SEMUANYA UNTUKMU

SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI MAHARATU RAFIDAH MOHAMAD. SEMOGA GEMBIRA HENDAKNYA DAN SEMUANYA UNTUKMU.

Thursday 20 June 2013

PREVIEW i-NOVEL MALAIKAT DUNIA oleh MAHARATU RAFIDAH MOHAMAD


Preview i-Novel MALAIKAT DUNIA oleh +Maharatu Rafidah Mohamad terbitan +Eyeroom Editor & Publisher 2013



PROLOG



“Ceraikan Alijah…” Sophian tergamam mendengar kata isterinya, Alijah itu. Alijah memangku anak sulung mereka, Haaris yang baharu sahaja berumur setahun lebih itu.

            “Kenapa?” Begitu serak sekali suara Sophian menuturkan pertanyaannya itu. “Alijah dah tak sanggup hidup bersama dengan Abang lagi?” Alijah menarik nafas dalam.

            “Ya, memang saya dah tak sanggup lagi. Saya penat hidup begini. Kais pagi, makan pagi. Kais petang, belum tentu kenyang. Saya nak hidup bebas.” Alijah masam mencuka. Sophian tunduk lagi.

            “Alijah tak sayangkan Haaris?” Alijah merenung wajah anak mereka itu. Alijah bingkas berdiri. Sophian tidak mampu menghalang kehendak isterinya itu. Sophian merenung pula wajah anaknya itu.


¤¤¤¤¤¤¤¤¤


            “Inilah rumah kita…” Alijah tersenyum gembira melihat isi rumah yang cukup berbeza dari sebelum ini.

            “Terima kasih Abang.” Alijah memegang tangan suaminya itu. “Ijah cukup gembira sekali.” Mereka berbalas senyum.

            “Demi anak kita.” Mereka tertawa mesra.


¤¤¤¤¤¤¤¤¤


            “Bagaimana dengan anak kami, Doktor Yakob?” Doktor Yakob menghembus nafas perlahan.

            “Beginilah Encik Akbar dan Puan Masriati…” Mereka serentak berpandangan sesama sendiri. “Biar saya berterus-terang, anak Encik dan Puan sebenarnya tak ada apa-apa sebarang penyakit. Mindanya juga cukup sihat cuma apa yang diperlukan di sini adalah perhatian. Mungkin, dia lambat untuk bercakap tetapi sekiranya kita sentiasa membawa dia berbual, bercerita, insyaAllah, dia akan berubah. Dia cukup sihat sekali. Tak perlu bimbang.” Jelas Doktor Yakob membuatkan Akbar berkerut dahi.

            “Tetapi, dia sudah berumur lima tahun. Takkan masih tak boleh nak bercakap. Takkan dia bisu…” Begitu sukar Akbar menuturkan kata itu dan Masriati sempat memegang tangan suaminya itu.

            “Tidak. Dia tidak bisu. Sebenarnya, dia sihat. Seperti yang saya katakan tadi. Tumpukan perhatian kepadanya, ajak dia berbual, bercerita, memberikan interaksi kepadanya, saya yakin dia akan mula bersuara. Saya akan tempatkan dia di kelas terapi dan Encik Akbar serta Puan Masriati juga boleh menyertainya.” Mereka berdua berpandangan sesama sendiri dan terpaksa mengangguk untuk mengerti walaupun mereka masih belum mampu memahami ke semuanya.


¤¤¤¤¤¤¤¤¤


            “Encik Nazhif Ammar Bin Akbar Ammar.” Nazhif memandang isterinya setelah namanya dipanggil oleh jururawat hospital itu. Isterinya memberikan keyakinan kepadanya. Nazhif berdiri dan dia tidak sengaja melanggar seorang wanita. Isterinya bingkas berdiri membantu suaminya.

            “Maafkan saya.” Nazhif cepat membantu. Wanita itu menggelengkan kepalanya dan melangkah semula. Nazhif berdehem lemah dan memerhatikan sahaja langkah wanita itu yang agak tidak stabil. Mata Nazhif berbekas bayang di lantai. Sehelai sapu tangan terampai dan cepat Nazhif mengambilnya. Dia mencari susuk tubuh wanita yang mungkin baharu sahaja melepasi usia 20-an tetapi tidak kelihatan. Sapu tangan itu digenggam di dalam tangan.

            “Awak tak apa-apa ke? Nak saya tolong?” Nazhif mencuka mendengar pertanyaan isterinya itu.

            “Ni bukan benda main-main.” Nazhif tidak mengendahkan dengan tawa isterinya itu. Jururawat itu masih menunggunya.

            “Saya isteri awak. Salah ke?” Nazhif menggelengkan kepalanya dan menghampiri jururawat tersebut. “Jangan kacau suami saya ya…” Jururawat itu hanya tersenyum malas. Nazhif pula mendengus kasar.


BAB 1



Sebuah kereta Porcshe diparkir kemas di tempat yang sentiasa dikhaskan untuknya. Daun pintu terkuak kemas dan sepasang kaki melangkah keluar. Kasut Bonia itu berkilat. “Selamat pagi Tuan.” Seorang lelaki melangkah keluar dari kereta dan cepat tersenyum. Bingkai cermin mata sempat dinaikkan. “Boleh saya tolong Tuan?”

            “Tak perlu Johan. Terima kasih.” Daun pintu kereta ditutup perlahan. Baju kot dikemaskan. Bunyi kereta berkunci kedengaran. Johan mengangguk hormat. Kaki kemas melangkah masuk ke dalam sebuah bangunan yang juga sebenarnya adalah miliknya. Para pekerjanya semua tunduk hormat kepadanya dan dia sentiasa mengukirkan senyuman.

            “Selamat pagi Tuan.”

            “Selamat Pagi Mak Ju.” Mak Ju tersenyum sambil menyorong troli berisi mop dan baldi. Daun pintu lif terkuak. “Saya pergi dahulu.” Mak Ju mengangguk gembira dan meneruskan tugasnya membersihkan bangunan itu.

            Daun pintu lif terbuka semula. Dia melangkah keluar dan bingkai cermin mata sempat dinaikkan untuk kali kedua. Para pekerja di tingkat utama itu cepat berdiri memberikan hormat kepadanya. “Selamat pagi Tuan.” Setiausahanya bergegas mengejarnya sehingga ke dalam bilik pejabat.

            Dia cepat duduk dan menarik kerusi menghampiri meja. Dia membelek fail yang sudah terampai di atas meja. “Ada apa-apa hal hari ni, Maria?” Maria berdehem perlahan dan menekan di kaca Ipad.

            “Hari ini Tuan Nazhif ada mesyuarat dengan pihak Kementerian Pelajaran untuk iklan pendidikan yang telah diberikan kuasa kepada kita untuk menjalankannya.” Nazhif memandang Maria. “Selain itu, tiada lagi.” Dia mengangguk.

            “Baiklah, awak ingatkan saya mengenainya. Terima kasih Maria dan tolong panggilkan Ismet.” Maria mengangguk dan melangkah keluar. Nazhif tersenyum dan menarik sebatang pen. Dia mula merenung isi fail yang berisi segala maklumat bagi promosi pengiklanan yang akan ditandatangi bulan hadapan. Daun pintu diketuk perlahan. “Masuk.”

            Ismet bergerak masuk dan tersenyum. “Ada apa Tuan Nazhif panggil saya?” Nazhif memandang Ismet yang sedang tersenyum kepadanya. Dia membalas senyuman tersenyum.

            “Awak dah dapatkan kura-kura yang saya mahukan?” Ismet berdehem perlahan.

            “Saya tengah tunggu kura-kura tu sampai.” Nazhif membetulkan lagi bingkai cermin matanya.

            “Sampai bila?”

            “InsyaAllah, minggu depan. Maklumlah kan kura-kura lambat jalan.” Ismet tersengih sumbing apabila Nazhif memandangnya agak sinis. Ismet cepat menelan senyumannya dan menganggukkan kepalanya sekali mematikan pandangan sinis Nazhif itu.

            “Dan awak dah dapat cari penulis tu?” Ismet menarik nafas dalam.

            “Maksud Tuan Nazhif, Maharatu?” Ismet bertanya agak janggal bunyinya.

            “Yalah, habis tu siapa lagi?” Ismet tertawa kecil.

            “Saya tak berjaya menjejakinya Tuan Nazhif. Susah nak mengesan pergerakan beliau.” Nazhif mengeluh lemah. “Kenapa Tuan Nazhif masih nak mencari dia? Sedangkan dia dah menghilang. Lagipun, dia tak suka dengan Tuan Nazhif kan…” Nazhif memandang Ismet tajam dan Ismet cepat mengalihkan pandangannya kepada pen yang dipegang oleh Nazhif.

            “Bukan itu masalahnya Ismet. Ah, biarkanlah. Lupakan. Saya nak awak mesti pastikan, kura-kura itu akan ada minggu depan. Kalau tak ada, awak akan jadi kura-kuranya.” Ismet mengangguk malas. Nazhif menghembus nafas perlahan.


¤¤¤¤¤¤¤¤¤


            Bekas makanan berisi kuih karipap disusun kemas di sisi bekas makanan berisi kuih kukus kelapa. “Rielda…”

            “Ya, Mak Tuah.” Mak Tuah menyerahkan bekas makanan yang berisi dengan mee goreng yang sudah dibungkus dengan plastik yang bersusun kemas. Sharielda menyambutnya kemas.

            “Sekejap lagi nak waktu rehat.” Sharielda mengangguk. Mak Tuah membetulkan susunan nasi lemak di dalam bekas makanan.

            “Hai Mak Tuah.” Mak Tuah tergelak kecil. Sharielda berlalu pergi.

            “Cikgu Eugene… Apa khabar hari ni?” Eugene tersenyum mesra.

            “Sihat sahaja Mak Tuah. Mak Tuah nampak lawa hari ni. Ada apa-apa ke?” Eugene cuba mengusik.

            “Ada-ada sajalah Cikgu Eugene ni. Mak Tuah ni memang lawa hari-hari.” Mereka serentak ketawa. “Cikgu Eugene nak makan apa hari ni?”

            Ada apa yang istimewa?” Tanya Eugene mesra.

            “Semuanya istimewa Cikgu Eugene.” Mereka serentak ketawa lagi. Sharielda membersihkan meja sebelum meletakkan besen besar yang berisi bungkusan plastik minuman sirap. Eugene memandang Sharielda melirik.

            “Saya rasa nak makan kuih sahaja. Masih kenyang dari sarapan pagi tadi di rumah.” Jelas Eugene.

            “Siapa yang masakkan?” Mak Tuah menyeloroh kata. Eugene tertawa.

            “Ibu saya datang dari Sabah semalam.” Mak Tuah mengangguk mengerti. Mak Tuah mengambilkan piring dan menyerahkannya kepada Eugene.

            “Kedua-dua orang tua Cikgu datang sekali ke?” Eugene menyepit kuih karipap.

            “Ya. Mereka datang bercuti sebenarnya ke sini. Kata mereka nak melawat Istana Seri Menanti.” Mak Tuah mengangguk. Sharielda menyibukkan dirinya.

            “Nak minum apa?” Mak Tuah sempat bertanya di dalam perbualan mereka itu.

            “Macam biasa Mak Tuah.”

            “Rielda, teh susu untuk Cikgu Eugene.” Sharielda mengangguk dengan senyumannya. Eugene mengulum senyumnya memandang Sharielda.

            “Saya duduk dulu Mak Tuah.” Mak Tuah mengangguk. Seketika kedengaran bunyi loceng berbunyi nyaring. Dan dalam beberapa minit kemudian, kantin yang sunyi itu riuh rendah dengan suara para pelajar yang sedang meningkat naik usia itu. Eugene mula menjamah kuih karipap kemas di bibirnya yang agak merah jambu itu.

            “Hai Cikgu Eugene…” Eugene tersenyum dengan teguran pelajar lelaki kepadanya. Eugene melirik pandang kepada tingkah Sharielda. Salah seorang pekerja di kantin itu menghampirinya dan meletakkan gelas berisi teh susu. Eugene mengangguk terima kasih.

            “Boleh kami duduk di sini Cikgu?” Eugene tersentak dengan pertanyaan mesra itu. Seorang pelajar perempuan tersenyum kepadanya. Eugene pantas mengangguk. “Terima kasih Cikgu.” Mereka yang bertiga itu serentak duduk berdepan dengannya. Eugene masih melirik pandangannya kepada Sharielda yang tertawa dengan pelajar-pelajar yang sedang membeli itu.


¤¤¤¤¤¤¤¤¤


            “Puan Sri yakin untuk membeli Butik Moonlight?” Jenny memegang fail kemas di dada. Jemari bermain-main di atas meja. “Kita semua tahu yang Moonlight mengalami defisit…”

            “Tetapi bukan yang teruk. Saya memang nak membelinya kemudian akan memajukannya semula.” Jenny mengangguk perlahan. “Aturkan janji temu saya dengan pemilik Moonlight segera. Katakan saya ada tawaran istimewa untuknya.”

            “Baik Puan Sri Hasmida.” Hasmida tersenyum. Jenny cepat menaip arahan majikannya itu di dada Ipad.

            “Dan saya nak awak aturkan satu janji temu istimewa saya dengan suami saya malam ini.” Jenny tersenyum tidak mengerti.

            “Puan Sri nak saya aturkan yang bagaimana?”

            “Istimewa. Yang cukup istimewa.” Jenny mengangguk mula mengerti. Hasmida tersenyum kecil.

            “Baiklah Puan Sri. Ada apa-apa yang saya perlu lakukan lagi?” Hasmida menggelengkan kepalanya pantas. Jenny mengangguk dan melangkah keluar.


¤¤¤¤¤¤¤¤¤


            “Mak… Ella laparlah…” Zuriella menghempaskan punggungnya di kerusi deras. Kakinya dinaikkan ke atas. “Dah nak petang ni. Perut dah berkeriuk sakit.” Zuriella mengomel malas. Kain disentap dihempas di atas meja makan bersama dengan perasaan geram. Bahu Zuriella tergerak ke atas.

            “Boleh tak Ella jangan merengek macam budak kecil. Mak rimas tahu tak. Rimas.” Alijah bercekak pinggang geram. Zuriella menjeling bersama dengusan kasar.

            “Assalammualaikum…” Mereka serentak memandang ke muka pintu dapur. Salam tidak bersahut.

            “Kenapa kau lambat balik, ah?” Alijah mencebik geram. Sharielda meletakkan bekas makanan di atas meja. Zuriella cepat menarik dan membuka.

            “Takkan kuih saja yang kau bawa balik, ah?” Herdik Zuriella dan menghempas bekas makanan itu.

            “Ini saja yang tinggal. Semuanya dah habis.” Jawab Sharielda teragak-agak.

            “Ah, kau tu memang begitu. Takkan kau tak boleh nak simpankan untuk aku.” Sharielda menarik nafas dalam mendengar herdikan Zuriella itu. Dia menuju ke peti sejuk dan menuang air ke dalam gelas.

            “Berapa yang kau dapat hari ni?” Sharielda meneguk perlahan air sejuk tersebut. Dia memandang Alijah, emaknya itu.

            “Bolehlah untuk bikin pusing modal.” Masih juga Sharielda teragak-agak menjawab.

            “Yalah, berapa?” Pekik Alijah lagi dengan tangan yang masih bercekak pinggang.

            “Dalam RM 100.” Zuriella melirik pandang kakaknya itu. Alijah menarik nafas dalam.

            “Mak nak pinjam…” Sharielda mencuci gelas itu dan meletakkannya ke dalam besen. Sharielda mengeluarkan dompet dari poket skirt panjangnya itu. Alijah dan Zuriella memandang tajam. Dia mengeluarkan dua keping wang not RM 50 dan menyerahkannya kepada Alijah. Mata Alijah jelas melihat beberapa keping wang lagi tersimpan di dalam dompet tersebut. Cepat tangannya merampas beg anaknya itu. “Kau kata seratus. Ni apa…” Alijah cepat mengeluarkan isi dompet itu.

            “Jangan Mak. Itu untuk modal jualan esok.” Sharielda berkeras cuba merebut dompetnya semula. Zuriella bingkas berdiri dan membantu emaknya.

            “Takkan tu pun kau tak boleh nak bagi pinjam?” Zuriella menolak kakaknya. Sharielda terundur ke belakang dan bergesel dengan bucu kerusi. Dompetnya diragut keras isinya di mata Sharielda ketika ini. Alijah mengira wang tersebut.

            “Seratus? Ni semuanya ada tiga ratus.” Herdik Alijah geram dan tangannya pantas menampar kasar di perut Sharielda sambil dompet dibaling ke muka Sharielda. Wang ditangannya juga dirampas keras. “Sejak bila kau pandai menipu ni ah? Siapa yang ajar kau?” Alijah cepat menampar kepala Sharielda. Zuriella tersenyum mengejek. “Aku tak pernah ajar kau menipu orang tua. Kurang ajar punya anak.” Sekali lagi Alijah menampar kepala Sharielda. Sharielda tidak melawan. Alijah mendengus kasar dan melangkah pergi. Zuriella tertawa dan membontoti emaknya itu.

            Sharielda menarik nafas dalam. Dia melihat dompetnya hampir sahaja terkoyak besar itu. Dia merenung bekas makanan yang berisi kuih tersebut dengan jemarinya meramas agak perlahan di bahagian perut. Dia memejamkan matanya malas. Dia mengakui memang itu yang akan berlaku kepadanya. Setiap hari.


¤¤¤¤¤¤¤¤¤


            “Terima kasih. Kami cukup berpuas hati dengan hasil pembentangan sebentar tadi. Kami juga yakin yang Legendary mampu memberikan hasil yang memuaskan.” Nazhif menerima salam itu.

            “Kami sentiasa melakukan yang terbaik.” Nazhif menghembus nafas perlahan dan bibirnya masih juga terukir dengan senyuman. Maria yang berdiri di sebelahnya tersenyum kecil. Ismet berbual dengan salah seorang dari Kementerian Pelajaran tersebut.

            “Silakan untuk menjamu minuman petang.” Ajak mereka mesra. Nazhif mengangguk.

            “Tuan Nazhif…” Maria bersuara perlahan. “Saya menerima panggilan yang Tuan Nazhif ada janji temu pada malam ini. Lapan malam di Hotel Concorde.” Berkerut wajah Nazhif mendengarnya. Mereka yang berjalan beriringan membontoti itu terhenti seketika. Ismet menghampiri dan terpandang akan seseorang.

            “Saya akan bertemu dengan siapa?” Maria tersenyum mesra.

            “Katanya adalah rahsia. Tetapi pertemuan ni penting sekali. Tuan Nazhif jangan bimbang.” Maria tertawa kecil kerana dia yang sudah tahu, siapakah yang bakal ditemui oleh majikannya malam ini membuatkan Nazhif menarik nafas dalam yang terasa menyendat di dadanya.

            “Tuan Nazhif…” Nazhif memandang Ismet. Ismet menunjukkan jarinya ke hadapan. Nazhif menurut arah dan bulat matanya memandang. “Penulis tu…” Nazhif berkalih dan cepat mengejar. Maria dan Ismet bergerak rapat.

            “Maafkan saya, kenapa?” Maria dan Ismet hanya berdiam diri dengan pertanyaan wakil dari Kementerian Pelajaran tersebut.


¤¤¤¤¤¤¤¤¤


            Sharielda mengeluarkan sesuatu dari poket skirt. Dia tersenyum dengan dirinya sendiri. Baharu kali ini dia terfikir mengenainya. Dia membuka lipatan getah yang mengikat gulungan beberapa keping wang tersebut. Dia mengira sekali lagi. Genap wang itu sebanyak RM 450, hasil jualan untuk minggu lalu yang dia tidak kutip dari Mak Tuah.

            “Bolehlah aku buat modal untuk minggu depan.” Sharielda tersenyum gembira. Sharielda memasukkan wang tersebut ke dalam tabung ayam dan memasukkan tabung tersebut ke dalam kotak yang ditarik dari bawah katil. Dia mengangkat sebuah kotak kecil. Dia duduk menyandar birai katil. Kotak itu dibuka penutupnya. Sekeping kertas berlipat kemas. Kertas itu diangkat keluar dan dibuka lipatannya.

            Matanya kaku dan hatinya disiat sayu membaca setiap butir perkataan yang tertulis di dada kertas tersebut. “Aku terpaksa melakukannya.” Logo berbentuk palang merah itu direnungnya. “Mungkin, dia sudah besar ketika ini.” Air mata yang gugur cepat disekanya dan dia tersenyum. Kertas itu dicium mesra. Daun pintu diketuk membuatkan Sharielda kaget. Kertas itu dilipat kemas dan dimasukkan semula ke dalam kotak. Kotak yang memuatkan kertas itu disimpan ke dalam kotak semula di sisi tabung ayam dan ditolak ke bawah katil semula. Sekali lagi daun pintu diketuk. “Sekejap.” Laung Sharielda. Dia berdiri membetulkan dirinya. Daun pintu dikuak perlahan. “Oh, Ayah… Ingatkan siapa tadi. Masuklah.” Sharielda tersenyum kepada ayahnya itu, Sophian.

            “Maaflah kalau ganggu Rielda.” Sophian berdiri di muka pintu bilik anaknya itu.

            “Eh, taklah. Bila Ayah balik? Tak dengarpun bunyi lori.” Sophian ketawa dan membuka topinya. “Ayah nak Rielda buatkan minuman ke?”

            “Tak apa Rielda. Ayah baru sahaja minum tadi kat warung Wak. Mana Mak dan adik Rielda?” Sharielda berdehem perlahan.

            “Agaknya mereka keluar.” Sophian mengangguk dan menghulurkan beg plastik kepadanya. “Apa ni?” Sophian tertawa mesra.

            “Yang dipesan oleh Rielda sebelum Ayah pergi ke Kelantan tiga hari lepas. Takkan dah lupa…” Sharielda tergelak mengingatinya. “Keropok lekor… Masih segar lagi ni.”

            “Terima kasih Ayah.” Sharielda melihat isinya. “Banyaknya Ayah…” Sophian ketawa dan menyentuh ubun kepala anaknya itu. Sharielda tersenyum gembira.

            “Ayah bangga ada anak macam Rielda.”

            “Rielda yang bangga sebenarnya sebab ada Ayah…” Mereka berbalas senyum. “Emm… apa kata kalau Ayah pergi mandi, Rielda pergi goreng keropok lekor dan kita boleh minum petang sama-sama.” Sophian tergelak lagi dan mengangguk. Sharielda tersenyum gembira.


BAB 2

No comments:

Post a Comment