sahaja iaitu Khairi. Khairi mempunyai hasrat untuk bersekolah di sekolah pondok namun ditepis oleh Razali, bahawa Khairi mungkin tidak akan berjaya memiliki kejayaan sekiranya hanya bersekolah di sekolah pondok. Khairi akhirnya didapati bersalah apabila dia ditangkap kerana mengamalkan kegiatan rasuah dan juga berjudi. Dia dipenjarakan selama lapan tahun. Di situ, baharulah Razali menyedari apabila dia ditemukan dengan sebuah sekolah pondok yang mengajar golongan muda dan golongan tua terhadap ilmu agama. Razali mengambil keputusan untuk menuntut di sana akan berdoa agar umurnya dapat dipanjangkan demi menunggu anaknya keluar daripada penjara dan akan membawa bersama-sama anaknya ke sekolah pondok itu bagi menunaikan impian anaknya itu dahulu.
            Teknik monolog yang berkesan terhadap penceritaan. Mesej yang diberikan dapat disampaikan kepada pembaca. Plot yang jelas dapat digambarkan dengan teknik pemisahan latar masa. Perwatakan yang tidak diceritakan secara jelas dan juga pemisahan plot ke satu plot juga seperti dipotong-potong dan tergesa-gesa. Penulis seharusnya mengisi ruang pemisahan plot itu dengan sesuatu teknik atau penceritaan situasi.


Friday 29 May 2015

SAYEMBARA PENULISAN PUISI SEMPENA SAMBUTAN 30 TAHUN PERWILA

PROMO SAYEMBARA PENULISAN PUISI SEMPENA SAMBUTAN 30 TAHUN +PERWILA LABUAN #Semarak30PERWILA


Sayembara ini diadakan adalah untuk menyemarakkan lagi sambutan 30 tahun penubuhan PERWILA. Sayembara ini bertujuan memberi ruang dan peluang kepada seluruh penulis Wilayah Persekutuan Labuan untuk menyertai sambutan 30 tahun PERWILA.
Sayembara ini dianjurkan dalam dua kategori untuk merancakkan lagi persaingan secara sihat dalam dunia penulisan. Sayembara ini akan dimulakan pada 18 Mei 2015 (Tarikh Rasmi Pelancaran) dan ditutup pada 18 Julai 2015.


SYARAT-SYARAT SAYEMBARA PENULISAN PUISI SEMPENA 30 TAHUN PERWILA

1. Sayembara ini dianjurkan dalam dua kategori iaitu :
a) Kategori Labuan – Penulis yang bermastautin di Labuan atau ahli PERWILA.
b) Kategori Terbuka / Malaysia – Penulis yang bermastautin di Malaysia termasuk penduduk tetap.

2. Setiap puisi yang dihantar oleh penulis dari Wilayah Persekutuan Labuan adalah layak untuk dinilai dalam kategori terbuka. Walaubagaimanapun, hanya salah satu hadiah dari mana-mana kategori yang layak dimenangi dengan memilih nilai hadiah yang tertinggi. Setiap penyertaan akan diberikan satu sijil penyertaan.

3. Tema Puisi adalah bebas tanpa menyentuh sentimen perkauman, politik, agama dan individu. Puisi haruslah berorientasikan tentang kesejagatan manusia dan pengamatan pada dunia kesusasteraan dan kesasteraan.

4. Setiap peserta hanya dibenarkan menghantar satu puisi. Peserta tidak dibenarkan menuliskan nama sebenar, nama pena atau sebarang nama pengenalan dalam mana-mana helaian puisi yang dihantar.

5. Karya perlu ditaip kemas, langkau dua baris dengan jenis tulisan Times New Roman atau Arial bersaiz 12 poin dan hendaklah tidak melebihi dua (2) muka surat A4.

6. Karya perlu asli, hasil karya sendiri dan ditulis dalam bahasa Melayu.

7. Penganjur mempunyai hak untuk menerbitkan karya yang menyertai sayembara ini. Namun jika penulis tidak dihubungi oleh penganjur dalam tempoh tiga (3) bulan selepas pengumuman pemenang, penulis dibenarkan untuk menerbitkan karya terbabit dengan mana-mana penerbit lain.

8. Tarikh tutup penyertaan: 18 JULAI 2015.

9. Penyertaan yang tidak memenuhi atau melanggar syarat sayembara akan ditolak.

10. Keputusan panel hakim adalah muktamad. Sebarang rayuan atau surat-menyurat tidak akan dilayan.
Setiap penyertaan haruslah disertakan dengan borang Sayembara.

Borang Sayembara Penulisan Puisi Sempena Sambutan 30 Tahun +PERWILA LABUAN


Untuk Keterangan Lanjut, klik di sini.

Sunday 1 March 2015

AKTIVITI BLOG : 11 PENULIS PERWILA MENERIMA PENGHARGAAN PERWILA


Tahniah Maharatu ucapkan kepada 11 penulis PERWILA (termasuk Maharatu) yang menerima penghargaan yang sangat bermakna ini. Ia bukanlah selalu diterima dan apabila sudah diterima, betapa besarnya harapan penulis untuk terus menjaga objektif penubuhan persatuan ini dan juga betapa besarnya usaha persatuan ini untuk terus menggagahi objektif penubuhannya. Semoga, selepas ini, akan memberikan sinar dan impak positf kepada seluruh warga PERWILA untuk terus berusaha berkarya Seni Untuk Masyarakat. Tahniah diucapkan sekali lagi.

Artikel Sebelas Orang Penulis Menerima Penghargaan PERWILA oleh Masmah Mohd. Ali (Norgadis Labuan) yang disiarkan oleh majalah Wadah Jun 2014.

Sebelas Orang Penulis tersebut adalah :

1. Faten Hamama Abd Hadi
2. Hajah Hasnah Sambas
3. Haji Othman Mahali
4. Maharatu Rafidah Mohamad
5. Norgadis Labuan
6. Samsa Harris
7. Suili Bakar ANS
8. Yahya Ahmad Puteh
9. Isma R.H
10. Suardi Ismail
11. Lia Maisarah.

Tuesday 17 February 2015

AKTIVITI BLOG : MENCIPTA LOGO RASMI BLOG MAHARATU

Sebenarnya, aktiviti ini adalah aktiviti mengejut dan tidak terduga. Ia berlaku secara mendadak, apabila Maharatu duduk bersama dengan kengkawan yang semuanya adalah lelaki. hehehehe... tak tahulah kenapa best friend Maharatu semuanya lelaki sejak kat U lagi? Susah nak jelaskan. Kengkawan perempuan memang ada, tapi taklah seakrab dengan mereka-mereka semua ini. Dan waktu kita duduk bersama tempoh hari, hanya dua orang sahaja kengkawan tak join tapi duduk sembang kat Whatsapp, jadi boleh diterima sebagai duduk sama jugalah. Yang sorang duduk kat Jepun dan sorang lagi duduk kat Kuching. Anyway, berbalik kepada aktiviti mengejut dan tidak terduga ini, maka timbullah cerita nak buat logo blog ini. Maharatu kata, tak payahlah, sebab, blog ini jarang sangat nak updated cerita bagai. Tetapi, keinginan dorang yang terlajak laris tuh, so, maka terhasillah, logo-logo yang boleh dikatakan superb dan ada juga yg lucu. Anyway, dalam beberapa logo tersebut, satu telah mendapat undian, dan logo rasmi blog ini akan digunakan apabila ada sesuatu updated nanti. Jom, kita tengok logo-logo tu, macam mana. Nak nilai sendiri pun tak apa...

Logo Pertama dari A.Redha a.k.a Royal Dewana Dewata. (simple dan menarik...)

Logo Kedua dari Mohd Ikhsan Lastprem. (Ramai juga yg dah buat mcam ini, cantik tapi color kuning, tak minatlah... hehehe...)

Logo Ketiga dari Zain A.M a.k.a Love Royal Heaven. (Maharatu tengok, cantik juga yang ini... :))

Logo Keempat dari Bastam a.k.a Love Maharatu FUNclub. (Macam logo kedai butik...)

Logo Kelima dari Richard Jumint. (Akan cantik apabila berada di atas bangunan... heheheh...)

Logo Keenam dari Raymond Annady Jumint Abdullah. (Ni kawan duduk kat Kuching. Tulisan tu, Maharatu suka sangat tetapi kurang warna lah...)

Ah... ini dia yang telah menambat hati semua termasuk Maharatu sendiri. Inilah Logo Rasmi yang menjadi pemenang. Hasil ciptaan Rahim Gochin Abdullah (ni kawan yang duduk kat Jepun.) Kenapa logo ini yang dipilih? Sedangkan ada yang lebih cantik dan lawa. Cuba tengok bentuk bulat kat atas R tu? Itukan simbol rasmi untuk Blogger. So, inikan logo untuk blog, maka kenalah ada titlenya kan. Dan simbol kotak-kotak tu, entah betul ke tak, itu konon adalah tulisan braille (opps, betulkah ejaan tu?). Kemudian logo Blogger tu pula terarah kepada huruf R sebab nama Rafidah. Nama Rafidah adalah nama yang memang wujud dalam kad pengenalan. Inilah beberapa sebab, logo ini berjaya. hehehehe....

Tahniah! Tahniah! Tahniah! kepada kengkawan yang sudi nak buat aktiviti ini dengan diri korang sendiri. Sayangnya, tak ada gambar ketika mereka tengah reka logo ini kan... Ish...ish...ish...

Monday 16 February 2015

PUISI BLOG : POSTER DINDING KOTA oleh MAHARATU RAFIDAH MOHAMAD


Sebuah puisi yang telah menjadi Johan dalam Sayembara Menulis Cerpen dan Puisi 2014 anjuran Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA). Poster Dinding Kota menceritakan tentang nasib kanak-kanak yang hidup di dalam kancah peperangan yang harus menerima perit maung kehidupan dan tidak mampu untuk keluar dari dunia penderitaan yang ditanggung kerana tiada sesiapa yang mahu mendengar dan tidak mungkin dapat membela nasib mereka maka Kau (kanak-kanak) terpaksa merelakannya. Oleh itu, terimalah Puisi POSTER DINDING KOTA.

POSTER DINDING KOTA oleh +Maharatu Rafidah Mohamad


Kau tidak meminta kemuliaan atau air mata
jantung yang bergema ibarat doa untuk mati
sepuluh tahun begitu pantas melepasi sepuluh tahun yang lalu
kautelah menyerahkan senjatamu
kematian yang tidak mengkagumkan mata mereka.

Wajahmu bagaikan poster dinding kota
yang gelap, gelap mengancam
yang berjanggut, berjanggut sebagai malam
dan mereka umpama poster kolam darah
nama-nama yang pekat lidah menyebut
sedangkan temanmu yang lain
menanam rasa takut, lewat yang dalam.

Tiada siapa yang seolah bersedia
melihatmu sebagai perwira hari
orang pergi tanpa melihat walau bayangmu
tapi, bila sahaja perintah berkurung berbunyi
jari kemudian ingkar dan liar
begitu petah menulis di tembok hidup
kau mati untuk mereka
kau mati buat keluarga mereka
kau mati demi sahabat mereka
dan kau mati takkan menghapus dosa mereka.

Dan paginya, tidak kira bila, di mana
suram tetap tidak akan berubah
kau diam dilumur warna merah
kau diam dibasah warna hitam
kau diam kerana suaramu bukan mereka
kejam, diam, kejam, diam, kejam
hanya itu
hanya itu

menghiasi poster dinding kota.

Sunday 8 February 2015

SKRIP DRAMA RADIO : PEMIMPIN KITA ENCIK TUKIMAN oleh MAHARATU RAFIDAH MOHAMAD


Skrip Drama Radio PEMIMPIN KITA ENCIK TUKIMAN telah berjaya mendapat Tempat Ke-2 dalam PERTANDINGAN MENULIS ANTOLOGI PUISI/SAJAK DAN SKRIP DRAMA RADIO anjuran RTM Labuan fm 2014. Di sini Maharatu sertakan skrip drama radio tersebut dan Alhamdulillah, skrip ini berjaya mendapat perhatian.


PEMIMPIN KITA ENCIK TUKIMAN oleh +Maharatu Rafidah Mohamad +Maharatu Rafidah Mohamad


SINOPSIS



Tukiman, seorang pemimpin di tanah kampung yang diterokai oleh bapa dan rakan-rakan bapanya suatu masa dahulu. Tukiman mengalami kemalangan jalan raya dan ketika dia koma, Tukiman bertemu dengan rakan baiknya iaitu Kadir yang telah meninggal dunia enam tahun lalu. Tukiman berasa bangga menjadi seorang pemimpin dan menceritakan kejayaannya itu kepada Kadir tetapi Kadir tidak bersetuju kerana dia bukanlah seorang pemimpin yang benar. Tukiman menyanggah apa yang diperkatakan oleh Kadir itu dan Kadir menerangkan kepadanya, bahawa untuk menjadi seorang pemimpin bukanlah terletak pada kejayaan bangunan tinggi mencakar langit, penduduk yang maju dengan pendidikan, kemudahan dan kewangan tetapi kejayaan seorang pemimpin adalah terletak pada kemajuan sesebuah kaum yang ditegakkan maruahnya di jalan yang benar. Tukiman menyedari kesilapan dan berjanji untuk mengubahnya, kerana selama dia menjadi pemimpin di tanah kampung itu, dia sentiasa sahaja menerima rasuah untuk membantu penduduk yang mahukan pertolongan dan turut memberi rasuah untuk mendapat jawatan sebagai pemimpin tanah kampung tersebut. Akhirnya, Tukiman menyerah diri dan menerima hukuman penjara selama 25 tahun dan denda.



PELAKON



TUKIMAN    Seorang lelaki berusia lingkungan 60-an. Seorang pemimpin di tanah kampung menggantikan bapanya yang telah membuka tanah kampung.

KADIR      Kawan Tukiman. Mereka bersama-sama bekerja menjadi pekerja asing di Arab Saudi. Memiliki suara yang agak parau dan garau.

JOSHUA        Pemaju dan berbangsa Cina.

KAMAL        Pemaju dan berbangsa Melayu. Rakan kepada Joshua.

RAJMI           Pemaju yang baharu bermula. Berbangsa India.

AISAH           Isteri kepada Tukiman. Berbangsa Arab.

ABIDIN         Anak kepada Tukiman dan Aisah.


SKRIP



MUZIK:
(Bunyi angin, hujan, kereta bergerak laju dan bunyi berdentum seperti kereta berlanggar. Kemudian kedengaran siren ambulan.)

TUKIMAN:
Aku datang kepada kamu daripada tahun-tahun yang sangat kering. Di masa lalu.

MUZIK:
(Bunyi angin berdesir kuat dan perlahan.)

TUKIMAN:
Nama aku Tukiman Abu. Ingat akan namaku. Aku tinggal di sebuah kampung di mana terletak warna putih di bawah sinar matahari. Mungkin juga tidak ingat. Tetapi, mungkin kamu ingat tentang isteri saya. Dia seorang gadis yang aku nikahi ketika aku menjadi pekerja asing di Arab Saudi. Namanya Aisah. Dan sebenarnya, aku juga adalah seorang lelaki, lelaki terakhir di dalam keluarga Abu Bin Abi. Orang pertama yang membuka tanah kampung ini.

MUZIK:
(Bunyi angin berdesir kuat dan perlahan.)

TUKIMAN:
Aku dilahirkan semasa Jepun sudah tiba ke tanah ini. Malamnya, orang kampung sibuk bersembunyi, emak sibuk pula nak melahirkan aku. Aku juga tidak tahu, kenapa emak beria benar nak melahirkan aku awal ataupun juga aku memang dah tak sabar nak lahir.

MUZIK:
(Suara anak kecil menangis dan bunyi siren kecemasan perang.)

TUKIMAN:
Bapa waktu itu turut menjaga rumah bersama dengan anak-anak buahnya kerana bapa seorang yang dihormati dan dia juga berasal dari golongan kaya waktu itu. Kerana itulah dia berjaya membuka tanah kampung ini bersama dengan beberapa teman-teman yang lain. Bapa juga seorang yang pemurah dan baik, maka itulah penduduk kampung ketika itu semuanya sayang pada Bapa.
MUZIK:
(Suara menyebut dan menyokong nama Abu Bin Abi.)

TUKIMAN:
Aku punya seorang teman. Namanya Kadir. Dia sebaya dengan aku dan menjadi teman ketika aku menjadi pekerja asing di Arab Saudi beberapa tahun yang lalu. Kadir adalah seorang lelaki kacukan Pakistan. Bapanya penjual kain dari kampung ke kampung dan berkahwin dengan emaknya, si Senah, anak kepada salah seorang teman Bapa.

KADIR:
Tukiman, Bapa aku memang Pakistan, tetapi aku anak jati tanah kampung ini.

TUKIMAN:
Aku tahu kau anak jati tanah kampung ini. Lelaki terakhir sama seperti aku. Lelaki terakhir dari keturunan yang membuka tanah kampung ini.

KADIR:
Maka aku adalah orang seperti kau. Kau jangan salah faham. Pakistan aku punya kad pengenalan. Bapa aku sudah lama menjadi warganegara tanah kampung ini.

TUKIMAN:
Aku berbesar hati mendengar katamu Kadir. India, Cina, apa juga bangsa yang ada di tanah kampung kita ini, adalah warganegara. Mereka bukan warga asing seperti mana kita di Arab Saudi dahulu.

KADIR:
Aku tahu dengan keadaan itu. Kita tidak makan nasi ketika di sana. Mahu jumpa ais batu juga susah. Tetapi apa yang kau jumpa Tukiman? Kau jumpa isteri, Tukiman. Isteri. Kau sebenarnya telah mengkhianati keturunan kita sendiri.

TUKIMAN:
Aku tidak mengkhianati keturunan aku. Jika aku mengkhianati keturunan aku, aku rasa, kau juga sendiri telah lama mengkhianati. Emak kau, Makcik Senah adalah orang pertama yang mengkhianati sumpah sejati tanah kampung ini kerana telah berkahwin dengan seorang lelaki Pakistan, Bapa kau itu.

KADIR:
Jadi kau mahu salahkan jodoh?

TUKIMAN:
Aku tidak mahu menyalah jodoh. Maka isteri aku, Aisah itu adalah jodohku yang salah jika aku tidak menerima qada dan qadar Tuhan. Kerana inilah juga, jangan sama sekali mengatakan kita mengkhianati sumpah sejati tanah kampung ini kerana telah berkahwin tidak sesama bangsa.

KADIR:
Aku berbesar hati mendengar kata kau itu, Tukiman. Tetapi, lihatlah sekarang. Adakah kau masih bersama dengan isteri kau Aisah?

TUKIMAN:
Aku bersama dengan Aisah sudah berpuluh tahun. Hanya hari ini saja aku tidak bersama dengannya. Kau sendiri tahu, kenapa bukan. Aku sudah tua. Tetapi aku mahu kau tahu, bahawa tua-tua aku ini, aku masih hebat menjadi pemimpin.

KADIR:
Pemimpin di usia mudamu? Kau menjadi pemimpin di mana? Bukankah kita berdua menjadi pekerja asing dan terbuang malah tidak memiliki sebarang dokumen ketika bekerja di Arab Saudi? Kita pulang ke tanah kampung ini, genap umur kita 40 tahun.

TUKIMAN:
Ya, memang betul tetapi selepas itu aku menjadi pemimpin menggantikan ketauliahan Bapa.

KADIR:
Jangan bohonglah Tukiman. Aku kenal benar dengan kau. Kita sama-sama membesar. Jika aku ini perempuan, pasti aku ini sudah menjadi isteri kau Tukiman.

TUKIMAN:
Aku kira, engkau tidak mengerti maksud aku apa Kadir. Aku ini seorang pemimpin.

KADIR:
Pemimpin di mana? Di mana?

MUZIK:
(Bunyi angin dan kedengaran suara orang menangis.)

TUKIMAN:
Kadir! Kadir! Kadir!

KADIR:
Aku di sini Tukiman. Aku tidak akan pergi ke mana-mana.

TUKIMAN:
Aku bimbang sebenarnya. Bimbang mengatakan perkara ini.

KADIR:
Tentang apa? Tentang kisah kau menjadi pemimpin yang sebenarnya hanyalah cerita kosong itu.

TUKIMAN:
Itu bukan cerita kosong. Aku adalah seorang pemimpin. Aku adalah lelaki terakhir keturunan tanah kampung, tempat kelahiran kita, Kadir.

KADIR:
Aku mahu bukti Tukiman. Bukti. Apa yang telah kau laksanakan? Mana? Mana buktinya?

TUKIMAN:
Kau ingat dengan berita yang menggemparkan dua tahun lalu. Tentang kebakaran rumah seorang nenek tua. Kau pasti dengan berita ini Kadir.

KADIR:
Aku tahu berita ini. Kasihan pada nenek tua itu. Tetapi apa kaitan cerita itu dengan kau? Kau tiada kaitan dengan nenek tua itu.

TUKIMAN:
Kau mahu bukti Kadir. Aku sudah memberi buktinya kepada kau. Aku yang membantu membina semula rumah nenek tua itu. Aku orangnya. Aku yang memberikan bantuan. Aku bagi wang, aku bagi beras, aku bagi papan, aku bagi zink, aku bagi paku. Malah aku juga mengupah pekerja untuk membina bangun rumah untuknya.

KADIR:
Jadi itu sudah jelas kau menjadi seorang pemimpin? Tidak Tukiman. Tidak.

TUKIMAN:
Apa bukti lagi yang kau mahu Kadir? Kau mesti ingat, kalau dahulu, jalan tanah kampung ini tanah becak. Tempat kita berdua selalu berkubang bila hujan lebat turun. Kau pasti ingat?

KADIR:
Aku ingat Tukiman. Aku ingat.

TUKIMAN:
Dan sekarang, di mana anak-anak kita boleh bermain seperti kita dahulu. Jalan tanah kampung ini sudah aku turap dengan simen. Ia duit aku sendiri. Duit simpanan yang aku simpan ketika kita bersama bekerja di Arab Saudi dahulu.

KADIR:
Belum cukup untuk kau digelar sebagai pemimpin Tukiman. Belum lagi.

TUKIMAN:
Aku fikir, kau tidak faham dengan apa yang cuba aku sampaikan. Aku lelaki terakhir yang akan memimpin tanah kampung tempat kelahiran kita.

KADIR:
Jadi apa yang harus kau lakukan? Cuba terangkan kepada aku. Mungkin aku akan faham.

MUZIK:
(Bunyi angin dan suara hiruk-pikuk seperti di bandar raya.)

TUKIMAN:
Aku telah berusaha membangunkan tanah kampung ini Kadir. Kau sendiri melihat dengan bangunan yang telah pun mencium langit biru itu.

KADIR:
Belum cukup lagi Tukiman. Belum cukup.

MUZIK:
(Bunyi angin dan suara kanak-kanak bermain riang.)

TUKIMAN:
Aku telah berusaha memberikan pendidikan kepada seluruh anak-anak tanah kampung ini. Mereka juga bebas dan riang bersama. Mereka semuanya pintar dan bakal menerajui tanah kampung ini seperti apa yang bapa-bapa kita impikan.

KADIR:
Belum cukup lagi Tukiman. Belum cukup.

MUZIK:
(Bunyi angin dan suara anak-anak muda berbincang tentang kejayaan.)

TUKIMAN:
Cuba tengok, anak-anak muda kita. Mereka semua berjaya dengan kehidupan mereka. Aku telah membantu mereka untuk memulakan perniagaan, memberi mereka rumah yang baharu sahaja berkahwin, aku juga telah memberikan mereka peluang pekerjaan.

KADIR:
Belum cukup lagi Tukiman. Belum cukup.

TUKIMAN:
Belum cukup apa lagi, Kadir. Aku telah memimpin penduduk tanah kampung ini menjadi penduduk yang mempunyai visi, misi dan wawasan. Apa lagi yang belum cukup?

KADIR:
Engkau lupa sesuatu.

TUKIMAN:
Sesuatu?

MUZIK:
(Bunyi angin yang cukup kuat berdesing.)

KADIR:
Tukiman, kau lupa sesuatu yang sangat penting. Kau melupakannya. Ia sangat penting.

TUKIMAN:
Aku tahu akan maksudmu. Aku tahu. Aku juga telah mendirikan sebuah di tanah kampung ini dan beratus lagi di luar sana.

MUZIK:
(Bunyi angin dan kedengaran laungan azan.)

TUKIMAN:
Kau dengar itu? Kau dengar laungan azan itu? Kau dengar Kadir? Dengar?

KADIR:
Aku dengar tetapi adakah kau kira berapa manusia yang menyahut laungan itu? Ada kau kira?

TUKIMAN:
Kadir, aku tidak perlu mengira berapa manusia untuk masuk ke dalamnya? Aku tidak punya hak untuk memaksa mereka.

KADIR:
Itu bererti kau bukan seorang pemimpin. Kau bukan pemimpin Kadir. Bukan.

TUKIMAN:
Aku seorang pemimpin. Aku telah memimpin mereka untuk menjadi penduduk yang berjaya di tanah kampung ini. Aku telah meletakkan mereka di satu aras yang tinggi.

KADIR:
Tetapi tidak di sisiNya. Tidak di sisi Allah swt.

TUKIMAN:
Kadir. Kau jangan cuba untuk memprovokasi aku. Aku seorang manusia dan aku tidak layak untuk memaksa manusia lain untuk menuruti segala arahanku.

KADIR:
Bukankah kau seorang pemimpin?

TUKIMAN:
Ya, aku seorang pemimpin.

KADIR:
Apakah peranan seorang pemimpin?

TUKIMAN:
Peranan? Aku tidak perlu menjelaskan apa peranan seorang pemimpin. Aku telah melihatkan semua buktinya kepada kau. Lihat. Lihat Kadir.

KADIR:
Kau lupa Tukiman. Seorang pemimpin yang sejati adalah pemimpin yang membawa seluruh manusia yang dipimpinnya ke jalan yang benar. Ke jalan yang satu. Jalan Allah.

TUKIMAN:
Aku memberikan kebebasan kepada semua untuk beragama. Aku tidak layak untuk memaksa mereka untuk turut serta ke jalan itu. Aku tidak berhak.
KADIR:
Tetapi kau seorang pemimpin. Kau seorang pemimpin Tukiman.

TUKIMAN:
Ya, aku memang seorang pemimpin.

KADIR:
Apa usahamu untuk membawa mereka yang kau pimpin kembali ke jalan yang satu?

TUKIMAN:
Kadir, aku sudah katakan, aku tidak berhak untuk memaksa mereka.

KADIR:
Maka, kau bukan seorang pemimpin, Tukiman.

TUKIMAN:
Aku seorang pemimpin. Aku seorang pemimpin.

MUZIK:
(Bunyi angin dan suara menyebut Aku Seorang Pemimpin berulangkali kedengaran.)

KADIR:
Kau bukan seorang pemimpin. Kau bukan seorang pemimpin.

MUZIK:
(Bunyi angin dan suara menyebut Kau Bukan Seorang Pemimpin berulangkali kedengaran.)

TUKIMAN:
Aku mengaku kalah. Katakan kepada aku, apakah caranya untuk aku mengubah diri dari seorang bukan pemimpin menjadi seorang pemimpin.

MUZIK:
(Bunyi angin dan suara seruling sayup-sayup kedengaran.)

KADIR:
Kebebasan kaum diperdagangkan untuk selendang kesenangan. Kita semua buta. Dan aku juga sama.

TUKIMAN:
Aku mengerti maksudmu, Kadir. Aku meletakkan maruah kaum kita untuk kesenangan. Aku lupa asal usul.

KADIR:
Aku lupa siapa kaumku. Aku mengambil maruah mereka untuk kesenangan aku di dunia. Aku meletakkan mereka di satu tempat yang agak biadap dan aku kini turut sama merasai sengsara mereka, Tukiman.

TUKIMAN:
Ya, aku mengerti maksudmu. Kaum tanah kampung ini sudah tidak sehaluan.

KADIR:
Ada yang bermuka-muka, ada yang acuh tak acuh dan ada juga menjadi kaki fitnah. Dilakukan untuk kesenangan diri sendiri.

TUKIMAN:
Aku telah memaksa kaum tanah kampung ini melakukan sesuatu yang bukan mereka mahukan. Tetapi apabila aku menaburkan mereka dengan wang, mereka pasti akan menurut. Wang...

KADIR:
Ya, wang adalah tuhan di tanah kampung ini. Wang telah memusnahkan kau sendiri, Tukiman.

TUKIMAN:
Ya, wang. Aku telah menaburkan wang kepada kaum tanah tampung ini. Aku kaburkan mata mereka dengan wang yang aku beri. Aku bukan seorang pemimpin yang sejati.

MUZIK:
(Bunyi angin dan bunyi seperti sedang berperang.)

JOSHUA:
Aku tak perlu isi borang tender, pemimpin kita Encik Tukiman dengan senang hati akan beri projek itu dengan aku.

KAMAL:
Projek menurap tanah menjadi jalan telah ada dalam genggaman tangan aku, Joshua.

JOSHUA:
Aku tahulah. Kau juga rakan rapat dengan pemimpin kita Encik Tukiman itu.

KAMAL:
Sesiapa yang sudi menurut kehendak dan syarat-syarat pemimpin kita Encik Tukiman itu, pasti boleh dapat projek. Mudah. Sekelip mata kita semua senang.

RAJMI:
Kamal, Joshua, aku dengar kamu berdua sudah dapat projek ribu-ribu. Wah, hebatlah kamu. Macam mana boleh dapat?

JOSHUA:
Kau usahawan baharu Rajmi. Kalau mahu dapat projek ribu-ribu, kau mesti kenal siapa pemimpin kita Encik Tukiman.

RAJMI:
Pemimpin kita Encik Tukiman?

KAMAL:
Ya, pemimpin kita Encik Tukiman. Dia adalah salah seorang anak peneroka tanah kampung ini. Tukiman Bin Abu.

RAJMI:
Apa hebatnya pemimpin kita Encik Tukiman itu?
JOSHUA:
Lihat sahaja dengan kami berdua. Mana-mana projek, kami dapat. Asal ada fulus... Fulus...

RAJMI:
Fulus? Maksud kamu wang?

KAMAL:
Ya, Rajmi. Wang. Wang adalah Tuhan di tanah kampung ini. Kalau kamu mahu berjaya seperti kami berdua, kamu kena berkorban. Benda ini mudah sahaja. Senang macam kacang.

RAJMI:
Kalau aku boleh kaya dan dapat projek sana-sini, aku juga mahu.

JOSHUA:
Begitulah kawan.

MUZIK:
(Bunyi angin dan kedengaran suara menangis.)

TUKIMAN:
Aku bukan pemimpin. Aku memang majukan kaum tanah kampung ini tetapi aku telah musnahkan maruah mereka.

KADIR:
Jika benar kau tiada hak ke atas jalan hidup mereka, tetapi kau punya hak untuk membetulkan jalan hidup keluargamu.

TUKIMAN:
Jalan hidup keluargaku? Kadir, apa maksudmu?

MUZIK:
(Bunyi angin dan suara bingit lagu seperti di kelab malam.)

KADIR:
Inilah yang telah kau letakkan kepada seluruh ahli keluargamu, Tukiman. Kau terlalu mengejar dunia ini sehingga kau lalai untuk menjadi pemimpin mereka di akhirat nanti. Lihat anak lelakimu yang akan menjadi pemberi doa di saat kematianmu nanti.

TUKIMAN:
Abidin... Abidin... Abidin...

ABIDIN:
Oh, Bapa. Mari, sama-sama dengan saya. Bukankah ini yang Bapa suka. Dunia ini memang seronok. Seronok.

TUKIMAN:
Abidin, pergi dari sini. Pulang! Pulang!

ABIDIN:
Saya tidak mahu pulang, Bapa. Majlis ini baharu sahaja bermula.

TUKIMAN:
Abidin, pulang!

ABIDIN:
Saya tidak mahu pulang, Bapa. Ini dunia yang Bapa ajar kepada kami selama 20 tahun ini. Inilah keseronokkan kami, anak-anak Bapa.

TUKIMAN:
Bapa tidak pernah mengajar kamu semua jadi begini.

ABIDIN:
Bapa jangan berbohong. Ini kenyataan. Siapa orang pertama yang membawa saya ke kelab malam ini kalau bukan Bapa? Bapa kata, untuk merai kejayaan saya. Ah, masa itu umur saya baharu sahaja 13 tahun. Lulus UPSR, Bapa.

TUKIMAN:
Bapa kata pulang!

ABIDIN:
Tidak! Saya tidak mahu pulang. Ini dunia saya. Saya akan pulang sekiranya Bapa mampu mencari jalan pulang itu nanti.

MUZIK:
(Bunyi angin, suara ketawa Abidin dan suara menangis kedengaran lagi.)

KADIR:
Adakah kau masih menggelar dirimu sebagai pemimpin?

TUKIMAN:
Aku masih seorang pemimpin Kadir. Pemimpin yang teruk. Engkau mahu tahu sesuatu...

KADIR:
Sesuatu?

TUKIMAN:
Ketika aku mencalonkan diri menjadi seorang pemimpin, aku telah menipu dengan menaburkan wang ringgit kepada mereka semua.

KADIR:
Aku tahu Tukiman. Aku tahu. Aku adalah rakanmu.

TUKIMAN:
Jika kau adalah rakanku, apa yang perlu aku lakukan?

KADIR:
Bagaimana kalau aku katakan, kau sudah terlambat untuk mengubahnya?

TUKIMAN:
Tidak. Aku tidak terlambat. Aku masih ada waktu. Tolong aku untuk mengubahnya.
KADIR:
Kau kenal aku. Aku adalah rakanmu. Susah senang kita bersama. Adakah kau tidak ingat, di mana aku sekarang berada?

TUKIMAN:
Kadir... Kadir... Jangan kau kata, bahawa aku...

KADIR:
Ya, kau bersama dengan aku.

TUKIMAN:
Aku sudah mati?

KADIR:
Ya.

TUKIMAN:
Tidak... Aku belum mati lagi. Dan aku tak boleh mati. Aku perlu mengubah apa yang telah berlaku. Aku harus hidup! Aku mesti hidup, Kadir!

KADIR:
Kau boleh hidup jika kau berjanji.

TUKIMAN:
Aku berjanji. Aku bersumpah akan kembalikan maruah kaum tanah kampung ini kembali kepada jalan yang benar. Aku akan menjadi seorang pemimpin yang benar.

KADIR:
Jika kau ingin menjadi seorang pemimpin yang benar, kau harus kembali ke jalan yang benar itu semula.

TUKIMAN:
Ya, aku akan kembali ke jalan yang benar. Tuhan tidak akan membiarkan manusia seperti aku untuk tidak bertaubat. Aku berjanji. Berjanji.
KADIR:
Kau akan kembali setelah mendengar laungan azan itu.

MUZIK:
(Bunyi angin, laungan azan dan suara Tukiman menjerit memanggil nama Kadir.)

AISAH:
Bang... Bang...

TUKIMAN:
Aisah... Mana Kadir? Abang di mana?

AISAH:
Abang di hospital kerana kemalangan. Syukur Abang selamat.

TUKIMAN:
Mana Kadir?

AISAH:
Abang... Abang Kadir dah enam tahun meninggal dunia. Kenapa?

TUKIMAN:
Mana anak-anak kita? Abidin?

AISAH:
Mereka semua baharu sahaja balik. Kenapa?

TUKIMAN:
Aisah, Abang bersalah. Selama ini Abang banyak berbuat dosa. Abang telah musnahkan maruah kaum tanah kampung ini. Abang berdosa.

JOSHUA:
Wah, nasib baik pemimpin kita Encik Tukiman selamat.

KAMAL:
Ya, dia selamat. Alhamdulillah.

RAJMI:
Ya, satu keajaiban. Ini bererti Tuhan masih mahu pemimpin kita Encik Tukiman berbakti kepada kita semua.

TUKIMAN:
Ya, Tuhan masih mahu aku hidup. Hidup untuk kembali ke jalan yang benar.

JOSHUA:
Jalan yang benar? Kenapa selama ini pemimpin kita Encik Tukiman berada di jalan salah? Oh, mungkin kerana kemalangan sebentar tadi agaknya.

KAMAL:
Pemimpin kita Encik Tukiman harus berehat.

TUKIMAN:
Tidak. Aku tidak akan melakukannya lagi. Aku harus berhenti.

MUZIK:
(Bunyi angin dan kedengaran suara riuh-rendah.)

HAKIM MAHKAMAH:
Dengan ini, mahkamah memutuskan Tukiman bin Abu bersalah atas tuduhan menerima dan memberi rasuah sejak tertuduh bergelar pemimpin untuk tanah kampung ini dan akan menjalani hukuman penjara selama 25 tahun dan denda lima kali ganda suapan yang diterima menurut Seksyen 16 & 17 (a) dan (b), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

MUZIK:

(Kedengaran bunyi ketuk dan bunyi angin berdesir semakin perlahan.)