SEMUANYA UNTUKMU

SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI MAHARATU RAFIDAH MOHAMAD. SEMOGA GEMBIRA HENDAKNYA DAN SEMUANYA UNTUKMU.

Monday 23 June 2014

PUISI BLOG : KAU MALAIKAT DUNIA

Mulanya, Maharatu terfikir, ia bukan di Malaysia. Tetapi, tekaan itu meleset. Ya Allah, seakan tidak percaya tetapi inilah mata yang melihat. Benar, berat lagi bahu yang memikul dari mata yang memandang. Namun, sejahat mana seorang ibu, tidak mungkin mampu membiarkan keadaan ini berlaku. Dan, Maharatu fikir, hanya di dalam drama, novel atau filem sahaja ini boleh berlaku, ternyata, di dunia yang nyata ini juga boleh terjadi. Maha Suci Allah, sesiapa juga yang terlibat, semoga Allah swt menerima taubat mereka itu. Dan Maharatu doakan, semoga Adik Muhammad Firdaus Dullah, akan segera sembuh dari kelukaan ini. Di sini, Maharatu titipkan puisi untukmu Adik, doa Maharatu sentiasa ada untukmu.


MALAIKAT DUNIA
(Kutitip Doa Buatmu, Malaikat Dunia Yang Telah Bebas dari Kurungan Dunia)


Tuhan
dari matanya itu
tidak mampu kubaca
cerita sedihnya
segala kisah deritanya
dari matanya itu, Tuhan
sinarnya amat kabur
air mata menyelubung
sisa yang tak terbendung.

Tuhan
dari tubuhnya itu
tidak mampu kutafsir
riwayat hidupnya
segala rentetan perjalanannya
dari tubuhnya itu, Tuhan
bahagianya amat luntur
doa penjaga hati yang murung
rahmat-Mu turut berkabung.

Tuhan
rahsia ini berat terbongkar
saat ia pecah kurung
awan mendung cepat berkumpul
kumohon Tuhan
selamatkanlah malaikat dunia itu
dari pilu penuh cabaran
bebaskanlah dia dengan sayang-Mu
membersihkan kedukaannya
kumohon Tuhan
lindungilah malaikat dunia itu
dari duka penuh dugaan
hidupkanlah dia dengan kasih-Mu
menjernihkan kesengsaraannya.

Tuhan, syukur kepada-Mu
saat sanubari malaikat itu berkurun terluka
dan air mata sudah kering lesu
pintu-Mu itu luas terbuka
melihatkan sinar mata terpilu
yang perlu disembuh semula
kumohon Tuhan

cinta-Mu diperlukan untuk malaikat dunia itu.

No comments:

Post a Comment