SEMUANYA UNTUKMU

SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI MAHARATU RAFIDAH MOHAMAD. SEMOGA GEMBIRA HENDAKNYA DAN SEMUANYA UNTUKMU.

Sunday 4 May 2014

JURNAL BLOG : IMPIAN PERWILA - KISAH PAYUNG MAHARATU

PERSATUAN PENULIS WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN (PERWILA)
PERWILA ataupun nama penuhnya Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan yang mengangkat Seni Untuk Masyarakat dilahirkan pada 18 April 1985. Sejarah ringkas ini sebenarnya telah memenuhi segala suka-duka perjalanan kehidupan anak-anak sastera di Pulau Labuan sejak 1985 lagi. Dan tujuan ia ditubuhkan juga adalah untuk menjaga kebajikan para penulis di pulau itu sendiri.
Di sini, sebuah kisah tentang salah satu payung yang memayungi PERWILA sejak beberapa tahun yang lalu. Kisah Payung Maharatu. Maharatu menyertai PERWILA pada April 2006 dengan hanya membayar yuran sebanyak RM10. Mengenali PERWILA dalam sebuah pertandingan menulis cerpen yang dianjurkan pada tahun 2006. Maharatu mengakui, tidak mengenali apa itu PERWILA? Malah nama penuhnya juga tidak diketahui sama sekali. Maharatu mencuba nasib bersama PERWILA dengan menghantar dua buah cerpen yang bertajuk Rahsia Cinta dan Pokok Belunu. Syukur Alhamdulillah, langkah pertama membuahkan hasil apabila Rahsia Cinta menjadi johan di dalam pertandingan tersebut dan menerima hadiah pertama berjumlah RM500. Ketika itu, hadiah yang diterima cukup bermakna sekali. Tiada perasaan yang dapat digambarkan ketika itu sebenarnya. Bangga kerana akhirnya, Maharatu jatuh cinta dengan PERWILA dan mula mengenali nama penuh PERWILA.
Setelah menjadi johan dalam pertandingan itu, ketika mesyuarat agung dwi-tahunan pada 2006, dengan tiada bekalan walau satu mangkuk makanan ilmu persatuan, Maharatu dicanang menjadi Penolong Setiausaha. Maharatu mengakui, ketika itu, tiada ilmu yang dapat diberikan untuk membantu PERWILA dalam menjaga kebajikan para penulis di pulau ini. Ketika pemilihan 2008, Maharatu masih memegang Penolong Setiausaha. Selama dua tahun duduk di kerusi dan duduk sekali lagi di kerusi itu, Maharatu perlu mengorak langkah demi menjayakan misi PERWILA ini bersama dengan rakan-rakan yang lain.
Kejayaan pertama PERWILA adalah terhasilnya penerbitan sebuah antologi puisi PERWILA pada tahun 2009 setelah mengikuti sebuah bengkel penerbitan buku yang dianjurkan pada tahun 2008. Apabila terhasilnya buku antologi ini, perasaan yang dapat digambarkan, adalah bangga seperti mana perasaan bangga pertama kali jatuh cinta dengan PERWILA. Tiada siapa pernah terfikir, PERWILA mampu melahirkan anak pertamanya. SEPULAU SEKASIH KITA.
SEPULAU SEKASIH KITA (Edisi ke-2/Ulang cetak kali ke-2 selepas penerbitannya pada tahun 2009)

Setelah itu, Maharatu menjadi pemangku Setiausaha PERWILA selama setahun. Dan di situlah juga bermula detik sebuah perasaan bangga menjadi sebuah perasaan bersemangat. Bersemangat untuk terus membangunkan PERWILA. Banyak getir yang dilakukan apabila menjadi pemangku Setiausaha PERWILA ini. Dengan bebanan kerja, menyambung pelajaran kadangkala PERWILA ini semacam ditinggalkan dengan perasaan bersemangat yang masih melekat di dalam hati. Entah mengapa, Maharatu semacam meninggalkan PERWILA setelah menjadi ahli seumur hidup selepas menghasilkan Sepulau Sekasih Kita ini bersama bantuan rakan-rakan yang lain. Namun masih juga membantu di balik tabir dengan segala aktiviti yang PERWILA lakukan.

Pada tahun 2010, segala hasil usaha dan kerja penat lelah PERWILA itu sendiri, berjaya menghasilkan sebuah antologi Cerpen yang diambil daripada hasil pertandingan menulis cerpen 2009. Dan kali ini, Maharatu mendapat tempat kedua dengan cerpen, Cinta Pulau Victoria. Maharatu turut membantu dalam menjayakan misi kali kedua ini bersama dengan rakan-rakan yang lain iaitu Tuan Haji Othman Mahali dan Norgadis Labuan (Puan Masmah Mohd Ali). Syukur Alhamdulillah dengan kejayaan antologi cerpen ini yang dirasmikan oleh YB Parlimen Datuk Haji Yussof, ketika itu. Sebuah langkah meneruskan misi PERWILA sendiri, maka lahirnya anak kedua PERWILA, PELURU CINTA VICTORIA.

PELURU CINTA VICTORIA (Antologi CERPEN PENULIS LABUAN 2010)


Tiada siapa pernah tahu, perasaan yang dialami selepas kelahiran antologi ini yang terjadi kepada Maharatu. Pada mesyuarat agung dwi-tahunan pada tahun 2010, Maharatu tidak menghadirkan diri di dalam mesyuarat itu. Malah, kisah-kisah di dalam PERWILA juga semacam dijauhkan dari perkhabaran telinga sendiri. Entah mengapa? Mungkin berkecil hati ataupun juga mungkin faktor masa untuk membina kerjaya sendiri. Malah, kadangkala, PERWILA itu seperti asing di dalam diri sendiri. Mungkin kejam apabila Maharatu nyatakan di sini, Maharatu mungkin  kecewa kerana isi dalaman yang melanda. Mungkin juga kerana isu sambil lewa terhadap keinginan dan impian persatuan ini yang seperti tidak diendahkan. Maaf, tetapi perasaan ketika itu, seperti tidak mampu dinyatakan dengan kata-kata. Ia kabur dan seperti terabai sahaja impian PERWILA itu. Pendek kata, hakikat sebenarnya, Maharatu sedih kerana hanya sesetengah pihak sahaja yang mahu melaksanakan impian PERWILA ini.
Walaupun tidak memegang jawatan di dalam PERWILA dan menghilang hampir setahun, PERWILA tetap di hati. Dan misi Maharatu sebelum ini bersama PERWILA, masih juga mahu dilunaskan. Dengan keikhlasan hati dan keinginan PERWILA berdiri dengan kaki sendiri, Maharatu menyerahkan sebuah manuskrip tanpa sebarang royalti untuk diri kepada PERWILA bagi menerbitkannya. Syukur Alhamdulillah, PERWILA mahu menerima keikhlasan hati Maharatu itu dengan melahirkan anak ketiga mereka iaitu, antologi cerpen komedi, ....Aarrgghh, Kantoinya Aku!.
....AARRGGHH KANTOINYA AKU !! (Kumpulan Cerpen Komedi)
Maharatu masih juga menyepi selepas kelahiran anak ketiga PERWILA ini. Entah mengapa sekali lagi. Tiada perasaan yang boleh digambarkan tentang menyepi ini. Mungkin, Maharatu boleh menyatakan, bahawa semua ini kerana bebanan kerja dan pelajaran, maka tidak mampu untuk meneruskan bersama PERWILA. Tetapi pada tahun 2013, apabila PERWILA menganjurkan sebuah program antarabangsa iaitu DIALOG BORNEO KALIMANTAN (DBK), Maharatu menghadirkan diri di dalam program tersebut dan membantu mana-mana yang perlu dibantu. Dan di sini, timbullah sebuah perasaan. Perasaan bangga, bersemangat akhirnya menjadi sebuah perasaan sedih. Perasaan sedih yang sebenarnya tidak tahu dari mana ia bermula. Melihat kepayahan para ahli yang benar-benar mahu impian PERWILA tercapai yang begitu tawakal berusaha, mahu sahaja diluahkan dengan air mata tetapi semua itu tidak akan dapat membantu menjernihkan kekusutan yang ada. Maharatu cuba membantu seperti mana sebelum ini. Cuba untuk membantu ahli-ahli rakan PERWILA yang lain yang masih setia bersama, yang masih setia untuk tidak menghindar, yang masih setia tidak mahu untuk menghilang dari PERWILA. Maharatu harus bersyukur kerana dalam perit getir kehidupan PERWILA itu, payung-payung yang dihasilkan olehnya masih berdiri tegak memayunginya.
Perasaan sedih yang ada ketika ini sebenarnya ingin dikembalikan semula kepada perasaan saat pertama jatuh cinta dengan PERWILA. Maharatu cuba munculkan semula ke dunia PERWILA, menjelma ke dalam hati PERWILA dan menghadirkan diri ke dalam cinta PERWILA. Kadangkala, apa yang dilakukan juga seperti ada kata-kata 'mengada-ngada' melekat di dalam minda sendiri apabila mahu mengadakan sesuatu program di dadanya. Sukar untuk dinyatakan. Payah untuk dilafazkan. Tetapi untuk terakhir kali, perasaan bangga itu harus diwujudkan semula. Dan setelah berakhirnya program DBK, ada lampu kalimantang baharu yang masih diusahakan dipasang untuk menerangi jalan.
Tahun 2013, Program SANTAI PUISI PERWILA cuba diorak langkahnya. Sedikit demi sedikit sehingga ke hari ini. Biarpun, sedikit jiwa yang melekat, namun ia tetap diteruskan. Malah, idea PERWILA ini juga telah banyak membuka mata yang lain untuk merealisasikan impian masing-masing. Seolah SANTAI PUISI PERWILA ini membuka mata yang pernah tercelik suatu masa dahulu. Semoga, idea ikhlas PERWILA ini akan menjadi tatapan dan ikutan positif di masa akan datang.

PROGRAM SANTAI PUISI PERWILA di LABUAN WALK


Mungkin ada juga kata-kata seolah tiada pendekatan yang dilakukan. Program yang dilaksanakan juga tiada penghebahan. Entah bagaimana lagikah, yang membolehkan telinga tidak pekak, mata tidak buta dan mulut tidak bisu untuk menyuarakan rasa hati ini? Mungkinkah simpati, rayu, peluk cium ditaburkan untuk menyatakan rasa hati ini? Bilakah perasaan bangga saat jatuh cinta itu kembali berputik? Dan bilakah perasaan sedih ini akan berakhir? Persoalan demi persoalan yang timbul. Tetapi ada sebuah kata-kata yang telah menyerap masuk ke dalam jiwa ini yang mematikan segala perasaan, menguburkan segala gundah dan menanam jauh segala resah. Impian PERWILA. Itulah yang bermain di minda ketika ini yang telah membuang segala emosi negatif. Apakah impian PERWILA? Impiannya hanya satu, MENYATUKAN RASA CINTA di bawah payung SASTERA anak-anaknya.
Impian PERWILA itu akan cuba untuk diterangi. Jangan gentar dengan apa juga halangan, kita mesti berusaha, kita harus bersama biarpun sekerat cuma, demi PERWILA harus disatukan. Sejarah PERWILA memang kecil, tapi yang membesarkan adalah payung-payung yang sentiasa memayunginya. Jika ini kisah payung Maharatu yang masih memayunginya, bagaimana pula dengan payung-payung yang lain yang dari dahulu memayunginya? Bukan sahaja perasaan bangga, bersemangat mahupun sedih, mungkin sahaja ada pelbagai perasaan lain lagi yang tidak mungkin dapat digambarkan dengan kata-kata.
Dan untuk mengakhiri kisah suka cita ini, Maharatu menyatakan dengan setulus hati yang ikhlas, Maharatu akan cuba untuk mengembalikan sesuatu yang pernah ada di dalam hati ini untuk PERWILA semula. InsyaAllah, lampu kalimantang itu akan berjaya menyala nanti. Selamat ulangtahun PERWILA yang ke-29 tahun. Suka dukamu sepanjang 29 tahun, Maharatu yakin Allah swt akan selalu memberkatimu selama-lamanya.
Selamat Ulangtahun PERWILA ke-29 Tahun



No comments:

Post a Comment