SEMUANYA UNTUKMU

SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI MAHARATU RAFIDAH MOHAMAD. SEMOGA GEMBIRA HENDAKNYA DAN SEMUANYA UNTUKMU.

Friday 27 June 2014

CERPEN BLOG : FAISAL DAN DOT DOT oleh MAHARATU RAFIDAH MOHAMAD



Botol berisi air dimasukkan ke dalam beg. Sebuah bekas kecil yang jelas kelihatan dari luar badan gumpalan tanah itu turut dimasukkan ke dalam beg yang juga jelas dua tiga barisan jahitan kia yang kasar. Angin pagi itu juga berhembus dengan nyaman dua tiga kali dan bukan sekali walaupun matahari sudah hampir sahaja sampai ke tingkat empat langit pada hari itu.
          “Faisal…” Itulah lelaki yang berusia awal 20-an yang telah memasukkan botol dan bekas ke dalam beg yang hampir lusuh itu. Sekiranya diimbas kembali sejarah beg itu, beg itulah yang pernah digunakannya sewaktu dibangku sekolah lagi. Begitu besar sekali jasa beg itu.
          “Ya Mak…” Faisal menjawab menyambut laungan emaknya itu. Mak Jijah, isteri kepada Pak Ghani yang bekerja sebagai polis bantuan.
          “Kau nak ke mana Faisal?” Mak Jijah menghampiri Faisal yang sedang menzip beg yang juga sudah haus untuk ditutup itu. Mak Jijah memandang Faizal serba tak kena. “Kalau nak kata pergi cari kerja, takkan kau pakai seluar pendek, baju t’shirt yang dah Mak buat bikin kain buruk kat dapur tu…” Faisal melihat baju t’shirt yang dipakainya. Otaknya malas untuk memikirkan kata emaknya yang secara tidak kasarnya itu menyindirnya.
            “Faisal nak pergi memancing dengan Tahir.” Mak Jijah menjeling malas.
            “Buang masa. Belum tentu dapat ikan.” Mak Jijah bercekak pinggang.
        “Rezeki itu bukankah ketentuan Allah Taala.” Mak Jijah menyengetkan sedikit bibirnya ke kiri. Faisal menoleh ke belakang dan melihat Tahir sudah menghampiri laman rumahnya dengan mengayuh basikal. “Faisal pergi dahulu, Mak.” Faisal menyalami Mak Jijah.
         “Assalammualaikum Mak Jijah. Emak kirim salam.” Kata Tahir seraya tiba di hadapan Faisal.
        “Waalaikummussalam. Emak Tahir sihat ke? Mak Jijah dengar, dia pergi ke hospital semalam.” Tahir membetulkan topinya dan menahan basikal dengan kaki yang memijak tanah. Faisal pula sedang meletakkan beg ke dalam bakul basikal.
          “Mak sihat. Memang Mak pergi ke hospital semalam tapi bukan dia yang sakit. Dia pergi melawat Mak Ucu yang dah beranak semalam.” Jawab Tahir sambil tersengih. “Anak jantan lagi Mak Jijah.”
          “Syukur Alhamdulilah. Selamat juga Mak Ucu kamu bersalin.” Faisal menjuihkan bibirnya ke arah Tahir. “Ah… jangan pula korang berdua ni lambat balik. Ah… jangan juga menyimpang ke tempat lain.” Sempat Mak Jijah memberikan pesan kepada mereka berdua.
          “Baiklah Mak. Kami pergi dahulu.” Tahir memusing basikalnya membelakangi Mak Jijah. Begitu juga Faisal. “Assalammualaikum.” Mereka memberi salam serentak sebelum mengayuh basikal keluar dari laman rumah.
          “Waalaikummussalam. Budak-budak ni. Ada-ada saja kerja mereka. Bukan nak cari kerja tetap. Susah betul.” Mak Jijah mengomel dengan dirinya sendiri dan melangkah masuk semula ke dalam rumah.
          Sepanjang perjalanan mereka berdua menuju ke sungai Kampung Tekuyung itu, mereka sempat juga berbual dan berangan-angan akan mendapat banyak ikan. Hasrat mereka yang ingin memancing yang telah dirancangkan sejak sebulan lalu akhirnya berhasil juga setelah melalui pelbagai halangan seperti hujan selama dua tiga hari, terpaksa membantu kenduri kahwin anak tok penghulu dan bermacam-macam lagilah sebelum ini.
          “Akhirnya berjaya juga hasrat kita hari ini…” Faisal ketawa gembira setelah tiba di sungai kampung kelahiran mereka itu. Mereka meletakkan basikal di tanah yang masih lagi basah-basah lembap itu. “Kita nak cari tempat yang baik punya kat mana?”
          Tahir melilau seluruh sungai dan dia tersenyum apabila melihat sebuah pokok yang tinggi merendang sedang beralun-alun ditiup angin. “Kat bawah pokok sana. Boleh berteduh?” Faisal melihat Tahir dan mengangguk pantas.
          Mereka berdua menuju ke pokok tersebut dan mulalah menyiapkan pancing. Bekas yang dipenuhi dengan gumpalan pasir dibuka penutupnya. Bergeliang-geliut beberapa ekor cacing seolah-olah sedang cuba melepaskan diri. Faisal menarik seekor cacing dan memasangnya ke mata kail. Habislah riwayat cacing itu hari ini. Faisal menutup bekas itu semula. Tahir juga berbuat demikian.
          Hampir sejam mereka menunggu pancing menggena. Mereka sudah menyandar batang pokok. Faizal mengambil tempat di kiri dan Tahir pula di kanan, oleh itu mereka membelakangi antara satu sama lain. Faisal tiba-tiba merengus perlahan.
          “Apalah tempat kau pilih ni Tahir? Dah sejam aku tunggu.” Faisal merungut perlahan.
            “Alah… Sabarlah. Baharu sejam apa. Ikan mungkin belum keluar makan rehat. Masih dalam waktu kerja.” Jawab Tahir berseloroh.
          “Yalah tu… Jawapan yang langsung tak menyakinkan.” Faisal membetulkan pancingnya. “Kau dengar tak cerita tentang si Melisa. Aku dah lama tak dengar khabar dari dia?” Faisal mengubah topik perbualan.
          “Melisa? Anak Pak Dili Hidung Ketuat tu ke?” Tanya Tahir seolah tidak mengenali Melisa.
          “Habis tu, siapa lagi? Alah… gadis cun sekampung tu. Kan dia sambung belajar kat Selangor. Kalau tak silap aku, masa hari raya tu sahaja dia balik kampung. Tu pun, langsung tak bertemu dengan kita berdua. Takkanlah dia dah sombong…” Kata Faisal menjelaskannya kepada Tahir.
          “Oh… Melisa anak bongsu Pak Dili Hidung Ketuat tu. Aku dengar cerita, dia pernah ketawa-ketawa masa berbual dalam handphone hari tu. Bukan main gembira sekali aku tengok. Masa tu, dia nampak aku tengah lihat dia kat bawah tanah menghabiskan sisa-sisa ketupat, bukan main kasar dia jeling aku, kau tahu…” Jelas Tahir pula kepada Faizal.
          “Ya kah? Aku tak tahu pula sampai begitu sekali dia sombong. Yalah kan… orang dah masuk universiti. Bukan macam kita ni. Lepas SPM pun tak lulus juga.” Sambung Faisal sambil menarik-narik pancingnya.
          “Kau baik lagi. Lepas SPM. Yang aku ni, SPM pun haram tak ada.” Berkerut dahi Faisal mendengar kata Tahir sedangkan dia masih ingat lagi, dia dan Tahir sama-sama menduduki peperiksaan SPM lima tahun lalu.
            “Biarkanlah si Melisa tu.” Faisal tidak memperdulikan kehairanan hatinya dengan kata Tahir sebentar tadi. “Bukan dia sahaja yang cun sekarang ni. Kau ingat tak, Nuryana anak Cikgu Talib yang dahulu tu dia masih budak darjah enam. Sekarang kan dia dah tingkatan lima. Aku tengok, bukan main lagi lawa budak tu sekarang…” Faisal tersenyum sambil ketawa kecil.
          “Alah… takkanlah anak Cikgu Talib tu nak bermenantukan kau yang tak ada kerja tu… Mesti dia nak anaknya tu sampai memiliki ijazah. Kerja baik-baik lepas tu. Ingat, orang macam kita terutamanya aku ni bolehkah dapat kahwin perempuan yang cantik dan pintar macam tu. Takkan kau dah lupa, yang anaknya tu adalah pelajar terbaik sekolah. PMR dapat 8A tu…” Jawab Tahir tidak berselindung.
          “Yalah aku tahu… Siapalah yang nakkan kita yang tak ada kerja ni. Masih duduk makan duit mak bapak lagi. Bukannya aku tak nak cari kerja, cuma kerja tu yang tak nak aku kerja.” Faisal menarik nafas dalam. “Kita sendiri sama-sama mencari kerja. Banyak tempat dah kita tanya. Tapi kerja tu yang tak nak kita. Asyik-asyik kata, nanti pihak kami telefon. Nanti pihak kami hantar surat. Hujung-hujung, habuk tak ada, angin pula yang keluar.” Kata Faisal panjang lebar.
          “Itulah… Kan bagus kau terima kerja kat kilang sebagai pak jaga, kau tak nak. Gaji pun bagus. KWSP, Perkeso semuanya ada. Cuti pun ada. Bonus, overtime, elaun pun mereka beri. Tapi kau menolak…” Sekali lagi dahi Faisal berkerut mendengar kata Tahir. Seingat dia sekali lagi, dia sendiri bersama dengan Tahir pergi ke sesi temuduga kerja itu namun mereka menolaknya apabila mereka berdua diarahkan untuk menjaga kilang itu pada waktu malam. Mereka bukannya takut cuma kawasan itu keras pada waktu malam dan juga sudah berulangkali mereka mendengar cerita seram mengenai kilang itu.
          “Bukan kita berdua pergi sama ke masa temuduga tu?” Tiada sebarang jawapan daripada Tahir. Faisal menggelengkan kepalanya. “Entahlah, apa nasib kita ni nanti? Aku ni dah habis fikir. Mahu atau tak, tahun depan umur aku dah 26 tahun. Agaknya, aku terpaksalah terima tawaran masuk tentera yang dikatakan oleh bapa aku tempoh hari.”
          “Baguslah macam tu. Masuk tentera. Boleh berbakti kepada negara dan rakyat. Walaupun negara kita ni aman dan menitikberatkan 1Malaysia, malah juga kita tak berperang macam dahulu, tapi kau masih boleh berbakti kepada rakyat negara ni. Sebagai contoh, musim banjir. Kau boleh menabur bakti dengan menolong dan menyelamatkan mereka. Malah, binatang-binatang ternakan macam a…” Tahir berdehem kasar. “Binatang ternakan yang tak mampu menyelamatkan diri, kau boleh selamatkan.” Sambung Tahir dan Faisal mengangguk setuju.
          “Betul cakap kau tu. Sekurang-kurangnya, aku mempunyai pekerjaan tetap malah dengan kerajaan pula tu. Kalau nasib aku baik, mungkin aku boleh dihantar ke luar negara. Tapi, aku dengar, latihan tentera ni susah.”
          “Alah… macam pepatah kata. Berakit-rakit ke hulu, berenang-berenang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.” Tersenyum Faisal mendengar kata Tahir yang penuh dengan semangat itu.
          “Betul cakap kau tu. Aku rasa, aku akan terima tawaran kerja tu. Habis tu, kalau aku dah dapat kerja jadi tentera, kau nak buat apa pula Tahir?”
          “Aku… Aku ni macam biasalah. Duduk sahaja kat kampung. Kalau umur aku panjang, aku masih hidup. Kalau dah sampai haul, mungkin aku terpaksa dikorbankan.” Terkejut Faisal mendengar gurauan Tahir yang kasar itu.
          “Apa maksud kau Tahir?” Faisal menggulung tali pancing. “Aku tak fahamlah. Kau ada masalah ke?”
         “Tak adalah. Aku ni mana ada masalah. Kalau manusia tu, baharulah ada masalah.” Tahir ketawa kecil.
          “Ah… kau ni nak buat lawak pun, biarlah bertempat sedikit.” Mereka berdua masih lagi membelakangi antara satu sama lain. “Susah-susah, kau ikut sahaja aku. Kita masuk tentera. Mahu tak?”
          “Aku ni sememangnya mahu sangat-sangat tetapi masalahnya, mahukah mereka mengambil aku ni? Aku ni kan pernah digelar bodoh malah ada satu masa dahulu, kecoh seluruh negara mengesahkan aku ni gila.” Tahir ketawa lagi. Faisal semakin tidak mengerti.
          “Eh… Aku tak fahamlah Tahir… Kau ni kenapa? Takkan kau kena sampuk pula…” Faisal meletakkan pancing ke tanah dan berdiri. Dia membersihkan seluarnya dan berpaling memandang Tahir.
          “Kau nak ke mana Faisal?” Bulat mata Faizal melihat Tahir malah mata Tahir juga bulat melihat Faisal. “Takkan kau marah pula. Aku cuma bergurau sahaja dengan kau…”
          “Selama ini, aku bercakap dengan kau ke?” Faisal bertanya perlahan.
          “Yalah… Kenapa?” Jawab Tahir seraya bertanya.
          “Kau kata, kau nampak Melisa masa kau makan sisa-sisa ketupat kat tanah, betulkah?” Tanya Faisal perlahan juga.
          “Yalah… Kenapa?” Sekali lagi Tahir berkata yang sama.
          “Masa kita pergi temuduga pak jaga kilang tu, kau ada sama?” Tanya Faisal lagi.
         “Yalah… Masa tu, aku tengah duduk kat bawah pokok. Kenapa?” Kata Tahir lagi.
          “Maksud kau, kalau umur kau panjang dan cukup haul, kau akan dikorbankan tu, betul-betulkah?” Tanya Faisal tidak berhenti.
          “Yalah… Kenapa?” Tahir sudah mula meninggikan suara kepada Faisal. “Kau ni asyik tanya yang bukan-bukan ni, kenapa ah Faisal?” Faisal menelan air liur paksa.
          Dia berkalih ke kiri menghampiri sungai. Dia masih memandang Tahir yang masih duduk memandangnya. Faisal berundur perlahan demi perlahan.
          “Betulkah kau boleh bercakap?” Gugup Faisal bertanya kepada Tahir.
          “Ek… Kan aku yang berbual dengan kau sejak tadi. Jadi, betullah aku pandai bercakap…”
          “Kau kan lem…” Faisal menelan air liur paksa. “Dulu bodoh sekarang gila. Aku rasa, apa yang aku rasa memang betul. Dulu aku bodoh, rasanya sekarang ni aku gila.”
          “Kau ni kenapa Faisal?” Tahir bertanya tidak mengerti.
          Faisal menjerit nyaring ketakutan. “Tak mungkin! Tak mungkin!” Faisal menjerit macam diserang histeria. Faisal melompat-lompat macam kera kena belacan. “Aku tak sangka yang aku boleh jadi kaya dalam sekelip mata.”
        “Kau ni kenapa Faisal?”
       “Betul kau boleh bercakap?”
       “Yalah… Memang aku boleh bercakap. Kau ni kenapa?” Sekali lagi Tahir bertanya.
        “Aku kaya! Aku kaya! Aku kaya!” Faisal melompat-lompat. “Aku memang hebat.” Faisal ketawa riang.
     “Faisal!” Tahir berdiri melihat Faisal melompat-lompat gembira. Tahir menggosokkan matanya dan mematikan pemain mp3 yang didengarnya sejak tadi. “Kau kenapa?”
          “Tahir… Kau mesti tak percaya cakap aku…” Faisal memegang bahu Tahir. “Cuba kau tengok kat sebelah kau, siapa?” Tahir menoleh ke kirinya.
          “Lembu. Lembu Pak Dili Hidung Ketuat. Kenapa?” Faisal tersenyum gembira. “Woi… Kau jangan nak samakan aku dengan dia pula walaupun namanya tu sama dengan aku.” Tahir menolak tangan Faisal yang memegang bahunya.
          “Bukan itu maksud aku…” Faisal ketawa gembira. “Aku tak payah masuk tentera, tapi aku akan masuk ke dalam tv. Sebab lembu ni…” Faisal menarik nafas dalam. “Lembu ni pandai bercakap! Aku kaya!” Faisal melompat-lompat gembira.
          Tahir menggaru-garu kepalanya. Dia melihat lembu Pak Dili Hidung Ketuat yang sedang duduk melihat Faisal melompat-lompat. Tahir tersenyum dengan dirinya sendiri.
          “Tak sangka, rancangan aku nak mengenakan dia berjaya juga akhirnya. Adakah lembu boleh bercakap?” Tahir ketawa namun ketawanya terhenti apabila Faisal memandangnya tajam. Tahir menelan tawanya itu dan pantas berpaling.
          “Tahir!” Faisal menjerit nyaring. Namun Tahir sudah berlari secepat kilat. Faisal mula naik berang lekas sahaja menangkap baju Tahir dan menendang Tahir. Maka berlakulah, pergaduhan yang amat sengit di tepi sungai Kampung Tekuyung itu.
          “Emm… malas betul aku melihat mereka berdua tu. Bukan main seronoknya aku duduk lepak kat sini setiap hari, betul-betul terganggu hari ini.” Lembu Pak Dili Hidung Ketuat yang bernama Tahir itu pun bangun dan berlenggang balik meninggalkan Faisal dan Tahir yang sudah hilang kewarasan diri.
          Sungai Kampung Tekuyung yang amat dan tenang itu bercatuk-catukkan ikan dipermukaan air melihat pergaduhan terhebat kampung itu secara percuma. Malah cacing yang dijadikan umpan di mata kail Faisal juga turut timbul menyaksikan bersama. Begitulah kisahnya. Mengarutkan!

No comments:

Post a Comment