SEMUANYA UNTUKMU

SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI MAHARATU RAFIDAH MOHAMAD. SEMOGA GEMBIRA HENDAKNYA DAN SEMUANYA UNTUKMU.

Monday 16 February 2015

PUISI BLOG : POSTER DINDING KOTA oleh MAHARATU RAFIDAH MOHAMAD


Sebuah puisi yang telah menjadi Johan dalam Sayembara Menulis Cerpen dan Puisi 2014 anjuran Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA). Poster Dinding Kota menceritakan tentang nasib kanak-kanak yang hidup di dalam kancah peperangan yang harus menerima perit maung kehidupan dan tidak mampu untuk keluar dari dunia penderitaan yang ditanggung kerana tiada sesiapa yang mahu mendengar dan tidak mungkin dapat membela nasib mereka maka Kau (kanak-kanak) terpaksa merelakannya. Oleh itu, terimalah Puisi POSTER DINDING KOTA.

POSTER DINDING KOTA oleh +Maharatu Rafidah Mohamad


Kau tidak meminta kemuliaan atau air mata
jantung yang bergema ibarat doa untuk mati
sepuluh tahun begitu pantas melepasi sepuluh tahun yang lalu
kautelah menyerahkan senjatamu
kematian yang tidak mengkagumkan mata mereka.

Wajahmu bagaikan poster dinding kota
yang gelap, gelap mengancam
yang berjanggut, berjanggut sebagai malam
dan mereka umpama poster kolam darah
nama-nama yang pekat lidah menyebut
sedangkan temanmu yang lain
menanam rasa takut, lewat yang dalam.

Tiada siapa yang seolah bersedia
melihatmu sebagai perwira hari
orang pergi tanpa melihat walau bayangmu
tapi, bila sahaja perintah berkurung berbunyi
jari kemudian ingkar dan liar
begitu petah menulis di tembok hidup
kau mati untuk mereka
kau mati buat keluarga mereka
kau mati demi sahabat mereka
dan kau mati takkan menghapus dosa mereka.

Dan paginya, tidak kira bila, di mana
suram tetap tidak akan berubah
kau diam dilumur warna merah
kau diam dibasah warna hitam
kau diam kerana suaramu bukan mereka
kejam, diam, kejam, diam, kejam
hanya itu
hanya itu

menghiasi poster dinding kota.

No comments:

Post a Comment